Bagaimanapun Puan Sri Zalia sudah menasihati Rais untuk tidak menceraikan Murni malah memberi kebenaran untuk dia mengahwini Ros Ilyani kalau itu yang dia mahu.
Hati Murni sebenarnya mendidih tapi kenangkan itu lebih baik daripada diceraikan, dia diam sahaja. Mukanya tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Dia menahan sakit hatinya dengan menyibukkan diri melayan Fahim. Namun, hatinya berasa sedikit terhibur apabila melihat wajah masam Rania melewati mereka. Mesti masih tak bertegur sapa! Detiknya.
“Masam saja muka,” tegur Puan Sri Zalia kepada anaknya.
Rania tidak menjawab tapi Ummar Qayyum yang mengekor di belakangnya angkat kening pada ibu mertua.
“Tak habis lagi?” tegurnya perlahan. “Entah apalah kena si Ren tu,” secara tidak sedar dia mengadu pada Murni.
“Daripada hari tu, berlanjutan tak selesai-selesai. Keras kepala rupa-rupanya si Ren ni. Nasib baik Qayyum ni penyabar orangnya,” rungut ibu mertuanya lagi.
Dia mengerling sekilas pada Rania yang berlenggang membawa mug berisi minuman panas menuju ke ruang menonton.
“Buat untuk diri sendiri saja?” tegurnya pada Rania apabila mendengar bunyi minuman dibancuh di dapur.
Dia tahu Ummar Qayyum membancuh sendiri Nescafe kegemarannya. Makcik Rohaya dibawa Pak Mud ke pasar raya untuk membeli barangan dapur. Kalau tidak, orang tua itulah yang rajin melayan Ummar Qayyum.
“Saya suka buat sendiri, mama. Ren buat manis,” gurau Ummar Qayyum sewaktu melintasi mereka.
Dia kemudiannya duduk menyaingi Rania menonton televisyen. Ruang menonton itu asalnya ruang kosong yang menempatkan rak buku. Kalau tidak membuat kerja sekolah di dalam biliknya, di ruang itulah, akhir-akhir ini Rania menyelesaikan kerja-kerja sekolah.
Dia mengambil inisiatif meletakkan sebuah televisyen untuk menghiburkan hati sambil menanda buku-buku pelajar. Dari kerlingan matanya, Murni tahu Ummar Qayyum sedang memujuk Rania. Butir bicara Puan Sri Zalia kurang diberi perhatian kerana dia lebih berminat untuk melihat perkembangan orang berdua itu.
“Kalau Ren rasa abang salah sebab tak beritahu pada Ren tentang kisah Ummi Kalthum tu, abang minta maaf,” ujar Ummar Qayyum entah untuk berapa kali pun dia tidak pasti.
Sudah lebih seminggu Rania bena tak bena terhadapnya. Dia penat memikirkan kemelut yang melanda perkahwinan mereka yang masih hijau itu. Masalah antara mereka yang kononnya berpunca daripada Ummi Kalthum melarat-larat jadinya. Padahal Ummi Kalthum haram tidak tahu menahu.
Dulu, Rania merajuk kerana kes dia bersembang agak lama di telefon dengan Ummi Kalthum. Sekarang sekali lagi Rania marah gara-gara tidak dimaklumkan bahawa Ummi Kalthum dulu pernah jadi kekasihnya semasa sama-sama belajar di Sydney. Entah siapa pula yang menyampaikan pada Rania kisah yang sudah lapuk itu. Sangkanya hal-hal yang sudah basi itu tidak perlu lagi disorot kembali tetapi perkara itulah yang menjadi punca kemarahan dan kecemburuan Rania.
Rania buat selamba. Matanya tertancap pada skrin televisyen. Drama Melayu yang bersiaran petang itu menarik minatnya pula. Sesekali dia menghirup Milo panas.
“Ren, kita keluar jalan-jalan,” ajak Ummar Qayyum.
