image atas

image atas

Tuesday, March 12, 2013

CR2 (Siri 9) - Cincin Berlian Tersarung Sudah

“TAKKAN Rais nak dikahwinkan dengan Murni? Tak masuk akal langsung,” bentak Puan Sri Zalia.
Mukanya berkerut. Dia memicit-micit kepalanya.
“Apa yang tak masuk akalnya?” soal Tan Sri Razlan balik. Suaranya tenang. Berbeza benar dengan nada suara Puan Sri Zalia.

“Memang tak masuk akal pun! Nak dinikahkan Rais dengan Murni!” Suara Puan Sri Zalia kian meninggi. Jelingannya pula makin panjang. Murni yang duduk di penjuru tangga tingkat tersentak mendengar suara nyaring Puan Sri Zalia. Dia yang mencuri-curi dengar perbualan suami isteri itu kecut perut dibuatnya.


“Tak ada kena mengena Rais dengan si Murni. Kenapa pula Rais yang kena kahwin?” Puan Sri Zalia memang tak puas hati.

“Awak tak dengar apa kata Rais?”

“Saya dengar. Tapi kita kan emak bapak dia. Kita boleh halang.”

Tan Sri Razlan merenung tajam ke arah muka isterinya. Dia tidak suka isterinya terlalu mengongkong kehidupan anak-anak. Melihat renungan suaminya, Puan Sri yang sedang berdiri duduk mendadak. Dia diam sejenak. Makcik Rohaya yang sedang mengutip piring dan cawan bekas makan petang tidak berani angkat muka. Selesai meletakkan cawan dan piring kotor di atas dulang, dia cepat-cepat berlalu ke dapur.

“Kita ikut keputusan Rais.” Suara tegas Tan Sri Razlan mendominasi suasana sepi di banglo tersebut. Kali ini Puan Sri Zalia diam tidak berkutik. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa menggelegaknya jiwa dan raga. Apabila Rais sampai di rumah setengah jam selepas itu, dia terus dipanggil mengadap ayahnya. Rania juga kebetulan baru pulang dari sekolah. Melihat keadaan yang agak tegang, Rania hampiri ibunya. Sempat pula Puan Sri Zalia berbisik padanya tentang peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Walaupun agak terkejut, Rania lebih simpati dan belas melihatkan keadaan Rais yang kebingungan.

“Rais tak payah fikirkan apa-apa. Ayah dah selesaikan semua masalah. Rais tak perlu turun naik mahkamah. Qayyum pun dah tolong. Semua dalam kawalan. Cuma sekarang ayah nak tanya pada Rais betul ke Rais nak kahwin dengan Murni seperti yang Rais kata?”

“Kalau itu yang terbaik untuk semua, Rais ikut saja.”

“Siapa kata untuk kebaikan semua? Tak ada! Rais tak payah ikut! Kalau Rais tak hendak kahwin tak ada siapa yang paksa. Bukan Rais yang bertanggungjawab pun,” cepat saja Puan Puan Sri Zalia menyampuk. Rais jadi serba salah mendengar kata-kata ibunya.

“Ayah serahkan pada Rais untuk buat keputusan.” Putus Tan Sri Razlan.

Rais angguk. “Saya hanya nak bantu Murni. Dari awal itu niat saya,” tekan Rais.

“Ayah faham. Ada banyak cara kalau Rais nak bantu dia. Tapi Rais tak perlu kahwin dengan dia kalau Rais tak mahu.”

Rais tekun mendengar.

“Kalau Rais setuju, ayah nak masukkan Murni ke Sekolah Sinar Harapan,” usul sang ayah. Rais terkejut mendengarnya.

“Cadangan ayah yang terbaik Rais. Kita hantar saja Murni ke sana,” Puan Sri Zalia terus bersetuju.

“Berikan Rais sikit masa ayah. Biar Rais fikir bagaimana.”

“Tak payah fikir-fikir Rais. Kau jangan jadi pak sanggup. Kau tak ada kena mengena dengan masalah Murni,” hasut Puan Sri Zalia.

Tan Sri Razlan kurang berkenan dengan cara isterinya. Dia mendengus lagi.

