"Akak nak balik KL ke?" tanya pula Puan Sri Zalia dengan risau cemasnya.
"Beginilah. Akak duduk saja dalam bilik. Buat sementara waktu jangan keluar. Biar Lia bincang dengan Rais bila dia balik kerja sekejap lagi," Puan Sri Zalia mendamaikan hati gundah Nenek Ninda.
"Baiklah Lia," akur Nenek Ninda.
Dia tidak boleh berfikir saat-saat genting begitu, tapi apa yang tidak dapat dinafikan, kerisauannya tidak bertepi. Murni seperti orang tidak siuman. Bagai orang asing kini. Watak Murni hari ini jauh bezanya dengan Murni yang pernah dikenali dulu. Sudah gilakah Murni ini? Fikir Nenek Ninda seraya memeriksa tubuh badan Fahmi. Bimbang kalau-kalau genggaman kuat Murni semasa menggoncangkan tubuh Fahmi meninggalkan kesan lebam di tubuh si kecil itu. Hiba hati Nenek Ninda melihat wajah Fahmi. Rambut halus Fahmi diusapnya dengan penuh belas. Namun setitis ketenangan yang baru dirasai terurai mendadak tatkala telinga Nenek Ninda menangkap bunyi ketukan di pintu. Dada Nenek Ninda berdegup kencang.
"Nenek." Suara Murni lantang kedengaran dari luar. Nenek Ninda bingkas bangun. Dia tidak mahu Murni was-was terhadap dirinya. Pintu dibuka.
"Kenapa kunci pintu?" tanya Murni kasar.
"Shhh, Fahmi tidur!" Nenek Ninda memberikan isyarat seraya meletakkan jari telunjuknya di bibir. Dia berpura-pura tenang.
"Nenek keluar sekejap. Murni nak cakap."
Nenek Ninda ikut langkah Murni. Mereka duduk di kerusi rotan di ruang utama.
"Nenek dah bincang dengan Abang Qayyum?" Tajam mata Murni merenung mata Nenek Ninda.
"Bincang apa?" Nenek Ninda buat-buat tidak faham.
"Alah nenek ni. Bincang tentang Murni dengan Abang Qayyumlah."
Murni mendengus. Mukanya membayangkan rasa tidak puas hati. "Murni dah hantar e-mel pada abang. Tapi dia tak balas lagi!"
"Sibuk agaknya!"
"Sibuk sangat ke? Balaslah. Bukannya Murni nak dia balas panjang-panjang. Jawab sikit saja!" rungut Murni lagi.
Nenek Ninda sedar isu yang sedang diketengahkan oleh Murni malah dia tahu isi surat yang dikirim Murni kepada Ummar Qayyum. Tapi dia hanya diam sahaja. Dia takut hendak menyampuk - bimbang jawapan yang diberi tidak memuaskan hati Murni.
"Banyak yang nak dibuat nanti. Takut tak sempat!" Murni bahagia memasang angan-angan.
"Nenek call Abang Qayyum sekarang," arah Murni.
"Eh... mana nenek tahu," dalih Nenek Ninda.
"Bagi Murni pinjam telefon neneklah. Murni dail, nenek cakap dengan Abang Qayyum ya!" cadang Murni. "Mana telefon nenek?"
"Kat dalam bilik."
"Pergi ambil," perintah Murni lagi. Nenek Ninda terkebil-kebil.
"Cepatlah nek," paksa Murni.
Nenek Ninda bangun semula.
"Nanti nenek bawa keluar Fahmi sekali. Tak elok tinggalkan Fahmi sendirian dalam bilik," ujar Murni lagi.
Nenek Ninda ikut sahaja kemahuan Murni.
"Hah, call lah sekarang!" desak Murni sebaik sahaja Nenek Ninda muncul semula. Termengah-mengah orang tua itu membaringkan Fahmi di atas tilam kecil.
"Tengah sibuk Abang Qayyum ni. Sana pagi masa ni," tutur Nenek Ninda cuba untuk merasionalkan tindakan Murni.
