“Murni tak payahlah kenang kisah-kisah lama tu,” Nenek Ninda memberi ingatan pada Murni. Sedaya upaya dia masih mencuba untuk membetulkan keadaan yang memang sudah tidak betul itu tapi setakat itu masih belum berjaya. Murni makin
leka dengan mimpi siang harinya.
“Mana boleh tak ingat nek. Kenangan lama tu tak pernah padam dalam diri Murni kalau nenek nak tahu. Sentiasa segar di sini,” Murni tunjal tepi dahinya.
“Esok lusa, bukan jadi kenangan lagi tapi akan jadi realiti,” sambung Murni selamba. Nenek Ninda mendiamkan diri. Dia tidak berani berkata-kata tanpa berfikir takut Murni akan mengeksploitasikan kata-katanya. Sudahnya dia terperangkap lagi. Semalam Murni sudah menyuarakan isi hatinya untuk menjadi isteri Ummar Qayyum. Walaupun terkejut, Nenek Ninda buat biasa saja. Seolah-olah apa yang dikatakan Murni itu bukan hal yang besar.
“Mesti nenek gembira kan?” Murni cuit dagu Nenek Ninda.
“Gembira?” Nenek Ninda curiga.
“Yelah...dulu...nenek kan hendak sangat tengok Murni jadi menantu. Nenek suka kalau Murni kahwin dengan abang Qayyum kan?”
“Dulu dua-dua belum kahwin...”
“Sekarang dua-dua pun dah nak single balik nek,” sampuk Murni laju sekali.
“Kamu dah ada anak,”
“Apa salahnya. Abang Qayyum lagi suka. Dia pula tak ada anak. Bininya keguguran. Nenek tak tahu betapa sayangnya abang Qayyum pada Fahim tau!”
“Qayyum sayangkan Ren,”
“Nenek jangan cakap macam tu. Murni tak suka. Abang Qayyum tak sayangkan Ren. Ren tu tak tahu jaga suami. Asyik buat hal je. Asyik merajuk je! Merajuk je yang dia tahu...Murni perasan Abang Qayyum lebih selesa bersama Murni...”
Nenek Ninda kian tidak sedap hati. Dia capai penyapu lidi di tepi beranda lalu turun ke tanah. Dia mulai menyapu daun-daun kering di laman. Tidak berani dia hendak menoleh ke arah Murni yang masih tersenyum simpul bersendirian di beranda. Otak Nenek Ninda ligat berfikir. Inilah kali pertama dia tidak berasa tenang berada bersama Murni. Dia berasa gelisah yang tidak menentu.
Setiap masa dia perlu berjaga-jaga dengan tutur katanya. Takut Murni tersalah tafsir.
Murni seperti orang mabuk kepayang. Sepanjang dua hari itu Murni tidak habis-habis bercerita tentang impiannya. Murni memasang angan-angan. Angan-angan yang tidak masuk akal. Berangan hendak bernikah dengan suami orang tatkala dia masih lagi menjadi isteri orang. Semasa memasak bersama Nenek Ninda, dia akan bercerita pada Nenek Ninda tentang impiannya.
Tengah bermain dan memandikan Fahmi juga dia bercakap seorang diri tentang rancangannya. Wajahnya ceria setiap kali nama Ummar Qayyum disebut. Nenek Ninda cuba menyedapkan hati sendiri dengan mengatakan bahawa Murni tertekan disebabkan perkahwinan Rais dengan Ros Ilyani, maka dia mencari jalan keluar dengan mencipta impian baru. Tapi Murni menafikan.
“Mana ada. Kan Murni dah kata sejak dulu Murni tak cintakan Rais. Murni hanya sayang Abang Qayyum sorang,”
“Qayyum kan dah kahwin. Murni pun tahu kan?” ulang Nenek Ninda tak jemu-jemu.
“Abang Qayyum tak bahagia dengan Kak Ren. Murni pun tak bahagia dengan Rais. Lepas cerai, elok saja kami disatukan.” Murni tersengih.
