image atas

image atas

Thursday, July 4, 2013

Salam Ramadhan al Mubarak

Seminggu lagi akan tibanya saat di nanti oleh Muslimin dan Muslimat - Ramadhan al Mubarak.  Bulan penuh keberkatan, melimpahkan ganjaran yang perlu direbut setiap muslimin dan muslimat bagi persiapan bekalan akhirat.

Checklist kehadiran Ramadhan
- Selesaikan Qadha Puasa Ramadhan (bagi perempuan dan anak-anak gadisnya)
- Persiapan kesihatan untuk mempersiapkan diri merebut keberkatan Ramadhan
- Persiapan amalan dan ibadat untuk diamalkan sepanjang hari di bulan Ramadhan
- Mensucikan diri bagi memperbaharui diri untuk menjadi muslimin dan muslimat yang sebenar

Ganjaran kepada mereka yang berpuasa lidah, mata, pendengaran dan perbuatan serta nafsu sepanjang bulan Ramadhan







SEMOGA ALLAH MEMBERKATI SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DAN MOGA BERTEMU DI RAMADHAN AKAN DATANG..INSYALLAH

Wednesday, June 19, 2013

CR2 (siri 49): Hujan Dalam Hati

Oleh Samsiah Mohd Nor

Langit seperti mahu menangis tapi tidak jadi. Hanya men­dung menghiasi dada­nya. Bayu pagi berhembus malas bagai turut sama menghantar ucap takziah. Seperti warna langit yang kesedihan, jiwa raga Rania juga dipalu gundah. Dia masih tidak percaya dengan apa yang telah berlaku pada Murni dan Fahmi. Bukan sahaja dirinya, malah seluruh keluarga turut bersimpati atas peristiwa yang menimpa Murni dan anaknya.
Malam itu merupakan malam ketiga majlis tahlil untuk kedua-dua beranak itu dilakukan. Tan Sri Razlan mengundang orang masjid berdekatan untuk sama-sama bertahlil. Ummar Qayyum yang sampai lebih dua jam tadi kelihatan sugul. Jauh di sudut hati dia sangat berdukacita malah sesekali dia dihimpit rasa bersalah atas malang yang menimpa Murni. Selesai orang bertahlil, Ummar Qayyum menyaingi Tan Sri Razlan dan Rais melayan tetamu menjamu selera.
“Qayyum makan dulu, lepas tu, pergilah berehat,” ujar Tan Sri Razlan.
Dia tahu Ummar Qay­yum kepenatan selepas lebih sembilan jam di dalam kapal terbang. Puan Sri Zalia juga menyuruh Ummar Qayyum berehat sahaja. Dek kepenatan, Ummar Qayyum beredar dan mencari ibunya. Dia mahu tahu tentang cerita Murni yang sebenarnya daripada ibu.

“Mak Qayyum ada di dapur tadi,” ujar Makcik Rohaya apabila ditanya oleh Ummar Qayyum. “Kat dapur pun ada lauk-pauk kenduri kalau Qayyum nak makan,” sambung Makcik Rohaya.
Ummar Qayyum bergegas ke dapur. Ibunya sedang duduk termenung bersendirian.

“Mak duduk seorang diri kat sini?” tegur Ummar Qayyum. Terkejut Nenek Ninda disapa si anak. Dia sedang mengelamun sebenarnya.

“Mak baru lepas makan. Kamu dah makan Qay­yum?” tanyanya balik.
Ummar Qayyum meng­geleng.

“Makanlah. Kamu pun penat ni, baru sampai.”

Ummar Qayyum perasan mata Nenek Ninda berkaca-kaca. Ada sesuatu yang bernanah di hati sehingga kelihatan di mata tuanya. Terkenangkan Murnikah? Fikir Ummar Qayyum.

“Murni dah mati,” ujar Nenek Ninda tersekat-sekat padahal dia tahu Ummar Qayyum telah pun dimaklumkan. Masih terbayang-bayang di ruang mata Nenek Ninda peristiwa yang berlaku. Sampai mati dia tidak akan lupa. Fahmi! Murni! Senak dadanya mengenangkan nasib yang menimpa dua beranak itu.

“Saya minta maaf mak. Saya rasa bersalah. Saya tak ada dengan mak masa kejadian tu berlaku. Sepatutnya saya balik lebih awal.”

“Bukan salah siapa-siapa. Dah takdir Murni begitu.”
“Mak okey ke?”
“Mak masih terkejut Qayyum. Mak terkejut.”
“Saya pun mak. Sampai sekarang saya rasa tak percaya Murni dan Fahmi dah pergi meninggalkan kita.”

“Sedih Qayyum, tiap kali mak kenangkan Murni, hati mak jadi hiba. Sejauh itu kasih sayang Murni pada kamu. Mak tak sangka. Mak ingat bila dia dah berumah tangga dan beranak hilanglah perasaan itu, rupanya tidak.”

Murung wajah Ummar Qay­yum mendengarnya.

“Tapi dah takdirnya begitu. Kita terima sajalah,” ucap Nenek Nenda yang menyedari Ummar Qayyum dilanda pelbagai rasa.

“Salah saya barangkali atas apa yang menimpa Murni.” Ummar Qayyum turut meluahkan rasa kesal atas apa yang berlaku.

“Kan mak dah kata bukan salah siapa-siapa. Perkara dah berlaku pun. Kita berdoa saja supaya arwah diampunkan dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” tutur Nenek Ninda lagi.

Bagi Ummar Qayyum, keadaan yang menimpa Murni memang benar-­benar tragik. Manakan tidak! Mula-mula Murni meminta cerai daripada Rais. Kemudian dia menganyam angan-angan untuk berkahwin dengannya. Semuanya nampak mustahil tapi Murni tidak peduli. Dia tenggelam dalam lautan ­angannya. Menyedari impiannya mahu dicabuli, Murni tersentak. Dia tidak akan mengizinkannya. Dia hilang pedoman. Dia tidak mahu impiannya direnggut. Dia menjadi tidak waras dan semakin tertekan apabila menyedari tingkah laku­nya diawasi oleh Nenek Ninda. Klimaksnya Fahmi jadi mangsa! Menitis air mata Ummar Qayyum apabila mengimbas kejadian menimpa Murni.

“Kamu dah jumpa Ren ke belum?” tanya Nenek Nenda tiba-tiba.

Ummar Qayyum tersentak. Hilang cerita Murni mendadak. Dia menggeleng­kan kepala. Masih adakah tempat untukku di sisi Rania apabila si isteri telah menghulurkan tali perpisahan? Atau barangkali tali perpisahan yang dihulur ­Rania itu hanya sekadar ugutan?

“Macam mana kamu dengan Ren?” Soalan kedua ditanyakan sebelum soalan awal belum sempat dijawab Ummar Qayyum.

“Entahlah mak. Kalau ikutkan situasi, saya tak wajar ada di sini.”
“Kenapa kamu cakap begitu Qayyum. Murni pun dah meninggal dunia. Apa lagi yang nak dikorbankan?”

Terkejut Ummar Qayyum mendengar kata-kata ibunya. “Apa maksud mak?”
“Mengalahlah...”

“Saya tak tahu nak buat apa mak. Saya tak berani nak buat keputusan. Saya tak tahu apa yang Ren nak sebenarnya.”

“Ni kamu dah balik. Buatlah sesuatu untuk rumah tangga kamu,” nasihat Nenek Ninda lagi. Ummar Qayyum terdiam sejenak. Wajarkah aku melupakan sahaja apa yang diminta oleh Rania? Aku tak pernah lupa ayat yang Rania ungkapkan padaku. Dia meminta perpisahan. Aku tidak mahu perpisahan itu tapi ...ah! Sukarnya.

“Dah banyak sangat yang kamu berdua lalui sebelum ni. Allah dah permudahkan. Jangan lepaskan peluang itu,” nasihat Nenek Ninda lagi.
“Mak tidur di mana malam ni?” tanya Ummar Qay­yum lama kemudian.
“Tidur di sinilah. Kenapa?”

Ummar Qayyum tidak terkata. Seluruh ahli keluarga tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku antara dirinya dengan Rania. Mereka hanya beranggapan bahawa antara dirinya dengan Rania berlaku masalah biasa dalam hubungan
suami isteri.

“Pergilah kamu jumpa dengan isteri kamu,” desak Nenek Ninda lagi.
“Pergilah,” ulangnya lagi melihat Ummar Qayyum masih tercegat.

Di laman hadapan rumah, tetamu mulai susut. Di sebuah meja bulat, Tan Sri Razlan bersama Rais sedang berbual dengan beberapa orang surau.
Rania pula duduk bersama Ros Ilyani dan Puan Sri Zalia. Ummar Qayyum hampiri meja yang ada Rania.

“Eh kenapa belum salin pakaian? Mama ingat tadi naik mandi,” tegur Puan Sri Zalia semasa Ummar Qayyum menghampiri mereka.

Ummar Qayyum duduk di sebelah ibu mertuanya. Rania tundukkan wajahnya.

“Dah makan belum ni?”
“Kejap lagi mama.”

“Ren, ambilkan nasi de­ngan lauk-lauk untuk Qayyum,” arah Puan Sri Zalia.
“Tak apa mama. kejap lagi saya makanlah!”

“Pergi ambilkan. Qay­yum penat ni! Setengah hari dalam kapal terbang,” ulang Puan Sri Zalia.

Rania akur. Puan Sri Zalia berbual-bual dengan menantu.
“Berapa lama cuti ni?” tanya Puan Sri Zalia.
“Tak tentu lagi mama. Tengok keadaan.”

Rania datang balik de­ngan sepinggan nasi berserta lauk-pauk. Segelas jus tembikai dihidang bersama. Ummar Qayyum makan tanpa gangguan. Sambil itu, dia mendengar saja perbualan kaum wanita yang masih berkisar tentang Murni.
Sesekali Ummar Qayyum mencuri pandang si isteri. Dia sedar seperti dirinya, Rania juga dilanda kesedihan. Ketara di wajah Rania bahawa dia terkejut.

“Besok pagi Ren pergi dengan Qayyum. Qayyum pun belum ziarah juga.” Usulan Puan Sri Zalia supaya dirinya dengan Rania menziarahi pusara Murni dan Fahmi masuk ke telinganya.

Dia yang baru selesai makan beredar untuk membasuh tangan. Apabila balik semula ke kerusi, perbincangan mereka masih berterusan.

“Ke Qayyum penat nak ke kubur?” tanya Puan Sri Zalia.

“Tak apa. Saya ikut saja.” Dia menjeling untuk melihat reaksi Rania.

Syukur apabila Rania tidak menolak. Malamnya, Ummar Qayyum serba salah untuk masuk ke bilik. Namun kerana segankan ibu bapa mertua dan ibunya, dia meloloskan juga tubuhnya masuk ke bilik tidur mereka. Rania tidak bercakap sama seperti dulu.

“Boleh ke abang tidur di sini?” tanya Ummar Qay­yum tertib.
Dia duduk di birai katil sebelah kiri manakala Rania pula di sebelah kanan. Rania angguk.

“Esok kita ke pusara Murni dan Fahmi?” tanya Ummar Qayyum saja-saja.
Canggung rasanya berada bersama Rania sementelah sudah agak lama mereka berdua berjauhan. Rania angguk lagi.

Malam yang sunyi bertambah sunyi tanpa komunikasi antara mereka berdua.
“Ren apa khabar?” tanya Ummar Qayyum lama kemudian.
“Macam nilah...”

“Banyak yang berlaku semasa ketiadaan abang,” keluh Ummar Qayyum.
Mendadak ingatan Rania singgah pada Murni. Rania mengeluh sedih.
“Tak sangka begitu sudahnya kehidupan Murni,” kata Rania kemudian­nya. “Dan tak sangka begitu mendalam kasih sayang dan cintanya pada awak.”

Ummar Qayyum menelan air liur. Pelik bu­nyinya bicara Rania. Kata ganti nama ‘awak’ yang digunakan oleh Rania turut menyentak hatinya. Marah Rania masih bersisa, detik hati Ummar Qayyum.

“Semoga Allah ampunkan dosa Murni dan tempatkan Murni dalam kalangan orang-orang beriman. Saya tak sempat minta maaf padanya. Saya juga berdosa pada Murni,” kata­nya perlahan.

Rania teringat akan kata-kata kesat yang pernah dilemparkan pada Murni. Pernah dia menyuruh Murni pergi semasa dia hendak berbicara dengan Ummar Qayyum. Malah Murni pernah menegaskan bahawa dia akan pergi dari rumah itu. Akhirnya Murni benar-benar ‘pergi’ dan tak akan kembali lagi. Aku kehila­ngan anak tapi Murni hilang semuanya. Sebak perasaan Rania.

“Bila Ren akan masuk sekolah balik?” tanya Ummar Qayyum saja-saja.

“Saya akan berpindah balik ke Sabah,” sahutnya tegas.

“Ren tak serius kan?”

“Ayah dah uruskan semua. Sekarang saya bercuti tanpa gaji sambung cuti sakit keguguran dulu.”

“Kenapa nak pergi jauh sampai ke Sabah? Kat Sela­ngor ni pun banyak sekolah.”
Rania tunduk. Banyak kisah pahitnya bermula sejak dia pindah ke Semenanjung. Ah, barangkali Semenanjung tidak sesuai untuk aku walaupun tempat asalku di sini.

“Ren, kita bincang,” pujuk Ummar Qayyum.

Debarannya datang semula. Masakan hati Rania sekeras kerikil.
“Kita dah bincang sebelum awak ke Sweden kan?” kerling Rania.
Berderau darah Ummar Qayyum dibuatnya. Rania ingat segala kata-kata yang dilontar. Dia serius dengan keputusan yang dibuat. Adakah Rania kekal mahu berpisah?

“Abang macam mana?” soalnya macam orang bodoh.

Rania diam sejenak. Hatinya mahu menangis mendengar soalan Ummar Qay­yum tapi ditahan sedapat mungkin. Sudah banyak air matanya terhambur buat Fahmi dan Murni. Dia tidak mahu menangis lagi.

“Ren, kita bincang sekali lagi,” pujuk Ummar Qayyum. Nadanya tenang sedang di dalam hati hanya Tuhan yang tahu.

Rania kaku di sebelah sana. Kasih sayangnya pada Ummar Qayyum masih bersisa tapi peristiwa yang berlaku pada Murni menyebab­kan dirinya dihantui rasa bersalah yang bukan sedikit. Dia tidak pernah sangka sejauh itu cinta Murni pada Ummar Qayyum - yang akhirnya memusnahkan hidupnya sendiri. Mendengar cerita daripada ibu mertua­nya tentang hari-hari terakhir kehidupan Murni sangat memilukan. Murni berangan-angan hendak bernikah dengan Ummar Qayyum tapi akhirnya meninggal dunia dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Fahmi juga menjadi korban. Sehingga ke tahap itu perlakuan Murni dek cinta!

Ya Allah, aku rasa berdosa sangat. Akukah yang bertanggungjawab merampas Ummar Qayyum kesayangan Murni? Berdosakah aku? Kerana dosa itukah aku aku dihukum dan Allah mengambil anak dalam kandunganku sebagai galang gantinya?

“Saya bersalah mengambil awak dari Murni.” Mata Rania mulai memerah.
Terkejut Ummar Qayyum mendengarnya. “Tak ada salah siapa-siapa.”
“Sikit sebanyak saya bersalah.”