"Sekejap saja cakap dengan dia."
"Murni telefon sendirilah," Nenek Ninda menghalakan telefon bimbitnya kepada Murni. Lebar senyuman Murni. Nombor milik Ummar Qayyum dihubungi. Suara Ummar Qayyum memberi salam makin menceriakan wajah Murni.
"Abang...ni Murni ni," kata Murni apabila mendengar Ummar Qayyum menyebut perkataan emak.
"Oh Murni...!" Tersedak seketika Ummar Qayyum dibuatnya. Sangkanya ibunya yang menelefon.
"Kenapa abang tak balas e-mel Murni?"
"Kenapa Murni call? Emak mana?" Ummar Qayyum bertanya balik pada Murni.
"Nenek ada sebelah Murni ni. Dia yang suruh Murni call abang."
Nenek Ninda menjeling. Meluat mendengar tuduhan Murni. Dia yang bergedik hendak menelefon Ummar Qayyum, nama aku pula yang dijualnya. Sambil membelai ubun-ubun rambut Fahmi, Nenek Ninda mencuri dengar perbualan orang berdua itu, tapi malangnya perbualan tersebut singkat sangat. Sedar-sedar Murni merungutkan Ummar Qayyum.
"Tak habis-habis dengan sibuknya. Nak berbincang sikit pun tak boleh," bebelnya lagi.
Murni menongkat dagu di atas kerusi. Rengekan Fahmi menarik perhatiannya.
"Bisinglah Fahmi ni." Pandangan tajam Murni pada Fahmi menakutkan Nenek Ninda. Dia bimbang kalau-kalau Murni memperlakukan Fahmi seperti tadi.
"Nenek bawa dia masuk biliklah. Tadi dia tidur lena," usul Nenek Ninda.
"Nenek, Murni rasa kita kena buat persiapan juga. Nanti, bila Abang Qayyum balik, langsungkan saja."
Tidak semena-mena Murni mengusulkan idea tersebut. Terhenti langkah Nenek Ninda.
"Eh...mana boleh buat macam tu!" bantah Nenek Ninda.
Muka Murni berubah kelat. "Habis tu? Nenek ingat Murni nak tunggu macam orang bodoh? Murni dah penat menunggu tau tak?" herdik Murni.
Rengekan Fahmi makin menjadi-jadi. "Fahmi lapar. Lampinnya pun dah basah ni. Nenek gantikan lampin dan bancuh susu untuk dia dulu ya!" ujar Nenek Ninda seraya melangkah laju menuju ke bilik air belakang.
Dibersihkan sikit tubuh Fahmi lalu dibungkus dengan tuala. Kemudian, laju saja Nenek Ninda bancuhkan susu dan segera dibawa Fahmi masuk ke bilik semula.
Murni masih berangan-angan di kerusi rotan di ruang tamu. Dia nampak Nenek Ninda membawa Fahmi masuk ke bilik tapi dia tidak kisah. Hatinya lebih berfokus pada Ummar Qayyum. Nenek Ninda intai Murni dari biliknya. Murni masih kekal di situ semasa azan Maghrib nyaring berkumandang. Ya Allah! Tak pernah aku sangka Murni berfikir sehingga sejauh itu. Dipandangi pula Fahmi yang lena setelah sebotol susu habis dihisap.
Kasihan budak ini. Emaknya tak sihat! Fikir Nenek Ninda seraya membetulkan kepala Fahmi yang terlentuk di tepi bantal. Nenek Ninda berwuduk lalu bersolat. Dia duduk lama di sejadah sehinggalah masuk pula waktu Isyak. Kerana risau, Nenek Ninda tidak dapat melelapkan mata sungguhpun tubuhnya sudah bergolek di atas tilam. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 10 lebih. Dia bangkit dari katilnya lalu berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu bilik. Dari celah pintu biliknya, dia nampak alur cahaya dari bilik Murni.
