image atas

image atas

Monday, June 10, 2013

CR2 (Siri 48) - Andai Itu Lorong Takdirnya

Tubuh Fahmi tidak bergerak. Matanya terpejam. Mukanya membengkak. Seluruh tubuh anak kecil itu berselirat dengan tiub-tiub. Fahmi koma. Kata doktor ada darah beku di saluran darah. Keadaannya kritikal.
Harapannya untuk hidup tipis sekali.
Air mata Nenek Ninda sudah kering. Dia bukan sahaja terkejut, malah begitu trauma dengan situasi yang berlaku. Tidak pernah dia sangka Murni akan bertindak sejauh itu. Cinta benar-benar membutakan akal Murni, malah seluruh kehidupannya musnah dek cinta. Salah Ummar Qayyumkah? Nenek Ninda tidak tahu jawapannya. Dia pandang Rania yang kaku mengadap tubuh Fahmi. Air mata Rania masih mengalir saat Nenek Ninda menelusuri kronologi tragedi malam tersebut.

Rania juga menjadi mangsa Murni. Kandungan Rania keguguran gara-gara Murni. Hal itu juga telah dimaklumkan oleh Nenek Ninda pada keluarga Puan Sri Zalia. Mereka reda menerimanya malah Rania hanya menelan air liur saat telinganya mendengar rentetan seluruh cerita. Matanya masih terpacak pada tubuh si kecil yang turun naik dadanya. Adakah Fahmi juga akan menerima nasib yang sama seperti kandungannya dulu?


“Mama minta maaf sebab ragu-ragu pada Ren sebelum ini,” Puan Sri Zalia berasa sebak.

Rania sering dimusuhi akhir-akhir ini gara-gara sikap Rania yang dianggap keras kepala. Ah! Siapa sangka Rania juga mangsa Murni.

“Semua dah berlaku mama...Ren reda.”

Puan Sri Zalia menyapu air matanya yang meleleh. Jawapan Rania membuatkan hatinya makin sebak. Nenek Ninda tidak terkata. Hanya keluhannya sahaja yang terdengar. Murni membawa pelbagai musibah dalam rumah tangga seluruh keluarga itu. Jadi berantakan semuanya dek Murni!

Ah! Murni! Murni! Keluhan Nenek Ninda tidak pernah terhenti sejak semalam.

“Kasihan Fahmi.” Rania menangis teresak-esak.

Hatinya hiba mengenangkan macam-macam peristiwa yang menimpanya dan semakin tertekan apabila melihatkan keadaan Fahmi. Kenapa bayi sekecil Fahmi menerima nasib seumpama itu? Kejamnya perlakuan manusia. Mana perginya rasa belas simpati dan kasih sayang seorang ibu terhadap anak? Meskipun Nenek Ninda beranggapan Murni kurang waras semasa mencampakkan anaknya sendiri, tetapi Rania tetap tidak dapat menerimanya. Seorang ibu! Tergamakkah? Sakitnya Fahmi semasa tubuh kecilnya dihempas ibu kandung sendiri.

Kata Nenek Ninda, Fahmi menggelupur sebelum terdiam dan tubuhnya layu terkulai. Air mata Rania tidak berhenti mengalir mengenangkan nasib Fahmi. Dia insaf mendadak. Kian sebak tatkala terkenangkan pula akan anaknya yang juga sudah tiada. Kesannya masih terasa hingga kini meskipun luka itu disembunyikan sendiri. Dia lebih rela begitu daripada berkongsi dengan orang lain. Fahamkah mereka apa yang dilalui?

Rania pegang jari-jemari Fahmi yang lembik. Jari-jemari itu pernah meraba-raba mukanya, menjalar di leher dan rambutnya saat dia bermain-main dengan si kecil itu dulu.

“Fahmi, bangun ya. Nanti bila Fahmi dah sihat, auntie Ren yang akan jaga Fahmi,” bisiknya penuh keibuan.

Puan Sri Zalia peluk anak kesayangannya. Dia berasa berdosa kepada Rania. Selama ini dia meremehkan anak sendiri dek rasa sayang dan simpati kepada anak yatim piatu seperti Murni.

Pintu bilik terkuak. Rais masuk. Dia hampiri ahli keluarganya. Wajahnya kelihatan penat dan lesu.

“Apa doktor kata?” tanyanya dengan wajah serius.

Puan Sri Zalia menggelengkan kepala. “Harapan tipis!”