“Kita bukan hendak berbincang tentang itu. Murni dah pergi. Kita yang hidup, perlu diteruskan.”
“Mana boleh macam tu, saya tetap bersalah.”
“Ren, cukup-cukuplah menyalahkan diri sendiri.”
“Awak tak tahu apa yang saya rasa.”

Ummar Qayyum mati kata-kata.
“Kalau saya tahu sejauh itu cinta dan sayang Murni pada awak, saya tak akan ambil awak daripada dia.” Rintih Rania berterusan.

Hati Ummar Qayyum bagai disambar petir mende­ngar kata-kata Rania.
“Ren...” Ummar Qayyum makin takut melihat keadaan Rania. Sedari dulu, itulah perwatakannya. Dia selalu mahu menjadi lilin dan menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku. Kalau begitu, hubungan mereka akan menjadi bertambah genting.

“Tempat ini tak sudi terima saya. Saya tetap akan balik ke Sabah.”
“Ren, keluarga kita di sini.”
“Biarlah saya pergi jauh dari sini. Banyak kenangan sedih yang akan menggang­gu kehidupan saya kalau saya terus di sini.”

Ummar Qayyum terkedu. Dia tidak sangka pulangnya dia ke Malaysia kali ini menerima tekanan sehebat itu. Adakah bumi Semenanjung ini juga tidak sudi menerima aku? Spontan, dia teringat sebuah sajak Rania di Facebook. Teringat juga akan komen balasan daripadanya. Demi malam di mana kejoraku?

Akan benar-benar hilang­kah Rania dalam hidupku? Menggigil Ummar Qayyum dibuatnya!

Tuesday, June 11, 2013

Puisi orang tak reti

oh bulan mana bintang
atas pucuk kayu ara
oh kekasih mana sayang
kian hilang menjadi sengsara

hati yang tercalar tidak mampu diubati.  Hati yang rawan kelak menghancur impian.  Masih sukar dimengerti, bukan tersalah tafsir, bukan silap percaturan. 

Silap bukan pada ku seorang, Punca tulang melulang makin dalam, makin mencengkam.  Andai itu takdirnya perlu dihadapi, perlu ditempuhi, tanpa gentar, tanpa bimbang akan ditempuhi.

11 Jun 2013

Monday, June 10, 2013

CR2 (Siri 48) - Andai Itu Lorong Takdirnya

Tubuh Fahmi tidak bergerak. Matanya terpejam. Mukanya membengkak. Seluruh tubuh anak kecil itu berselirat dengan tiub-tiub. Fahmi koma. Kata doktor ada darah beku di saluran darah. Keadaannya kritikal.
Harapannya untuk hidup tipis sekali.
Air mata Nenek Ninda sudah kering. Dia bukan sahaja terkejut, malah begitu trauma dengan situasi yang berlaku. Tidak pernah dia sangka Murni akan bertindak sejauh itu. Cinta benar-benar membutakan akal Murni, malah seluruh kehidupannya musnah dek cinta. Salah Ummar Qayyumkah? Nenek Ninda tidak tahu jawapannya. Dia pandang Rania yang kaku mengadap tubuh Fahmi. Air mata Rania masih mengalir saat Nenek Ninda menelusuri kronologi tragedi malam tersebut.

Rania juga menjadi mangsa Murni. Kandungan Rania keguguran gara-gara Murni. Hal itu juga telah dimaklumkan oleh Nenek Ninda pada keluarga Puan Sri Zalia. Mereka reda menerimanya malah Rania hanya menelan air liur saat telinganya mendengar rentetan seluruh cerita. Matanya masih terpacak pada tubuh si kecil yang turun naik dadanya. Adakah Fahmi juga akan menerima nasib yang sama seperti kandungannya dulu?


“Mama minta maaf sebab ragu-ragu pada Ren sebelum ini,” Puan Sri Zalia berasa sebak.

Rania sering dimusuhi akhir-akhir ini gara-gara sikap Rania yang dianggap keras kepala. Ah! Siapa sangka Rania juga mangsa Murni.

“Semua dah berlaku mama...Ren reda.”

Puan Sri Zalia menyapu air matanya yang meleleh. Jawapan Rania membuatkan hatinya makin sebak. Nenek Ninda tidak terkata. Hanya keluhannya sahaja yang terdengar. Murni membawa pelbagai musibah dalam rumah tangga seluruh keluarga itu. Jadi berantakan semuanya dek Murni!

Ah! Murni! Murni! Keluhan Nenek Ninda tidak pernah terhenti sejak semalam.

“Kasihan Fahmi.” Rania menangis teresak-esak.

Hatinya hiba mengenangkan macam-macam peristiwa yang menimpanya dan semakin tertekan apabila melihatkan keadaan Fahmi. Kenapa bayi sekecil Fahmi menerima nasib seumpama itu? Kejamnya perlakuan manusia. Mana perginya rasa belas simpati dan kasih sayang seorang ibu terhadap anak? Meskipun Nenek Ninda beranggapan Murni kurang waras semasa mencampakkan anaknya sendiri, tetapi Rania tetap tidak dapat menerimanya. Seorang ibu! Tergamakkah? Sakitnya Fahmi semasa tubuh kecilnya dihempas ibu kandung sendiri.

Kata Nenek Ninda, Fahmi menggelupur sebelum terdiam dan tubuhnya layu terkulai. Air mata Rania tidak berhenti mengalir mengenangkan nasib Fahmi. Dia insaf mendadak. Kian sebak tatkala terkenangkan pula akan anaknya yang juga sudah tiada. Kesannya masih terasa hingga kini meskipun luka itu disembunyikan sendiri. Dia lebih rela begitu daripada berkongsi dengan orang lain. Fahamkah mereka apa yang dilalui?

Rania pegang jari-jemari Fahmi yang lembik. Jari-jemari itu pernah meraba-raba mukanya, menjalar di leher dan rambutnya saat dia bermain-main dengan si kecil itu dulu.

“Fahmi, bangun ya. Nanti bila Fahmi dah sihat, auntie Ren yang akan jaga Fahmi,” bisiknya penuh keibuan.

Puan Sri Zalia peluk anak kesayangannya. Dia berasa berdosa kepada Rania. Selama ini dia meremehkan anak sendiri dek rasa sayang dan simpati kepada anak yatim piatu seperti Murni.

Pintu bilik terkuak. Rais masuk. Dia hampiri ahli keluarganya. Wajahnya kelihatan penat dan lesu.

“Apa doktor kata?” tanyanya dengan wajah serius.

Puan Sri Zalia menggelengkan kepala. “Harapan tipis!”

Rais menyandar di dinding. Wajahnya rusuh. Banyak yang berlegar-legar di kepalanya. Salah akukah bila semua ini berlaku? Kerana akukah Murni bertindak di luar kawalan? Akhirnya anak kecil yang tidak berdosa ini menjadi mangsa. Semalam, Ros Ilyani menangis sampai bengkak mata. Dia turut menyalahkan diri sendiri atas kemalangan yang menimpa Fahmi. Dia turut menyalahkan perkahwinan mereka.

“Murni macam mana? Dah jumpa?” tanya Nenek Ninda menenggelamkan lamunan Rais.

Rais menggelengkan kepalanya. “Tak jumpa. Abangnya pun ada di kampung. Tengah sama mencari Murni dengan penduduk kampung.”

“Abangnya sampai bila?” tanya Nenek Ninda lagi.

“Baru saja sampai masa saya nak balik tadi. Saya tinggalkan kunci rumah mak cik pada abang si Murni. Kalau dia nak berehat anak beranak,”

“Beg pakaian Murni pun ada di rumah tu, biarlah dia duduk di situ. Nanti Rais pesan pada abang si Murni, rumah tu jangan dikunci. Manalah tahu Murni balik,” sahut Nenek Ninda yang berfikir jauh.

Nenek Ninda masih terkenang-kenang peristiwa yang berlaku malam tadi. Ingatan itu kekal segar. Tidak akan sesekali terpadam dalam memori ingatannya. Masih jelas di ingatannya tentang situasi yang berlaku. Laman depan rumahnya terang dek cahaya lampu kereta. Murni membuka pintu lalu terjah ke beranda. Dia kelam-kabut apabila melihat bayang-bayang manusia keluar dari pintu kereta. Dia kebingungan. Matanya liar tidak menentu. Seketika dia memandang anaknya Fahmi yang sudah lembik dengan nafas kian pendek. Nenek Ninda paut Fahmi kuat-kuat takut dirampas Murni lagi. Dia menjerit meminta tolong.

Mendengar jeritan Nenek Ninda, Murni melompat ke birai anjung, menuruni anak tangga dengan laju lalu menghilangkan diri dalam kegelapan malam. Nenek Ninda menerpa ke bawah. Rais bersama Ros Ilyani berwajah pucat dan terkejut.

“Kenapa mak cik? Apa yang jadi?”

“Panjang kisahnya. Kita bawa Fahmi dulu ke hospital.”

“Murni ke tadi mak cik?” tanya Rais.

“Haah. Murni dah tak menentu. Fahmi ni...Fahmi ni...” Nenek Ninda gesa orang berdua itu supaya segera bertindak.

“Kenapa dengan Fahmi?” tanya Ros Ilyani. “Eh...kepala Fahmi ni kenapa benjol?”

“Dihempas si Murni,” kata Nenek Ninda seraya meloloskan tubuhnya masuk ke dalam kereta.

Berubah air muka Ros Ilyani mendengarnya. Rais bertindak cepat. Segera diundur kereta dan bergegas menuju ke klinik berhampiran.

Telefon Rais berbunyi. Lamunan Nenek Ninda terhenti. Puan Sri Zalia mendengar Rais bercakap dengan suaminya. Rais turut memaklumkan hospital tempat Fahmi menerima rawatan.

“Telefon mama mana? Ayah call berkali-kali sejak tadi,” tanya Rais sebaik sahaja selesai bercakap dengan Tan Sri Razlan.

“Entah...” Puan Sri Zalia tidak dapat mengingatinya.

“Ayah dalam perjalanan ke sini.”

“Ren balik dulu lah. Ren pun tak berapa sihat lagi,” arah Puan Sri Zalia.

“Akak balik dengan Ren dulu ya. Biar saya tunggu di sini,” kata Puan Sri Zalia kepada besannya pula.

Nenek Ninda angguk. Dia memang sudah letih letai. Tidurnya tidak cukup malah tenaganya juga bagai direnggut. Peristiwa yang dilalui semalam menarik semangatnya sehingga dia berasa begitu lemah. Rais menghantar Nenek Ninda bersama Rania balik ke rumah. Mak cik Rohaya setia menanti di depan pintu rumah. Mak cik Rohaya mengiringi Nenek Ninda bersama Rania masuk ke rumah sebaik sahaja Rais pergi semula.

“Nasi dah masak. Mak cik hidangkan ya Ren,” tutur Mak cik Rohaya lembut.

“Ya mak cik. Mak belum makan lagi sejak pagi,” ujar Rania.

Rania memimpin tangan ibu mentuanya ke bilik tetamu di bawah.

“Mak mandi dulu. Baju Kedah dengan kain batik banyak dalam almari tu. Mak pakailah,” ujar Rania seraya meletakkan sehelai tuala di atas katil.

“Lepas mandi, Ren temankan mak makan,” Rania tersenyum sayu.

Nenek Ninda tarik tangan Rania untuk duduk di sebelahnya. Air matanya menitis tidak semena-mena. Tangan Rania berada dalam genggamannya.

“Mak nak minta maaf dengan Ren,” sahutnya tersekat-sekat.

“Mak nak minta maaf kenapa? Mak tak pernah salah apa-apa pun pada Ren.”

“Mak salah pada Ren...banyak!” luahnya jujur dan penuh keinsafan.

“Mana ada...”

“Mak selalu buruk sangka pada Ren. Mak tuduh Ren macam-macam dalam hati. Mak tak tahu keadaan yang sebenarnya. Mak hanya dengar cerita daripada Murni. Mak tak tahu Murni sakit. Mak tak tahu Murni tak sara! Mak tak tahu Murni simpan angan-angan tinggi macam tu. Mak tak pernah tahu. Mak hanya tahu semalam. Tapi dah terlambat. Mak minta maaf ya nak!” Ucapan kudus itu benar-benar menyentap hati Rania.

Tubuh gempal Nenek Ninda dipeluk Rania. Perasaan sayang Rania pada ibu mentuanya tidak pernah putus malah dia dapat mengagak kalau-kalau kebencian yang ditunjukkan oleh Nenek Ninda kepadanya adalah kesan daripada cerita Murni.

“Kita buang yang keruh ya mak...,” kata Rania apabila pelukan dilepaskan.

“Tapi mak tetap rasa bersalah. Mak tetap nak minta maaf pada Ren. Maafkan mak ya Ren.” Air mata Nenek Ninda yang mengalir ke pipi tuanya menyebabkan Rania sebak.

“Ya...Ren maafkan.”

“Terima kasih Ren. Mak sayangkan Ren...mak sayang Ren sungguh-sungguh...” Kali ini tubuh Rania pula dipeluk Nenek Ninda.

Rania membiarkan sahaja tubuh kurusnya didakap si ibu mentua. Lama.

“...dan satu lagi hal Ren dengan Qayyum, janganlah dipanjang-panjangkan lagi. Cukup-cukuplah dengan apa yang kamu berdua lalui,” pinta Nenek Ninda bersungguh-sungguh.

Pada kesempatan itu dia mahu meluahkan segala-galanya pada Rania. Dia mahu hubungan yang renggang antara anak menantu dapat dieratkan kembali.

“Insya-Allah mak. Kita doakan yang terbaik.”

“Ren tak marah Qayyumkan?”

Rania menggelengkan kepalanya. Dia tak marah pada Ummar Qayyum tapi apa yang dirasakan sekarang ialah jiwanya kosong dan tandus.

“Buang yang keruh dan ambillah yang jernih, Ren seperti yang Ren kata tadi. Kita dah tahu sekarang punca perselisihan yang berlaku antara Ren dengan Qayyum.”

Rania angguk.

“Kalau begitu, Ren tak payahlah pindah ke Sabah,” pujuk Nenek Ninda lagi.

Wajah Rania berubah. Dia tidak dapat memberi apa-apa jaminan terhadap keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

“Tak payah bincang apa-apa lagi mak ya. Sekarang kita kena fikirkan tentang Fahmi dulu,” ujar Rania lalu ditinggalkan Nenek Ninda untuk membersihkan dirinya.

Dia pula menuju ke dapur membantu dan meninjau Makncik Rohaya. Sambil membantu, mereka bercerita. Barulah Makncik Rohaya berpeluang bertanya
macam-macam dengan Rania termasuklah tentang Murni.

“Kasihan, akhirnya Fahmi yang jadi mangsa dek kegilaan maknya!” Makncik Rohaya melahirkan kekesalannya.

“Doktor kata harapan Fahmi tipis. “ Masih terbayang di ruang Mata Rania keadaan Fahmi semasa ditinggalkan tadi. Rania duduk di kerusi di dapur. Di atas meja sudah terhidang pelbagai lauk-pauk yang masih berasap.

“Murni...Murni...tak sangka dia boleh hempas anak sendiri.”

“Murni tak berapa waras masa dia buat tu! Dia tertekan. Perasaan kecewanya tak dapat dibendung. Banyak impiannya gagal. Dia stres!”