“Tak ada mood,” sahut Rania endah tak endah.
“Sampai bila Ren nak bermasam muka dengan abang ni?”
“Abang ingat Ren suka?” soalnya balik.
“Kalau tak suka, tak payahlah gaduh,” pujuk Ummar Qayyum lagi.
“Ren kecewa dengan sikap abang.”
“Abang tahu. Kan dah berkali-kali abang minta maaf.”
Rania tetap buat muka ketat. Memang benar apa yang dikatakan oleh Ummar Qayyum. Sudah berpuluh-puluh kali Ummar Qayyum memohon maaf dan tidak jemu jelak memujuknya tapi kenapa hatinya keras benar? Kerikil pun tidak sekeras ini!
“Ren tak rasa rugi ke saat-saat manis yang patutnya kita kecapi bersama kita penuhi dengan salah faham begini?”
Rania terdiam seraya memikirkannya. Ada benarnya kata-kata Ummar Qayyum itu. Seingat Rania detik-detik indah mereka berlaku sekitar bulan madu di sebahagian benua Eropah sahaja. Kemudian, berbagai-bagai masalah timbul. Masalah kecil tapi ibarat kudis yang merebak jadi barah.
Barahlah jadinya kini. Adakah aku akan menambahkan lagi barah yang nampaknya kian bermaharajalela? Aduhai hati, sabarlah! Rania bingung. Rasa bersalah menyelinap tiba-tiba. Besar sangatkah salah Ummar Qayyum kerana tidak berterus-terang tentang kisah silamnya? Soalnya pada diri sendiri. Ah!
Tiba-tiba dia berasa malu sendiri. Agaknya aku ini terlebih emosi - mengalahkan budak-budak! Dia mengutuk diri sendiri. Tangannya digenggam Ummar Qayyum.
“Jangan gaduh lagi ya!” pujuk Ummar Qayyum.
Ego Rania datang. Tangannya ditarik tetapi Ummar Qayyum genggam semula. Lama-lama Rania mengalah.
“Lama benar abang tak nampak wajah lembut isteri abang ni,” Ummar menarik isterinya hampir padanya.
“Fahim nak dengan Ucu kejap!” Muncul Murni tiba-tiba. Rania meregangkan tubuh mereka. Murni menyuakan Fahim pada Rania.
“Murni ada kerja. Boleh Kak Ren tengokkan Fahim kejap?” tanya Murni.
“Ok.” Rania mendodoikan Fahim yang kelihatan tidak selesa. Menyedari si kecil itu kebasahan, Rania menggantikan lampin pakai buangnya.
“Baru saja nak berkasih-sayang,” bisik Ummar Qayyum.
Rania tersenyum simpul. Tiba-tiba telefon bimbit Rania yang terletak di atas meja kopi berbunyi. Nama Halim tertera di skrin dan terpandang pula dek Ummar Qayyum. Rania tersenyum.
“Nak Ren jawab ke tak?” Rania usulkan pertanyaan.
“Jawablah,” sahut Ummar Qayyum ikhlas. Bayi di kendongan Rania diambilnya. Murni datang balik.
“Kak Ren dah gantikan ‘pampers’nya tadi,” ujar Ummar Qayyum pada Murni.
Fahim yang sudah lena dalam dodoian Ummar Qayyum diambil semula oleh Murni. Saat lengan sasa Ummar Qayyum secara tidak sengaja mengenai lengan Murni, dia berasa kehangatan yang luar biasa. Perasaan Murni tidak menentu. Dikawal hatinya yang tiba-tiba berkembang-kembang persis mawar-mawar yang sedang
mekar di taman belakang. Pisang jangan dibiar berbuah dua kali! Detik hatinya memberi peringatan pada diri sendiri. Dulu, lama sungguh Ummar Qayyum tidak menegurnya gara-gara dia memegang erat tangan lelaki itu.
Ah! Ummar Qayyum perasaan cintaku padamu tak akan pernah padam.