“Ayah bagi masa pada kamu. Tapi jangan lama-lama Rais.” Putus Tan Sri Razlan.
Terbeliak mata Puan Sri Zalia mendengarnya tapi melihat wajah serius sang suami dia tidak berani berbunyi. Sejak hari itu, perasaan marahnya pada Murni makin menjadi-jadi. Setiap kali terlihat kelibat Murni turun ke bawah, dia akan menyindir sesuka hatinya. Puas menyindir dia melarikan diri ke dalam bilik.

Menyampah dia melihat muka budak perempuan yang tidak sedar diuntung itu.
Murni pula tidak berani berlama-lama menunjukkan muka di dapur Selesai makan, segera dia membawa diri ke biliknya. Dia berkurung di kamar dan melayari Internet. Penat berInternet, dia membaca pula bahan bacaan seperti novel dan majalah yang dibeli Rania. Sunggupun berasa selamat di rumah mewah itu tapi hati Murni sedih dan berduka.

“Daripada ayah fikirkan masalah si Murni tu lebih baik dia uruskan hal Ren dengan Qayyum,” bebel Puan Sri Zalia keesokan harinya.

Dia memang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh suaminya.
Setiap hari hal Rais dan Murni menjadi topik hangat yang diperkatakan.

“Ada ke patut ayah suruh Abang Rais fikirkan hal itu. Tak masuk akal betul.
Kalau Kak Rindu tahu, mesti dia pun marah,” bebelnya tanpa jemu. Telinga Rania pula seperti kena sumbat mendengar bebelan ibunya yang tidak tahu berhenti.
Bukan dia tidak fikirkan hal dirinya dengan Ummar Qayyum tapi buat sementara waktu ini masalah Rais-Murni lebih meruncing. Belas juga kenangkan nasib Murni.

Di rumah ibunya, Murni seperti burung dalam sangkar. Buat sementara waktu Murni tidak dibenarkan bebas di rumah tersebut. Waktu makan saja dia dibenarkan turun ke dapur. Waktu lain dia dinasihatkan berada di dalam biliknya sahaja. Makcik Rohaya yang dipertanggungjawabkan menjaga Murni semasa Murni berada di rumah tersebut. Sesekali Makcik Rohaya membebel juga.

“Tuah badan budak tu berjumpa keluarga yang baik macam keluarga Ren. Sudah sapu arang ke muka orang, masih dilayan macam tuan puteri,” rungut Makcik Rohaya. Dia memang tidak pernah suka pada Murni. Sejak Murni memfitnah dan menghuruharakan perhubungan antara Rania dengan Qayyum suatu ketika dulu, budak bernama Murni itu tidak pernah ada tempat di hati Makcik Rohaya.

“Hari ini kita tolong dia, nanti lagi banyak Allah tolong kita mak cik,” Rania kurang gemar dengan cara Makcik Rohaya melayan Murni.

“Mak cik tahu tapi mak cik tak boleh nak pujuk hati mak cik supaya suka pada dia,” juih Makcik Rohaya. “Pasal dia, rancangan Qayyum dengan Ren tertangguh lagi. Kata hari tu nak pergi jumpa emak Qayyum kat kampung Qayyum. Jadi tak?”

“Mama suruh pergi juga. Petang esok Ren nak ke Alamanda dengan Qayyum. Tak jadi nak ke KL. “

“Tak kisahlah mana-mana. Yang penting jadik balik kampung Qayyum. Jangan sebab si Murni, tergendalah segala rancangan yang dah Ren atur,” ujar Makcik Rohaya.

Ummar Qayyum tiba di rumah itu seperti yang dijanjikan. Puan Sri Zalia tidak banyak bercakap dibandingkan dengan hari-hari sebelumnya. Namun demikian, sebelum pasangan uda dan dara itu beredar, sempat pula dia berpesan pada Ummar Qayyum supaya mempengaruhi Rais agar tidak bernikah dengan Murni.

Ummar Qayyum tertawa kecil mendengar permintaan wanita itu.

“Mama tengah stres, jangan ambil hati sangat ya,” pesan Rania. Serba salah rasanya apabila mendengar ibu berpesan berbagai-bagai pada Ummar Qayyum.