Belum tidur lagi si Murni? Dia buat apa malam-malam begini? Nenek Ninda terhendap-hendap keluar dari biliknya. Bilik tidur Murni memang cerah manakala pintu biliknya tidak terkatup sepenuhnya. Langsir di pintu di bilik Murni terbuai-buai tanda kipas berpasang. Nenek Ninda mengesot lagi. Dia nampak tubuh Murni dari sisi yang sedang duduk membelakangi pintu bilik. Dalam debaran Nenek Ninda mengintai. Kelihatan Murni macam tengah mengadap sesuatu. Sebatang lilin yang bernyala di hadapan Murni sesekali beralun-alun bila disapa angin dari kipas. Nenek Ninda tersilau gambar Ummar Qayyum di tangan Murni.
"Nenek nak apa?" Tiba-tiba suara Murni menegurnya.
Darah Nenek Ninda berderau naik ke muka. Macam mana Murni tahu dia mengintainya padahal dia membelakangi Murni. Kerana terkejut, segera dia berundur lalu terus masuk ke biliknya. Nenek Ninda panjat katil lalu terus menyelimuti dirinya. Seketika kemudian, dia capai telefon dari tepi bantal lalu terus didail nombor Puan Sri Zalia. Tidak sempat telefon itu berangkat, dia terdengar pintu biliknya berkeriut. Kelam-kabut dia sorokkan telefon. Jantung Nenek Ninda berdegup kencang. Murnikah itu?
Nenek Ninda tidak berani membalikkan tubuh. Dikeraskan dirinya. Matanya dipejamkan. Dalam gelap, dia berasa seperti ada lembaga yang sedang berdiri tercegat di hadapannya. Dia tidak dapat bertahan. Lama-kelamaan matanya dibuka. Susuk tubuh Murni tegap di hadapannya. Wajah Murni sinis. Matanya tajam memandang Nenek Ninda.
"Nenek buat apa tadi?" tanyanya pada Nenek Ninda.
"Nenek... tak... tak buat apa-apa..." sahut Nenek Ninda tergagap-gagap.
"Nenek intip Murni ya? Sejak bila nenek pandai intip Murni? Nenek pun nak jadi macam Makcik Rohaya yang tak sedar diri tu? Nenek nak jadi macam Kak Ren yang selalu curiga pada Murni? Nenek dah berpaling tadah dan tikam Murni ya?" Tiba-tiba sahaja Murni naik hantu.
Nenek Ninda membalikkan tubuhnya. "Apa yang Murni cakap ni?"
"Nenek ingat Murni tak tahu?"
Nenek Ninda sudah kecut perut.
"Nenek..., " suaranya dilembutkan pula. "Nenek kena tolong Murni. Nenek kan sayang Murni. Sebelum Ren datang, bukankah Murni yang nenek nak jodohkan dengan Abang Qayyum?"
"Jodoh pertemuan Allah tentukan. Murni kena terima."
"Mana boleh macam tu. Kenapa tiba-tiba nenek ubah keputusan? Nenek khianati Murni. Sampai hati nenek. Nenek tiba-tiba suka pada Ren. Kenapa? Sebab Ren orang kaya? Sebab Ren lebih cantik dan bijak daripada Murni? Nenek buat silap besar bila Nenek dah rancang nak kahwinkan Murni dengan Abang Qayyum tapi nenek akhirnya nikahkan Abang Qayyum dengan Rania. Nenek dah mungkir janji!" wajah Murni berubah kelat. Dadanya turun naik.
"Nenek sesak dada, Murni. Nenek nak pergi bilik air." Nenek Ninda bangun dari baringnya. Dia bercadang hendak pergi.
"Nenek kena dengar sampai Murni habis cakap." Murni tolak tubuh Nenek Ninda sampai terduduk balik di atas katil.
"Murni nak cerita pada nenek apa yang Murni lalui. Nenek tahu apa yang berlaku pada Murni bila Abang Qayyum kahwin dengan Rania?" Murni imbas kisah lalu.
Wajah Murni jadi sedih. Dia duduk di sebelah Nenek Ninda di atas katil.