“Bila Abang Qayyum nak jumpa Nenek Ninda?” tanya Murni.
“Kenapa? Murni rindukan Nenek Ninda ke?”
“Rindu. Kalau Abang Qayyum nak jumpa nenek, Murni nak ikut juga, nak bawa Fahim jumpa nenek.” Murni terus mendodoikan Fahim yang begitu jendera sekali.
“Yalah,” sahut Ummar Qayyum sepatah.
Sepatutnya Rais yang membawa isterinya tapi ah...Rais! Ada-ada saja kau. Sungguhpun Ummar Qayyum turut dikisahkan dengan rancangan Rais hendak menikahi Ros Ilyani, jauh di sudut hati dia berasa belas pada Murni. Beginikah nasib Murni?
Dipandangi pula Fahim yang lena betul. Teringin pula dia untuk menimang cahaya mata sendiri. Melihat Murni masih tercegat di sisinya, diarahkan ibu muda itu meletakkan anaknya di katil bayi di ruang tamu kedua. Kemudian Ummar Qayyum mendekati Rania yang masih berbual-bual dengan Halim di telefon.
Agak lama juga mereka berbual. Beginikah perasaan Rania semasa aku berbual dengan Ummi Kalthum dulu? Fikirnya seraya merenung wajah isteri tersayang. Rania menunjukkan isyarat tunggu. Ummar Qayyum dapat mendengar dengan jelas butir bicara Rania dengan Halim. Perbualan mereka berkisar tentang buah jambu dan buah anggur. Pokok buah anggur yang diusahakan oleh Halim sudah membuahkan hasil barangkali , fikir Ummar Qayyum sendiri.
Tidak lama kemudian telefon bimbit Ummar Qayyum yang juga terletak di atas meja turut berdering. Nama Ummi Kalthum tertera di skrin. Berderau darah Rania serta-merta. Dadanya berombak-ombak. Fokus perbualannya bersama Halim hilang serta-merta. Sebelum menjawabnya, Ummar Qayyum terlebih dahulu memandang Rania. Rania melemparkan pandangannya ke arah lain.
Deringan itu mati sendiri akhirnya. Tidak lama kemudian, telefon bimbit Ummar Qayyum berdering lagi.
Hati Rania makin panas. Dia memejamkan mata. Suara Halim yang galak bercerita tidak menarik minatnya lagi. Hatinya patah tatkala melihat Ummar Qayyum akhirnya kalah dengan situasi. Panggilan itu dijawab.
“Halim. Kita sambung nanti ya!” Suara Rania jadi lesu.
Dia masih duduk di sebelah Ummar Qayyum. Sengaja dia matikan perbualannya dengan Halim supaya dia dapat meneliti perbualan antara Ummar Qayyum dengan Ummi Kalthum. Aku teringin hendak tahu! Hatinya berdetik.
Ummar Qayyum tidak berganjak dari duduknya. Dia pasrah. Kalau Rania mahu dengar isi cerita antara dirinya dengan Ummi Kalthum, dia rela. Biarlah Rania dengar. Cuma harapannya Rania lebih rasional. Rania pasang telinga. Jelas sekali, suara esakan berbunyi di corong bunyi telefon bimbit Ummar Qayyum. Perempuan itu menangis. Apa yang ditangiskan pada Ummar Qayyum?
“Sabarlah Ummi,” pujukan Ummar Qayyum terdengar bagai sembilu di telinga Rania.
Dia makin tidak selesa. Rania memberi isyarat supaya Ummar Qayyum berhenti. Serba salah lelaki itu dibuatnya. Sekali lagi Ummar Qayyum menunjukkan isyarat tunggu. Kerana sakit hati, Rania pergi dan tinggalkan Ummar Qayyum sendirian.
“You kat mana Ummi?” tanya Ummar Qayyum.