Rais menyandar di dinding. Wajahnya rusuh. Banyak yang berlegar-legar di kepalanya. Salah akukah bila semua ini berlaku? Kerana akukah Murni bertindak di luar kawalan? Akhirnya anak kecil yang tidak berdosa ini menjadi mangsa. Semalam, Ros Ilyani menangis sampai bengkak mata. Dia turut menyalahkan diri sendiri atas kemalangan yang menimpa Fahmi. Dia turut menyalahkan perkahwinan mereka.

“Murni macam mana? Dah jumpa?” tanya Nenek Ninda menenggelamkan lamunan Rais.

Rais menggelengkan kepalanya. “Tak jumpa. Abangnya pun ada di kampung. Tengah sama mencari Murni dengan penduduk kampung.”

“Abangnya sampai bila?” tanya Nenek Ninda lagi.

“Baru saja sampai masa saya nak balik tadi. Saya tinggalkan kunci rumah mak cik pada abang si Murni. Kalau dia nak berehat anak beranak,”

“Beg pakaian Murni pun ada di rumah tu, biarlah dia duduk di situ. Nanti Rais pesan pada abang si Murni, rumah tu jangan dikunci. Manalah tahu Murni balik,” sahut Nenek Ninda yang berfikir jauh.

Nenek Ninda masih terkenang-kenang peristiwa yang berlaku malam tadi. Ingatan itu kekal segar. Tidak akan sesekali terpadam dalam memori ingatannya. Masih jelas di ingatannya tentang situasi yang berlaku. Laman depan rumahnya terang dek cahaya lampu kereta. Murni membuka pintu lalu terjah ke beranda. Dia kelam-kabut apabila melihat bayang-bayang manusia keluar dari pintu kereta. Dia kebingungan. Matanya liar tidak menentu. Seketika dia memandang anaknya Fahmi yang sudah lembik dengan nafas kian pendek. Nenek Ninda paut Fahmi kuat-kuat takut dirampas Murni lagi. Dia menjerit meminta tolong.

Mendengar jeritan Nenek Ninda, Murni melompat ke birai anjung, menuruni anak tangga dengan laju lalu menghilangkan diri dalam kegelapan malam. Nenek Ninda menerpa ke bawah. Rais bersama Ros Ilyani berwajah pucat dan terkejut.

“Kenapa mak cik? Apa yang jadi?”

“Panjang kisahnya. Kita bawa Fahmi dulu ke hospital.”

“Murni ke tadi mak cik?” tanya Rais.

“Haah. Murni dah tak menentu. Fahmi ni...Fahmi ni...” Nenek Ninda gesa orang berdua itu supaya segera bertindak.

“Kenapa dengan Fahmi?” tanya Ros Ilyani. “Eh...kepala Fahmi ni kenapa benjol?”

“Dihempas si Murni,” kata Nenek Ninda seraya meloloskan tubuhnya masuk ke dalam kereta.

Berubah air muka Ros Ilyani mendengarnya. Rais bertindak cepat. Segera diundur kereta dan bergegas menuju ke klinik berhampiran.

Telefon Rais berbunyi. Lamunan Nenek Ninda terhenti. Puan Sri Zalia mendengar Rais bercakap dengan suaminya. Rais turut memaklumkan hospital tempat Fahmi menerima rawatan.

“Telefon mama mana? Ayah call berkali-kali sejak tadi,” tanya Rais sebaik sahaja selesai bercakap dengan Tan Sri Razlan.

“Entah...” Puan Sri Zalia tidak dapat mengingatinya.

“Ayah dalam perjalanan ke sini.”

“Ren balik dulu lah. Ren pun tak berapa sihat lagi,” arah Puan Sri Zalia.

“Akak balik dengan Ren dulu ya. Biar saya tunggu di sini,” kata Puan Sri Zalia kepada besannya pula.

Nenek Ninda angguk. Dia memang sudah letih letai. Tidurnya tidak cukup malah tenaganya juga bagai direnggut. Peristiwa yang dilalui semalam menarik semangatnya sehingga dia berasa begitu lemah. Rais menghantar Nenek Ninda bersama Rania balik ke rumah. Mak cik Rohaya setia menanti di depan pintu rumah. Mak cik Rohaya mengiringi Nenek Ninda bersama Rania masuk ke rumah sebaik sahaja Rais pergi semula.

“Nasi dah masak. Mak cik hidangkan ya Ren,” tutur Mak cik Rohaya lembut.