"Murni patah hati. Murni kecewa teramat sangat. Murni tak dapat terima. Murni dah buat macam-macam supaya Abang Qayyum tak jadi kahwin dengan Kak Ren tapi mereka kahwin juga! Murni tak boleh terima. Hati Murni pedih bila kenang kisah manis Murni dengan Abang Qayyum. Akhirnya Murni bawa diri ke KL. Tahu apa jadi pada Murni di sana? Murni ditipu, diperdaya. Kalau Abang Qayyum hargai Murni, Murni tak lalui semua itu. Lelaki bedebah itu janji nak kahwin dengan Murni tapi lepas dia perkosa Murni, dia lari nenek.
"Ini semua salah Ren dan salah Abang Qayyum, tapi Murni tak pernah marahkan Abang Qayyum. Murni marahkan Ren seorang. Nenek pun sepatutnya benci Ren. Ren yang jahat. Abang Qayyum pun jadi mangsa macam Murni. Tengok apa jadi pada Abang Qayyum bila dia kahwin dengan Ren. Dia tak bahagia nek. Dia tak bahagia. Ren sombong dan keras kepala."
Tubuh Nenek Ninda digoncang-goncang. Nenek Ninda tidak berani berkutik. Dia membatukan diri.
"Padahal Murni dah jaga diri Murni untuk Abang Qayyum nek. Jaga diri Murni baik-baik hanya untuk Abang Qayyum seorang. Tak ada siapa yang pernah pegang tangan Murni apatah lagi nak tengok badan Murni. Murni simpan baik-baik untuk Abang Qayyum, tapi Ren hancurkan impian Murni. Perempuan tu memang tak guna! Padan muka dia!" Murni tersenyum sinis.
"Anak dia dah mati kan?" sambung Murni lagi. "Dia keguguran kan? Dia jatuh dalam bilik air sebab..." ada kepuasan bertakung di muka Murni.
"Sebab bilik air tu licin. Murni dah simbah dengan pencuci bilik air."
Nenek Ninda terkejut sampai terketar-ketar tubuhnya. "Ya Allah! Murni buat apa?"
"Dia memang patut dilayan macam tu. Dia bunuh jiwa Murni. Murni bunuh kehidupan dia. Biar dia rasa macam mana sakitnya kehilangan orang yang disayangi." Dendam kesumat yang tersimpan selama ini diluahkan oleh Murni.
Nenek Ninda makin gerun. Dia berasa benar-benar tidak selamat bersama Murni. Rengekan Fahmi kedengaran. Jiwa Nenek Ninda makin resah.
"Sekarang tibalah masa nenek pula bantu Murni." Murni tersengih macam orang sasau. Rengekan Fahmi berterusan. Murni berpaling pada Fahmi. Melihatkan situasi tersebut, segera Nenek Ninda paut Fahmi. Dia bingkas bangun. Dia takut Murni akan mengapa-apakan Fahmi seperti tadi.
"Nenek nak pergi mana?" tanya Murni sinis. "Tak nak tolong Murni?"
Nenek Ninda tidak berani jawab.
"Kalau nenek nak pergi, pergilah. Tapi tinggalkan Fahmi." Murni menjeling. Tubuh Fahmi kuat dalam pelukan Nenek Ninda.
"Bagi sini, tu anak Murni. Kalau nenek tak nak tolong Murni, Murni akan pijak-pijak Fahmi," ugut Murni.
Pucat lesi muka Nenek Ninda mendengarnya.
"Bagi sini." Murni merampas Fahmi daripada pautan Nenek Ninda.
Tubuh Fahmi sudah bertukar tangan. Nenek Ninda terketar-ketar. Dia tidak punya kekuatan untuk mempertahankan Fahmi. Tangisan Fahmi mulai kedengaran.
"Jangan Murni. Ini kan anak Murni. Murni kena sayang dia. Berdosa kalau Murni apa-apakan baby tu."
"Dosa??? Apa pula dosa Murni nenek? Apa salah Murni? Salahkah Murni sebab Murni cintakan Abang Qayyum? Berdosakah Murni?"