Hatinya sudah mulai tidak menentu. Dia yakin Rania sangat marah padanya saat itu. Masakan mahu diputuskan talian telefon dengan Ummi Kalthum dalam keadaan Ummi Kalthum benar-benar memerlukan pertolongan. Tadi, telah dinyatakan oleh Ummi Kalthum bahawa ibu bapanya berada di Perth menziarahi kakaknya yang baru melahirkan anak di sana.
“Kat rumah I. Badan Batrisha makin panas Qayyum. Annastasia pula asyik menangis tak henti-henti. I tak tahu nak minta tolong siapa.”
“Farhan?” usul Ummar Qayyum.
“Farhan out station.”
Dari berdiri Ummar Qayyum terduduk. Tidak mampu untuk dia membuat keputusan pada saat-saat genting sedemikian.
Lokman!Lokman! Kenapa kau buat hal waktu begini? Sebelum ini, beberapa kali juga Ummi Kathum menghubunginya bercerita tentang Lokman Hakim. Perkahwinan mereka bermasalah sejak dulu. Ummi! Ummi! Keluh Ummar Qayyum sendiri.
“You boleh datang Qayyum?” Rayu Ummi Kalthum lagi.
“You tunggu kat luar rumah. I tak masuk ya!” pesan Ummar Qayyum lantas terus dimatikan talian.
Dia bergegas naik ke atas. Rania mengunci dirinya di dalam kamar. Niat di hati mahu mengajak Rania ikut sekali menjenguk Ummi Kalthum anak-beranak. Namun, puas dipanggil dan diketuk pintu kamar mereka tapi Rania memencilkan diri.
“Sayang, buka pintu. Abang nak bincang sikit,” panggil Ummar Qayyum.
Suaranya sengaja diperlahankan. Dia tidak mahu kemelut yang baru berputik itu sekali lagi dihidu oleh ahli keluarga. Rania tetap membatukan diri di balik pintu.
“Ren...please,” rayunya lagi tapi tidak meninggalkan kesan.
Rania juga tidak menjawab panggilan telefonnya. Kerana kasihankan anak-anak Ummi Kalthum, Ummar Qayyum tekadkan hati untuk pergi. Ditinggalkan pesanan ringkas di telefon pada Rania. Seperti hendak menjerit Rania dibuatnya sebaik sahaja membaca mesej pesanan yang baru dihantar oleh Ummar Qayyum
“Sayang, abang pergi sekejap. Anak Ummi sakit. Abang tolong hantarkan ke klinik. Sayang jaga diri, balik nanti abang cerita. Love you!”
Rania baling telefon bimbitnya di atas tilam. Sakit hatinya tidak dapat dibendung lagi. Dia berlari ke jendela dan nampak kereta Ummar Qayyum meluncur laju meninggalkan kawasan rumah mereka. Rania menangis sendirian. Sebak hatinya usah dikata. Selesai solat Asar, dia turun ke bawah. Dia nampak Makcik Rohaya sedang memicit kepala ibunya di tepi sofa.
“Mama kenapa?”
“Kepala mama pening. Qayyum ke mana tadi? Tergesa-gesa mama tengok.”
“Ada hal kecemasan dengan kawan dia,” dalih Rania.
Lebih baik mama tidak tahu kemelut yang melanda hidup aku. Sampai hati kau Qayyum, kau carikkan lagi selimut hatiku yang sudah tetas.
“Kawan yang mana? Kenapa Ren tak ikut sekali?” Kepala Puan Sri Zalia sudah terteleng ke arah Rania.
Sebelum ini, sudah berbuih mulutnya berpesan pada Rania supaya mengikut Ummar Qayyum kalau suaminya itu ke mana-mana. Jangan sampai jadi macam dirinya. Dimadukan sekian lama tapi dia tidak tahu. Sesudah madunya meninggal dunia, barulah dia diberitahu. Itu pun kerana wujudnya anak suaminya dengan madunya - Zara Aliya. Kalau tidak, cerita itu akan berkubur begitu sahaja. Dasar lelaki!