“I tak risau mama you stres, jangan you stres dah,” ujar Ummar Qayyum dengan wajah cukup ceria. Kereta yang dipandu sudah membelok menuju ke ruangan parkir di pusat beli-belah Alamanda.

“Mama tu bukan apa, terlalu memikirkan tentang Abang Rais.”

“Sekarang ni kita lupakan seketika kisah Rais dan Murni ya! I nak kita fikirkan tentang kita okey,” kata Ummar Qayyum sewaktu beriringan dengan Rania menuju ke sebuah kedai emas.

Dalam hati dia berdoa agar rancangan yang sudah diatur tidak terhalang lagi.
Sebaik sahaja mereka masuk ke kedai emas Habib Jewels, anak muda itu berterus-terang pada Rania tentang niatnya untuk membelikan sebentuk cincin dan mahu Rania sendiri memilihnya.

“Kan cincin hari tu dah ada,” bantah Rania.

“I nak kita mulakan yang baru. Semua yang baru termasuk cincin.”

“Membazir Qayyum.”

“Mana membazirnya. Yang tu jadi hak you juga.”

Malas bertekak hal remeh-remeh begitu, Rania ikut cakap Ummar Qayyum.
Sebentuk cincin berlian berharga lima belas ribu sudah tersarung di jari manis Rania. Jurujual muda yang melayan mereka menelan air liur melihatnya. Ummar Qayyum tersenyum megah. Cincin tersebut kemudiannya ditenggekkan semula di dalam kotak.

“I dah lamar you secara tak langsung ni,” usik Ummar Qayyum.

Rania tidak terucap. Hakikatnya dia suka sesuatu yang ringkas begitu. Tidak perlulah macam drama-drama Melayu yang mana si teruna sampai perlu berlutut sambil memegang bunga untuk melamar gadis idaman mereka. Kesederhanaan itu lebih indah.

“Untungnya kakak dapat cincin semahal ini,” puji jurujual bertahi lalat di hidung.

“Silap tu. Saya yang untung dapat beli cincin untuk dia. Bukan senang dia nak terima,” sampuk Ummar Qayyum. Terkejut jurujual itu mendengarnya. Rania tersipu. Sehinggalah kedua-dua pasangan itu beredar, jurujual itu masih terkebil-kebil memerhati sehingga hilang kelibat mereka.

“I dah cakap pada mak kita jumpa hujung minggu ni, harap tak tergendala lagi.”
Terang Ummar Qayyum semasa mereka makan di Restoren Garden.

“Tak keterlaluan ke masa Abang Rais ada masalah dengan Murni kita fikirkan hal kita?” tanya Rania.

“I terfikir juga tapi takkan nak tangguh lagi.”

“Kasihan abang Rais,” rintih Rania.

“Agak-agak apa keputusan Rais?”

“Hati I berat mengatakan Abang Rais akan nikah dengan Murni sebab baby tu.”

“Dia tak perlu buat sampai begitu.”

“Itulah, tapi tak tahulah kenapa Abang Rais buat keputusan macam ni...,”
rungut Rania.

Ummar Qayyum mendengus, “You boleh terima Murni?”

“Kenapa tanya macam tu?”

“Well, setelah apa yang Murni buat pada you. I tak terkejut kalau you marah pada dia.”

“Entahlah Qayyum. Kalau ikut memanglah marah tapi sampai ke mana marah tu? I kenang kata-kata Abang Rais. Ingat kebaikan yang pernah Murni buat.”

Ummar Qayyum tersenyum. Dia bahagia mendengar kata-kata Rania. “Hati you mulia. Itu sebab I sayang you.”

Rania bertentang mata dengan Ummar Qayyum. Dia cuba mencari sesuatu di mata Ummar Qayyum. Ketara kejujuran bertakhta di mata lelaki yang sejak dulu memikat hatinya. Dia tersenyum.

Hujung minggu tiba. Rania sudah bersiap. Dia masuk ke bilik Murni lalu dimakluminya bahawa dia bersama Ummar Qayyum hendak ke Kampung Daun Pisang.

“Nak balik kampung? Nenek Ninda ada kat kampung ke?” Murni teruja mendengarnya.

Rania angguk.