Itulah kesimpulan yang dapat dibuat oleh Rania sungguhpun jauh di sudut hati dia tidak dapat menerima perbuatan Murni terhadap Fahmi. Namun, dia tahu bagaimana keadaannya jika seseorang itu tertekan. Dia juga melalui fasa yang sama malah kehilangan anak dalam kandungan semakin menyebabkannya tertekan. Kalau tidak cukup iman di dada macam-macam boleh berlaku contohnya seperti yang berlaku pada Murni.

“Kalau kail panjang sejengkal jangan laut hendak diduga. Orang tua-tua selalu berpesan begitu. Kita kenalah ukur baju di badan sendiri,” kata Makncik Rohaya yang sama bersimpati, tetapi kesal dengan sikap dan tindak-tanduk Murni yang akhirnya memakan diri sendiri.

“Susah nak cakap mak cik sebab...cinta itu buta! Sebab cinta orang hilang pedoman.”

“Jomlah makan, mak cik Nenda dah siap,” Mak cik Rohaya memberhentikan perbualan berkisar Murni apabila melihat kelibat Nenek Ninda menghampiri mereka.

“Barulah nampak segar sikit,” usik Mak cik Rohaya tanda meraikan tetamu.

Nenek Ninda duduk di kerusi menghadap Rania. Mereka makan ala ala kadar dan topik perbualan masih berkisar tentang musibah yang menimpa Fahmi.

“Saya risaukan keadaan Murni. Tak tahu kat mana dia sekarang. Takut juga
dia buat tindakan yang pelik-pelik,” ujar Nenek Ninda sambil mencubit ikan gelama pekasam yang ditabur cili padi di atasnya.

Mak cik Rohaya berpandangan dengan Rania.

“Kita doakanlah semoga dia baik, semoga dia kembali normal,” tutur Mak cik Rohaya berkias.

“Lepas Zuhur nanti, kita pergi hospital balik. Kalau mak cik nak ikut sekali bolehlah,” pelawa Rania.

Dia sedar marah Mak cik Rohaya pada Murni masih berbaki melalui nada dan bicaranya.

“Rumah tak ada orang, tak apa?”

“Nanti mak cik balik semula dengan mama dan Abang Raiskan?”

“Ayah balik nanti siapa nak buka pintu?”

“Ayah terus ke hospital tadi. Nanti ayah balik dengan mama,”

“Tak apalah Ren, mak cik tunggu di rumah sahaja.”

Telefon Rania berdering dengan irama lagu Melayu klasik. Rania lihat nama Rais di skrin telefonnya.

“Fahmi dah kembali ke rahmatullah...” ujar Rais hiba sebaik sahaja mendengar suara Rania.

“Bila?”

“Baru ni.”

“Innalilahiwainnailaihirajiuun...” Terhenti suapan Rania.

“Kes ni dah jadi kes polis,” beritahu Rais pada ahli keluarganya.

Nenek Nenda menyapu air matanya dengan lengan baju kurung. Mereka sekeluarga masih menunggu mayat Fahmi di luar bilik mayat. Mayat Fahmi masih lagi berada di hospital. Belum boleh dituntut untuk bedah siasat.

“Abang boleh bincang dengan doktor supaya mayat Fahmi tak dibedah siasat?” tanya Puan Sri Zalia pada suaminya.

Kalau mayat Fahmi dibedah siasat, cerita makin panjang. Akibatnya pada Murni berganda-ganda. Murni sudah jatuh ditimpa tangga. Cukuplah itu. Kasihan dia! Fikir Puan Sri Zalia. Tan Sri Razlan dilihat menghubungi seseorang. Kemudian dia beredar dari perkarangan bilik mayat bersama Rais. Puan Sri Zalia duduk di bangku bersebelahan dengan Nenek Ninda. Masing-masing melayani perasaan sendiri.

Telefon Rania berdering.

“Ya Abang Rais.”

“Abang Murni baru call. Mereka dah jumpa Murni.”

“Dah jumpa? Kat mana?”

“Murni dah meninggal. Mayatnya penduduk kampung jumpa terapung di sungai,” sahut Rais lesu.

Rania terkedu. Tidak semena-mena air matanya jatuh menitis-nitis.

CR2 (Siri 47) - Dalam Hati Tiada Taman

"Akak rasa tak sedap hati. Risau kenangkan Murni. Tadi dia goncangkan badan Fahmi sampai menangis budak tu," adu Nenek Ninda kepada Puan Sri Zalia sebaik sahaja Fahmi tidur. Jantung Nenek Ninda masih berdegup kencang. Sudah lebih sejam, Nenek Ninda mengurungkan dirinya bersama Fahmi di dalam bilik. Dia berasa tidak selamat sebumbung dengan Murni. Murni seperti orang hilang pedoman.
"Akak nak balik KL ke?" tanya pula Puan Sri Zalia dengan risau cemasnya.
"Entahlah Lia. Akak tak boleh nak buat keputusan sekarang. Akak rasa berdebar-debar," luah Nenek Ninda tentang gelodak hatinya.

"Beginilah. Akak duduk saja dalam bilik. Buat sementara waktu jangan keluar. Biar Lia bincang dengan Rais bila dia balik kerja sekejap lagi," Puan Sri Zalia mendamaikan hati gundah Nenek Ninda.


"Baiklah Lia," akur Nenek Ninda.

Dia tidak boleh berfikir saat-saat genting begitu, tapi apa yang tidak dapat dinafikan, kerisauannya tidak bertepi. Murni seperti orang tidak siuman. Bagai orang asing kini. Watak Murni hari ini jauh bezanya dengan Murni yang pernah dikenali dulu. Sudah gilakah Murni ini? Fikir Nenek Ninda seraya memeriksa tubuh badan Fahmi. Bimbang kalau-kalau genggaman kuat Murni semasa menggoncangkan tubuh Fahmi meninggalkan kesan lebam di tubuh si kecil itu. Hiba hati Nenek Ninda melihat wajah Fahmi. Rambut halus Fahmi diusapnya dengan penuh belas. Namun setitis ketenangan yang baru dirasai terurai mendadak tatkala telinga Nenek Ninda menangkap bunyi ketukan di pintu. Dada Nenek Ninda berdegup kencang.

"Nenek." Suara Murni lantang kedengaran dari luar. Nenek Ninda bingkas bangun. Dia tidak mahu Murni was-was terhadap dirinya. Pintu dibuka.

"Kenapa kunci pintu?" tanya Murni kasar.
"Shhh, Fahmi tidur!" Nenek Ninda memberikan isyarat seraya meletakkan jari telunjuknya di bibir. Dia berpura-pura tenang.

"Nenek keluar sekejap. Murni nak cakap."

Nenek Ninda ikut langkah Murni. Mereka duduk di kerusi rotan di ruang utama.

"Nenek dah bincang dengan Abang Qayyum?" Tajam mata Murni merenung mata Nenek Ninda.

"Bincang apa?" Nenek Ninda buat-buat tidak faham.
"Alah nenek ni. Bincang tentang Murni dengan Abang Qayyumlah."
Murni mendengus. Mukanya membayangkan rasa tidak puas hati. "Murni dah hantar e-mel pada abang. Tapi dia tak balas lagi!"

"Sibuk agaknya!"
"Sibuk sangat ke? Balaslah. Bukannya Murni nak dia balas panjang-panjang. Jawab sikit saja!" rungut Murni lagi.

Nenek Ninda sedar isu yang sedang diketengahkan oleh Murni malah dia tahu isi surat yang dikirim Murni kepada Ummar Qayyum. Tapi dia hanya diam sahaja. Dia takut hendak menyampuk - bimbang jawapan yang diberi tidak memuaskan hati Murni.

"Banyak yang nak dibuat nanti. Takut tak sempat!" Murni bahagia memasang angan-angan.
"Nenek call Abang Qayyum sekarang," arah Murni.
"Eh... mana nenek tahu," dalih Nenek Ninda.

"Bagi Murni pinjam telefon neneklah. Murni dail, nenek cakap dengan Abang Qayyum ya!" cadang Murni. "Mana telefon nenek?"
"Kat dalam bilik."

"Pergi ambil," perintah Murni lagi. Nenek Ninda terkebil-kebil.
"Cepatlah nek," paksa Murni.
Nenek Ninda bangun semula.

"Nanti nenek bawa keluar Fahmi sekali. Tak elok tinggalkan Fahmi sendirian dalam bilik," ujar Murni lagi.
Nenek Ninda ikut sahaja kemahuan Murni.

"Hah, call lah sekarang!" desak Murni sebaik sahaja Nenek Ninda muncul semula. Termengah-mengah orang tua itu membaringkan Fahmi di atas tilam kecil.

"Tengah sibuk Abang Qayyum ni. Sana pagi masa ni," tutur Nenek Ninda cuba untuk merasionalkan tindakan Murni.

"Sekejap saja cakap dengan dia."

"Murni telefon sendirilah," Nenek Ninda menghalakan telefon bimbitnya kepada Murni. Lebar senyuman Murni. Nombor milik Ummar Qayyum dihubungi. Suara Ummar Qayyum memberi salam makin menceriakan wajah Murni.

"Abang...ni Murni ni," kata Murni apabila mendengar Ummar Qayyum menyebut perkataan emak.

"Oh Murni...!" Tersedak seketika Ummar Qayyum dibuatnya. Sangkanya ibunya yang menelefon.
"Kenapa abang tak balas e-mel Murni?"

"Kenapa Murni call? Emak mana?" Ummar Qayyum bertanya balik pada Murni.
"Nenek ada sebelah Murni ni. Dia yang suruh Murni call abang."

Nenek Ninda menjeling. Meluat mendengar tuduhan Murni. Dia yang bergedik hendak menelefon Ummar Qayyum, nama aku pula yang dijualnya. Sambil membelai ubun-ubun rambut Fahmi, Nenek Ninda mencuri dengar perbualan orang berdua itu, tapi malangnya perbualan tersebut singkat sangat. Sedar-sedar Murni merungutkan Ummar Qayyum.

"Tak habis-habis dengan sibuknya. Nak berbincang sikit pun tak boleh," bebelnya lagi.

Murni menongkat dagu di atas kerusi. Rengekan Fahmi menarik perhatiannya.
"Bisinglah Fahmi ni." Pandangan tajam Murni pada Fahmi menakutkan Nenek Ninda. Dia bimbang kalau-kalau Murni memperlakukan Fahmi seperti tadi.

"Nenek bawa dia masuk biliklah. Tadi dia tidur lena," usul Nenek Ninda.
"Nenek, Murni rasa kita kena buat persiapan juga. Nanti, bila Abang Qayyum balik, langsungkan saja."

Tidak semena-mena Murni mengusulkan idea tersebut. Terhenti langkah Nenek Ninda.

"Eh...mana boleh buat macam tu!" bantah Nenek Ninda.
Muka Murni berubah kelat. "Habis tu? Nenek ingat Murni nak tunggu macam orang bodoh? Murni dah penat menunggu tau tak?" herdik Murni.

Rengekan Fahmi makin menjadi-jadi. "Fahmi lapar. Lampinnya pun dah basah ni. Nenek gantikan lampin dan bancuh susu untuk dia dulu ya!" ujar Nenek Ninda seraya melangkah laju menuju ke bilik air belakang.

Dibersihkan sikit tubuh Fahmi lalu dibungkus dengan tuala. Kemudian, laju saja Nenek Ninda bancuhkan susu dan segera dibawa Fahmi masuk ke bilik semula.

Murni masih berangan-angan di kerusi rotan di ruang tamu. Dia nampak Nenek Ninda membawa Fahmi masuk ke bilik tapi dia tidak kisah. Hatinya lebih berfokus pada Ummar Qayyum. Nenek Ninda intai Murni dari biliknya. Murni masih kekal di situ semasa azan Maghrib nyaring berkumandang. Ya Allah! Tak pernah aku sangka Murni berfikir sehingga sejauh itu. Dipandangi pula Fahmi yang lena setelah sebotol susu habis dihisap.

Kasihan budak ini. Emaknya tak sihat! Fikir Nenek Ninda seraya membetulkan kepala Fahmi yang terlentuk di tepi bantal. Nenek Ninda berwuduk lalu bersolat. Dia duduk lama di sejadah sehinggalah masuk pula waktu Isyak. Kerana risau, Nenek Ninda tidak dapat melelapkan mata sungguhpun tubuhnya sudah bergolek di atas tilam. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 10 lebih. Dia bangkit dari katilnya lalu berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu bilik. Dari celah pintu biliknya, dia nampak alur cahaya dari bilik Murni.

Belum tidur lagi si Murni? Dia buat apa malam-malam begini? Nenek Ninda terhendap-hendap keluar dari biliknya. Bilik tidur Murni memang cerah manakala pintu biliknya tidak terkatup sepenuhnya. Langsir di pintu di bilik Murni terbuai-buai tanda kipas berpasang. Nenek Ninda mengesot lagi. Dia nampak tubuh Murni dari sisi yang sedang duduk membelakangi pintu bilik. Dalam debaran Nenek Ninda mengintai. Kelihatan Murni macam tengah mengadap sesuatu. Sebatang lilin yang bernyala di hadapan Murni sesekali beralun-alun bila disapa angin dari kipas. Nenek Ninda tersilau gambar Ummar Qayyum di tangan Murni.

"Nenek nak apa?" Tiba-tiba suara Murni menegurnya.

Darah Nenek Ninda berderau naik ke muka. Macam mana Murni tahu dia mengintainya padahal dia membelakangi Murni. Kerana terkejut, segera dia berundur lalu terus masuk ke biliknya. Nenek Ninda panjat katil lalu terus menyelimuti dirinya. Seketika kemudian, dia capai telefon dari tepi bantal lalu terus didail nombor Puan Sri Zalia. Tidak sempat telefon itu berangkat, dia terdengar pintu biliknya berkeriut. Kelam-kabut dia sorokkan telefon. Jantung Nenek Ninda berdegup kencang. Murnikah itu?

Nenek Ninda tidak berani membalikkan tubuh. Dikeraskan dirinya. Matanya dipejamkan. Dalam gelap, dia berasa seperti ada lembaga yang sedang berdiri tercegat di hadapannya. Dia tidak dapat bertahan. Lama-kelamaan matanya dibuka. Susuk tubuh Murni tegap di hadapannya. Wajah Murni sinis. Matanya tajam memandang Nenek Ninda.

"Nenek buat apa tadi?" tanyanya pada Nenek Ninda.
"Nenek... tak... tak buat apa-apa..." sahut Nenek Ninda tergagap-gagap.
"Nenek intip Murni ya? Sejak bila nenek pandai intip Murni? Nenek pun nak jadi macam Makcik Rohaya yang tak sedar diri tu? Nenek nak jadi macam Kak Ren yang selalu curiga pada Murni? Nenek dah berpaling tadah dan tikam Murni ya?" Tiba-tiba sahaja Murni naik hantu.

Nenek Ninda membalikkan tubuhnya. "Apa yang Murni cakap ni?"
"Nenek ingat Murni tak tahu?"

Nenek Ninda sudah kecut perut.

"Nenek..., " suaranya dilembutkan pula. "Nenek kena tolong Murni. Nenek kan sayang Murni. Sebelum Ren datang, bukankah Murni yang nenek nak jodohkan dengan Abang Qayyum?"