“Rania penat. Malas nak ikut, “ sahutnya acuh tak acuh.
Dia menghampiri Murni yang sedang membaca akhbar di sebelah katil Fahim. Fahim lena di dalam katil kecilnya. Rania mengajak Murni menemaninya duduk-duduk di pondok halaman rumah. Sengaja dia membawa Murni ke situ supaya perbualan mereka jauh dari ibu dan Makcik Rohaya.
“Murni, boleh akak tanya sikit?” tanyanya bila mereka sudah bersantai di pondok.
“Tanya apa?”
“Tanya tentang hidup Murni.”
Murni berasa agak pelik dengan soalan Rania. Apa yang dia mahu tahu? Tentang kisah aku dengan Ummar Qayyum sebelum bertemunya atau mahu tahu tentang Fahim? Nak tahu bagaimana aku terlanjur mengandungkan Fahim atau siapa ayah Fahim? Selama dia bernaung sebumbung dengan keluarga itu, hal Fahim tidak pernah dibangkitkan? Apa yang dia hendak tahu tentang hidup aku? Murni berasa tidak selesa.
“Boleh?” Rania tekankan pertanyaan itu. Air muka Murni seperti ragu-ragu.
“Errr, Kak Ren nak tahu apa tentang Murni?”
“Sebenarnya Kak Ren kagum dengan Murni...” pujian Rania melegakan Murni.
Namun begitu, pujian Rania tidak melambungkan Murni ke angkasa. Dia diam menanti butir bicara seterusnya daripada mulut Rania.
“Macam mana Murni boleh jadi sebegini tabah?”
“Maksud akak?”
“Dari awal Murni sampai ke rumah ini, akak menelusuri kehidupan Murni. Akak nampak Murni tabah dan sabar mendepani hidup walaupun hidup Murni tak senang di rumah ini.”
Murni mengerutkan dahinya tanda kurang faham. “Tak senang?”
“Maksud akak bukan dari segi makan pakai tapi yalah, Murni fahamkan?”
Murni angguk. Kau tidak tahu Rania! Bukan aku tabah atau sabar seperti yang kau nampak tapi aku terpaksa berpura-pura untuk meneruskan kehidupan ini! Dalam hati ini, hanya Tuhan yang tahu! Getusnya sendiri.
“Akak kagum dengan Murni. Padahal di rumah ini, Murni kena sindir, kena perli dengan mama tapi Murni kuat dan dapat bertahan sehingga akhirnya mama terima Murni dengan ikhlas. Dengan Rais pun Murni diuji tapi akak lihat Murni tenang sangat... macam tak kisah.”
“Murni ni macam melukut di tepi gantang kak!” sahutnya hiba.
“Akak nak cuba jadi macam Murni tapi akak rasa akak tak mampu!” rintih Rania. Air matanya mulai bergenang-genang.
“Ada masalah lagi ke Kak Ren dengan Abang Qayyum?” tanya Murni.
Dia terbau sesuatu yang pelik. Tadi elok saja mereka macam belangkas. Tiba-tiba berubah macam dilanda tsunami. Kenapa? Memang tadi dia nampak Ummar Qayyum keluar tergesa-gesa. Wajahnya serius. Bergaduh lagikah mereka? Bagus! Itu yang aku nak dengar. Rania menyeka air matanya yang sudah mulai menitis di pipi.
“Murni kenal Abang Qayyum jauh lebih lama daripada Kak Ren. Bagaimana Abang Qayyum pada pandangan Murni?” tanya Rania ikhlas.
Dia mati kutu. Saat itu, dia rasa dia samar-samar tentang Ummar Qayyum.
“Abang Qayyumkan suami Kak Ren. Sepatutnya Kak Ren yang lebih kenal dia.”