“Murni nak ikut. Dah lama Murni tak jumpa nenek,” kata Murni tanpa disangka-sangka.

Terkejut Rania mendengarnya. “Murni kan mengandung. Murni kata Murni tak hendak orang tahu.”

“Tak nampak pun kak. Murni nak balik. Murni rindu nak jumpa nenek,” Rengek Murni. Kalut Rania dibuatnya.

“Tolonglah kak. Murni nak balik sangat jumpa nenek.”

“Lebih baik Murni rehat saja kat rumah. Murni kan berbadan dua.”

“Tolonglah kak,” rayu Murni lagi. Pujukan Murni dengan alasan sudah lama tidak berjumpa Nenek Ninda mencairkan hati Rania. Dia turun ke bawah dan memberitahu Ummar Qayyum tentang hasrat Murni. Tercengang Ummar Qayyum mendengarnya.

“Ren, kita nak jumpa mak untuk bincangkan hal kita, sesuai ke nak bawa dia?”

“Bukan setiap masa Murni dengan kita Qayyum. Masa dia tak ada dengan kita, kita bincanglah dengan emak,” pujuk Rania.

Ummar Qayyum geleng kepala namun akhirnya dia mengalah. Apabila hal itu dimaklumkan kepada Puan Sri Zalia, terkedu wanita tersebut.

“Apa lagi kejutan yang Ren nak bagi pada mama ni. Cukup cukuplah tu,” bebel Puan Sri Zalia. Dadanya diurut. Makcik Rohaya berpandangan dengannya.

“Mama, kami balik hari. Bukan tidur kat sana pun.”

“Kamu berdua ni dah kena manderem agaknya, sampai mengalah begitu sekali?”
tuduh Puan Sri Zalia.

“Janganlah mama percaya pada benda-benda karut macam tu. Kalau tak betul dah jadi fitnah ma,” bidas Rania.

“Mama tak faham,” Puan Sri Zalia terduduk. Naik angin dibuatnya. “ Yang dia tu, tak habis- habis nak menyibuk.”

Marah Puan Sri Zalia tapi pandai pula Rania mengubah topik dan buat-buat kalut. Buah tangan yang dikirimi ibu kepada Nenek Ninda sudah berada di tangan Rania. Segera pula diarahkan Murni masuk ke dalam kereta dan berisyarat kepada Ummar Qayyum supaya segera beredar.

Sungguhpun marah, Puan Sri Zalia mati kutu. Kebiasaannya dia akan hantar Rania di depan pintu tapi pada hari tersebut, tak kuasa dia hendak menghantar kerana ternampak kelibat Murni tercongok di tempat duduk belakang.

“Baik-baik memandu Qayyum,” pesannya sebelum masuk ke kamar. Sepanjang perjalanan, Ummar Qayyum tidak banyak berbual-bual dengan Rania. Dia tidak selesa dengan adanya Murni bersama mereka. Rania pula, pada setiap masa asyik bertanya itu dan ini kepada Murni. Sampai di rumah Nenek Ninda, Murni dahulu yang keluar dan menerkam Nenek Ninda. Mereka berdakapan agak lama.

“Tak tahu pula nenek yang Murni ikut sekali, Murni sihat?” tanya Nenek Ninda ramah.

“Sihat nenek. Murni balik sebab rindukan nenek.”

“Makin berisi nenek tengok. Seronok jadi orang Kuala Lumpur ya?”

Murni sekadar tersenyum. Rania didakap erat oleh Nenek Ninda seusai tangan wanita itu disalam. Nenek Ninda melahirkan rasa gembira kerana Rania sudi menumpangkan Murni bersama.

“Baguslah berbaik-baik begini. Buang yang keruh ambil yang jernih,” kias Nenek Ninda dipandang sepi oleh Ummar Qayyum.

Dia tetap kurang selesa dengan kehadiran Murni. Ummar Qayyum memantau kawasan rumah Nenek Ninda yang kemas dan rapi kerana dijaga oleh orang kampung yang diupah ibunya. Murni ke dapur membancuh teh O manakala Rania menggoreng keropok. Ummar Qayyum senang melihat Rania tidak kekok melakukan kerja-kerja di dapur. Sewaktu Murni masuk ke biliknya, Ummar Qayyum ambil kesempatan berbincang sepintas lalu dengan ibunya tentang rancangannya bersama Rania.
Dikeluarkan cincin yang indah bergemerlapan lalu ditunjukkan pada ibu.