"Jodoh pertemuan Allah tentukan. Murni kena terima."
"Mana boleh macam tu. Kenapa tiba-tiba nenek ubah keputusan? Nenek khianati Murni. Sampai hati nenek. Nenek tiba-tiba suka pada Ren. Kenapa? Sebab Ren orang kaya? Sebab Ren lebih cantik dan bijak daripada Murni? Nenek buat silap besar bila Nenek dah rancang nak kahwinkan Murni dengan Abang Qayyum tapi nenek akhirnya nikahkan Abang Qayyum dengan Rania. Nenek dah mungkir janji!" wajah Murni berubah kelat. Dadanya turun naik.

"Nenek sesak dada, Murni. Nenek nak pergi bilik air." Nenek Ninda bangun dari baringnya. Dia bercadang hendak pergi.

"Nenek kena dengar sampai Murni habis cakap." Murni tolak tubuh Nenek Ninda sampai terduduk balik di atas katil.

"Murni nak cerita pada nenek apa yang Murni lalui. Nenek tahu apa yang berlaku pada Murni bila Abang Qayyum kahwin dengan Rania?" Murni imbas kisah lalu.

Wajah Murni jadi sedih. Dia duduk di sebelah Nenek Ninda di atas katil.

"Murni patah hati. Murni kecewa teramat sangat. Murni tak dapat terima. Murni dah buat macam-macam supaya Abang Qayyum tak jadi kahwin dengan Kak Ren tapi mereka kahwin juga! Murni tak boleh terima. Hati Murni pedih bila kenang kisah manis Murni dengan Abang Qayyum. Akhirnya Murni bawa diri ke KL. Tahu apa jadi pada Murni di sana? Murni ditipu, diperdaya. Kalau Abang Qayyum hargai Murni, Murni tak lalui semua itu. Lelaki bedebah itu janji nak kahwin dengan Murni tapi lepas dia perkosa Murni, dia lari nenek.

"Ini semua salah Ren dan salah Abang Qayyum, tapi Murni tak pernah marahkan Abang Qayyum. Murni marahkan Ren seorang. Nenek pun sepatutnya benci Ren. Ren yang jahat. Abang Qayyum pun jadi mangsa macam Murni. Tengok apa jadi pada Abang Qayyum bila dia kahwin dengan Ren. Dia tak bahagia nek. Dia tak bahagia. Ren sombong dan keras kepala."

Tubuh Nenek Ninda digoncang-goncang. Nenek Ninda tidak berani berkutik. Dia membatukan diri.

"Padahal Murni dah jaga diri Murni untuk Abang Qayyum nek. Jaga diri Murni baik-baik hanya untuk Abang Qayyum seorang. Tak ada siapa yang pernah pegang tangan Murni apatah lagi nak tengok badan Murni. Murni simpan baik-baik untuk Abang Qayyum, tapi Ren hancurkan impian Murni. Perempuan tu memang tak guna! Padan muka dia!" Murni tersenyum sinis.

"Anak dia dah mati kan?" sambung Murni lagi. "Dia keguguran kan? Dia jatuh dalam bilik air sebab..." ada kepuasan bertakung di muka Murni.

"Sebab bilik air tu licin. Murni dah simbah dengan pencuci bilik air."

Nenek Ninda terkejut sampai terketar-ketar tubuhnya. "Ya Allah! Murni buat apa?"

"Dia memang patut dilayan macam tu. Dia bunuh jiwa Murni. Murni bunuh kehidupan dia. Biar dia rasa macam mana sakitnya kehilangan orang yang disayangi." Dendam kesumat yang tersimpan selama ini diluahkan oleh Murni.

Nenek Ninda makin gerun. Dia berasa benar-benar tidak selamat bersama Murni. Rengekan Fahmi kedengaran. Jiwa Nenek Ninda makin resah.

"Sekarang tibalah masa nenek pula bantu Murni." Murni tersengih macam orang sasau. Rengekan Fahmi berterusan. Murni berpaling pada Fahmi. Melihatkan situasi tersebut, segera Nenek Ninda paut Fahmi. Dia bingkas bangun. Dia takut Murni akan mengapa-apakan Fahmi seperti tadi.

"Nenek nak pergi mana?" tanya Murni sinis. "Tak nak tolong Murni?"
Nenek Ninda tidak berani jawab.

"Kalau nenek nak pergi, pergilah. Tapi tinggalkan Fahmi." Murni menjeling. Tubuh Fahmi kuat dalam pelukan Nenek Ninda.

"Bagi sini, tu anak Murni. Kalau nenek tak nak tolong Murni, Murni akan pijak-pijak Fahmi," ugut Murni.

Pucat lesi muka Nenek Ninda mendengarnya.

"Bagi sini." Murni merampas Fahmi daripada pautan Nenek Ninda.
Tubuh Fahmi sudah bertukar tangan. Nenek Ninda terketar-ketar. Dia tidak punya kekuatan untuk mempertahankan Fahmi. Tangisan Fahmi mulai kedengaran.

"Jangan Murni. Ini kan anak Murni. Murni kena sayang dia. Berdosa kalau Murni apa-apakan baby tu."

"Dosa??? Apa pula dosa Murni nenek? Apa salah Murni? Salahkah Murni sebab Murni cintakan Abang Qayyum? Berdosakah Murni?"

"Murni, bagi Fahmi kat nenek," rayu Nenek Ninda apabila tangisan Fahmi kian menjadi-jadi. Murni bawa Fahmi keluar kamar.

"Ni budak ni, dah rupanya jadi macam jantan keparat tu! Murni benci, Murni benci..." Murni menjerit macam orang histeria.

Fahmi yang dalam pautannya dicampaknya ke lantai. Berdentum bunyinya. Nenek Ninda yang mengejar di belakang macam tercabut jantung dibuatnya. Fahmi meraung sampai hilang suara. Nenek Ninda bergegas mendapatkan Fahmi. Dia sudah hilang takut. Melihatkan Fahmi yang menggelupur membuatkan Nenek Ninda jadi berani. Nenek Ninda angkat tubuh Fahmi yang mulai layu. Suara Fahmi sudah kian lesu. Tangisan Fahmi sudah tidak kedengaran lagi. Nama Fahmi dipanggil berulang kali oleh Nenek Ninda. Nafas Fahmi tercungap-cungap.

Air mata Nenek Ninda merembes jatuh ke pipi. Nenek Ninda tidak sanggup lihat keadaan Fahmi yang sudah seperti nyawa-nyawa ikan. Nenek Ninda hembus nafasnya ke mulut Fahmi, tapi degup nafas Fahmi makin lemah.

"Apa Murni buat ni?" Nenek Ninda sudah menangis mendudu-dudu. "Murni buat apa? Ini anak Murni. Kenapa Murni buat macam ni?"

Tangisan Nenek Ninda kian menjadi-jadi. Murni seperti orang kebingungan. Dia memerhati keadaan Nenek Ninda.

Anaknya sudah terkulai di pangkuan Nenek Ninda.

"Kenapa dengan Fahmi nenek?" tanya Murni seperti orang tolol.
Tangisan Nenek Ninda kian panjang.

"Oh...Fahmi tidur..." Kepala Fahmi Murni pegang. "Kenapa kepala Fahmi benjol nenek? Nenek jatuhkan Fahmi ya?"

Nenek Ninda tidak dapat menahan sebaknya. Tangisannya sudah tidak terkawal. Air matanya bersimbah.

"Tak payahlah nenek nangis kuat-kuat. Murni tak marah pun pada nenek. Fahmi ni pun dah lasak. Selalu jatuh. Nanti kita bawa Fahmi pergi klinik ya nek."

Nenek Ninda berpaling ke arah lain. Perasaannya pada Murni jadi kacau-bilau. Marah bercampur aduk dengan rasa belas dan kasihan.

"Kita bagi tahu Abang Qayyum dulu. Nanti Abang Qayyum akan bawa Fahmi." Murni masih lagi dengan mimpi siang harinya.

Nenek Ninda paut tubuh Fahmi lalu dibalut dengan kain selimut.
"Nenek nak bawa Fahmi ke klinik," kata Nenek Ninda.
"Klinik jauh nek, lagipun ni dah malam."
"Biar nenek jalan kaki."

"Nenek jangan pergi. Murni tak bagi."
"Anak kau ni dah teruk Murni. Entah boleh selamat entah tidak," jerit Nenek Ninda. Kemarahannya sudah tidak terkawal.

"Apa nenek jerit-jerit pada Murni ni?" Fahmi yang dalam dukungan Nenek Ninda cuba direnggut oleh Murni.

"Biar nenek pegang Fahmi. Murni dah buang anak ni, biar nenek yang bela," tengking Nenek Ninda pula.

"Bagi sini anak Murni," tengking Murni balik seraya merampas tubuh Fahmi.

Silau cahaya dari halaman rumah membuatkan Murni berpaling. Murni lepaskan cengkaman tubuh Fahmi. Dia berlari ke pintu lalu membukanya. Sebuah kereta dengan lampu masih menyala berhenti di hadapan laman rumah Nenek Ninda.

CR2 (Siri 46) - Secangkir rindu di awangan!

"Begitulah yang Makcik Ninda sampaikan," Puan Sri Zalia mengakhiri cerita. Segala apa yang diceritakan oleh Nenek Ninda tentang Murni sudah pun disampaikan pada Rania dan seluruh ahli keluarga termasuk Makcik Rohaya.
Ros Ilyani terkejut mendengar kisah Murni sampai terduduk seraya beristighfar sedang Rais bersama Tan Sri Razlan diam sahaja. Resmi orang lelaki begitulah.
Apa-apa sahaja berita yang diterima, mereka tenang menerimanya. Rania yang paling tersentap mendapat perkhabaran tersebut tapi dia berlagak tenang.


Sungguhpun perasaan bersalahnya pada Ummar Qayyum datang menunda-nunda bagai ombak di musim tengkujuh namun bahang egonya tetap membara malah tidak sejuk meskipun disimbah dengan setelaga air perigi.
"Sekarang Ren dah sedar kan! Masalah antara Ren dengan Qayyum berpunca daripada anasir luar. Bukan salah kalian berdua, jadi cepat-cepatlah berbaik!" pujuk Ros Ilyani seraya memaut bahu adik ipar kesayangannya.
Rania membatukan diri. Senyum tidak, menyahut pun tidak. Dia buat muka tiada perasaan padahal di dalam hati, hanya Tuhan yang tahu.

"Tengok tu!" jeling Puan Sri Zalia. Suaranya tinggi sedikit.

"Bagilah masa pada Ren puan. Dia pun tertekan juga!" bela Makcik Rohaya.

"Saya tahu. Semua orang tertekan. Saya pun tertekan kehilangan cucu..." balas Puan Sri Zalia balik.

"Bahaya juga Makcik Ninda duduk dengan Murni tu mama," sampuk Ros Ilyani sengaja untuk tidak memanaskan situasi antara Puan Sri Zalia dengan Rania. Jauh di sudut hati Ros Ilyani turut berasa bimbang akan keselamatan Nenek Ninda.

"Mak dah pesan pada Makcik Ninda suruh bawa balik Murni ke sini. Kita di sini ramai, bolehlah tolong tengok-tengokkan dia," suara Puan Sri Zalia kendur balik.

"Kalau nak bawa dia balik ke sini semula, kena berhati-hatilah..." sampuk Makcik Rohaya selamba.

Dia kurang senang dengan idea membawa balik 'ular' itu ke rumah.

"Murni bermasalah. Kita kena tolong dia kak!" ujar Puan Sri Zalia yang kekal tebal dengan sifat kemanusiaan.

"Dia bukan bermasalah. Dia sakit jiwa. Gilakan suami orang! Puan hantar saja dia ke hospital bahagia!" saran Makcik Rohaya.

"Dia tak ada saudara-mara dekat-dekat sini. Kitalah saudara-maranya."

"Puan ni baik sangat! Jangan sampai sokong bawa rebah. Orang dulu-dulu selalu beringat jerat tak pernah lupa pelanduk."

Rania gelisah dengan situasi tersebut. Hatinya runsing. Akhir-akhir ini dia tidak tidak suka suasana bingit dan bising begitu. Dia mahu tenang.

"Ren naik dulu," ujar Rania tiba-tiba. Dia berasa mahu bersendirian.

Tiba-tiba juga dia teringatkan Ummar Qayyum.

"Ingat pesan Kak Ros ya Ren!" bisik Ros Ilyani sebelum Rania membawa dirinya ke kamar.

Rania tidak lupa qasidah kakak iparnya yang selalu menyuruhnya berlemah-lembut dan bertolak-ansur dengan suami. Semasa Rahah datang menziarahinya tempoh hari, teman baiknya itu juga berpesan yang serupa. Malah serangkai ayat yang dinasihatkan Rahah selalu menyapa hatinya.

"Kau ada juga suami Ren - tempat bermanja, merajuk dan teman bergaduh. Aku ni? Entah bila agaknya nak dikurniakan oleh Allah seorang suami. Bersyukurlah kau dikurniakan seorang suami macam Ummar Qayyum. Jagalah dia baik-baik sebab syurga kau di telapak kakinya. Sekarang, hantar mesej pada suami kau, minta maaf! Habis cerita!"

Keluhan Rania terdengar. Tangannya sudah mencapai telefon bimbit tapi hatinya ragu-ragu. Jari-jemarinya hanya berlegar-legar di sekeliling telefon bimbit. Kalau berat jari-jemarinya untuk menaip ayat tersebut, berat lagi hatinya untuk meminta maaf. Kenapa aku jadi begini? Matanya dipejamkan!

Nantilah Ummar Qayyum! Tunggulah sehingga aku benar-benar bersedia! Ujarnya sendiri.

Ummar Qayyum hampa. Rindunya pada si isteri kian menggunung tapi rindu itu tertahan. Rindu itu tidak terlerai. Rindu itu kekal dan sarat bermukim di sukma dan sesekali dia berasa senak di dada dek kerinduan itu. Sudahlah wajah isteri yang dirindui tidak dapat ditatap. Hanya gambar-gambar sahaja yang dapat dilihat.

Lalu dia berharap agar dapat membaca khabar isteri di telefon bimbit atau di Facebook tapi sekali lagi dia kecewa. Berita dari Rania tiada. Rania tidak mengirim perkhabaran padanya. Juga, sudah agak lama Rania tidak menulis apa-apa status di Facebooknya. Paling terakhir Rania menulis sebuah sajak. Itu pun sudah agak lama dulu. Kemudian profil Facebooknya tidak dikemas kini.

Sibuk sangatkah isteriku? Atau kau memang tidak mahu bercerita apa-apa? Sengaja kau mendiamkan diri supaya khabar kau tidak ku ketahui? Ummar Qayyum termenung hampa. Kerana hampa, dia membaca status teman-teman rapat di Facebook. Ada mesej peribadi daripada Murni untuknya. Catatannya ringkas.

Salam abang yang dirindui.

Semoga abang sentiasa sihat dan sejahtera hendaknya. Murni ada sesuatu untuk diberitahu pada abang. Abang bacalah e-mel kiriman Murni ya! Penting!

Salam kasih di kejauhan
Murni



Ummar Qayyum lantas membuka akaun e-melnya. Dengan rasa ingin tahu, dia membaca e-mel kiriman Murni.

Salam buat abang yang dirindui.

Murni tidak mahu berceloteh panjang. Murni hanya mahu memaklumi abang bahawa ikatan antara Murni dengan Abang Rais akan berakhir tidak lama lagi. Murni telah nyatakan pada Abang Rais keinginan Murni. Murni sedar sejak dulu lagi tiada setitis pun rasa cinta Murni pada Abang Rais. Yang ada hanyalah rasa kasih seorang adik terhadap abang dan rasa terhutang budi atas pengorbanan yang telah Abang Rais lakukan pada Murni.

Abang yang dikasihi,

Yang Murni mahu katakan ialah sejak dulu hanya abang saja yang Murni dambakan. Cinta dan kasih sayang Murni pada abang tidak pernah padam malah semakin mendalam saban hari. Kini perasaan cinta itu semakin membuak-buak sejak abang dan Kak Ren berpisah. Jauh di sudut hati, Murni yakin bahawa kita memang ditakdirkan untuk bersama. Abang dengan Kak Ren sudah pun membawa haluan masing-masing dan begitu juga Murni dengan Abang Rais.

Murni bersama Fahmi telah tinggalkan rumah Puan Sri Zalia. Murni sekarang berada di kampung bersama Nenek Ninda. Murni berasa aman bersama Nenek Ninda di kampung. Murni terkenang saat-saat kita bertiga di desa nan permai itu. Murni sedang mengimpikan kehidupan yang pernah kita lalui dulu.

Abang yang dicintai,

Dengan penjelasan ini, Murni harap abang mengerti. Tiada apa yang lebih membahagiakan Murni selain berada bersama abang. Kini, Murni lebih yakin bahawa tiada apa yang dapat memisahkan kita. Cinta kita akan bersatu sedikit masa lagi.

Pulanglah segera abang sebab Murni setia menanti abang di sini. Jaga diri abang baik-baik di rantau orang.

Sekian dahulu buat kali ini,
Kekasihmu nan jauh,
Murni.



Berdiri tegak bulu roma Ummar Qayyum sehabis membaca e-mel kiriman Murni. Dia terkaku seketika bagaikan tidak percaya dengan apa yang dibaca.

Apa yang merasuk Murni sampai sebegitu jauh impiannya? Apa yang selama ini Murni bayangkan? Ya Allah! Beberapa kali Ummar Qayyum mengusap mukanya. Kerana diburu pelbagai rasa terkejut, akhirnya Ummar Qayyum berwuduk dan bersolat serta berdoa pada yang Esa.

Selesai bersolat, dia duduk termenung. Kemudian dia berwuduk dan bersolat kembali. Akhirnya dia teringat pada ibunya di kampung.

Barangkali emak boleh bantu! Detik hatinya dan segera saja dia menelefon ibunya.

Nenek Ninda terkejut semasa melihat nama Ummar Qayyum tertera di skrin semasa dia sedang duduk-duduk dengan Murni di beranda depan. Kerana khuatir perbualannya akan didengari oleh Murni, Nenek Ninda pura-pura tidak mendengar suara orang di telefon.

"Siapa telefon nenek?" tanya Murni.

"Bakhtiar," bohong Nenek Ninda. "Tak berapa dengar...putus-putus..."

"Yalah, abang Bakhtiar kan ada di Amerika," sahut Murni pula.

"Kejap ya Bakhtiar. Mak tak berapa dengar..." Nenek Ninda terus berlakon.

Perlahan-lahan dia bergerak meninggalkan beranda lalu menyelinap masuk ke kamarnya lantas mengunci pintu bilik dari dalam.

"Hah Qayyum, baguslah kamu telefon mak," Nenek Ninda melepaskan rasa lega.
"Kenapa mak sebut nama Bakhtiar?" tanya Ummar Qayyum.

Dia dapat merasakan ada sesuatu yang pelik turut berlaku di kampung.

"Murni ada kat sini."

"Jadi?"

"Panjang ceritanya," kata Nenek Ninda tercungap-cungap.

"Saya dah agak dah masa mak menyebut saya sebagai Bakhtiar tadi."

"Mak takut Qayyum. Pelik betul perangai Murni sekarang," luah hati Nenek Ninda. Getaran suara ibunya membayangkan perasaan gerun ibunya saat itu.

"Dia hantar e-mel pada saya. Sebab tu saya telefon emak."

"Dia kata apa?"

"Entahlah emak, saya pun tak faham apa masalah Murni."

"Mesti serupa dengan apa yang dia bagi tahu pada emak. Mak risau ni. Mak rasa dia mengalami tekanan perasaan."

"Dia cakap apa pada emak?" tanya Ummar Qayyum.

Nenek Ninda bercerita seringkas mungkin tentang apa yang berlaku.

Suaranya diperlahankan sedang matanya liar memandang ke pintu bilik takut kalau-kalau Murni mengintip.

"Lebih kurang dengan apa yang dia tulis pada saya. Tak senang duduk saya dibuatnya. Akhirnya saya telefon mak."

"Murni ni dah lain macam. Seolah-olah dia berada dalam dunia dia sendiri." Nenek Ninda menggosok-gosok dadanya. Dia berasa ngeri yang tak pernah dirasakan selama ini. Masa pencuri bermaharajalalela di kampung pun, hatinya tidak segusar itu.

"Mak balik KL mak. Duduk saja dengan pembantu di rumah Bakhtiar. Lagi selamat," usul Ummar Qayyum.

"Mak mentua kamu pun cakap macam tu. Mak kena berhenti dulu takut Murni syak. Kau jaga diri ya Qayyum."

"Mak tu jaga diri."

Nenek Ninda mententeramkan dirinya beberapa minit. Tenang saja, dia menuju ke pintu bilik dan membukanya. Murni tercegat dengan muka masam mencuka. Berderau darah Nenek Ninda dek terkejut.

"Murni, terkejut nenek." Suara Nenek Ninda terketar-ketar.

Untuk menghilangkan debarannya, dia melangkah ke ruang tamu tempat Fahmi sedang bergolek di atas tilam kecil sambil bermain sendirian.

"Terkejut kenapa? Kenapa nenek takut-takut? Nenek buat salah?"

Bertubi-tubi soalan Murni halakan. Dia setia mengekor di belakang Nenek Ninda.

"Heh taklah. Nenek nak takut apa? Nenek tak buat salah pun," sanggah Nenek Ninda lagi. Dia duduk di atas permaidani lama bersebelahan Fahmi.

"Nenek cakap dengan siapa tadi? Kenapa bercakap dalam bilik?" tujah Murni penuh curiga.

"Dengan Bakhtiar. Saja nenek cakap dalam bilik sebab tak nak kacau Fahmi tengah tidur."

"Bila Fahmi tidur?" soal Murni lagi.

"Tadi dia tidurkan?" Nenek Ninda memberanikan diri.

Dia tidak mahu Murni mendominasi keadaan itu. Murni mendengus. Wajahnya masam.

"Kalau Qayyum telefon nenek, nenek kena bagi tahu Qayyum supaya bersiap-sedia untuk kahwin dengan Murni bila balik nanti tau! Nenek kena tolong Murni. Qayyum kena cerai dengan Ren dan kahwin dengan Murni. Qayyum mesti akan dengar cakap nenek," Murni seakan mengugut.

"Murni, Murni cakap apa ni?"

"Murni cakap seriuslah." Mata Murni tajam merenung Nenek Ninda.

"Murni, Murni tak sihat ni. Apa kata kita balik ke Kuala Lumpur?" pujuk Nenek Ninda.

"Nak buat apa balik sana? Tempat kita di sini. Tempat nenek, Murni dan Abang Qayyum," tegas Murni.

Kemudian matanya beralih pula pada Fahmi. Matanya yang mulanya penuh berbunga dengan harapan tiba-tiba berubah rona. Dia melihat satu wajah baru di muka Fahmi. Muka seseorang yang sangat dibencinya. Tubuh Fahmi diangkat. Muka Fahmi direnung dalam-dalam.

Makin ketara wajah seseorang yang tidak mahu diingat bertakhta di situ.

"Hissh, kenapa muka budak ni jadi macam ni?" suara Murni tiba-tiba berubah jadi bengis. Tubuh kecil Fahmi digoncang-goncang. Si kecil itu menangis.

"Eh Murni, jangan buat macam tu! Kasihan Fahmi," tegur Nenek Ninda tapi tubuh kecil itu terus dikocok. Tanpa berfikir panjang, Nenek Ninda terus merampas Fahmi daripada pegangan Murni.

"Apa buat macam tu!" sergah Nenek Ninda. Tubuh Fahmi kemas dalam pelukan Nenek Ninda.

"Bagi sini...bagi sini..." suara Murni jadi kasar.

"Murni ni penat. Tak apa, biar nenek jaga Fahmi ya." Pujukan Nenek Ninda termakan pula dek Murni. Melihat Murni tenang saja, dibawanya si kecil itu ke kamarnya.

"Astaghfirullahalazim, dah tak waras ke si Murni ni?" Nenek Ninda beristighfar sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan ke atas katil.

Jantung Nenek Ninda berdegup tiga kali lebih laju daripada biasa.

CR 2 (Siri 45) - Kailnya panjang sejengkal!

“Nenek, ini tempat Murni selalu main kejar-kejar dengan Acap. Tiap kali Acap kejar Murni, abang Qayyum akan ketawa besar di beranda tu tengok perangai kami.” Murni imbas kembali detik-detik indah bersama Ummar Qayyum semasa mereka sering bertemu di kampung dulu-dulu di kala masing-masing belum berumah tangga.
“Murni tak payahlah kenang kisah-kisah lama tu,” Nenek Ninda memberi ingatan pada Murni. Sedaya upaya dia masih mencuba untuk membetulkan keadaan yang memang sudah tidak betul itu tapi setakat itu masih belum berjaya. Murni makin
leka dengan mimpi siang harinya.


“Mana boleh tak ingat nek. Kenangan lama tu tak pernah padam dalam diri Murni kalau nenek nak tahu. Sentiasa segar di sini,” Murni tunjal tepi dahinya.
“Esok lusa, bukan jadi kenangan lagi tapi akan jadi realiti,” sambung Murni selamba. Nenek Ninda mendiamkan diri. Dia tidak berani berkata-kata tanpa berfikir takut Murni akan mengeksploitasikan kata-katanya. Sudahnya dia terperangkap lagi. Semalam Murni sudah me­nyuarakan isi hatinya untuk menjadi isteri Ummar Qayyum. Walaupun terkejut, Nenek Ninda buat biasa saja. Seolah-olah apa yang dikatakan Murni itu bukan hal yang besar.
“Mesti nenek gembira kan?” Murni cuit dagu Nenek Ninda.
“Gembira?” Nenek Ninda curiga.
“Yelah...dulu...nenek kan hendak sangat tengok Murni jadi menantu. Nenek suka kalau Murni kahwin dengan abang Qayyum kan?”

“Dulu dua-dua belum kahwin...”
“Sekarang dua-dua pun dah nak single balik nek,” sampuk Murni laju sekali.
“Kamu dah ada anak,”

“Apa salahnya. Abang Qayyum lagi suka. Dia pula tak ada anak. Bininya keguguran. Nenek tak tahu betapa sayangnya abang Qayyum pada Fahim tau!”

“Qayyum sayangkan Ren,”
“Nenek jangan cakap macam tu. Murni tak suka. Abang Qayyum tak sayang­kan Ren. Ren tu tak tahu jaga suami. Asyik buat hal je. Asyik merajuk je! Merajuk je yang dia tahu...Murni perasan Abang Qayyum lebih selesa bersama Murni...”

Nenek Ninda kian tidak sedap hati. Dia capai penyapu lidi di tepi beranda lalu turun ke tanah. Dia mulai me­nyapu daun-daun kering di laman. Tidak berani dia hendak menoleh ke arah Murni yang masih tersenyum simpul bersendirian di beranda. Otak Nenek Ninda ligat berfikir. Inilah kali pertama dia tidak berasa tenang berada bersama Murni. Dia berasa gelisah yang tidak menentu.

Setiap masa dia perlu berjaga-jaga dengan tutur katanya. Takut Murni tersalah tafsir.

Murni seperti orang mabuk kepayang. Sepanjang dua hari itu Murni tidak habis-habis bercerita tentang impiannya. Murni memasang angan-angan. Angan-angan yang tidak masuk akal. Berangan hendak bernikah dengan suami orang tatkala dia masih lagi menjadi isteri orang. Semasa memasak bersama Nenek Ninda, dia akan bercerita pada Nenek Ninda tentang impiannya.

Tengah bermain dan memandikan Fahmi juga dia bercakap seorang diri tentang rancangannya. Wajahnya ceria setiap kali nama Ummar Qayyum disebut. Nenek Ninda cuba menyedapkan hati sendiri dengan mengatakan bahawa Murni tertekan disebabkan perkahwinan Rais dengan Ros Ilyani, maka dia mencari jalan keluar dengan mencipta impian baru. Tapi Murni menafikan.

“Mana ada. Kan Murni dah kata sejak dulu Murni tak cintakan Rais. Murni hanya sayang Abang Qayyum sorang,”

“Qayyum kan dah kahwin. Murni pun tahu kan?” ulang Nenek Ninda tak jemu-jemu.
“Abang Qayyum tak bahagia dengan Kak Ren. Murni pun tak bahagia dengan Rais. Lepas cerai, elok saja kami disatukan.” Murni tersengih.

Walaupun berasa pelik, Nenek Ninda tetap layan perbualan Murni.
“Itu resam rumah tangga masa mula-mula kahwin.”
“Tapi mereka dah berpisah dan bawa haluan sendiri,”

“Nenek rasa mereka cuba mencari jalan penyelesaian dengan cara berpisah sekejap. Esok, bila masing-masing dah tahu salah masing-masing, pandai-pandailah mereka berbaik semula.”

“Bukan ke nenek suka kalau mereka bercerai? Nenek kan tak suka pada Kak Ren?” Murni mulai angkat suara.
“Eh...mana pulak macam tu Murni.”
“Habis tu nenek selalu marah-marah dan me­ngumpat Rania,”

“Kalau dia salah pada anggapan nenek, nenek katalah tapi tak pernah nenek harapkan mereka bercerai.”
“Mereka akan bercerai. Tunggu masa saja. Murni akan kahwin dengan Abang Qayyum bila mereka bercerai nanti.”

Nenek Ninda terkejut lagi walaupun sudah beberapa kali Nenek Ninda mendengar pengakuan Murni itu. Ini sudah kali kelima Murni tegaskan tentang keinginannya. Setinggi itu harapan Murni? Nenek Ninda tidak sangka. Sampai sekarang pun Nenek Ninda seakan tidak percaya. Meskipun tangannya lincah menyapu daun-daun
kering tetapi fikirannya berputar-putar me­ngenangkan Murni.

“Nenek, marilah duduk dengan Murni. Banyak yang Murni nak bincang ni,” pang­gil Murni. Kerana ragu-ragu dengan kondisi Murni, Nenek Ninda ikut saja kehendaknya. Nenek Ninda duduk di anak tangga.

“Kalau Murni kahwin dengan Abang Qayyum, nenek nak buat majlis macam mana? Ringkas-ringkas je?” Tanya Murni.

“Tunggulah dulu. Kita tak tahu lagi macam mana situasinya. Tunggu sampai Ummar Qayyum balik,” nasihat Nenek Ninda. Sengaja dia main psikologi dengan Murni yang pada anggapannya seperti orang tidak sara.

“Jangan tunggu lama-lama ye nek. Kesian Abang Qayyum tau...”
“Yelah...” Nenek Ninda layan saja.

“Nenek nak tahu? Selama Murni duduk di rumah mereka, Murni nampak hubungan mereka macam mana. Tak macam suami isteri. Murni yang banyak melayan Abang Qayyum. Murni rasa Abang Qayyum pun suka Murni. Barangkali Abang Qayyum menyesal tak kahwin dengan Murni dulu.”

“Entahlah Murni!
“Nenek tak kenal Rania. Dia anak manja nenek,” hasut Murni lagi.

“Sebab dia orang bandar. Kat rumah ada orang gaji,”
“Tulah pasal. Mana dia tahu buat kerja macam Murni.” Murni seronok memuji-muji dirinya.

“Ya...Murni pandai masak...” Ada nada tersirat dalam pujian Nenek Ninda. Sebenarnya dia sudah penat melayan Murni.

“Nenek...Murni nak kahwin dengan abang Qayyum. Lepas mereka bercerai Murni nak kahwin dengan dia. Tak ada orang yang Murni lebih sayang dan cinta selain Abang Qayyum.” Ujar Murni seketika kemudian. Sekali lagi darah Nenek Ninda berderau mendengar pengakuan berani daripada Murni.

“Sejak dulu lagi Murni memang sukakan abang Qayyum. Kalau tak kerana Rania, sudah tentu abang Qayyum dah pilih Murni, nenek. Elok sangat dia dah berpisah dengan abang Qayyum.”

Tidak mahu Murni terus diulit angan-angan, Nenek Ninda berkata lembut.

“Murni...jodoh pertemuan di tangan Allah. Murni kena akur dan jangan sesekali mendoakan sesuatu yang buruk kepada orang lain,”

Muka Murni masam mencuka. Moodnya jadi buruk mendadak. Dia membecak-becak. Dia tidak suka Nenek Ninda menyebelahi Rania.

Esoknya moodnya masih serupa sehingga Nenek Ninda terpaksa mengikut saja rentak bicaranya. Kemudian, barulah dia ceria kembali. Setelah itu, Murni kembali merepek dan mengulang-ulang apa yang diimpikannya.

Masuk hari keempat, Nenek Ninda sudah mulai risau. Tingkah laku Murni pula semakin pelik. Dia suka bercakap seorang diri depan cermin. Ada tikanya dia tinggalkan saja Fahmi bersendirian tanpa memaklumkan pada Nenek Ninda ke mana dia hendak pergi.

Petang itu, sekali lagi Murni menghilangkan diri. Fahmi melalak tidak berhenti semasa Nenek Ninda sedang solat Asar. Terkocoh-kocoh Nenek Ninda ke bilik Murni. Muka Fahmi sudah merah dek tangisan yang tidak berhenti.

Nenek Ninda angkat Fahmi lalu didodoikannnya. Fahmi menangis lagi. Nenek Ninda bancuhkan susu dan Fahmi sedut susu sampai licin. Kemudian Fahmi tertidur balik.

“Lapar rupanya budak ni, mana maknya pergi?” Nenek Ninda intai kelibat Murni dari jendela. Dia tidak ada di laman bawah. Manalah si Murni pergi.

Nenek Ninda terpandang beg baju Murni terselepet di bawah katil.

Hatinya berdetik sesuatu. Dia buka beg Murni. Tak banyak barang di dalamnya. Baju Murni tiada di dalam beg sebab sudah disusun di dalam almari. Nenek Ninda bongkar di celah-celah pelipat beg Murni. Dia terasa sesuatu.

Ditarik keluar. Ada satu uncang kecil. Dibukanya uncang itu dan di dalamnya terkandung botol-botol kecil mengandungi cairan. Ada tujuh biji botol. Semua sudah luak. Ada yang hampir kosong isinya dan ada juga yang sudah luak separuh. Nenek Ninda teringat botol-botol seperti itu masa zaman dia muda-muda. Kawan-kawannya pernah ada botol-botol seperti itu. Nenek Ninda gali lagi kisah silam.

“Botol minyak pengasih ni!” Bisik Nenek Ninda sendirian. “Murni buat apa dengan botol-botol begini?

Nenek Ninda mula terfikirkan sesuatu. Kerana rasa ingin tahu yang menebal, Nenek Ninda hubu­ngi Puan Sri Zalia. Dia mahu tahu cerita daripada Puan Sri Zalia. Apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga Murni dan Rais selama ini?

“Selain itu, ada Murni cerita tentang kisah yang berlaku padanya sebelum dia kahwin dengan Rais?” Tanya Puan Sri Zalia sebaik saja Nenek Ninda selesai bercerita tentang hal Murni selama bersama dengannya di kampung.

“Itu sajalah yang dia cerita. Tentang dia nak bercerai dengan Rais dan tentang rumah tangga Ren dengan Qayyum yang berantakan.”

Keluhan Puan Sri Zalia kedengaran. “Saya nak sampaikan pun takut aibkan Murni,”
“Bagitahu pada akak, Lia...Akak rasa pelik dengan perangai Murni ni. Akak perlu tahu!”

“Fahmi tu bukan anak Rais. Masa Rais berkahwin dengan Murni, dia dah mengandung,” Puan Sri Zalia berterus-terang.

Tersenyap seketika Nenek Ninda dibuatnya. Dia terkejut sungguh. Tak pernah Murni memaklumkannya tentang hal itu.

“Habis kenapa Rais kahwin dengan Murni?”

“Sebab nak selamatkan bayi yang dikandung Murni. Rais terserempak dengan Murni masa Murni nak gugurkan kandungan di klinik swatsa. Rais jaga Murni dan tinggalkan Murni di kondo tapi mereka kena tangkap dengan pegawai dari jabatan Islam. Rais tak perlu kahwin de­ngan Murni pun kalau dia tak hendak tapi dia kahwin juga sebab dia nak elakkan Murni buat perkara yang tak betul.”

Penjelasan Puan Sri Zalia benar-benar mengejutkan Nenek Ninda. Selama ini dia tidak tahu hal itu dan banyak berburuk sangka dengan keluarga Puan Sri Zalia. Dia berasa bersalah dan rasa tertipu dengan Murni.

“Tak pernah Murni berterus-terang dengan akak, Lia,” rintih Nenek Ninda yang diserang rasa bersalah.

“Kita pun dah terima dia seadanya. Taklah kita nak bercerita pada semua orang,”
“Yang buat akak risau ni...dia...”
“Apa kak? Murni nak bercerai?”

“Yang tu akak tak risau tapi akak risau sebab dia berhajat nak kahwin de­ngan Qayyum,” jelas Nenek Ninda.

“Hah???” Terkejut besar Puan Sri Zalia mendengarnya.
“Ya..Lia...dia bagitahu akak, dia nak kahwin dengan Qayyum. Dia kata Ren dengan Qayyum dah berpisah dan tunggu masa nak bercerai saja.

Betul ke?”

“Astaghfirullahalazim...mana ada macam tu kak. Memanglah betul Ren dengan Qayyum tengah bermasalah dan mereka nak berpisah seketika tapi kami taklah mengharap­kan mereka cerai-berai. Buat masa ni kami ikut kata Ren sebab dia baru lepas keguguran.”

“Kata Murni, Ren nak ke Sabah.”
“Ren suruh ayahnya tukarkan dia ke Sabah tahun depan. Tapi Qayyum akan balik Malaysia sebelum Ren tukar.”

“Asing-asinglah duduknya nanti...”
“Yang itu...saya tak pasti kak. Kami sedang berusaha pujuk Ren,”
“Satu lagi Lia...akak jumpa botol-botol kecil dalam beg Murni. Botol apa tu?”

“Yang itu satu lagi. Kami pun jumpa botol tu disorok Murni dalam biliknya. Dia dapat daripada amah Indon yang bekerja di rumah belakang. Pak Mud bawa botol itu jumpa ustaz. Kata ustaz itu botol berisi minyak pengasih. Saya taklah percaya sangat mulanya tapi bila akak sebut pasal dia nak berkahwin dengan Qayyum...mungkin ada betulnya kata-kata ustaz tu,”

“Akak pun rasa gitu juga. Entah apa yang Murni rancang sebenarnya. Di sini, akhir-akhir ni perangainya pun pelik juga. Macam ada yang tak kena saja. Risau akak,”

“Mana Murni sekarang?” tanya Puan Sri Zalia.
“Entah. Dia dah keluar. Tak tahu ke mana dia pergi. Anaknya ditinggalkan sendirian di bilik,”

“Barangkali betul apa yang dikata oleh Kak Rohaya dengan Ren tentang Murni. Saya je yang tak percaya.”
“Mereka kata apa?”

“Macam-macam yang berlaku di sini kak. Kesimpulannya mereka kata Murni ada muslihat. Murni nak runtuhkan rumah tangga Ren dengan Qayyum.”
“Tak mustahil kalau itu yang mereka fikirkan,”
“Bila Murni nak balik sini?”

“Dia ada merancang untuk duduk di kampung,”
“Duduk berdua dengan akak. Janganlah kak.

Bahaya! Saya rasa fikiran Murni tengah kacau sekarang ni. Baik akak bawa dia balik ke Kuala Lumpur semula. Di sini, kami ramai, boleh tengok-tengokkan dia!” Nasihat Puan Sri Zalia. Dia berasa bimbang kini.

Nenek Ninda akui akan kebenaran kata-kata Puan Sri Zalia. Semasa melihat kelibat Murni menaiki tangga depan, cepat-cepat Nenek Ninda matikan telefon.

Murni yang sudah berada di anak tangga atas, menjeling pada Nenek Ninda. Kecut perut Nenek Ninda dibuatnya!

Thursday, May 16, 2013

CT 2 (siri 44) - Ada buaya di sungai bergelora

Murni hampiri Ros Ilyani seusai menyalami tangan Puan Sri Zalia. Ros Ilyani peluk tubuh Murni. Hatinya berasa walang mengenangkan nasib Murni. Sebaik berhadapan dengan Rais, Murni hanya anggukkan kepala tanda hormat. Tidak tergamak rasanya untuk menyalami apatah lagi mencium tangan lelaki yang telah dia usulkan sebuah perceraian.
Semalam, dia meminta Ros Ilyani sampaikan tetapi pagi tadi, entah mengapa ringan saja mulutnya menyampaikan sendiri apa yang terpendam akhir-akhir ini. Ternyata Rais terkejut tetapi sepatah kata pun tidak terkeluar daripada mulut Rais. Kerana cerai itu telah diminta, maka dia harus tahu diri. Dan kini dirinya ibarat sehelai daun yang hampir terlerai dari ranting. Bila-bila masa sahaja akan terlucut haknya sebagai isteri.

“Sampaikan salam Murni pada Kak Ren, mama,” ujar Murni lembut seusai bersalam dengan semua yang ada di situ. Dia mengambil Fahmi dari dukungan Puan Sri Zalia. Beg sederhana miliknya dimasukkan oleh Rais ke dalam kereta, di tempat duduk belakang.

“Sampaikan salam mama pada Nenek Ninda juga ya,” ujar Puan Sri Zalia tatkala tubuh Murni sudah berada dalam kereta.

Tambah hiba hati Puan Sri Zalia melihat Fahmi yang tiba-tiba merengek.
“Lama ke Murni balik?” Masih sempat Puan Sri Zalia bertanya.
“Tak tahulah mama. Terpulang.” Putih mata Murni memandang keluarga Puan Sri Zalia yang masih berdiri di beranda. Kereta sudah bergerak.

“Kasihan Murni!” keluh Ros Ilyani.
“Biarlah dia balik kampung. Itu yang terbaik untuknya. Dia nak mengadu kisah pada Nenek Ninda. Dia tahu Nenek Ninda ada kat sana. Hatinya pedih barangkali,” ujar Puan Sri Zalia sayu mengenangkan Murni.

Mereka masih berdiri memandang ke arah kereta dipandu Pak Mud yang bergerak perlahan membawa Murni bersama Fahmi. Pak Mud diarahkan oleh Puan Sri Zalia supaya menghantar Murni ke perhentian bas kerana dia beriya-iya sangat hendak balik ke Kampung Daun Pisang. Rais mahu menghantar tetapi Murni menolak. Dia bertegas mahu pulang naik bas.

“Saya offer, dia tak nak. Dia kata dia boleh balik sendiri” Rais mempertahankan dirinya. Bimbang kalau-kalau ibunya menyalahkannya pula.

“Patutnya abang hantar saja. Kasihan Ros tengok Murni.” Rasa bersalah melanda Ros Ilyani sejak tadi. Kerana kehadiran akukah yang membuatkan Murni mahu balik ke kampung serta-merta? Fikirnya.

“Macam manalah agaknya tu, dengan beg lagi, kelek si Fahmi pula. Sedih pula mama kenangkan nasib Murni.”
“Mama tak payahlah melankolik sangat. Pandailah Murni jaga dirinya.”
“Kalau dia seorang tak apa abang fikir begitu, ni dengan Fahmi...” Jeling Ros Ilyani pada suaminya.

“Jangan sampai Kak Ninda fikir bukan-bukan pada mama sudah.” Puan Sri Zalia menekap telapak tangan di dada. Bimbang dan risau bermukim.

“Kita dah offer nak hantar ma. Murni yang tak hendak. Takkan kita nak paksa-paksa,” ulang Rais lagi. Bosan kedengarannya.

“Kamu tu pun satu, ambil mudah perkara macam ni.” Bebelan Puan Sri Zalia menyakitkan telinga Rais.

“Saya nak buat apa mama? Dia tak hendak,” tekan Rais lagi.

Puan Sri Zalia tidak terkata. Betul juga apa yang dikatakan Rais. Masakan hendak paksa Murni masuk kereta dan hantar balik kampung. Buat dia terjun dari kereta dalam perjalanan pulang, lagi memburukkan keadaan.

“Tak faham apa dia hendak. Tiba-tiba saja nak bercerai dengan Rais, lepas tu tak sempat-sempat nak balik kampung,” keluh Puan Sri Zalia lagi sebaik sahaja mereka duduk-duduk di ruang tamu sambil minum petang.

“Eloklah dia pergi puan. Banyak buruk daripada baik kalau dia ada di sini,” Makcik Rohaya mencelah sewaktu menghidangkan kek pisang pada tuan rumah sekeluarga.

Puan Sri Zalia menjeling pada Makcik Rohaya.

“Malangnya dia pergi setelah banyak porak-peranda dia tinggalkan di rumah ni. Tengok saja keadaan Ren dengan Qayyum. Dah berpisah jauh jadinya. Kisah minyak pengasih pun hilang lenyap begitu sahaja padahal dialah onarnya!” tambah Makcik Rohaya dengan berani.

Dia kesal sebenarnya. Kesal kerana banyak masalah kecil yang berlaku dalam rumah tersebut menjadi besar disebabkan oleh Murni.

“Tak baik kak cakap macam tu, tak ada bukti Murni yang jadi dalangnya.”
“Satu hari Puan Sri akan percaya. Tuhan akan tunjuk,” jawab Makcik Rohaya dengan yakin dan pergi. Tuan rumah ditinggal terpinga-pinga.

“Mak rasa Murni pergi sebab merajuk,” kata Puan Sri Zalia lama kemudian.
“Saya pun rasa begitu mama. Dia sudah lama merajuk tapi ditahan-tahan. Kali ni, kami berdua ada di sini pula. Dia terus tak selesa kot!” sampuk Ros Ilyani yang dihujani rasa bersalah.

“Tak selesa mengapa?”
“Dia cemburu tengok saya dengan Ros Ilyani,” sahut pula Rais.
“Kenalah biasa-biasakan diri. Namanya pun bermadu,” ujar Puan Sri Zalia sejenak.

Hendak tergelak pula Rais mendengarnya. Bukan main pandai lagi ibunya mengata Murni padahal dia pernah mengalami nasib serupa juga. Masa kena batang hidungnya sendiri dulu, tatkala mendapat tahu dia bermadu dengan wanita berketurunan Filipina, lama mana ibunya memendam rasa pada ayah.

“Kenapa pula kamu tersengih-sengih ni,” jeling Puan Sri Zalia pada Rais.
“Tak ada apa-apalah mama.” Sengaja Rais tidak berterus-terang takut mengguris hati si ibu.

“Kamu pun satu. Mengada-ngada. Depan Murni sengaja bermesra-mesra dengan Ros. Dengan Murni kamu tak buat macam tu!” Sergah Puan Sri Zalia.

“Saya tak cinta, macam mana saya nak bermesra-mesra.”
“Yang kamu kahwin dengan dia buat apa kalau dah tahu tak cinta?”
“Mama kan tahu sebabnya!”
“Tak ada siapa yang paksa kamu!” tempelak ibunya lagi.
“Dahlah mama, yang lepas tak payahlah mama ungkit-ungkit.”

Puan Sri Zalia mendengus. Panjang jelingannya pada Rais. “Semalam semasa dia cakap kat kamu Ros, ada dia cakap dia nak balik kampung?”

“Tak mama. Dia hanya cakap dia nak bercerai. Lepas tu dia pergi. Saya dengan Ren terpinga-pinga sejenak.”

“Esok paginya dia bagi tahu pada saya pula. Saya terkejut juga. Tapi kalau itu yang dia hendak, saya akan bagilah...” Rais berkata selamba.

“Hish, hish kamu ni Rais. Bukan main lagi bercakap tu. Tak sensitif langsung.”
“Dia yang beriya-iya minta. Bukan saya yang suruh.”
“Kamu ceraikan dia?”
“Belum lagi!”

Pening kepala Puan Sri Zalia memikirkan hal anak-anak. Lepas seorang, seorang buat hal.

“Kisah Ren macam mana pula?”
“Yang tu no comment,” sahut Rais.
“Nampak macam Ren dah tekad dengan keputusan dia,” beritahu Ros Ilyani.
“Macam-macam yang berlaku dalam rumah ni. Cerai-berai macam mainan. Mula-mula Ren nak berpisah kemudian Murni. Apa sudah jadi ni?”
“Mama tak payah fikir. Nanti mama pengsan lagi!” nasihat Rais.

Sunyi seketika.
“Kalaulah Ren tekad nak pergi, aduh...sakit jantung mama. Bila tahun pula dia nak balik sini? Hal dia dengan Qayyum macam mana pula?” Nafas Puan Sri Zalia mulai mengah.

“Dia acah saja mama, saja nak gertak Qayyum kot!” ujar Rais mahu menyedapkan hati ibunya.

Puan Sri Zalia diam sahaja.
“Cuti Ren sampai bila mama?”
“Sampai hujung tahunlah. Habis cuti hujung tahun nanti, kalau ikut perancangannya, terus terbang ke Sabah.”

“Qayyum tahu?”
“Nak tahu macam mana? Bercakap pun mama tengok jarang-jarang.”
“Qayyum balik ke sini bila?”
“Bulan Oktober.”

“Barangkali masa tu Ren dah okey kot!”
“Siang malam mama berdoa!”
“Nanti ayah balik, Rais bincang dengan ayah lagi sekali.”

Lega sikit mendengar kata-kata Rais. Jauh di sudut hati, Puan Sri sangat-sangat berharap agar hubungan Rania dan Ummar Qayyum kembali seperti dahulu. Masih adakah cinta antara mereka? Mudah-mudahan awan mendung yang melintasi tasik cinta mereka akan segera berlalu!

Murni leka bermain-main dengan Fahmi. Nenek Ninda berlenggang datang dari arah dapur sambil menatang minuman. Satu jag air sirap bercampur air batu nampak menggiurkan sekali. Sepanjang perjalanan tadi, setitis air pun tidak masuk ke kerongkong Murni. Dia hilang haus dan penat. Dia hanya mahu segera sampai di rumah Nenek Ninda. Dia mahu berjumpa dengan nenek Ninda dan mengadu macam-macam. Kali ini biar Nenek Ninda tahu apa yang ditanggung selama ini.
“Minum dulu Murni,” arahnya sambil duduk di sebelah Murni.

Diperhatikan Murni yang menogok sirap dengan gelojoh sekali. Kasihan budak ini, balik kampung naik bas bersama anak kecil. Nasib baik tak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan! Sampai hati si Zalia membiarkan Murni balik sendirian. Tergamak sungguh dia! Inilah kata orang sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi.

“Rais ada kat rumah?” tanya Nenek Ninda tiba-tiba. Murni angguk.
“Dia pun biarkan saja Murni balik sendiri? Murni diam.
“Sampai hati tengok Murni dengan Fahmi naik bas? Ni anak siapa ni?”

Nenek Ninda angkat Fahmi yang sedang bergolek-golek di tilam. Berderau darah Murni sejenak. Hingga saat itu, Nenek Ninda tidak pernah tahu bahawa Fahmi bukan anak Rais.

“Alah...alah....cian cicit nenek....”
“Bini barunya pun adalah?”
Murni angguk lagi.

“Mereka duduk di mana sebelum ni?”
Murni angkat bahu.
“Murni dengan Rais macam mana?”

Keluhan Murni kedengaran. “Rais tak pernah sayangkan Murni,” katanya dengan yakin.
Dahi Nenek Ninda berkerut.
“Kalau tak sayang, kenapa dia kahwin dengan Murni?

Murni tidak menjawab.
“Kena paksa ke?” tanya Nenek Ninda lagi.

Murni tetap membisu.
“Apa yang Murni rahsiakan daripada nenek ni?” tanya Nenek Ninda tidak semena-mena. “Dia mendera kamu?”

Murni berfikir sejenak. Rais mendera jiwa ragaku. Putih mata Murni menatap mata tua Nenek Ninda.

“Apa kamu bercadang nak buat sekarang Murni?”
“Nenek duduk di sini sampai bila?” soal Murni balik.
“Entahlah. Tengoklah bila Bakhtiar sekeluarga balik dari Amerika.”
“Kalau Murni kata Murni nak duduk di sini dan temankan nenek, nenek nak balik duduk di kampung semula tak?”

Terkejut Nenek Ninda mendengar kata-kata Murni.
“Kan Murni ada suami.”
“Namanya ada suami tapi macam tak ada.”

“Kenapa dengan rumah tangga Murni? Murni tak bahagia?”
“Entahlah. Macam inilah. Macam yang nenek tengok. Bahagia ke Murni kalau Murni balik seorang ke sini?”
“Kamu tak bahagia?”

“Entahlah tapi Murni lebih bahagia duduk di sini daripada sana. Agaknya mereka pun gembira Murni tiada di sana. Seronoklah Rais dapat berkepit dengan buah hati pengarang jantung dia tanpa Murni di sana!”
“Murni marah?”
“Kalau dia bahagia, suka hati dialah nenek.”

Nenek Ninda hilang kata-kata. Sunyi lagi. Nenek Ninda tengok pelepah daun kelapa yang bergoyang-goyang disapa angin dari desa. Hatinya tertanya-tanya tentang situasi Murni.

“Sebenarnya...” kata Murni teragak-agak.

Dahi Nenek Ninda berkerut. Dia menunggu ungkapan Murni yang seterusnya. Melihat air muka Nenek Ninda yang tertanya-tanya, Murni menyambung ayatnya yang tergendala tadi.

“Sebenarnya, Murni dah minta cerai dengan Abang Rais,” kata Murni selamba.
“Cerai? Kenapa?” Terkejut orang tua itu mendengarnya.
“Sebab Murni memang tak cintakan dia. Kami sama-sama tak saling cinta.”
“Tak cinta kenapa kahwin?” tempelak Nenek Ninda.

Pelik pula melihat tingkah laku Murni kali ini. Tiada kelihatan bunga-bunga kesedihan sewaktu dia bercerita tentang rumah tangganya yang berantakan itu.

“Sebab Abang Qayyum pun dah kahwin dengan Rania.”
“Apa kena mengena Qayyum kahwin dengan Ren?” Nenek Ninda berasa aneh. Debaran hati Nenek Ninda kian menjadi-jadi.
“Murni patah hati,” sahut Murni perlahan. Air mukanya hiba amat.

“Sebab itulah Murni kahwin dengan Rais?” Selongkar Nenek Ninda lagi.
“Ya. Tapi Murni tak pernah cintakan Rais. Murni hanya cinta seorang saja dalam hidup Murni.”

Nenek Ninda pandang Murni dengan perasaan yang sukar dimengerti.

“Siapa?” Dalam ragu-ragu Nenek Ninda bertanya. Jauh di sudut hati dia sangat berharap agar jawapan yang bakal diberikan Murni bukan apa yang sedang berlegar di fikirannya.

“Abang Qayyum.”
Nenek Ninda terdiam terus. Aku dah agak! Katanya sendiri. Tidak semena-mena dia berasa takut dan gerun. Berdegup jantung Nenek Ninda seketika. Begitu dalamkah rasa cinta Murni pada Qayyum?

“Qayyum kan dah kahwin.” Nenek Ninda cuba menyedarkan Murni.

“Tapi sekarang dah berpisah pun, Rania pun dah nak berpindah ke Sabah. Eloklah tu seorang di Sweden, seorang di Sabah.”

Rania hendak ke Sabah? Dia tak beritahu pun! Nenek Ninda bermonolog sendiri.

“Nenek pun tak tahu kan? Rania dah tekad nak pindah ke Sabah. Makin jauhlah mereka dipisahkan. Semua yang berlaku dalam rumah tu Murni tahu,” kata Murni bangga sekali.

“Er, berpisah tak bermakna bercerai.”

“Nanti bercerailah tu! Nenek tengok saja,” kata Murni girang.

Apa kena dengan Murni ini? Mendoakan yang buruk-buruk! Dada Nenek Ninda makin kuat denyutannya.

CR2 (Siri 43) - Angin dingin dari belantara

“Dah agak lama kita tak balik rumah mama. Jomlah kita balik,” Ros Ilyani mengemukakan isi hatinya pada Rais. Selama mereka berkahwin, boleh dibilang dengan jari berapa kali mereka telah bermalam di rumah ibu bapa Rais.
Selebihnya, mereka hanya singgah tanpa bermalam.
Rais lebih selesa berada di rumah sendiri. Ros Ilyani sedar akan situasi itu, tetapi sebagai menantu, datang juga rasa bersalah di hatinya. Wajah isteri dipandang penuh kasih sayang.

“Nak balik kenapa?” Soalan bodoh tertanya dek Rais.

“Oh, nak sebab? Okey, sebab pertama itu rumah keluarga abang. Sebab kedua, emak dan ayah abang masih ada dan wajar kita menziarahi mereka. Ketiga, Ros nak jumpa Ren. Ros nak berkongsi masalah yang sedang Ren hadapi sekarang. Sebab keempat...”
“Cukup...cukup...” Rais tersengih macam kerang busuk. Sebenarnya dia lebih suka mereka hidup berjauhan daripada keluarganya kerana di rumah ibu bapanya ada Murni.

Murni yang masih lagi memegang status isteri yang sah. Isteri yang telah dinikahi lebih awal daripada Ros Ilyani. Dan Murni juga merupakan isteri pertamanya. Ah...Murni! Walaupun katanya dia tidak kisah bila Rais mahu berpoligami tapi jauh di sudut hatinya, siapa yang tahu, fikir Rais.

“Boleh ke Ros berhadapan dengan Murni?” Rais menguji Ros Ilyani.
“Masalahnya Ros atau abang? Boleh ke abang berhadapan dengan kami berdua?” tanya Ros Ilyani balik.

“Abang okey saja. Abang bimbangkan Ros.”
“Apa maksud abang ta­nya macam tu?”

“Abang tanya saja.”
“Sebab status Ros sebagai isteri kedua?”

“Bukan sebab Ros tapi sebab abang kenal siapa Ros. Abang kenal isteri abang ni lama sebelum abang kahwin dengan dia, abang bimbang kalau-kalau Ros tak sampai hati nak berdepan dengan Murni.”

“Kenapa pula Ros nak rasa begitu? Abang kan dah cerita pada Ros tentang kisah di sebalik pernikahan abang dengan Murni dulu? Ros dah faham dan insya-Allah Ros boleh hadapi Murni dengan tenang. Tak ada apa yang perlu dikhuatiri.”
Rais memaut tubuh isterinya dengan penuh kasih sayang.

“...dan abang bimbang juga kalau-kalau Murni yang mung­kin tak dapat bersemuka dengan isteri abang ni...”
“Kenapa?”

Keluhan Rais terdengar lagi. Seingatnya, sepanjang bergelar isteri, Murni tidak pernah mendapat layanan sebagai seorang isteri. Murni tidak pernah dicintai malah tidak pernah mendapat tempat di hatinya. Murni mengandung setelah diperkosa oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dia menjadi pak sang­gup dan mengahwini Murni semata-mata untuk menyelamatkan kandungan Murni yang hampir digugurkan.

Perkahwinan mereka hanyalah untuk menutup aib Murni. Dan Murni ibarat boneka di rumah itu. Tidak berperanan! Di rumah ibu bapanya, Murni dan anak­nya diberikan perlindungan. Malah mengikut perjanjian awal, Murni mahu diceraikan sebaik sahaja dia selamat melahirkan anak di rumah ibu bapanya. Namun, setelah dipujuk oleh ibunya, Murni tidak jadi diceraikan malah Murni dengan rela hati mengizinkan Rais untuk me­ngahwini Ros Ilyani.

“Sebab Murni tidak pernah mendapat layanan macam Ros,” kata Rais lama kemudian. “Abang tak pernah anggap dia macam isteri. Abang takut dia tak boleh terima dan tergugat melihat kemesraan kita,” tutur Rais tenang.

Ros Ilyani garu kepalanya yang tiba-tiba berasa gatal.
“Habis, sampai bila kita nak lari daripada dia?”

Betul juga apa yang dikatakan oleh Ros Ilyani. Rais ang­kat bahu.
“Hendak tak hendak dia terpaksa terima juga,” luah Rais setelah berfikir lama.

Kemudian, dia menghubungi ibunya memaklumkan bahawa mereka mahu pulang menziarahi keluarga.

“Eloklah kamu berdua balik. Mama harap kamu berdua boleh nasihatkan adik kamu si Ren ni, mama dah tak kuasa.” Bebelan ibunya kedengaran serius di telefon.
“Kenapa dengan Ren, mama?

“Baliklah, nanti mama cerita,” kata Puan Sri Zalia. Sampai sahaja anak menantunya di rumah petang itu, terus dia berpenglipur lara. Sudah lama dia menunggu masa untuk berkongsi masalah Rania dengan mereka.

“Mula-mula dia kata nak berpisah dengan Qayyum. Masa dia cerita, mama terkejut sampai pengsan,” luah Puan Sri Zalia dengan penuh perasaan.

“Lepas tu masa Qayyum nak balik Sweden, tergamak dia tak hantar Qayyum kat KLIA. Mama tak terkata. Sakit hati mama. Belum habis hal tu, ayah pula bagi tahu mama yang Ren nak pindah balik ke Sabah. Silap hari, mati terkejut mama dibuatnya!”

“Sabar ya mama,” pujuk Ros Ilyani sungguhpun mereka suami isteri juga terkejut mendengar pelbagai berita di luar sangka tentang Rania.
“Kenapa Ren jadi macam tu? Apa masalah dia dengan Qayyum?” Rais tidak faham.

“Kamu tanyalah adik kamu sendiri. Lepas dia keguguran tu, perangainya makin menjadi-jadi. Tak boleh silap sikit, asyik Qayyum jadi mangsanya. Mama tak faham. Mama memang tak reti,” kata Puan Sri Zalia sambil melemparkan pandangan ke tingkat atas - ke arah bilik Rania.

“Ayah kata apa?” tanya Rais lagi.
“Ayah kamu pun serupa. Dua kali lima dengan Ren. Dia izinkan Ren nak balik ke Sabah. Itu yang mama angin satu badan.” Puan Sri Zalia mendengus. Mukanya masam tanda tidak puas hati.

“Kalau Ren dah pindah sana, makin susahlah hal dia dengan Qayyum. Dahlah sekarang seorang kat sini, seorang lagi kat Sweden...nak dijauhkan lagi sampai ke hujung pedalaman,” leteran Puan Sri Zalia berterusan.

Anak menantu memberi peluang untuknya mengadu nasib. Mereka jadi pendengar setia.

“Tolonglah nasihatkan adik kamu tu!” rintih Puan Sri Zalia akhirnya.
Rais dan Ros Ilyani diam sahaja. Sunyi menguasai suasana. Namun seketika kemudian, suara tangisan Fahmi memecah sepi. Lama juga si kecil itu melalak sebelum Puan Sri Zalia memanggil Makcik Rohaya.

“Fahmi menangis dalam bilik tu,” ujarnya pada Makcik Rohaya. “Maknya tak ada,” beritahunya pada orang berdua itu pula.
“Murni ke mana mama?” tanya Ros Ilyani.

“Dia keluar tadi.”
“Keluar ke mana?” sambung Rais pula. Jarang sekali Murni keluar bersendirian selama ini. Sudah pandai tinggalkan anak ke Murni? Hati Rais berdetak.

“Entah. Katanya ada hal,” sahut Puan Sri Zalia acuh tak acuh. Kebelakangan ini dia tidak kisahkan sangat Murni atau siapa-siapa kerana tumpuannya lebih kepada masalah Rania dan masalah kedegilan anak bongsunya itu.

“Kamu tidur di sini tak?” tanya Puan Sri Zalia.
Rais dengan Ros Ilyani saling berpandangan.
“Boleh kan mama?” tanya Ros Ilyani.

“Apa tak boleh pula. Bilik banyak.”
“Bukan masalah bilik! Ni ha Ros ni, takut sangat Murni kecil hati,” luah Rais mewakili Ros Ilyani.

Puan Sri Zalia diam sejenak sebelum berkata, “Tak ada apa-apalah Murni tu rasa mama. Perkara dah lepas pun. Dia pun dah tak kisah. Dia sedar diri dan tahu diuntung,” kata Puan Sri Zalia dan pergi.

Dia datang balik dengan sepiring ubi rebus berserta kelapa parut yang bergaul garam.
“Sedapnya ubi kayu,” kata Ros Ilyani. Lupa sekejap kisah Murni.
“Kopi kat dapur Ros,” kata Puan Sri Zalia.

Ros Ilyani tahu apa maksud yang mahu disampaikan oleh ibu mertuanya. Dia lantas bergerak ke dapur lalu mengelek dulang yang di atasnya terletak teko berisi kopi panas berserta beberapa biji cawan. Dihidangkan di atas meja kopi.

“Lamanya tak makan ubi,” luah Ros Ilyani seraya menyumbat ubi rebus yang sudah dicecah kelapa parut ke dalam mulut. Rais bersama Puan Sri Zalia tidak ketinggalan menjamu selera.
“Mama mengidam nak makan ubi rebus, tu yang suruh Makcik Rohaya beli ubi pagi tadi,” jelas Puan Sri Zalia.

Sedang enak menjamu selera dengan hidangan petang, loceng depan rumah bergema. Makcik Rohaya yang sedang mendukung Fahmi mahu membuka pintu tetapi ditahan oleh Rais.
“Biar saya buka mak cik.” Rais berjalan laju menuju pintu.

Sebaik sahaja pintu terbuka, Murni berdiri tercegat di hadapannya. Mereka berpandangan seketika. Rais tidak tahu bagaimana hendak menegur Murni. Sebuah senyuman nipis dihadiahkan oleh Murni. Rais membalasnya. Dada Murni berdebar-debar tatkala terpandangkan Ros Ilyani yang sedang berbual mesra dengan Puan Sri Zalia.

“Murni dah balik? Hah, jom makan sekali. Ubi panas ni sedap.” Puan Sri Zalia menoleh ke arah Murni.

Murni serba-salah. Selama ini dia berasa seperti orang asing dalam kalangan keluarga itu. Dengan munculnya Ros Ilyani, perasaan terasing itu makin dirasai. Nampak pula tangan sasa Rais digalang pada bahu Ros Ilyani, cepat-cepat dia alihkan pandangan.

“Murni ke mana tadi?” tanya Puan Sri Zalia sebaik sahaja Murni duduk menyaingi mereka.
“Er...Murni jumpa kawan.”

Puan Sri Zalia angkat mukanya daripada cawan kopi yang sedang dipegang.
“Kawan mana?”
“Kawan sama-sama kerja dulu,” helah Murni.

Sebenarnya dia berjumpa dengan bibik Indonesia di pekan Kajang. Dia mahu meminta tolong pembantu asing itu untuk mendapatkan bekalan minyak pengasih yang diperlukan. Dia berasa tidak selamat berjumpa bibik tersebut di belakang rumah. Dapat dirasakan dirinya dicurigai akhir-akhir ini.

Puan Sri Zalia terdiam. Ros Ilyani mulai berasa tidak selesa melihatkan keadaan Murni yang serba-salah. Mendengar suara tangisan Fahmi, Murni ambil kesempatan minta diri.
“Ros pun nak masuk solat dulu.”
“Kita berjemaah ya Ros,” ujar Rais.

“Bila nak bincang dengan Ren?” tanya Puan Sri Zalia bila mereka berdua sudah bangkit.
“Lepas makan malam nanti, bolehlah bincang,” kata Rais.
Lapang Puan Sri Zalia mendengarnya. Dia kembali menikmati ubi kayu rebus dicecah kelapa parut.

***

Mereka solat Asar berjemaah bersama-sama. Selesai membaca doa, Ros Ilyani mencium tangan suaminya lantas Rais pula mengucup dahi si isteri.
“Sepatutnya Murni boleh berjemaah bersama-sama kita,” ujar Ros Ilyani yang masih dalam telekung.
“Kan abang dah cakap tadi...kan betul!”

“Apa?”
“Abang kenal hati budi Ros. Ros tak sampai hati kan? Rasa bersalah?”
Keluhan Ros Ilyani terdengar.

“Jangan lupa bang. Murni pun isteri abang juga tau! Sebelum Ros hadir dan jadi isteri abang, dia dulu jadi suri hati abang,” usik Ros Ilyani.

Rais mengeluh payah. “Namanya isteri tetapi hakikatnya Murni tak pernah jadi isteri abang pun. Abang kan dah cerita pada Ros, abang tak pernah tidur pun dengan Murni.”

“Kasihan juga pada Murni kan bang. Hidupnya...errr...apa agaknya perasaan dia tengok kita tadi,” Ros Ilyani tertanya-tanya. Nurani­nya sebagai wanita agak tersentuh melihat keadaan Murni. Umurnya masih muda tetapi dugaan yang dilalui tidak sepadan usia.

“Lagi kasihan pada kita. Hidup kita lagi tragis sebelum disatukan. Sejak dulu, kita suka sama suka sejak tapi hanya sekarang Tuhan satukan kita.”

“Yalah, dulukan abang tergila-gilakan Haryati...,” sindir Ros Ilyani dengan senyum mengejek. Dia masih ingat betapa sakit dan pedihnya hati apabila mendengar khabar bahawa Rais akan ditunangkan dengan Haryati, yang juga kawannya masa bersekolah dulu.

Kemudian mereka berdua dinikahkan. Selepas itu, Rais mendapat tahu cerita sebenar tentang Haryati. Betapa Haryati sanggup mereka cerita semata-mata untuk berkahwin dengan Rais. Namun, tipu muslihat Haryati pecah juga akhirnya dan impaknya rumah tangga mereka berantakan apabila kebenaran terungkai.

“Yang lepas tu lepaslah Ros, abang tak suka Ros ungkit-ungkit sejarah silam,” ujar Rais lama kemudian.
“Itu hakikatnya bang. Ja­ngan sesekali abang nafikan.”

“Abang tak nafikan cuma abang tak suka kisah lama digali kembali. Tak mendatangkan manfaat pada kita. Lagipun abang baru dapat kehidupan yang selama ini abang inginkan. Kehidupan dengan Ros. Noktah okey!”
“Tapi abang jangan lupa, Murni juga sebahagian daripada kehidupan abang hari ini,” peringatan daripada Ros Ilyani membuatkan Rais tersentak.

“Jadi?”
“Ros berkongsi abang de­ngan Murni.”
“Apa maksud Ros?”

“Abang tak boleh nafikan hak Murni.”
“Ros, jiwa abang tak pernah kahwin dengan Murni selama ini.”
“Ros rasa bersalah. Ros rasa macam perampas yang tak tahu nak berterima kasih! Ros simpati pada Murni.”

“Ros...tolonglah...boleh tak kita tak bercakap tentang ni!”
“Entahlah abang...”
“Tu sebab abang berat hati nak balik. Bukan sebab abang tak ingat mama dan ayah tapi ini yang abang bimbangkan, hati Ros dah berbelah bagi begini. “ Telekung di tubuh Ros Ilyani dibuka Rais.

“Ros dapat rasa kekecewaan Murni. Ros pernah duduk di tempat Murni bila abang kahwin dengan Haryati dulu. Pedihnya hanya Tuhan yang tahu. Malah, Ros rasa apa yang Murni rasakan lebih lagi sebab kami bermadu!”

Wajah isteri yang disayangi ditatap Rais. Kebaikan Ros Ilyani sebenarnya menjadi faktor kekuatan cintanya untuk bertahan dan kian utuh dari hari ke hari. Tapi kebaikan Ros Ilyani juga boleh berubah menjadi ancaman.

“Kalau Ros nak tahu, abang tak pernah rasa sebahagia ini sepanjang bergelar suami. Bersama Ros, barulah abang benar-benar menikmati keindahan sebuah perkahwinan...”
“...cuma Ros tak mahu kebahagiaan yang kita nikmati atas kepedihan dan kedukaan yang dilalui oleh insan lain.”

“Apa yang Ros nak abang buat?”
“Layan Murni seperti mana abang layan Ros!”
“Permintaan Ros keterlaluan.” Rais tidak bersetuju lalu bangkit. Dia menarik sejadah yang dihampar tadi lalu dilipat dan dimasukkan ke raknya kembali.
“Abang tak berminat nak bincang hal ni,” ucapnya de­ngan wajah sebu.

Ros Ilyani melipat telekungnya lalu diletakkan di birai katil.
“Abang nak turun,” kata Rais dan kemudian pergi.

Ros Ilyani bersendirian di kamar. Salahkah permintaanku tadi? Soalnya tidak mengerti. Aku tidak mahu menjadi manusia tamak yang diibaratkan sebagai kacang lupakan kulit. Bukan mudah untuk seorang isteri mengizinkan suaminya bernikah lain tapi Murni izinkan. Tidak salah rasanya untuk aku meminta Rais memberikan apa yang berhak Murni peroleh sebagai seorang isteri yang sah! Tegasnya di dalam hati. Kerana kesunyian bersendirian, Ros Ilyani mengetuk pintu bilik Rania. Bukan kepalang gembiranya Rania melihat Ros Ilyani tercegat di hadapan pintu bilik. Berulang kali kakak iparnya itu dipeluk dan dicium di pipi kiri dan kanan.

“Mana abang Rais?” tanya Rania kemudian.
“Dah turun dulu.”
“Tak jumpa Ren pun.”
“Dia merajuk dengan akak kot,” akui Ros Ilyani.

“Kenapa?”
“Sebab akak minta dia layan Murni baik sikit...”
“Apa masalahnya Kak Ros?”
“Tak ada masalah pun cuma akak rasa tak sedap hati. Akak isteri kedua. Murni isteri pertama tapi Murni tak dapat hak sebagai isteri...”

“Kak Ros kan tahu sebab Abang Rais kahwin dengan Murni kan?”
Ros Ilyani malas memanjangkan hal tersebut. Kerana itu dia menukar cerita. Dia lebih berminat mengetahui tentang masalah yang dihadapi oleh Rania. Dengan Ros Ilyani, Rania selesa berkongsi cerita. Tentang masalah yang dibawa oleh Murni turut disampaikan pada Ros Ilyani.

“Banyak perkara pelik berlaku akhir-akhir ni Kak Ros. Ren dah tak percaya pada Murni lagi. Makcik Rohaya pun perasan benda-benda pelik tu. Kalau Abang Rais tak boleh nak terima Murni pun, Ren faham. Cuma, mama saja yang macam tak percaya. Mama tuduh Ren macam-macam. Mama kata Ren silap pandanglah, salah fahamlah, sedih Ren.”

“Yang Kak Ros tak faham, apa kena-mengena semua yang berlaku ni dengan Qayyum sampai Ren nak berpisah dengan dia? Sebab Ren keguguran ke?”

“Ren rasa antara kami tak ada persefahaman. Ren cuba juga tapi tak upaya.”
“Ren tak boleh buat keputusan terburu-buru. Bagi ruang masa pada kalian berdua,” nasihat Ros Ilyani tulus.

Dia masih ingat semasa di hospital tempoh bulan, kemelut rumah tangga Qayyum dan Rania sudah terbelah, cuma dia tidak sangka belahnya kian melebar.
“Susah Ren nak cerita kak.”
“Ren dah tak sayang dan tak cinta pada Qayyum lagi?” Korek Ros Ilyani.

Rania tidak terjawab. Ketukan di pintu kamar mengganggu perbualan mereka.
Tombol pintu terpulas dari luar. Murni mempamerkan wajahnya.

“Boleh Murni masuk kak?” tanya Murni sopan sekali. Rania terkejut tapi sempat pula berpandangan dengan Ros Ilyani.
“Masuklah Murni,” pelawa Ros Ilyani.

Dia senyum pada Murni. Murni berjalan perlahan-lahan menghampiri mereka lalu duduk di sofa sebaik disuruh Ros Ilyani. Rania berasa berdebar. Apa tujuan perempuan ini datang ke bilik aku?
“Murni nak cakap dengan Kak Ros, boleh?” ujar Murni.
“Murni nak cakap apa?” tanya Ros Ilyani balik.

“Mungkin Kak Ros boleh sampaikan pada Abang Rais apa yang Murni nak cakapkan ni.”
“Apa dia Murni?”
Murni tunduk seketika sebelum bicaranya disambung. “Murni nak minta cerai dengan Abang Rais.”