“Kak Ren rasa macam Kak Ren dah tak kenal Qayyum. Dia berbeza dengan Qayyum yang Kak Ren kenal dulu. Kak Ren rasa hatinya tak sepenuhnya pada Kak Ren,” Rania mengadu.
“Kenapa Kak Ren cakap macam tu? Kak Ren dengan dia bergaduh lagi ke?”
“Murni nampak Abang Qayyum keluar tadi?” tanya Rania. Murni angguk.
“Murni tahu ke mana Abang Qayyum pergi tu?”
Murni menggeleng.
“Dia ke rumah Ummi Kalthum. Dapat panggilan dari perempuan tu, terus saja pergi,” marah Rania.
Murni terkejut mendengarnya. “Buat apa dia ke sana kak?”
“Dia kata anak Ummi Kalthum sakit.”
“Kenapa Abang Qayyum pula yang kena tolong? Ummi Kalthum tak ada suami atau ahli keluarga yang lain ke?” Murni masukkan jarum hasutan.
“Itu yang Kak Ren tak faham.” Wajahnya hiba benar. “Atau mungkin Kak Ren yang terlebih cemburu?”
“Mana ada. Wajarlah kalau Kak Ren cemburu. Kalau Murni duduk di tempat Kak Ren pun Murni akan cemburu.”
“Kenapa Abang Qayyum buat macam tu? Dia langsung tak jaga hati Kak Ren padahal kami baru saja nak berbaik-baik tadi,” Rania bercerita.
“Entahlah Abang Qayyum ni, peliklah...”
“Kenapa Abang Qayyum lebih mengutamakan kebajikan orang lain daripada menjaga perasaan Kak Ren? Kak Ren kan isterinya?” soal Rania tidak mengerti.
“Entahlah kak, Murni rasa Abang Qayyum sayangkan Kak Ren cuma...”
“Cuma apa...” potong Rania.
“Kalau Murni cakap, Kak Ren jangan kecil hati ya.”
Mata Rania berkaca-kaca. “Beritahu pada Kak Ren...”
“Ummi Kalthum tu cinta pertama Abang Qayyum, er... orang lelaki Kak Ren, bukan mudah nak lupakan cinta pertama mereka,” goda Murni lagi.
Berubah air mukanya mendengar penerangan Murni.
“Siapa cinta pertama Kak Ren?” tanya Murni.
Terkedu Rania. Barangkali Ummar Qayyumlah cinta hatinya yang pertama. Bukan Farhan yang hampir-hampir berkahwin dengannya dan bukan Halim yang memang disayangi sebagai sahabat.
“Abang Qayyum?” serkap Murni.
Tak mampu dijawab Rania. Matanya terkebil-kebil.
“Orang lelaki ni susah nak lupakan cinta pertama mereka,” tambah Murni lagi. “Tengok saja Abang Rais. Dah dua kali kahwin pun masih tak dapat lupakan Kak Ros Ilyani.”
Makin terpinga-pinga Rania dibuatnya. Kerana itukah Murni pasrah dan menerima sahaja cadangan ibunya apabila Rais mengemukakan cadangan untuk menikahi Ros Ilyani? Ya Allah! Benarkah seperti apa yang dikatakan oleh Murni tentang kekuatan cinta pertama? Tuhan, aku tidak sekuat Murni untuk diuji sedemikian.
Murni tinggalkan Rania sendirian di pondok. Biarlah dia membalut lukanya seorang diri! Berkata hatinya lalu dia bergerak ke taman mini dan membelai bunga-bunga ros yang berkembangan.
Aku pun pernah disakiti jauh lebih teruk dari kau Rania bila kau rampas Ummar Qayyum dariku! Sekuntum mawar putih dipetik Murni. Dia menyanyi-nyanyi kecil seraya mencium mawar yang harum. Sejenak dia memandang Rania yang masih termenung panjang di pondok. Sebuah senyum sinis terukir di bibir Murni!
Sumber : Harian Metro
Penulis novel : Shamsiah Md Noor
No comments:
Post a Comment