“Ya mak cik. Mak belum makan lagi sejak pagi,” ujar Rania.

Rania memimpin tangan ibu mentuanya ke bilik tetamu di bawah.

“Mak mandi dulu. Baju Kedah dengan kain batik banyak dalam almari tu. Mak pakailah,” ujar Rania seraya meletakkan sehelai tuala di atas katil.

“Lepas mandi, Ren temankan mak makan,” Rania tersenyum sayu.

Nenek Ninda tarik tangan Rania untuk duduk di sebelahnya. Air matanya menitis tidak semena-mena. Tangan Rania berada dalam genggamannya.

“Mak nak minta maaf dengan Ren,” sahutnya tersekat-sekat.

“Mak nak minta maaf kenapa? Mak tak pernah salah apa-apa pun pada Ren.”

“Mak salah pada Ren...banyak!” luahnya jujur dan penuh keinsafan.

“Mana ada...”

“Mak selalu buruk sangka pada Ren. Mak tuduh Ren macam-macam dalam hati. Mak tak tahu keadaan yang sebenarnya. Mak hanya dengar cerita daripada Murni. Mak tak tahu Murni sakit. Mak tak tahu Murni tak sara! Mak tak tahu Murni simpan angan-angan tinggi macam tu. Mak tak pernah tahu. Mak hanya tahu semalam. Tapi dah terlambat. Mak minta maaf ya nak!” Ucapan kudus itu benar-benar menyentap hati Rania.

Tubuh gempal Nenek Ninda dipeluk Rania. Perasaan sayang Rania pada ibu mentuanya tidak pernah putus malah dia dapat mengagak kalau-kalau kebencian yang ditunjukkan oleh Nenek Ninda kepadanya adalah kesan daripada cerita Murni.

“Kita buang yang keruh ya mak...,” kata Rania apabila pelukan dilepaskan.

“Tapi mak tetap rasa bersalah. Mak tetap nak minta maaf pada Ren. Maafkan mak ya Ren.” Air mata Nenek Ninda yang mengalir ke pipi tuanya menyebabkan Rania sebak.

“Ya...Ren maafkan.”

“Terima kasih Ren. Mak sayangkan Ren...mak sayang Ren sungguh-sungguh...” Kali ini tubuh Rania pula dipeluk Nenek Ninda.

Rania membiarkan sahaja tubuh kurusnya didakap si ibu mentua. Lama.

“...dan satu lagi hal Ren dengan Qayyum, janganlah dipanjang-panjangkan lagi. Cukup-cukuplah dengan apa yang kamu berdua lalui,” pinta Nenek Ninda bersungguh-sungguh.

Pada kesempatan itu dia mahu meluahkan segala-galanya pada Rania. Dia mahu hubungan yang renggang antara anak menantu dapat dieratkan kembali.

“Insya-Allah mak. Kita doakan yang terbaik.”

“Ren tak marah Qayyumkan?”

Rania menggelengkan kepalanya. Dia tak marah pada Ummar Qayyum tapi apa yang dirasakan sekarang ialah jiwanya kosong dan tandus.

“Buang yang keruh dan ambillah yang jernih, Ren seperti yang Ren kata tadi. Kita dah tahu sekarang punca perselisihan yang berlaku antara Ren dengan Qayyum.”

Rania angguk.

“Kalau begitu, Ren tak payahlah pindah ke Sabah,” pujuk Nenek Ninda lagi.

Wajah Rania berubah. Dia tidak dapat memberi apa-apa jaminan terhadap keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

“Tak payah bincang apa-apa lagi mak ya. Sekarang kita kena fikirkan tentang Fahmi dulu,” ujar Rania lalu ditinggalkan Nenek Ninda untuk membersihkan dirinya.

Dia pula menuju ke dapur membantu dan meninjau Makncik Rohaya. Sambil membantu, mereka bercerita. Barulah Makncik Rohaya berpeluang bertanya
macam-macam dengan Rania termasuklah tentang Murni.

“Kasihan, akhirnya Fahmi yang jadi mangsa dek kegilaan maknya!” Makncik Rohaya melahirkan kekesalannya.

“Doktor kata harapan Fahmi tipis. “ Masih terbayang di ruang Mata Rania keadaan Fahmi semasa ditinggalkan tadi. Rania duduk di kerusi di dapur. Di atas meja sudah terhidang pelbagai lauk-pauk yang masih berasap.

“Murni...Murni...tak sangka dia boleh hempas anak sendiri.”

“Murni tak berapa waras masa dia buat tu! Dia tertekan. Perasaan kecewanya tak dapat dibendung. Banyak impiannya gagal. Dia stres!”

Itulah kesimpulan yang dapat dibuat oleh Rania sungguhpun jauh di sudut hati dia tidak dapat menerima perbuatan Murni terhadap Fahmi. Namun, dia tahu bagaimana keadaannya jika seseorang itu tertekan. Dia juga melalui fasa yang sama malah kehilangan anak dalam kandungan semakin menyebabkannya tertekan. Kalau tidak cukup iman di dada macam-macam boleh berlaku contohnya seperti yang berlaku pada Murni.

“Kalau kail panjang sejengkal jangan laut hendak diduga. Orang tua-tua selalu berpesan begitu. Kita kenalah ukur baju di badan sendiri,” kata Makncik Rohaya yang sama bersimpati, tetapi kesal dengan sikap dan tindak-tanduk Murni yang akhirnya memakan diri sendiri.

“Susah nak cakap mak cik sebab...cinta itu buta! Sebab cinta orang hilang pedoman.”

“Jomlah makan, mak cik Nenda dah siap,” Mak cik Rohaya memberhentikan perbualan berkisar Murni apabila melihat kelibat Nenek Ninda menghampiri mereka.

“Barulah nampak segar sikit,” usik Mak cik Rohaya tanda meraikan tetamu.

Nenek Ninda duduk di kerusi menghadap Rania. Mereka makan ala ala kadar dan topik perbualan masih berkisar tentang musibah yang menimpa Fahmi.

“Saya risaukan keadaan Murni. Tak tahu kat mana dia sekarang. Takut juga
dia buat tindakan yang pelik-pelik,” ujar Nenek Ninda sambil mencubit ikan gelama pekasam yang ditabur cili padi di atasnya.

Mak cik Rohaya berpandangan dengan Rania.

“Kita doakanlah semoga dia baik, semoga dia kembali normal,” tutur Mak cik Rohaya berkias.

“Lepas Zuhur nanti, kita pergi hospital balik. Kalau mak cik nak ikut sekali bolehlah,” pelawa Rania.

Dia sedar marah Mak cik Rohaya pada Murni masih berbaki melalui nada dan bicaranya.

“Rumah tak ada orang, tak apa?”

“Nanti mak cik balik semula dengan mama dan Abang Raiskan?”

“Ayah balik nanti siapa nak buka pintu?”

“Ayah terus ke hospital tadi. Nanti ayah balik dengan mama,”

“Tak apalah Ren, mak cik tunggu di rumah sahaja.”

Telefon Rania berdering dengan irama lagu Melayu klasik. Rania lihat nama Rais di skrin telefonnya.

“Fahmi dah kembali ke rahmatullah...” ujar Rais hiba sebaik sahaja mendengar suara Rania.

“Bila?”

“Baru ni.”

“Innalilahiwainnailaihirajiuun...” Terhenti suapan Rania.

“Kes ni dah jadi kes polis,” beritahu Rais pada ahli keluarganya.

Nenek Nenda menyapu air matanya dengan lengan baju kurung. Mereka sekeluarga masih menunggu mayat Fahmi di luar bilik mayat. Mayat Fahmi masih lagi berada di hospital. Belum boleh dituntut untuk bedah siasat.

“Abang boleh bincang dengan doktor supaya mayat Fahmi tak dibedah siasat?” tanya Puan Sri Zalia pada suaminya.

Kalau mayat Fahmi dibedah siasat, cerita makin panjang. Akibatnya pada Murni berganda-ganda. Murni sudah jatuh ditimpa tangga. Cukuplah itu. Kasihan dia! Fikir Puan Sri Zalia. Tan Sri Razlan dilihat menghubungi seseorang. Kemudian dia beredar dari perkarangan bilik mayat bersama Rais. Puan Sri Zalia duduk di bangku bersebelahan dengan Nenek Ninda. Masing-masing melayani perasaan sendiri.

Telefon Rania berdering.

“Ya Abang Rais.”

“Abang Murni baru call. Mereka dah jumpa Murni.”

“Dah jumpa? Kat mana?”

“Murni dah meninggal. Mayatnya penduduk kampung jumpa terapung di sungai,” sahut Rais lesu.

Rania terkedu. Tidak semena-mena air matanya jatuh menitis-nitis.

No comments:

Post a Comment