"Murni, bagi Fahmi kat nenek," rayu Nenek Ninda apabila tangisan Fahmi kian menjadi-jadi. Murni bawa Fahmi keluar kamar.
"Ni budak ni, dah rupanya jadi macam jantan keparat tu! Murni benci, Murni benci..." Murni menjerit macam orang histeria.
Fahmi yang dalam pautannya dicampaknya ke lantai. Berdentum bunyinya. Nenek Ninda yang mengejar di belakang macam tercabut jantung dibuatnya. Fahmi meraung sampai hilang suara. Nenek Ninda bergegas mendapatkan Fahmi. Dia sudah hilang takut. Melihatkan Fahmi yang menggelupur membuatkan Nenek Ninda jadi berani. Nenek Ninda angkat tubuh Fahmi yang mulai layu. Suara Fahmi sudah kian lesu. Tangisan Fahmi sudah tidak kedengaran lagi. Nama Fahmi dipanggil berulang kali oleh Nenek Ninda. Nafas Fahmi tercungap-cungap.
Air mata Nenek Ninda merembes jatuh ke pipi. Nenek Ninda tidak sanggup lihat keadaan Fahmi yang sudah seperti nyawa-nyawa ikan. Nenek Ninda hembus nafasnya ke mulut Fahmi, tapi degup nafas Fahmi makin lemah.
"Apa Murni buat ni?" Nenek Ninda sudah menangis mendudu-dudu. "Murni buat apa? Ini anak Murni. Kenapa Murni buat macam ni?"
Tangisan Nenek Ninda kian menjadi-jadi. Murni seperti orang kebingungan. Dia memerhati keadaan Nenek Ninda.
Anaknya sudah terkulai di pangkuan Nenek Ninda.
"Kenapa dengan Fahmi nenek?" tanya Murni seperti orang tolol.
Tangisan Nenek Ninda kian panjang.
"Oh...Fahmi tidur..." Kepala Fahmi Murni pegang. "Kenapa kepala Fahmi benjol nenek? Nenek jatuhkan Fahmi ya?"
Nenek Ninda tidak dapat menahan sebaknya. Tangisannya sudah tidak terkawal. Air matanya bersimbah.
"Tak payahlah nenek nangis kuat-kuat. Murni tak marah pun pada nenek. Fahmi ni pun dah lasak. Selalu jatuh. Nanti kita bawa Fahmi pergi klinik ya nek."
Nenek Ninda berpaling ke arah lain. Perasaannya pada Murni jadi kacau-bilau. Marah bercampur aduk dengan rasa belas dan kasihan.
"Kita bagi tahu Abang Qayyum dulu. Nanti Abang Qayyum akan bawa Fahmi." Murni masih lagi dengan mimpi siang harinya.
Nenek Ninda paut tubuh Fahmi lalu dibalut dengan kain selimut.
"Nenek nak bawa Fahmi ke klinik," kata Nenek Ninda.
"Klinik jauh nek, lagipun ni dah malam."
"Biar nenek jalan kaki."
"Nenek jangan pergi. Murni tak bagi."
"Anak kau ni dah teruk Murni. Entah boleh selamat entah tidak," jerit Nenek Ninda. Kemarahannya sudah tidak terkawal.
"Apa nenek jerit-jerit pada Murni ni?" Fahmi yang dalam dukungan Nenek Ninda cuba direnggut oleh Murni.
"Biar nenek pegang Fahmi. Murni dah buang anak ni, biar nenek yang bela," tengking Nenek Ninda pula.
"Bagi sini anak Murni," tengking Murni balik seraya merampas tubuh Fahmi.
Silau cahaya dari halaman rumah membuatkan Murni berpaling. Murni lepaskan cengkaman tubuh Fahmi. Dia berlari ke pintu lalu membukanya. Sebuah kereta dengan lampu masih menyala berhenti di hadapan laman rumah Nenek Ninda.
No comments:
Post a Comment