Walaupun berasa pelik, Nenek Ninda tetap layan perbualan Murni.
“Itu resam rumah tangga masa mula-mula kahwin.”
“Tapi mereka dah berpisah dan bawa haluan sendiri,”
“Nenek rasa mereka cuba mencari jalan penyelesaian dengan cara berpisah sekejap. Esok, bila masing-masing dah tahu salah masing-masing, pandai-pandailah mereka berbaik semula.”
“Bukan ke nenek suka kalau mereka bercerai? Nenek kan tak suka pada Kak Ren?” Murni mulai angkat suara.
“Eh...mana pulak macam tu Murni.”
“Habis tu nenek selalu marah-marah dan mengumpat Rania,”
“Kalau dia salah pada anggapan nenek, nenek katalah tapi tak pernah nenek harapkan mereka bercerai.”
“Mereka akan bercerai. Tunggu masa saja. Murni akan kahwin dengan Abang Qayyum bila mereka bercerai nanti.”
Nenek Ninda terkejut lagi walaupun sudah beberapa kali Nenek Ninda mendengar pengakuan Murni itu. Ini sudah kali kelima Murni tegaskan tentang keinginannya. Setinggi itu harapan Murni? Nenek Ninda tidak sangka. Sampai sekarang pun Nenek Ninda seakan tidak percaya. Meskipun tangannya lincah menyapu daun-daun
kering tetapi fikirannya berputar-putar mengenangkan Murni.
“Nenek, marilah duduk dengan Murni. Banyak yang Murni nak bincang ni,” panggil Murni. Kerana ragu-ragu dengan kondisi Murni, Nenek Ninda ikut saja kehendaknya. Nenek Ninda duduk di anak tangga.
“Kalau Murni kahwin dengan Abang Qayyum, nenek nak buat majlis macam mana? Ringkas-ringkas je?” Tanya Murni.
“Tunggulah dulu. Kita tak tahu lagi macam mana situasinya. Tunggu sampai Ummar Qayyum balik,” nasihat Nenek Ninda. Sengaja dia main psikologi dengan Murni yang pada anggapannya seperti orang tidak sara.
“Jangan tunggu lama-lama ye nek. Kesian Abang Qayyum tau...”
“Yelah...” Nenek Ninda layan saja.
“Nenek nak tahu? Selama Murni duduk di rumah mereka, Murni nampak hubungan mereka macam mana. Tak macam suami isteri. Murni yang banyak melayan Abang Qayyum. Murni rasa Abang Qayyum pun suka Murni. Barangkali Abang Qayyum menyesal tak kahwin dengan Murni dulu.”
“Entahlah Murni!
“Nenek tak kenal Rania. Dia anak manja nenek,” hasut Murni lagi.
“Sebab dia orang bandar. Kat rumah ada orang gaji,”
“Tulah pasal. Mana dia tahu buat kerja macam Murni.” Murni seronok memuji-muji dirinya.
“Ya...Murni pandai masak...” Ada nada tersirat dalam pujian Nenek Ninda. Sebenarnya dia sudah penat melayan Murni.
“Nenek...Murni nak kahwin dengan abang Qayyum. Lepas mereka bercerai Murni nak kahwin dengan dia. Tak ada orang yang Murni lebih sayang dan cinta selain Abang Qayyum.” Ujar Murni seketika kemudian. Sekali lagi darah Nenek Ninda berderau mendengar pengakuan berani daripada Murni.
“Sejak dulu lagi Murni memang sukakan abang Qayyum. Kalau tak kerana Rania, sudah tentu abang Qayyum dah pilih Murni, nenek. Elok sangat dia dah berpisah dengan abang Qayyum.”
Tidak mahu Murni terus diulit angan-angan, Nenek Ninda berkata lembut.
“Murni...jodoh pertemuan di tangan Allah. Murni kena akur dan jangan sesekali mendoakan sesuatu yang buruk kepada orang lain,”
Muka Murni masam mencuka. Moodnya jadi buruk mendadak. Dia membecak-becak. Dia tidak suka Nenek Ninda menyebelahi Rania.
Esoknya moodnya masih serupa sehingga Nenek Ninda terpaksa mengikut saja rentak bicaranya. Kemudian, barulah dia ceria kembali. Setelah itu, Murni kembali merepek dan mengulang-ulang apa yang diimpikannya.
Masuk hari keempat, Nenek Ninda sudah mulai risau. Tingkah laku Murni pula semakin pelik. Dia suka bercakap seorang diri depan cermin. Ada tikanya dia tinggalkan saja Fahmi bersendirian tanpa memaklumkan pada Nenek Ninda ke mana dia hendak pergi.
Petang itu, sekali lagi Murni menghilangkan diri. Fahmi melalak tidak berhenti semasa Nenek Ninda sedang solat Asar. Terkocoh-kocoh Nenek Ninda ke bilik Murni. Muka Fahmi sudah merah dek tangisan yang tidak berhenti.
Nenek Ninda angkat Fahmi lalu didodoikannnya. Fahmi menangis lagi. Nenek Ninda bancuhkan susu dan Fahmi sedut susu sampai licin. Kemudian Fahmi tertidur balik.
“Lapar rupanya budak ni, mana maknya pergi?” Nenek Ninda intai kelibat Murni dari jendela. Dia tidak ada di laman bawah. Manalah si Murni pergi.
Nenek Ninda terpandang beg baju Murni terselepet di bawah katil.
Hatinya berdetik sesuatu. Dia buka beg Murni. Tak banyak barang di dalamnya. Baju Murni tiada di dalam beg sebab sudah disusun di dalam almari. Nenek Ninda bongkar di celah-celah pelipat beg Murni. Dia terasa sesuatu.
Ditarik keluar. Ada satu uncang kecil. Dibukanya uncang itu dan di dalamnya terkandung botol-botol kecil mengandungi cairan. Ada tujuh biji botol. Semua sudah luak. Ada yang hampir kosong isinya dan ada juga yang sudah luak separuh. Nenek Ninda teringat botol-botol seperti itu masa zaman dia muda-muda. Kawan-kawannya pernah ada botol-botol seperti itu. Nenek Ninda gali lagi kisah silam.
“Botol minyak pengasih ni!” Bisik Nenek Ninda sendirian. “Murni buat apa dengan botol-botol begini?
Nenek Ninda mula terfikirkan sesuatu. Kerana rasa ingin tahu yang menebal, Nenek Ninda hubungi Puan Sri Zalia. Dia mahu tahu cerita daripada Puan Sri Zalia. Apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga Murni dan Rais selama ini?
“Selain itu, ada Murni cerita tentang kisah yang berlaku padanya sebelum dia kahwin dengan Rais?” Tanya Puan Sri Zalia sebaik saja Nenek Ninda selesai bercerita tentang hal Murni selama bersama dengannya di kampung.
“Itu sajalah yang dia cerita. Tentang dia nak bercerai dengan Rais dan tentang rumah tangga Ren dengan Qayyum yang berantakan.”
Keluhan Puan Sri Zalia kedengaran. “Saya nak sampaikan pun takut aibkan Murni,”
“Bagitahu pada akak, Lia...Akak rasa pelik dengan perangai Murni ni. Akak perlu tahu!”
“Fahmi tu bukan anak Rais. Masa Rais berkahwin dengan Murni, dia dah mengandung,” Puan Sri Zalia berterus-terang.
Tersenyap seketika Nenek Ninda dibuatnya. Dia terkejut sungguh. Tak pernah Murni memaklumkannya tentang hal itu.
“Habis kenapa Rais kahwin dengan Murni?”
“Sebab nak selamatkan bayi yang dikandung Murni. Rais terserempak dengan Murni masa Murni nak gugurkan kandungan di klinik swatsa. Rais jaga Murni dan tinggalkan Murni di kondo tapi mereka kena tangkap dengan pegawai dari jabatan Islam. Rais tak perlu kahwin dengan Murni pun kalau dia tak hendak tapi dia kahwin juga sebab dia nak elakkan Murni buat perkara yang tak betul.”
Penjelasan Puan Sri Zalia benar-benar mengejutkan Nenek Ninda. Selama ini dia tidak tahu hal itu dan banyak berburuk sangka dengan keluarga Puan Sri Zalia. Dia berasa bersalah dan rasa tertipu dengan Murni.
“Tak pernah Murni berterus-terang dengan akak, Lia,” rintih Nenek Ninda yang diserang rasa bersalah.
“Kita pun dah terima dia seadanya. Taklah kita nak bercerita pada semua orang,”
“Yang buat akak risau ni...dia...”
“Apa kak? Murni nak bercerai?”
“Yang tu akak tak risau tapi akak risau sebab dia berhajat nak kahwin dengan Qayyum,” jelas Nenek Ninda.
“Hah???” Terkejut besar Puan Sri Zalia mendengarnya.
“Ya..Lia...dia bagitahu akak, dia nak kahwin dengan Qayyum. Dia kata Ren dengan Qayyum dah berpisah dan tunggu masa nak bercerai saja.
Betul ke?”
“Astaghfirullahalazim...mana ada macam tu kak. Memanglah betul Ren dengan Qayyum tengah bermasalah dan mereka nak berpisah seketika tapi kami taklah mengharapkan mereka cerai-berai. Buat masa ni kami ikut kata Ren sebab dia baru lepas keguguran.”
“Kata Murni, Ren nak ke Sabah.”
“Ren suruh ayahnya tukarkan dia ke Sabah tahun depan. Tapi Qayyum akan balik Malaysia sebelum Ren tukar.”
“Asing-asinglah duduknya nanti...”
“Yang itu...saya tak pasti kak. Kami sedang berusaha pujuk Ren,”
“Satu lagi Lia...akak jumpa botol-botol kecil dalam beg Murni. Botol apa tu?”
“Yang itu satu lagi. Kami pun jumpa botol tu disorok Murni dalam biliknya. Dia dapat daripada amah Indon yang bekerja di rumah belakang. Pak Mud bawa botol itu jumpa ustaz. Kata ustaz itu botol berisi minyak pengasih. Saya taklah percaya sangat mulanya tapi bila akak sebut pasal dia nak berkahwin dengan Qayyum...mungkin ada betulnya kata-kata ustaz tu,”
“Akak pun rasa gitu juga. Entah apa yang Murni rancang sebenarnya. Di sini, akhir-akhir ni perangainya pun pelik juga. Macam ada yang tak kena saja. Risau akak,”
“Mana Murni sekarang?” tanya Puan Sri Zalia.
“Entah. Dia dah keluar. Tak tahu ke mana dia pergi. Anaknya ditinggalkan sendirian di bilik,”
“Barangkali betul apa yang dikata oleh Kak Rohaya dengan Ren tentang Murni. Saya je yang tak percaya.”
“Mereka kata apa?”
“Macam-macam yang berlaku di sini kak. Kesimpulannya mereka kata Murni ada muslihat. Murni nak runtuhkan rumah tangga Ren dengan Qayyum.”
“Tak mustahil kalau itu yang mereka fikirkan,”
“Bila Murni nak balik sini?”
“Dia ada merancang untuk duduk di kampung,”
“Duduk berdua dengan akak. Janganlah kak.
Bahaya! Saya rasa fikiran Murni tengah kacau sekarang ni. Baik akak bawa dia balik ke Kuala Lumpur semula. Di sini, kami ramai, boleh tengok-tengokkan dia!” Nasihat Puan Sri Zalia. Dia berasa bimbang kini.
Nenek Ninda akui akan kebenaran kata-kata Puan Sri Zalia. Semasa melihat kelibat Murni menaiki tangga depan, cepat-cepat Nenek Ninda matikan telefon.
Murni yang sudah berada di anak tangga atas, menjeling pada Nenek Ninda. Kecut perut Nenek Ninda dibuatnya!
No comments:
Post a Comment