“Cantiknya. Padanlah dengan Ren,” puji Nenek Ninda.

“Kamu tak hendak bertunang?” tanya Nenek Ninda.

“Kami nak langsung sekaligus mak. Ren pun dah malas nak bertunang-tunang.”

“Tak nak merisik dan bertunang, buat apa beli cincin?” Nenek Ninda pandang Ummar Qayyum bergantian dengan Rania.

“Cincin ni tandanya saya dah ikat Ren. Kami rancang bila saya balik sekali lagi hujung tahun nanti, kami terus nikah,” jelas Ummar Qayyum.

“Apa salahnya ikat dengan adat sikit,” tegur Nenek Ninda.

Rania diam cuma. Nenek Ninda capai cincin yang bertenggek di atas kotak kecil yang cantik.

Tangannya menarik tangan Rania. Perlahan-lahan disarungkan cincin indah gemerlapan itu ke jari Rania.

Hampir menitik air mata Rania detik itu. Saat indah itu sempat pula dirakam Ummar Qayyum melalui telefon bimbitnya.

“Tak mengapalah kalau kamu berdua tak mahu merisik dan bertunang, emak sarungkan saja,” ujar Nenek Ninda.

Sewaktu Rania bersama Nenek Ninda sudah turun ke kebun di belakang rumah, Murni hampiri Ummar Qayyum sebelum sempat lelaki itu menyaingi Rania dan Nenek Ninda.

“Abang, Murni nak cakap sikit,” Murni memintas laluan Ummar Qayyum membuatkan lelaki itu tersentak. Di bawah, Rania masih leka berbual dengan Nenek Ninda.

“Abang nak turun kat bawah.”

“Murni nak cakap dengan abang.”

“Tak manis kita berdua kat atas. Kalau nak bercakap, kita turun kat bawah saing emak dengan Rania.”

“Abang dah tak macam abang yang Murni pernah kenal dulu. Abang dah banyak berubah.”

Tuduh Murni tanpa mempedulikan kata-kata Ummar Qayyum.

“Apa Murni cakap ni? Abang, Kak Ren dan Murni dah lalui macam-macam.Abang harap semua yang berlaku makin mematangkan Murni.”

“Apa yang berlaku pada Murni sikit sebanyak berpunca daripada abang,” tuduh Murni lagi menyebabkan Ummar Qayyum sedikit tersinggung.

“Boleh tak Murni jangan keruhkan situasi. Tadi kat rumah Kak Ren apa yang Murni janji? Murni kata nak ikut sebab nak jumpa nenek kan?” Ummar Qayyum mengingatkan Murni.

Murni merengus.

“Kak Ren dah begitu baik pada Murni. Murni tak kasihan pada Kak Ren?”

“Habis siapa yang nak kasihankan Murni bang? Dalam keadaan Murni macam ni siapa yang malang? Siapa? Kak Ren anak orang kaya. Dia dapat semua. Murni ni?”
Murni tinggikan suara. Matanya bergenang.

“Apa yang Murni nak sebenarnya? Kak Ren dah banyak berkorban untuk Murni tahu?”

“Abang hanya nampak pengorbanan Kak Ren? Pengorbanan Murni jaga mak abang bertahun-tahun tu apa? Abang tak sedar?” bentak Murni.

Ummar Qayyum mendengus. Dia menggelengkan kepalanya. Kerana marah dan kecewa dengan sikap Murni yang masih tidak matang, Ummar Qayyum pergi. Dia menyaingi ibu bersama Rania di belakang rumah.

Sejuk hati Ummar Qayyum melihat kemesraan antara ibu dengan Rania. Murni mengintai dari tingkap dapur. Hatinya bertambah sakit melihat gurau senda Ummar Qayyum dengan Rania. Dia berasa sedih dan terasing. Dalam bumi Tuhan yang maha luas ini, tidak ada tempat untuk dirinya. Seolah-olah bumi tercipta hanya untuk Rania. Semua orang nampak kebaikan Rania termasuk Ummar Qayyum. Dan kini lelaki itu, sebelah mata pun tidak pandang padanya. Murni intai Ummar Qayyum di sebalik tingkap dapur. Ternampak olehnya cincin berlian yang bergemerlapan di jari manis Rania. Hatinya makin hangat. Hidungnya kembang kempis menahan amarah yang bergelodak. Dia yakin cincin itu baru sahaja tersarung di jari Rania di rumah Nenek Ninda. Sudah ada ikatan antara mereka rupanya! Rasa marahnya berselang seli dengan rasa hiba yang teramat sangat.

Alangkah beruntungnya sesiapa yang dapat menikahi Ummar Qayyum. Dia sangat sempurna di mata Murni. Rupa paras Ummar Qayyum yang kacak. Kaya lagi bergaya dan paling penting dia bertanggungjawab dan baik hati. Spontan, dia teringat akan Ammar Zulkarnain. Lelaki durjana yang telah merosakkan dirinya. Lelaki itu sangat dibencinya. Dia meludah ke sinki. Lelaki sial! Seranahnya sedang air mata sudah bergenang. Seperti langit dengan bumi untuk dibandingkan dengan Ummar Qayyum.

“Murni,” terdengar laungan Nenek Ninda dari bawah. Murni terkejut. Segera diseka air mata lalu menjengah dari tingkap atas.

“Jerang nasi dulu ya Murni,” arah Nenek Ninda. Dia perasan Ummar Qayyum langsung tidak menoleh padanya.

“Tak apa nenek, biar Ren yang jerang nasi,” Rania lantas bangkit. Dia teringatkan Murni yang berbadan dua.

“Hiss tak apa Ren, Murni tu dah biasa kat sini. Dia boleh buat,” tegah Nenek Ninda.

Murni tersinggung dengan kata-kata Nenek Ninda. Aku ni umpama babu di rumah ini. Dari dulu sampai sekarang.

“Ren, lepas ni you tak boleh panggil nenek tau. You kena panggil mak I mak...,” tegur Ummar Qayyum. Nenek Ninda tersenyum mesra.

“Panggil nenek pun apa salahnya, sekadar panggilan.”

“Nanti orang ingat saya ni pak saudaranya pula mak,” ujar Ummar Qayyum.

Gurau senda mereka masih terdengar dek Murni. Hatinya makin pedih lebih-lebih lebih lagi melihatkan kemesraan antara Nenek Ninda dengan Rania.

“Bergembiralah kau Rania, ini hari kau,” rintih Murni seraya membasuh beras.

Sebaik saja periuk nasi ditenggek, tiba-tiba dia berasa mual yang teramat sangat. Murni terduduk dan berusaha menahan gelodak yang menendang-nendang dari dalam perut. Lega seketika tapi kemudian rasa mual itu menjelma kembali dan berulang-ulang. Dia bergegas ke bilik air dan muntah. Kepalanya berpinar-pinar.
Sebelum tumbang, sempat tangannya berpaut pada palang pintu. Dia menjerit memanggil nama Nenek Ninda.

Sebaik sahaja tersedar, wajah Rania yang dilihat dulu. Murni meminta air suam. Tekaknya masih berasa loya. Ummar Qayyum bersama Nenek Ninda muncul kemudian. Nenek Ninda duduk di sisi Murni. Kepala Murni diusap lembut.

“Murni tak sihat ke?” Nenek Ninda pandang sayu muka Murni. Belas berelung di hati Nenek Ninda.

“Murni sakit?” tanya Nenek Ninda lagi. Murni serba salah. Murni masih mual-mual. Nenek Ninda pegang dahi Murni. “Kalau Murni tak sihat, biar nenek dengan Ren masak. Murni berehatlah ya,” ujar Nenek Ninda dan keluar. Ummar Qayyum dipanggil Murni.

“Abang tolong unjukkan tuala tu,” arah Murni. Semasa Ummar Qayyum meletakkan tuala yang dipinta Murni di tepi katil, tanpa diduga, Murni tarik lalu menggenggam tangan Ummar Qayyum.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment