image atas

image atas

Monday, March 25, 2013

CR2 (Siri 37) - Sebelah Sayapku Patah Jua!

Ummar Qayyum berlari ke bilik air. Terus ditolak pintu bilik air yang kebetulan tidak dikunci.
“Ya Allah, Ren!” Jeritan Ummar Qayyum terdengar. Dia juga hampir terjatuh dek lantai licin di dalam bilik air. Panik sungguh apabila melihat tubuh Rania tergolek di atas simen yang berkubang dengan darah bercampur air. Rania tidak sedarkan diri.
Ummar Qayyum tutup pili air dari corong siraman. Ummar Qayyum paut tubuh Rania lalu diampungnya dengan berhati-hati. Dengan waspada dibawa tubuh yang kurus itu keluar dari bilik seraya menjerit memanggil nama Puan Sri Zalia. Diletakkan Rania di atas katil.

“Ren, bangun Ren.” Pipi Rania ditepuk selembut mungkin tapi Rania tidak memberikan sebarang reaksi. Matanya terkatup rapat. Kerana tidak tentu arah, Ummar Qayyum angkat tubuh si isteri untuk dibawa turun ke bawah.


“Kenapa ni?” Tujah Puan Sri Zalia di depan pintu bilik mereka.

“Ren jatuh dalam bilik air mama, dia tak sedar.”

“Ya Allah, kenapa jadi macam ni?” Puan Sri Zalia menjadi panik melihat baju lencun di tubuh Rania sudah dipenuhi darah.

“Mama call ambulans,” arah Ummar Qayyum.

Tan Sri Razlan membantu mengapung tubuh Rania. Tubuh kurus itu kemudiannya ditempatkan di atas sofa sementara menunggu ambulans datang.

“Ambil gebar satu akak,” arah Puan Sri Zalia kepada Makcik Rohaya yang baru muncul.

Terkocoh-kocoh orang tua itu berlari ke bilik dan keluar semula dengan sehelai gebar bersih. Tubuh Rania diselimutkan. Makcik Rohaya terketar-ketar melihatkan keadaan Rania. Sepasang baju bersih milik Rania dimasukkan di dalam sebuah beg untuk dibawa bersama.

“Apa dah jadi dengan anak kita bang?” Tangis esak Puan Sri Zalia mulai kedengaran apabila keadaan Rania tidak berubah. Dia jadi buntu. Apa yang berlaku?

“Kenapa ni Qayyum? Kenapa sampai jadi begini?” Suara Puan Sri Zalia mulai meninggi.

Murni yang baru keluar dari bilik bawah terpinga-pinga melihat keadaan yang tidak terkawal itu. Dia tidak berani mendekat tetapi melihat dari satu sudut.

Puan Sri Zalia bersama Ummar Qayyum menaiki ambulans bersama Rania sebaik sahaja kenderaan itu tiba di depan pintu utama.

“Abang naik kereta,” kata Tan Sri Razlan.

“Ya...,” Puan Sri Zalia tidak memandang ke kiri kanan lagi. Dia duduk di sisi Rania di dalam ambulans. Ummar Qayyum pula di hujung kepala.

“Baik-baik Puan Sri,” pesan Makcik Rohaya.

“Hati-hati kalau mak cik bersihkan bilik air kami, lantai licin,” kata Ummar Qay­yum pula.

Makcik Rohaya angguk. Pintu van ambulans ditutup diikuti bunyi siren kenderaan tersebut. Makcik Rohaya leka memerhati sehingga hilang bayangan van dari pandangannya.

“Ya Allah Ya Tuhanku, selamatkanlah Ren. Dia budak yang baik Tuhanku! Selamatkan dia...” Air mata Makcik Rohaya jatuh berjuari-jurai. Disekanya dengan lengan baju kurung Kedah sambil masuk ke dalam rumah. Tidak lupa dikunci pintu depan sebelum bercadang naik ke atas untuk membersihkan bilik air Rania
.
“Kenapa dengan Ren mak cik?” tanya Murni.

Wajahnya bersahaja. Fahmi berada di dukungannya. Makcik Rohaya menjuih. Meluat sungguh melihat muka Murni. “Sekarang...puaslah hati kau!” herdik Makcik Rohaya.

Wajah Murni masam mencuka. “Orang tanya baik-baik, tak tahu nak jawab elok-elok ke?”

Makcik Rohaya menjeling lagi. Terbayang-bayang wajah tidak bermaya Rania.

Kegugurankah Rania? Ya Allah, janganlah terjadi perkara sedemikian pada Ren! Doa Makcik Rohaya tidak putus-putus. Dia mendaki anak tangga sehingga sampai ke bilik Rania. Ditanggalkan cadar yang sudah kotor lalu digantikan cadar baru.

Kemudian di ke bilik air Rania pula. Sayunya hati melihat darah yang masih berkubang. Macam mana Ren boleh jatuh? Ren penat barangkali! Allah, selamatkan Ren dan anaknya. Tolonglah Ya Allah! Makcik Rohaya terus bermonolog.

Baru hendak dicapai mop lantai di tepi dinding sudut belakang bilik air, dia terperasan akan botol pencuci lantai yang terletak di tepi sinki berbatu marmar indah. Dahinya berkerut. Sepatutnya semua peralatan membasuh bilik air diletakkan di atas rak yang tersorok di sebelah tandas.

Mengapa ada di sini? Hendak mencuci bilik airkah Rania? Soalnya lagi kehairanan. Kenapa Rania hendak mencuci bilik air sedang pagi tadi bilik air tersebut telah pun dicuci. Daripada berdiri, Makcik Rohaya duduk tercongok. Diperhatikan lantai yang masih bersimbah campuran darah dan cairan likat.

Hujung jarinya merasa lekit cairan pencuci tersebut. Kemudian dihidu! Bau pencuci lantai. Diperhatikan lagi dengan teliti. Kelihatan seperti cairan itu disimbah di atas lantai marmar. Kesan gelongsoran kaki juga masih kelihatan di bahagian tengah bilik mandi. Di bahagian pintu masuk hanya terdapat bekas air yang kian mengering.

Pelik! Rania tidak pernah jatuh di bilik air selama ini. Bagaimana ini terjadi? Ang­kara siapakah? Terfikir demikian di benak hati Makcik Rohaya. Perasaan terkilan semakin menghantuinya. Dia berasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Kerana tidak puas hati, Makcik Rohaya turun ke bawah. Niatnya hendak mencari Murni tetapi apabila dia mengintai di bilik bawah yang digunakan oleh Murni, hanya Fahmi sahaja yang ada di situ. Sedang tidur. Mana emaknya? Makcik Rohaya mencari Murni. Azan Maghrib sudah berkumandang dari masjid berdekatan.

“Maghrib maghrib, ke mana perginya budak ini? Anaknya pula dibiarkan tidur waktu-waktu begini.”

Ngomel Makcik Rohaya­ sendirian. Semasa hendak menarik langsir di ruang bawah, dia ternampak kelibat dua lembaga sedang berbual dalam keadaan mencurigakan di pagar belakang. Keadaan di luar sudah tidak bercahaya lagi. Cuba diperhatikan tapi suasana yang gelap menyukarkannya.

Laju-laju, Makcik Rohaya menuju ke bahagian dapur. Dari situ dia dapat melihat dengan lebih jelas. Bayangan tersebut ialah Murni dengan pembantu Indonesia yang dulu. Makcik Rohaya mengintip segala gerak-geri Murni bersama bibik Indonesia. Dia dapat meneropong dengan lebih dekat gerak-geri Murni dan amah asing tersebut. Mereka tetap berbisik-bisik dalam keadaan mencurigakan.
Sesekali bibik Indonesia memantau sekeliling. Sebuah bungkusan telah berpindah tangan.

Selesai semuanya, Murni bergerak menuju ke pintu masuk ke dapur. Kali ini, Makcik Rohaya bersembunyi pula di sebalik almari di bilik bawah tempat Murni sering mendodoikan anaknya. Murni menyembunyikan bungkusan yang baru diterimanya di dalam almari baju Fahmi sebelum beredar.

Mendengar pintu bilik air dibuka dan bunyi air tercurah dari arah itu, Makcik Rohaya segera menyusup keluar dari bilik tersebut. Dia bergerak laju menuju ke biliknya pula. Sebaik sahaja dia masuk ke biliknya, Makcik Rohaya menenangkan dirinya sejenak. Dadanya berdebar-debar. Hilang debar, dia masuk ke bilik air untuk mandi dan bersolat. Lama sekali dia di dada sejadah. Paling utama, didoakan kesejahteraan untuk seluruh ahli keluarga Tan Sri Razlan. Selesai bersolat, dia ke dapur seperti biasa. Hendak masak atau tidak? Makcik Rohaya serba salah namun deringan telefon miliknya memunah lumat khayalannya sebentar tadi.

“Hah ya Pak Mud,” tegur Makcik Rohaya. Lapang rasanya mendapat panggilan telefon daripada Pak Mud.

Pak Mud sebenarnya bercuti dua hari. Esok baru dia kembali bekerja semula. Cerita tentang Rania disampaikan oleh Makcik Rohaya kepada Pak Mud. Terkejut bukan kepalang pemandu setia itu sebaik mendengar cerita daripada Makcik Rohaya. Seperti pembantu rumah itu, Pak Mud juga berasa belas mengenangkan nasib Rania.

“Moga Ren tabah menghadapinya...” Doa Pak Mud.

“Yalah Pak Mud.”

“Saya perasan Ren banyak diduga dengan ujian rumah tangga. Mula-mula bahagia sangat dia dengan Qayyum, tapi sekejap lepas itu satu satu masalah melanda,” akui Pak Mud.

Dia sedar kemelut yang dihadapi oleh pasangan yang bagai pinang dibelah dua itu.
“Memang betul kata Pak Mud. Saya sedar sejak dulu lagi sebab dalam rumah ni ada ular!”

Perkataan ‘ular’ ditekan oleh Makcik Rohaya tanpa berselindung lagi. Siapa lagi kalau bukan Murni yang jadi ularnya? Hangat dadanya setiap kali terbayangkan wajah Murni. Pertama kali Murni jejakkan kaki di rumah tersebut, dia sudah tidak sedap hati tetapi siapalah dia untuk bercakap lebih memandangkan dia hanya pembantu rumah di situ. Murni pula kemudiannya diangkat ‘darjat’ menjadi menantu. Apa yang dapat dibuat hanya memandang sahaja tingkah laku Murni yang ibarat kaduk naik junjung itu.

“Tak payah kita menambah dosa ya Rohaya?” luah Pak Mud.

“Oh ya, saya dah jumpa Ustaz Qasim berkenaan minyak dalam botol kecil milik Murni tu,” sambung Pak Mud seterusnya.

“Dah jumpa?” tanya Makcik Rohaya tidak sabar-sabar.

Dia melemparkan pandangannya ke arah bilik Murni apabila terdengar bunyi pintu bilik dibuka. Melihat Murni keluar seraya mengepung anak kecilnya yang merengek, Makcik Rohaya kurang selesa.

“Kejap Pak Mud.” Makcik Rohaya beredar masuk ke biliknya dan mengunci dari dalam.

Dia tidak mahu perbualannya dengan Pak Mud didengari Murni. Murni mengerutkan keningnya kerana curiga dengan tindak tanduk pembantu rumah yang suka mencari pasal dengannya.

“Apa kata ustaz, Pak Mud?” tanya Makcik Rohaya sebaik sahaja punggungnya sudah belabuh di atas katil.

Lalu berceritalah Pak Mud tentang pertemuannya de­ngan Ustaz Qasim. Mendengar penerangan awal Pak Mud, bulu roma Makcik Rohaya menegak. Benarlah seperti yang diramal selama ini. Murni main kotor. Murni pakai minyak pengasih. Kurang ajar!

“Saya dah agak dah! Tak dapat tanduk, telinga dipulas. Budak tak sedar diuntung,” sampuk Makcik Rohaya berapi-api.

Ikutkan sakit hati­nya, mahu sahaja ditinjunya muka Murni biar tersembam di lantai.

“Jangan terburu-buru Rohaya!” pujuk Pak Mud.

Mula-mula serba-salah juga mahu melaporkan berita yang didengari daripada Ustaz Qasim tapi amanah orang perlu juga disampaikan.

“Habis tu tak betul ke apa yang dikata oleh Ustaz Qasim tu Pak Mud?” Makcik Rohaya mahukan kepastian setelah penerangan panjang lebar diperoleh daripada Pak Mud.

“Betul, cuma saya tidak mahu kita berlebih prasang­ka! Memang itulah yang dikatakan oleh Ustaz. Saya tak berani nak menokok tambah atau menuduh siapa-siapa. Hanya menyampaikan apa yang dikata, sekadar untuk peringatan.”

“Macam mana saya tak berprasangka,” keluh Makcik Rohaya. “Tadi pun saya nampak dia jumpa lagi budak Indon tu. Rasa saya barang sama yang diberikan oleh si Indon kepada Murni.”

“Yang boleh kita buat berhati-hatilah, tapi jangan berprasangka lebih-lebih dan juga jangan bertindak membabi buta!” pesan Pak Mud penuh berhemah.

“Kena juga kita berprasangka Pak Mud! Tanpa prasangka, kita mudah terjerat. Ini yang mungkin berlaku pada Ren sebab mudah sa­ngat percaya pada orang!”

“Apa maksud kamu Rohaya?” Pak Mud kurang faham.

“Terus terang saya nak cakap. Saya tak percayakan perempuan bernama Murni ni. Tadi, masa saya bersihkan bilik air tempat Rania jatuh, saya rasa ada yang pelik.”

“Apa yang peliknya Rohaya?” lembut suara Pak Mud tidak mampu mengendurkan suara Makcik Rohaya.

“Er, saya rasa ada orang sengaja tuang pencuci lantai di bilik air, berniat!” Makcik Rohaya berbisik seraya melarikan matanya ke pintu bilik sungguhpun tadi dia sudah menguncinya dari dalam.

“Maksud awak ada orang sengaja nak bagi Ren jatuh?” tanya Pak Mud balik.

“Ya.”

“Kalau begitu, hati-hatilah, jerat tak lupa pelanduk,” pesan Pak Mud lagi.

“Pak Mud tak hendak bertanya siapa?”

“Tak mengapalah, saya ada kerja ni,” dalih Pak Mud yang kurang gemar mengumpat.

“Yalah Pak Mud!” sahut Makcik Rohaya sebelum talian diputuskan.

Sungguhpun hati sedang menggelegak, Makcik Rohaya tetap sabarkannya. Dia duduk tercongok di atas katil seraya membaca pelbagai ayat-ayat suci Al-Quran untuk menyejukkan hati. Beratus-ratus kali dia beristighfar sambil mengurut dadanya yang berombak kencang. Dia takut kalau tidak dikawal amarahnya, mahu pengsan
Murni dikerjakan.

Dia keluar dari bilik apabila gelora perasaannya mulai reda. Baru sahaja hendak membuka peti ais untuk melihat-lihat apa yang ada untuk dimasak ala kadar, Puan Sri Zalia menghubunginya. Puan Sri Zalia menyampaikan khabar Rania.

“Ren keguguran...,” Lirih suara Puan Sri Zalia sewaktu kalimah itu terlontar.

Dia menelefon Makcik Rohaya di luar bilik mewah di Hospital Penawar tempat Rania menerima rawatan akibat keguguran. Makcik Rohaya terduduk mende­ngarnya.

“Astagfirullahalazim...kasihannya Ren.”

Bergenang air mata Makcik Rohaya. Besarnya penang­gungan Rania. Mampukah Rania menghadapinya? Fikir Makcik Rohaya. Anak orang kaya yang biasa hidup senang tapi dia teringat kata-kata Pak Mud.

“Dia memang anak orang kaya tapi dia tak memanjakan dirinya...”

Ada benarnya kata-kata Pak Mud. Mudah-mudahan Rania tabah mengharungi dugaan ini.

“Ren macam mana Puan Sri?” tanya Makcik Rohaya penuh keprihatinan.

“Ren dah sedar. Tapi dia sedih sangat kehilangan bayi tu. Dia asyik menangis sejak tadi. Tapi alhamdulillah, Ren selamat. Bimbang juga saya kalau-kalau berlaku tumpahan darah yang serius pada Ren!” Dalam sedih, Puan Sri Zalia tidak lupa mengucap syukur kerana kesihatan Rania berada dalam keadaan yang baik sungguhpun emosinya terganggu.

“Allah!” keluh Makcik Rohaya.

Dia sudah menangis. Berat matanya memandang berat lagi bahu Rania memikul. Keguguran anak pertama! Ya Allah, peliharalah Rania!

Puan Sri Zalia turut me­nyapu air matanya. Sejak tadi, dia juga sama-sama menangis. Jiwa seorang ibu turut merasai keperitan yang dialami si anak.
Kepada anak-anaknya Ridwan dan Rindu yang berada jauh di perantauan telah dikhabarkan berita duka itu. Rais bersama Ros Ilyani yang masih berbulan madu terkejut besar mendengar tragedi yang menimpa Rania. Mereka bercadang untuk segera pulang.

“Apa saya nak buat puan? Puan balik ke?” tanya Makcik Rohaya teresak-esak. Hiba sungguh kenangkan nasib Rania.

“Sekejap lagi saya balik ambil barang-barang keperluan Ren, kak siapkan apa-apa yang patut,” kata Puan Sri Zalia kemudian.

“Baik puan, er nak masak apa-apa ke puan?” suara Makcik Rohaya terputus-putus.
“Masaklah untuk makan akak dengan Murni. Untuk Ren, renehkan bubur air ya kak!” usul Puan Sri Zalia.

“Ya Puan Sri. Kirim salam saya buat Ren.” Hati Makcik Rohaya sudah luluh.

Dia menangis teresak-esak. Begitu juga dengan Puan Sri Zalia. Sejak tadi, banyak sudah air matanya terhambur. Dia jadi buntu mengenangkan pelbagai masalah yang melanda rumah tangga Rania. Dia sedar rumah tangga Rania bergelora tapi tidak pernah disangka gelora itu bak tsunami. Makin parah apabila Rania keguguran.

Lebih memburukkan keadaan, Rania turut memulaukan si suami. Puas ditanyakan pada Ummar Qayyum tentang permasalahan mereka, tetapi Ummar Qayyum terkebil-kebil. Dia tidak dapat menjawab dengan pasti. Ketara Ummar Qayyum sendiri kebingungan. Namun, Puan Sri Zalia sedar, Ummar Qayyum diserang rasa bersalah yang tidak sedikit.

Anak! keluh Puan Sri Zalia di luar bilik. Dia terpaksa mendamaikan hatinya dahulu sebelum masuk semula ke bilik Rania. Seperti tadi, Rania hanya membisukan diri. Wajahnya dipalingkan ke jendela tertutup yang langsirnya terbuka. Wajah malam dengan lampu-lampu jalan yang me­nyala menjadi tatapan matanya. Puan Sri Zalia pergi ke arahnya. Menutup pemandangan malam yang ditarah mata Rania.

“Ren...” Puan Sri Zalia lembutkan suara selembut-lembutnya.

Tangan Rania digenggam Puan Sri Zalia. Puan Sri Zalia renung wajah Rania sehingga ke akar umbinya. Segala penderitaan yang Rania sembunyikan selama ini terpancar nyata di wajahnya yang putih dan kudus itu. Yakinlah dia bahawa raga Rania teramat parah dan mudah tersiat. Justeru, dia perlu berhati-hati dalam setiap bicaranya.

Namun satu dia kurang mengerti, apa yang dilalui Rania selama mendayungi kolek kecil bersama Ummar Qayyum? Apa yang aku terlepas pandang dalam ­kocakan kolek kecil yang kau harungi bersama si suami selama ini anak? Hati Puan Sri Zalia merintih ­pedih. Dia berasa bersalah amat pada si anak. Dia jadi takut. Dia jadi bimbang seandainya peristiwa yang menimpa Rania sekarang akan membuat Rania merancang sesuatu pada masa akan datang. Ah, bukan dia tidak kenal Rania. Tangan Rania masih kemas dalam genggamannya.

“Mama nak balik kejap. Nak mandi dan solat. Nak ambil barang-barang Ren juga. Nanti mama datang balik,” bisiknya lembut di telinga si anak.

Rania pandang ibu de­ngan wajah kosong.

“Rania nak apa-apa?” tanya si ibu lagi.

Suaranya seperti desir ­angin yang sangat memahami. Rania hanya menggeleng. Puan Sri Zalia peluk tubuh Rania lalu dikucupnya kedua-dua pipi si anak.

“Mama balik sekejap saja. Biar Qayyum tunggu Ren ya sementara mama balik,” ucap Puan Sri Zalia. Rania menggeleng berulang kali. Tiba-tiba wajahnya berubah hiba.

Tan Sri Razlan bersama Ummar Qayyum bangkit dari kerusi. Tan Sri Razlan bergerak menghampiri Rania tetapi Ummar Qayyum hanya tercegat memerhati dari tempat dia berdiri. Di tempat yang kelibatnya tidak tersuluh dek mata Rania.

“Jaga diri. Pukul 12 malam ni, Zara balik dari New Zealand. Ayah dengan Zara datang esok ya.” Tan Sri Razlan usap kepala Rania.

Sebuah kucupan lembut hinggap di dahinya. Menyedari tubuh Ummar Qayyum bergerak menghampiri katilnya, Rania menarik selimut dan menyembu­nyikan mukanya. Sejak dia sedar dari pengsan lalu dimaklumkan tentang keguguran kandungannya,­ wajah yang paling tidak mahu dipandang ialah wajah Ummar Qayyum. Dia tidak sudi! Dia tidak mahu!

“Ren...” Suara Ummar Qayyum yang menusuk masuk ke lubang telinganya bagai suara hantu yang tidak mahu didengari.

Rania patungkan diri. Dia tidak bergerak. Itu tanda dia memprotes Ummar Qayyum. Dia tidak mahu Ummar Qayyum menemaninya. Dia mahu bersendirian.

“Ren..., “ panggil Ummar Qayyum buat kali kedua.

Mendengar lagi suara itu, hati Rania terasa bagai dibelah-belah. Disayat-sayat. Disiat-siat. Bukan sahaja diri Ummar Qayyum yang tidak mahu dilihat, bahkan suaranya juga tidak mahu didengari. Melihat keras­nya hati Rania, Puan Sri Zalia yang berdiri di ambang pintu bilik menggamit Ummar Qay­yum.

“Baliklah, tak payah tung­gu,” bisik Puan Sri Zalia pada si menantu.

“Saya nak tunggu Ren mama ...” Ummar Qayyum tidak mahu mengalah. Rasa bersalah menyerangnya. Biarlah Rania tidak sudi memandangnya tapi dia tetap akan menunggu Rania.

“Baliklah dulu, emosi Ren tak stabil sekarang,” pujuk Puan Sri Zalia.

“Macam mana saya nak balik? Dia isteri saya. Saya nak jaga Ren mama.”

“Ren tak mahu. Hormati permintaannya. Buat masa ni Qayyum balik dulu. Mama minta nurse jaga sementara mama datang balik.”

Hendak menitis air mata Ummar Qayyum dibuatnya. Benci sangatkah Rania pada aku? Apakah anggapan Rania pada aku sekarang sehing­ga bayang aku pun tak sudi dilihat.

“Baliklah Qayyum,” ujar Tan Sri Razlan yang sejak tadi tidak banyak berkata-kata.

Dia kurang pasti tentang kemelut yang melanda rumah tangga pasangan suami isteri itu tapi dia yakin kehadiran Ummar Qayyum di situ tidak dialu-alukan Rania. Ketara Rania sangat marahkan Ummar Qayyum.

Mendengar kata ayah mertuanya, Ummar Qayyum terdiam. Pintu bilik Rania ditutup. Kali ini dia tercegat pula di luar bilik Rania.

“Kalau Ren tak sudi te­ngok muka saya kat dalam, biar saya tunggu di luar bilik ayah, mama,” Ummar Qayyum tidak berputus asa. Tan Sri Razlan suami isteri berpandangan.

“Jangan masuk!” pesan Tan Sri Razlan sebelum pergi.


Sumber : Harian Metro

CR2 (Siri 36) - Pusar cinta bernama gelora

Pintu bilik Rania terkuak juga akhirnya. Puan Sri Zalia terjongol depan pintu bilik. Rania menundukkan mukanya saat terasa renungan tajam si ibu menikam jantung. Tan Sri Razlan yang tadinya duduk kini sudah berdiri. Wajahnya suram kerana fikirannya terganggu.
Saat itu, dia mahu bersendirian. Dia mahu menenangkan fikiran. Permintaan Rania sebentar tadi sangat tidak munasabah. Masakan dia mahu memberi izin pada sebuah permintaan yang sebegitu?
Ren! Kau meletakkan ayah di gerbang serba salah! Hatinya berdetik. Dia mahu pergi dari kamar itu. Sebelum kakinya melangkah keluar, tangannya ditarik Rania.

“Ayah...tolong Ren ya,” pesan Rania. Tanpa kata, Tan Sri Razlan keluar dari bilik tersebut.


Giliran Puan Sri Zalia pula mengambil tempat yang ditinggalkan oleh suami. Dengusannya terdengar. Dia memerhatikan tindak tanduk Rania.

Budak ni mengandung! Banyak benar ragamnya akhir-akhir ini! Teruk benar kesan pembawakan budak kepada emosi Rania, fikirnya sendiri tapi pada masa yang sama dia turut kagum kerana secara fizikalnya Rania nampak sihat dan bertenaga.
Tubuhnya tidak lemah malah alahannya juga tidak ketara.

Mula-mula mengandung sahaja dia mabuk petang tapi tempoh masa mabuknya singkat sahaja.

Selepas itu, Rania kelihatan sihat walaupun keletihan kerana sibuk di sekolah. Menyedari dirinya diperhatikan, Rania akhirnya mengambil tempat di sisi Puan Sri Zalia.

“Apa yang Ren minta tolong pada ayah?” tanya Puan Sri Zalia lama kemudian. Suaranya mendatar.

“Hal sekolah,” sahut Rania berhelah. Perbincangan antara dirinya dengan Tan Sri Razlan tadi hanya untuk pengetahuan mereka berdua sahaja. Ibunya tidak boleh tahu.

“Hal sekolah apa? Nak tukar sekolah lagi?” Jeling Puan Sri Zalia.

“Bukan. Hal lain.”

“Kerana hal kat sekolahkah Ren hilang pertimbangan lalu baling mug Qayyum tadi?” Sinis sekali nada Puan Sri Zalia.

“Tak ada kena mengena hal sekolah dengan mug tadi mama.” Rania jadi geram kerana akhir-akhir ini ibunya gemar menyindir.

“Habis kenapa Ren buat macam tu? Kenapa tepis cawan minuman Qayyum sampai berkecai pecah?”

Rusuh wajah Puan Sri Zalia kian jelas mengenangkan tingkah laku Rania kebelakangan ini. Perangainya makin menjadi-jadi. Nasib baik tidak ada sesiapa yang tercedera semasa mug di tangan Ummar Qayyum terpelanting ke lantai lalu berderai.

“Sebab Ren nampak Murni...” kalimah Rania berhenti di situ.

“Nampak apa?” sambar Puan Sri Zalia pula.

“Murni masukkan sesuatu dalam minuman Qayyum. Lepas tu dia ludah dalam air tu.”

“Apa yang Ren cakap ni?”

“Ren cakap apa yang Ren nampaklah.”

“Ada ada saja Ren ni.”

“Ren nampak!” sahut Rania bersungguh-sungguh. Hatinya luluh sebab dia sedar rona wajah ibunya seakan tidak percaya dengan apa yang diceritakan.

“Kenapa Murni nak buat macam tu?” Dahi Puan Sri Zalia berkerut. Tidak masuk akal apa yang disampaikan oleh Rania.

“Mana Ren tahu! Mama tanyalah dia!” Rania makin naik angin dengan cara ibunya menyoal.

“Ren...” suara ibunya mengendur.

“Yalah, Murni kan baik. Takkan dia nak buat macam tu. Lagipun Ren seorang saja yang nampak apa yang Murni buat. Tak ada saksi yang nak menyokong Ren. Yang nampak Ren baling mug sampai pecah banyak. Jadi, yang jahatnya Ren lah!” Kesabarannya sudah hilang. Rania luahkan isi hatinya.

“Mama tak kata macam tu...”

“Memang mama tak kata tapi mama tak percayakan? Samalah tu! Kalau mama tak percaya terpulanglah! Ren tahu sekarang semua orang berprasangka buruk pada Ren. Mama, Ummar Qayyum semua pandang Ren semacam, Makcik Rohaya saja yang percaya pada Ren.”

Keluhan Puan Sri Zalia terdengar jelas.

“Ren penat kat sekolah ni! Ren stres sebab sibuk! Ren kena banyak berehat.”

“Mama, tak ada kena mengena hal sekolah dengan apa yang Ren buat tadi. Ren dah cakap Ren cuba elakkan Qayyum daripada minum air ludahan Murni,” Suara Rania keras.

“Ren rehatlah ya!” ujar Puan Sri Zalia dan pergi.

Ternyata ibunya tidak mempercayai ceritanya. Sekarang buruknya sahaja yang nampak. Murni baik macam malaikat. Murni sesuci dan semurni namanya. Murni sudah terlalu lama di rumah ini dan mama memang sangat-sangat mempercayai Murni. Kerana di mata mama, Murni sabar dan reda dengan takdir hidupnya.

Dicerca dan dikutuk oleh mama semasa Murni mula-mula masuk dalam keluarga ini, Murni tabah dan pasrah.

Tidak dipedulikan Rais juga Murni akur. Malah, lebih mengharukan semua ahli keluarga, Murni izinkan Rais berkahwin lain. Pendek kata Murni baik hati.

Daripada benci orang boleh sayang padanya. Orang yang baik hati, pasrah dan reda tidak akan sesekali melakukan perkara seperti yang didakwanya. Masakan mama mahu percaya! Marah Rania menggelegak.

Ah Murni,kau yang memulakan sengketa ini, maka kau yang harus bertanggungjawab. Kau harus menerangkan segala-galanya. Kau yang membuatonar, maka kau yang harus menyelesaikannya. Rania bergegas keluar dari bilik dan meluru ke beranda. Tidak ada sesiapa di situ. Baik Ummar Qayyum ataupun Murni.

Lantai beranda yang tadinya basah dek tumpahan Nescafe dan kaca yang pecah kini sudah bersih.

Rania berlari pula ke dapur. Di situ ada Makcik Rohaya yang sedang memerah kain buruk di singki.

“Mana Murni mak cik?” tanya Rania. Dadanya sudah sebak.

“Kenapa Ren?”

Hidung Rania kembang kempis. Dia hendak memeluk Makcik Rohaya tetapi ada sesuatu yang menghalangnya. Dia harus berdepan dengan Murni dulu. Murni sudah melampau!

“Kat mana dia mak cik?” Paksa Rania.

“Di belakang dengan Fahmi...” sahut Makcik Rohaya tergagap-gagap.

Melihat muka Rania, dia yakin Rania merancang sesuatu. Kerana bimbang, dia bergegas mengekori Rania. Kelihatan Murni sedang duduk di bangku tidak jauh dari taman mini bunga ros.

“Murni...,” laung Rania.

Makcik Rohaya sudah kecut perut melihat langkah laju Rania. Murni menoleh.
Melihat kemarahan yang mewarnai muka Rania, sedarlah Murni bahawa Rania Mahu berbuat sesuatu kepadanya. Dia dapat meneka Rania mengetahui sesuatu. Tadi, Rania menepis mug air minuman Qayyum. Dia nampakkah apa yang aku buat tadi? Murni berdebar-debar.

“Apa kau buat kat dapur tadi? Akak nak kau ceritakan pada seluruh keluarga apa yang kau buat tadi?” jerit Rania lagi.

Terkejut dengan sergahan Rania, Murni bangun dan berundur setapak. Fahmi yang berada di dukungannya dipaut erat di dada.

“Apa yang Murni buat kak?” Selamba Murni bertanya balik. Suaranya lembut malah hampir tidak kedengaran.

“Kau jangan pura-pura. Akak nak kau ceritakan pada mama dan pada semua orang apa yang kau dah buat.”

“Kak, kak salah faham!” Murni pandang sekeliling sambil berfikir.

Makcik Rohaya sabarkan Rania tapi ternyata kemarahan Rania sudah tidak dapat dibendung. Kerana bimbangkan keselamatan Fahmi, Makcik Rohaya sambar Fahmi daripada dukungan Murni.

“Kenapa kau ludah dalam minuman Qayyum?” tengking Rania. Bahasanya semakin kasar.

Renungan tajamnya mengecutkan perut Murni. Murni berundur lagi.

“Mana ada. Kenapa Murni nak buat macam tu pada Abang Qayyum?” Suaranya lirih seperti orang tidak bersalah. Naik angin Rania dibuatnya.

“Kau pandai berlakon ya Murni. Akak tak sangka kau begini. Kau pandai berpura-pura.”

“Mana ada Murni buat macam tu! Murni tak buat,” Murni menafikan.

“Kau ingat mata akak ni buta? Kau mengaku saja apa yang kau dah buat!” Arah Rania.

“Memang Murni tak buat. Kenapa Murni nak mengaku?”

“Sampai hati kau buat akak macam ni? Kami terima kau masa kau bermasalah. Kami beri kau kehidupan. Abang Rais korbankan hidupnya jaga kau anak-beranak di sini, ini yang kau balas? Apa tujuan kau meludah dalam minuman Ummar Qayyum?”

Murni tidak menjawab tapi hanya menangis.

“Apa lagi yang kau buat yang kami tak tahu Murni? Apa kau nak sebenarnya Murni?” Ungkit Rania sedang jarinya sudah tertunjal di muka Murni.

Di pintu dapur, Murni nampak kelibat Ummar Qayyum bersama Puan Sri Zalia dan Tan Sri Razlan.

“Murni tak buat apa-apa! Kak Ren yang salah faham. Murni hanya buat minuman untuk Abang Qayyum.”

Kecil Murni di pandangan Rania kini. Perempuan penipu! Apa agenda tersembunyinya di sini?

“Dasar penipu!” bentak Rania.

“Tak baik akak tuduh Murni macam tu, patutnya akak berterima kasih sebab Murni jaga makan minum Abang Qayyum masa Kak Ren sibuk.” Lelehan air mata Murni berjuraian.

“Kurang ajar!” Sebuah penampar singgah di muka Murni. Murni mematungkan diri.

Tamparan kedua hinggap lagi di muka Murni. Pipinya sudah merah. Masuk kali ketiga, mata Murni mulai berpinar-pinar sebelum dia terjatuh di rumput.

“Ren...” jeritan Puan Sri Zalia bergema.

Terkocoh-kocoh dia berlari menghampiri mereka.

Melihat tangan Rania terangkat di udara sekali lagi, cepat-cepat Ummar Qayyum menahannya. Murni menangis teresak-esak.

“Ren.” Tubuh Rania dipaut Ummar Qayyum dari belakang. Cuba dilepaskan tetapi kekuatan tenaganya tidak dapat menandingi kekuatan tenaga lelaki.

“Lepaslah.” Rania meronta-ronta. Pautan tangan Ummar Qayyum pada tubuh Rania dilonggarkan kerana dia bimbangkan kandungan Rania.

“Sabar Ren, sabar.” Puan Sri Zalia menyabarkan anaknya. Digosok-gosok kepala Rania.

Makcik Rohaya tidak terkecuali. Bersama Fahmi di dukungan, dia juga memujuk lembut Rania.

“Ren, tenang Ren. Ren bawa bersabar. Ren mengandung ni.” Terdengar lagi suara Ummar Qayyum memujuknya lembut. Rania tenang seketika tapi gelombang di hati Murni membara melihat Rania lemah di pelukan Ummar Qayyum.

Hatinya menjerit. Dia benci melihat situasi itu. Sudah lama pasangan itu bertingkah pendapat dan dingin. Dia rasa menang dan seronok. Sepatutnya itu yang terus berlaku. Bukan seperti yang dilihat sekarang. Rania seperti anak kecil di pangkuan Ummar Qayyum.

“Kita bincang baik-baik sayang, bukan ini caranya,” Puan Sri Zalia menambah.
Tan Sri Razlan tidak terkata. Jauh renungannya memikirkan Rania. Apa yang sedang dilalui anakku Rania? Apa yang aku terlepas pandang? Rasa bersalah datang menundanya.

Murni pula terjebik sendirian. Tiada siapa yang menghiraukannya. Sakit di pipinya masih terasa tapi sakit di hati lagi hebat penangannya. Hatinya bagai disiat-siat. Sebaik manapun aku di rumah ini, aku tetap melukut di tepi gantang, rintihnya.

Dikerlingnya pada Rania. Dada Rania turun naik tapi semua orang mengerumuni dan memujuknya. Dia benci melihat situasi tersebut. Dia sakit hati melihat keprihatinan orang pada Rania padahal dia yang tersembam dilempang berulang kali oleh Rania.

Rania tenteramkan perasaannya. Dia beristighfar dalam diam. Bila panas hatinya mulai mendingin, dia menjeling pada Murni yang masih terjelepok sendirian. Dia memang sangat-sangat marah pada Murni. Matanya sendiri yang melihat segala perbuatan Murni tetapi perempuan itu tidak mengakui malah dengan berani mencelanya pula.

Dalam esak tangis, Murni bangkit lalu berlalu membawa diri. Di tepi tingkap dapur, Murni berhenti sejenak dan mengintai. Seluruh keluarga masih mendampingi Rania. Dia mengetap bibirnya.

Sakit hatinya kian menjadi-jadi melihat Ummar Qayyum yang sedang mententeramkan Rania. Aku yang ditampar belasah, Rania pula yang dibelai. Kurang ajar kau Rania! Datang busuk hatinya. Dia merancang sesuatu. Dia tahu apa yang patut dibuat. Hatinya sakit bukan kepalang. Rasakan kau Rania! Detik hatinya.

Rania akhirnya membatukan diri. Dia benar-benar penat diasak dengan pelbagai soalan. Di ruang tamu, ibu bersama Makcik Rohaya tidak habis-habis bertanya macam-macam padanya.

Diberikan jawapan banyak pula bangkangan terutamanya oleh ibu sendiri. Ikutkan hati dia sudah malas bertekak malah dia sudah penat mempertahankan diri tapi soalan bertubi-tubi daripada ibu terpaksa juga dijawabnya.

“Ren dah malas nak cakap! Dari tadi Ren dah cakap mama tak dengar juga!” rungutnya.

“Mungkin Ren silap nampak. Mungkin dia rasa air tu tapi Ren nampak macam dia meludah”

Puan Sri Zalia cuba membetulkan kenyataan Rania.

“Ni yang malas nak cakap ni.”

“Kita nak betulkan yang tak betul. Mungkin Ren silap tengok.”

“Suka hati mamalah.”

“Merasa air pun salah puan. Tak manis perbuatan tu. Mana boleh si Murni tu berkongsi-kongsi air dengan Qayyum. Qayyum tu siapa?” sampuk Makcik Rohaya.

Senak juga hati apabila Puan Sri Zalia asyik membela si Murni. Inilah yang dikata orang kera di hutan disusui anak di rumah mati kelaparan. Pelik perangai Puan Sri ini. Lebih mempercayai menantu yang macam hantu daripada anak sendiri.

“Mama memang macam tu makcik, selalu menyebelahi Murni. Tersinggung Ren!” Rania bersuara. Terkadang rajuk juga dia dengan sikap ibunya.

“Ren tetap anak mama dunia akhirat. Tak payah nak cemburukan Murni.”

“Bila pula Ren cemburukan Murni?”

“Yang Ren lempang dia tadi?”

“Ren sakit hati. Dia penipu besar.”

“Dia kan dah kata dia tak buat.”

“Itu masalahnya. Mama lebih percayakan cakap perempuan tu! Cakap Ren mama tak percaya.”

“Mama tak kata mama tak percaya. Mama kata mungkin Ren silap tengok.”

“Tak boleh macam tu puan,” tegur Makcik Rohaya. “Sesekali Puan kena ada rasa curiga pada Murni.”

“Nak curiga apa? Murni melayan Qayyum macam abangnya. Murni yang menjaga emak si Qayyum selama ni. Mereka dah macam adik-beradik,” tegas Puan Sri Zalia.

“Puan dah lupa yang Murni dulu pernah ada hati pada Qayyum?”

“Dulu memanglah tapi sekarang dia dah kahwin dengan Rais. Qayyum dah kahwin dengan Rania. Dia dah terima hakikat tu.”

“Itu kata mama, Ren tengok lain...”

“Kalau ikut orang dulu-dulu, ludah-ludah ni bertujuan nak bodohkan orang.

Senang dia nak kawal orang suruh ikut cakap dia,” terang Makcik Rohaya, balik kepada topik asal.

“Yang minyak kita jumpa dalam bungkusan tu apa pula?” tanya Rania geram.

“Kan dia dah kata minyak dia. Minyak untuk rawatan dalaman,” sahut Puan Sri Zalia.

“Dalam botol kecil macam tu? Puan percaya? Tunggu apa kata Pak Mud. Saya dah suruh Pak Mud bawa minyak tu pergi jumpa ustaz. Biar ustaz tengok,” tingkah Makcik Rohaya.

“Ustaz mana kak?”

“Ustaz ni bagus tapi tengah bawa orang buat umrah. Jadi lambatlah pula dia nak menengok!”

Puan Sri Zalia terdiam. Masakan Murni akan bertindak sebegitu. Dia boleh menerima Ros Ilyani dengan dada terbuka masakan dia tergamak melakukan tindakan seperti yang dikatakan Rania. Kalau betul seperti kata Rania, kenapa Murni bertindak demikian? Ah Murni, Murni! Kasihan budak itu. Sudahlah dimadukan oleh anak aku, dituduh berlaku jahat pula. Bagaimana tidak rusuh fikirannya.

Terkenang pula Puan Sri Zalia pada Rais yang masih berbulan madu. Sudah hampir dua minggu dia bersama Ros Ilyani. Entah ke mana-mana perginya pengantin baru itu. Kasihan Murni. Masa bernikah dengan Rais dahulu, tidak pula dibawa ke mana-mana oleh Rais. Di rumah inilah banyak masanya dihabiskan! Silap orang, boleh meroyan dibuatnya! Fikir Puan Sri Zalia.

“Ren, abang nak cakap dengan Ren kejap,” tegur Ummar Qayyum. Dia datang dari arah beranda bersama Tan Sri Razlan. Puan Sri Zalia bersama Makcik Rohaya menoleh serentak.

“Mama pun nak mandi ni, nak solat. Pergilah Ren bersihkan diri dan bincang baik-baik dengan Qayyum,” nasihat Puan Sri Zalia.

“Kita naik bilik atas ya Ren,” ujar Ummar Qayyum apabila Rania mahu menghala ke bilik bawah.

Rania ikut sahaja. Kelat di hati masih terasa. Ummar Qayyum tutup pintu bilik sebaik sahaja mereka berdua sudah berada di dalamnya. Rania duduk di birai katil. Ummar Qayyum pula di sisinya. Tangannya diletakkan di atas paha Rania.

“Abang tahu Ren berada dalam keadaan yang tak stabil sekarang. Ren sedang mengandung dan fikiran Ren sedang rusuh.” Mukadimmah yang dimulai oleh Ummar Qayyum kurang disenangi oleh Rania.

Nada Ummar Qayyum seperti nada ibunya. Kenapa semua orang beranggapan bahawa dirinya tidak stabil dek mengandung? Teruk sangatkah ibu mengandung? Hatinya berdetik.

“Abang faham dan abang biarkan sebab abang yakin lambat-laun Ren yang dulu akan kembali. Abang yakin Ren beremosi sebab Ren sedang mengandung. Abang biarkan saja Ren buat apa yang Ren suka termasuklah ke klinik bersendirian padahal abang sangat teringin menemani Ren untuk sama-sama ke klinik. Sama-sama scan dan tengok anak kita, tapi abang tahan perasaan abang sebab abang juga sedar Ren masih marah dengan abang.”

Rania terpandang mata Ummar Qayyum yang sudah berubah warna. Ada urat-urat merah yang muncul di mata putihnya. Sedang menahan dirikah Ummar Qayyum? Hiba pula hatinya.

“Abang boleh bersabar dan abang boleh bertahan dengan kerenah Ren. Abang sanggup hadapi apa saja malah abang juga sanggup tangguhkan lawatan kerja abang ke Sweden untuk Ren. Abang tak akan pergi ke sana selagi abang tak yakin yang Ren benar-benar sudah stabil.”

Rania menolak tangan Ummar Qayyum di pahanya. Dia sudah penat dianggap tidak stabil. Dia benci kerana ungkapan itu mematahkan semangatnya.

“Ren stabil dan abang tak payah bimbang. Kalau abang rasa abang nak pergi ke Sweden esok pun, silakan, Ren boleh jaga diri dan anak ini sendiri. Tidak ada apa yang perlu abang risau!”

Rania bangkit. Dia menghampiri almari lalu dikeluarkan sehelai tuala.

“Ren, abang tak habis bercakap...”

“Ren nak solat!”

“Satu lagi abang nak pesan pada Ren...”

Rania sudah berada di depan bilik air, mendengar kata suaminya dia berpaling, “Apa?”

“Bukan Ren saja yang tertekan, Murni pun tertekan juga kerana dimadukan, kasihanilah dia...” pujuk Ummar Qayyum.

Rania tidak menjawab. Murni lagi! Rania mengeluh bosan. Dia membuka pintu bilik air, menutupnya dan kemudian terdengar bunyi sesuatu terjatuh diiringi jeritan Rania.

Berderau darah Ummar Qayyum!


Sumber : Harian Metro

CR2 (Siri 35) - Aduhai cinta.. Inilah bunga laramu!

“Boleh tahan meriahnya aktiviti bulan bahasa kita pada tahun ni ya!” ujar Rania melihatkan persiapan rapi yang telah dilakukan oleh Panitia Bahasa Melayu.
Pentas di dewan sekolah sudah pun dihias. Ringkas tapi menarik. Hadiah-hadiah sudah pun diatur kemas di atas meja di sudut pentas.
“Meriahnya mengalahkan pertandingan peringkat daerah, tengok sahajalah hadiah-hadiahnya. Tahun ini paling banyak penyertaan untuk pertandingan puisi lagu. Aku suruh budak buat persembahan puisi lagu secara trio! Setakat ini kita ada 16 kumpulan trio yang nak ambil bahagian,” Rahah bercerita.

Sambil itu, dia mengarahkan murid-murid yang ditugaskan untuk menyusun kerusi di dewan supaya tidak bermain-main semasa menjalankan tanggungjawab.

“Rezeki murid-murid sekolah kita pada tahun ni,” Sesekali Rania meraba perutnya yang berasa tidak selesa.

“Hadiah peringkat sekolah mengalahkan peringkat daerah. Negeri pun kalah. Telefon bimbit!” Rahah tersengih.

“Kau ni kenapa Ren?” tanya Rahah kemudiannya.

Dia juga perasan akan keanehan tingkah laku Rania.

“Tak berapa selesa,” Rania berterus-terang.

“Lincah sangat. Awal-awal mengandung mana boleh rencah macam tu,” komen Rahah. “Abang awak tak tegur ke isterinya sibuk-sibuk begini?”

“Farhan jadi datang petang nanti?” Rania tukar topik. Soalan Rahah tidak diendahkan sebab dia tiada jawapan untuk pertanyaan itu.

“Farhan?” tanya Rahah. Dahinya berkerut.

“Yalah Farhan. Penaja kita tu.”

“Bukan ke nama dia Faheem?” tanya Rahah balik.

“Ohh...” Rania menepuk dahinya. “Aku selalu confused.”

“Farhan mana pula ni?” usik Rahah dengan senyum simpul.

“Aku selalu macam tu, selalu tukar nama orang” akui Rania seraya menggeleng-gelengkan kepalanya. “Jadi tak Faheem datang?”

“Jadilah. Dia kata nak hantar dulu hadiah-hadiah lumayan tu,” ujar Rahah dengan girang.

Rancangannya, hadiah-hadiah yang berupa tiga unit telefon bimbit akan dibawa pulang dan dibungkus di rumah. Hadiah-hadiah lain berupa hamper-hamper akan ditinggalkan sahaja di dewan sekolah yang sudah pastinya dikunci.

“Jadi kita akan jumpa dia petang ni?” tanya Rania.

Rahah tergelak kecil.

“Ke kau nak jumpa dia seorang?” giat Rania melihat Rahah tersipu-sipu.

“Apa pula! Dengan kaulah,” bantah Rahah. Wajahnya sudah memerah.

“Aku nak bagi peluang kalau kau nak,” giat Rania.

Sekali lagi Rahah tersengih. “Jom minum,” ajak Rahah apabila tugasan di dewan sudah selesai.

Murid-murid bertugas telah diarahkan pulang ke kelas. Rahah mengunci dewan sebelum beriringan dengan Rania menuju ke kantin sekolah. Tidak ramai guru di kantin pada jam melewati pukul 11 pagi. Hanya ada dua orang guru yang sudah pun selesai makan dan mahu beredar.

“Dia jadi nyanyikan?” tanya Rahah semasa air sirap bandung yang dipesan sudah melalui tekaknya. Sejuk manis air bandung menghilangkan hausnya yang tertahan sejak tadi.

“Jadi. Dia bawa gitarnya sekali,” jawab Rania. Perkara itu sudah pun dibincangkan dengan Faheem sebelum ini.

“Tak sabar nak jumpa. Suara dia aku dah dengar...romantik! Harap-harap orangnya seromantik suaranya!” Rahah menguntumkan harapan.

“Memang romantik. Orangnya pun handsome,” kata Rania.

Telefonnya berdering. Di skrin tertera nama Ummar Qayyum. Baru sahaja mahu dijawab, panggilannya putus. Rania biarkan sahaja. Kalau penting dia akan call balik, fikir Rania. Baru Rania perasan ada beberapa panggilan tidak berjawab daripada Encik Salman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

“Makanlah,” pelawa Rahah. Dua piring mihun sudah berada di depan mata. Rahah makan dengan berselera sekali tapi tidak Rania. Mi yang ditelan terasa tawar hambar. Rania hilang selera. Cuma Milo panas yang diteguknya. Ditolak pinggan mi ke sisi.

“Kenapa tak luak ni?”

“Hilang selera pula.”

“Mak buyung tak boleh macam ni, kena makan. Kena jaga kesihatan untuk diri sendiri dan baby,” tegur Rahah.

Sungguhpun dia belum berkahwin tetapi dia mahir tentang penjagaan kesihatan ibu dan anak kerana mempunyai pengalaman menjaga kakak-kakak dan anak-anak saudaranya.

Rania rasa pening tiba-tiba. Jiwanya kacau. Sungguhpun dia pura-pura menyibukkan diri tapi hakikatnya hatinya rusuh setiap kali terkenangkan hubungan dingin antaranya dengan Ummar Qayyum.

Berlarutan pula perselisihan yang makin menjadi-jadi sejak malam itu. Mi goreng dikuis-kuis. Dia masih terkenangkan peristiwa malam itu. Dia mengusir Ummar Qayyum dari bilik. Kejamkah aku pada Ummar Qayyum? Melampaukah aku? Egokah aku? Fikir Rania tapi tiba-tiba dia teringat pula akan perlakuan dingin Ummar Qayyum terhadapnya.

Dia yang memulakan dan semuanya bermula selepas Ummar Qayyum terlibat dalam kemalangan semasa menjemputnya dari Kampung di Janda Baik. Ummar Qayyum mendendami akukah? Rania bertanya sendiri. Dia khayal dalam masalah yang berlarutan namun semuanya dipendam sendiri. Diubati hati dengan menyibukkan diri malah kesibukan di sekolah bagai sesuatu yang diharap supaya masalah yang ditanggung dapat dilupakan.

“Cikgu Rania, Encik Salman nak jumpa sekarang,” ujar Prakash, kerani pejabat yang sedang menjenguk dari pintu kantin. Punah lamunan Rania.

“Sekarang?” tanya Rania. Dia tidak ada kelas tapi keberatan hendak berjumpa Encik Salman. Dia kepenatan.

“Karang sikit boleh?” Rania tawar menawar.

“Cik Salman suruh datang sekarang juga. Dia call banyak kali tadi,” jelas Prakash lagi.

“Okeylah,” sahut Rania. Dia sudah bangkit.

“Ada kerja tu!” ujar Rahah.

“Yalah tu kot,” kata Rania.

Dia menuju ke bilik Encik Salman. Sebaik sahaja ternampak muka Rania, Encik Salman pun memberi taklimat ringkas tentang Program Anjuran Yayasan Bakti.

Badan tersebut mahu memberikan program berbentuk Kem Kepimpinan Pelajar secara percuma kepada dua puluh orang pelajar cemerlang dari sekolah tersebut.

“Tugas cikgu sekarang ialah cari pengawas dalam dua puluh orang untuk mengikuti program anjuran Yayasan Bakti ni. Lepas tu cikgu bincang dengan Puan Sheila atau kaunselor sekolah tentang prosedur seterusnya,” ujar Encik Salman pada Rania. Sepucuk sampul surat bersaiz besar diserahkan pada Rania.

“Bila program ni?” tanya Rania.

“Esok dan lusa.”

“Hah! Esok? Mana sempat. Ni dah dekat pukul 12 tengah hari. Saya ada kelas sekejap lagi sampai balik ni.”

“Sempat. Cikgu pergi dengan Puan Rabeah. Saya dah inform Cikgu Beah. Dia uruskan hal bas. Esok dia dengan cikgu jadi guru pengiring. Sekarang cikgu naik ke kelas tingkatan empat. Cikgu kumpulkan semua pengawas. Suruh turun jumpa saya di ruang legar Gajah Menyusur,” arah Encik Salman lagi.

Kelam-kabut Rania naik ke tingkat empat. Dipanggilnya seorang pengawas bernama Haris lalu diarahkan Haris untuk memaklumkan pada para pengawas yang lain.
Kemudian dia berlari pula ke pejabat untuk mengambil borang kebenaran menyertai kem dan borang akuan kesihatan daripada Puan Hasnah, iaitu Penolong Kanan Kokurikulum.

“Borang tu dah habis. Ren pergi dapatkan daripada Puan Sheila,” arah pula PK kokurikulum.

Sekali lagi Rania bergegas ke bilik disiplin yang terletak di hujung Blok B.

“Dah tak ada,” sahut Puan Sheila selamba. Wajahnya masam. Langsung tidak menunjukkan kerjasama.

“Puan Hasnah kata you dah ambil semua hari tu.”

“Dah tahu I ambil kenapa dia tak reso lagi,” bentak Puan Sheila.

“Satu pun tak ada? Kalau ada satu pun jadilah. Boleh I fotostat dalam dua puluh copy.”

“Tak ada,” sahutnya angkuh.

“Dalam soft copy ada? Boleh I pinjam. I pergi print sekejap,” Rania masih berkompromi.

“Semua dalam komputer tapi dah kena virus,” Puan Sheila berkata dengan selamba lalu menyambung kerjanya balik tanpa rasa bersalah.

Rania menghela nafas. Baru sahaja dia mahu melangkah kaki untuk beredar dari bilik tersebut, telinganya menyambar sesuatu yang tidak enak didengar. Puan Sheila mengumpatnya.

“Apa you kata?” tanya Rania balik.

“Saya kata cikgu ingat saya tak tahu ke yang cikgu tuduh saya tak buat kerja?” bentak Puan Sheila dengan muka yang menyakitkan hati Rania.

“Saya kata macam tu? Dari mana you dengar ni?”

“Tak payah berpura-puralah cikgu...” Muncung mulut Cikgu Sheila kian panjang.

Rania menahan nafas, menahan hati. Kerana dia berkejar dengan masa, ditinggalkan Puan Sheila begitu sahaja. Hati sedang hangat tapi ada perkara lain lebih penting yang mesti disegerakan. Dia bergegas pula ke bilik Puan Hasnah. Nasib baik Puan Hasnah belum keluar bermesyuarat.

“Kalau tahu begitu, saya bagi saja pada Ren soft copy borang-borang tersebut,” keluh Puan Hasnah agak kesal dengan tindakan Puan Sheila.

Tanpa membuang masa, Rania meminta Prakash membuat dua puluh salinan untuk setiap borang yang diperlukan. Masa hendak keluar, dia terserempak pula dengan Puan Rabeah di pintu masuk pejabat.

“Nasib baik dapat bas.” Hela Puan Rabeah yang nampak termengah-mengah.

“Alhamdulillah. Syukur kak. Pasal jadi macam ni. Bidan terjun saja.”

“Biasalah Ren, surat sampai last minute.” Puan Rabeah terduduk di bangku di luar pejabat. Dia guru yang lurus bendul.

“Kak, saya nak edarkan borang pada budak-budak pengawas,” ujar Rania lalu bergegas pula ke destinasi seterusnya.

“Tolong beritahu peserta suruh tunggu di kantin sekolah. Bas datang pukul 7.30 pagi,” pesan Puan Rabeah.

Di ruang legar Gajah Menyusur, Encik Salman sedang memberi taklimat ringkas pada para pengawas yang tekun mendengar penerangan. Dia turut meminta maaf kepada calon peserta kerana terpaksa membuat keputusan mendadak.

“Kursus ini diberikan secara percuma selama dua hari. Kalau kita tolak rugilah murid-murid kita sebab bukan senang nak dapat program kecemerlangan pelajar secara percuma.” Penjelasan ringkas tetapi padat oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid difahami oleh calon peserta.

Daripada dua puluh dua pengawas terpilih, hanya dua orang sahaja yang terpaksa menolak kerana sudah terikat dengan komitmen lain. Selesai penerangan ringkas tersebut, Encik Salman mengarahkan Rania untuk mengedarkan borang kepada para peserta.

“Dokumen-dokumen yang lain ada dalam sampul ni. Kad nama pegawai yayasan pun ada saya kepilkan sekali. Apa-apa hal awak hubungi dia. Saya ada meeting ni,” sambungnya lagi dan bergegas pergi.

Selesai mengedarkan borang-borang dan menyambung taklimat yang tergendala tadi, Rania memberi peringatan terakhir kepada murid-murid sebelum bersurai.

“Esok bawa borang kebenaran dan penyertaan bersama awak. Bawa juga seluar track dan baju-T serta keperluan diri yang lain. Tunggu saya dengan Cikgu Rabeah di kantin. Bas sampai pukul 7.30 pagi. Jangan lewat ya,” pesan Rania.

Sebaik sahaja murid-murid bersurai, Rania memanjat tangga menuju ke bilik guru di tingkat dua. Dihampiri Rahah yang sedang menulis buku Rekod Mengajar.

“Apa masalah unit pengawas sebelum ni? Kenapa Puan Sheila marah-marah kat aku?” tanya Rania yang tidak mengerti apa-apa.

Keluhan Rahah bagai menyembunyikan sesuatu. Rahah menyandarkan tubuhnya di kerusi.

“Ingat tak bila aku nasihatkan kau jangan terima tugas sebagai Setiausaha Pengawas hari tu?”

Rania angguk.

“Encik Salman ada masalah dengan Puan Sheila. Baru-baru ni pegawai PPD turun sekolah. Nak tengok semua fail unit HEM. Fail Unit Pengawas tak ada.”

“Mana pergi?”

“Tak pernah wujud.”

“Apa kaitan dengan aku?”

“Bila Encik Salman lucut jawatan Puan Sheila sebagai guru pengawas dan suruh kau sandang, aku rasa dia marah.”

“La...macam aku yang nak!” sela Rania.

“Ada dia kisah?” tokok Rahah.

Rania mengeluh. “Esok aku tak ada. Kena bawa pengawas ke kursus kepimpinan. Petang ni pun mungkin aku tak boleh jumpa Faheem sebab aku nak survey tempat pengawas nak berkursus,” ujar Rania.

“La...jadi juga?”

Rania kehairanan. “Apa yang jadi juga?”

“Kursus kepimpinan pelajar itulah.” Rahah menghela nafas.

“Aku baru dapat tahu. Baru selesaikan uruskan budak-budak. Macam mana kau tanya macam tu?” Rania kelelahan.

“Surat tu dah lama. Terperap dalam simpanan Cikgu Sheila. Bukan yang itu saja, banyak lagi surat-surat panggilan kursus yang terperap tak diambil tindakan.” Rahah membocorkan cerita.

Sebenarnya dia sudah mendengar cerita tentang hal tersebut tetapi dia malas memanjangkannya. Malah dia telah memujuk Rania supaya jangan menerima kerja tertangguh orang lain tapi Rania terima juga.

“Encik Salman tak cakap pun!”

“Cakap pun nak buat apa? Lebih baik kau cakap pada ayah kau tu! Sesekali gunalah kabel besar kau tu!”

Kerana geram, Rahah berkata, “Biar ayah kau tahu situasi di sini.”

“Ah, di mana-mana sama sahaja Rahah. Aku malas nak libatkan keluarga aku.”

“Kaulah satu-satunya cikgu berkabel paling besar yang dibuli!” Rahah tersenyum sinis.

Rania hanya mampu angkat bahu. “Tak jadi kudis buta setakat kerja macam ni. Aku biasa mandi lumpur dengan anak-anak Sabah. Aku biasa masuk hutan malah aku pernah harung sungai penuh buaya di Sarawak,” Rania tiupkan semangat serikandi dalam dirinya.

“Kau memang hebat tapi aku rasa untuk hari ini kau baliklah dulu. Rupa kau dah teruk benar. Berminyak-minyak. Balik berehat. Bersiap sedia untuk kursus dua hari. Yang di sini jangan khuatir. Aku dengan panitia BM yang lain boleh uruskan,” janji Rahah.

“Petang ni kau boleh uruskan seorang?” tanya Rania.

“Boleh. Jangan risau. Kau baliklah dulu.” Rahah bersimpati benar dengan Rania.

Kerja-kerja tidak berkaitan datang menimbun secara mendadak. Tapi Rania ialah jenis guru yang tidak menolak tugas tapi kasihan padanya. Sudahlah dia berbadan dua, terbeban pula dengan bermacam-macam kerja bidan terjun, fikir Rahah seraya memandang Rania yang sudah bergerak menuju ke keretanya.

Sampai di rumah, gembira rasa hati Rania melihat kereta ayahnya menjalar di ruang parkir depan pintu. Di beranda depan, Rania tersuluh kelibat Ummar Qayyum sedang mendukung Fahim. Sebenarnya dia malas hendak menegur tetapi menyedari Ummar Qayyum sedang mengerling padanya, terus dimaklumkan pada Ummar Qayyum bahawa dia akan berkursus bersama pengawas selama dua hari.

“Tak balik?” tanya Ummar Qayyum.

“Tak.”

“Pemeriksaan bayi macam mana? Bila lagi nak jumpa doktor?” tanya Ummar Qayyum.

“Last week. I pergi sendiri,” ujar Rania selamba.

Terdengar keluhan Ummar Qayyum. Rania melangkah masuk ke dalam rumah dan terus menghala ke arah dapur kerana kehausan. Aroma Nescafe menusuk masuk ke hidungnya. Dia nampak susuk tubuh seseorang membelakanginya di dapur. Tubuh Murni. Mulanya dia hendak terus masuk ke dapur tetapi menyedari tingkah laku pelik Murni, Rania bersembunyi di sebalik dinding. Dia nampak dengan jelas Murni sedang membancuh minuman di dalam mug. Kemudian Murni menitiskan sesuatu dari botol kecil ke dalam mug berisi Nescafe dan dengan segera memasukkan semula bekas kecil yang mengandungi cecair itu ke dalam kocek seluarnya. Dia kemudiannya menatang mug yang mengandungi minuman panas itu di atas dulang.

Murni memandang sekeliling sekali lagi. Yakin tiada siapa di sekelilingnya, Murni meludah ke dalam mug tersebut dan kemudian berlenggang-lenggok membawa dulang berisi mug ke beranda tempat Ummar Qayyum sedang bermain dengan Fahim.
“Kurang ajar kau Murni!” Mendidih hati Rania melihatnya.

Dia bergegas ke depan. Fahim sudah pun diambil semula oleh Murni. Sebaik sahaja Ummar Qayyum mahu mencapai mug berisi Nescafe, Rania cuba menghalang tapi tertepis tangkainya. Terpelanting mug berisi Nescafe panas dan pecah berderai.
Ummar Qayyum tergamam. Murni terkejut bukan kepalang.

“Kenapa buat macam ni?” tengking Ummar Qayyum.

Rania tidak terkata. Cuma dadanya yang turun naik berbicara. Marahnya pada Murni menyebabkannya hilang kalimah. Muka Ummar Qayyum sudah merah padam. Masakan sampai begini tingkah laku pembawakan budak! Bentak Ummar Qayyum dalam hati.

“Kenapa ni?” tanya Puan Sri Zalia yang baru muncul bersama Tan Sri Razlan. Makcik Rohaya di belakang mereka. Dahi Puan Zalia berkerut seribu. Rania serba-salah. Dia menerpa Tan Sri Razlan.

“Ayah, Ren nak jumpa ayah sekejap,” ujar Rania lalu menarik tangan ayahnya masuk ke dalam.

Puan Sri Zalia masih terpinga-pinga seraya memandangi Ummar Qayyum dengan Murni silih berganti.

Makcik Rohaya menghilang dan muncul kembali dengan sebiji baldi berisi air dengan kain buruk.

Serpihan kaca dibersihkan oleh Makcik Rohaya manakala kesan air Nescafe dilapnya.

“Kenapa Qayyum? Murni?” tanya Puan Sri Zalia.

Kedua-duanya membisu. Tidak tahu apa yang patut dijawab. Puan Sri Zalia meluru pula ke bilik Rania di bawah. Pintunya berkunci dari dalam.

“Ayah kena tolong Ren kali ini. Ren tak kira dengan apa cara, kembalikan Ren ke tempat di mana ayah ambil Ren dulu.” Suara tegas Rania menyebabkan Tan Sri Razlan terduduk.

“Ren kena bincang dengan mama.”

“Mama tak akan bagi.”

“Sebab Ren memang tak boleh pergi. Tempat Ren di sini tambah pula Ren dah bersuami. Ren mengandungkan anak Qayyum.”

“Ren tak nak duduk sini. Ni bukan tempat Ren,” Rania mulai sebak.

“Ren...fikir masak-masak.”

“Ren tak akan fikir lagi.”

“Ren...” Tan Sri Razlan mengusap bahu anak gadisnya yang nampak lembut di luar tapi keras hatinya.

“Kalau Zara boleh berhijrah sampai ke London, takkan setakat Sabah, ayah tak boleh lepaskan Ren?”

Terpinga-pinga Tan Sri Razlan dibuatnya. Hilang taringnya kali ini. Kalau dulu dia boleh berlagak tegas dan memaksa Rania mengikut telunjuknya tapi kini tidak lagi kerana dia juga ada sejarahnya yang tersendiri. Sejarah yang boleh dipintal sesuka hati oleh Rania. Tan Sri Razlan tunduk.

“Itu saja yang Ren pohon daripada ayah! Ren tetap dengan keputusan Ren dan Ren harap ayah pegang amanah Ren dan jangan sesekali ceritakan pada sesiapa!” Itulah kata-kata tegas yang diutarakan oleh Rania pada ayahnya sehingga putih mata si ayah menatapnya.

Sumber : Harian Metro

CR2 (Siri 34) - Ingin kugapai bintang-bintang!

Masjid Al-Khautsar jadi saksi akan pertemuan dua hati. Bertemu juga akhirnya jodoh antara Rais dengan Ros Ilyani. Berkali-kali tertangguh tapi akhirnya bersatu jua. Rais ketara begitu gembira sedang Ros Ilyani biasa-biasa sahaja.
Selesai nikah, majlis perkahwinan diteruskan di rumah Tan Sri Razlan untuk kedua-dua belah pihak. Ros Ilyani bersama Halim bersepakat mengadakannya di kediaman pengantin lelaki memandangkan Ros Ilyani tiada beribu bapa.
Di laman rumah sudah siap terpasang tiga buah khemah manakala pelamin yang ringkas didirikan di ruang tamu di dalam rumah. Hidangan untuk para tetamu sudah tersedia begitu juga hidangan makan beradab untuk pasangan pengantin.
Saudara mara dua-dua belah pihak berserta dengan rakan taulan keluarga diajak makan terlebih dahulu.


"Rais dengan Ros makan di meja pengantin dengan keluarga Ros ya!" kata Puan Sri Zalia.
"Mama dengan ayah?" tanya Ros Ilyani.

"Kami tuan rumah. Mana-mana pun boleh makan. Tetamu didulukan," sahut Puan Sri Zalia.

Mendengar itu, Ros Ilyani menurut sahaja. Meja pengantin dengan tiga meja bulat disediakan untuk keluarga Ros Ilyani manakala selebihnya untuk sanak saudara terdekat dan rakan taulan pengantin.

"Ramai lagi ke mama tetamunya?" tanya Rania.

"Tak adalah. Tinggal kawan-kawan Abang Rais dengan kawan Kak Ros saja yang belum datang."

"Bestnya majlis ringkas macam ni," ujar Rania.

"Mereka yang nak majlis seringkas mungkin," terang Puan Sri Zalia. Seingatnya tetamu yang diundang tak sampai seratus orang pun.

"Zara, jom makan. Ajak ayah dengan Abang Qayyum sekali," arah Puan Sri Zalia pada Zara Aliya yang baru menyaingi mereka.

"Bukan mama kena sambut tetamu ke?" tanya Rania.

"Tak payah. Semua tetamu dah bersambut, " komen Puan Sri Zalia semasa dia mulai menjamah nasi beriani gam. Tan Sri Razlan dengan Ummar Qayyum duduk di meja sebelah sambil melayan Halim serta beberapa orang bapa saudara Ros Ilyani.

"Abang Rais pecah rekod. Tak sampai tiga tahun, dah tiga kali kahwin," Rania tiba-tiba tergelak kecil mengenangkan kitaran hidup Rais.

"Really?" tanya Zara Aliya. Dia yang baru masuk dalam keluarga tersebut terkejut besar mendengarnya.

"Zara dah masuk dalam family ni, Zara tahulah nanti," ujar Rania. "Tapi Zara dah nak berhijrah ke London," suara Rania lirih.

"Sesekali Zara akan balik Malaysia," ujar Zara Aliya.

"Kalau Zara nak tahu lagi, Abang Rais tiga kali kahwin, Abang Ridwan pula tak kahwin-kahwin," sampuk Puan Sri Zalia.

Zara Aliya ketawa kecil.

"Ren ingat Abang Ridwan yang nak tackle Kak Ros. Dulu nampak macam berminat pada Kak Ros sampai minta e-mel segala."

"Baik tak usah. Hidup Abang Ridwan kamu pun tak menentu. Asyik mengembara tak sudah-sudah," komen Puan Sri Zalia selamba. Selesai makan, dia pandang sekeliling.

"Mama tak nampak pun kelibat emak mertua kamu," bisik Puan Sri Zalia pada Rania.

"Nak nampak macam mana, memang tak datang pun," kata Rania.

Dia seperti sudah menduga perkara seperti itu akan berlaku.

"Emak tak datang ke Qayyum?" sempat pula Puan Sri Zalia bertanyakan Ummar Qayyum semasa menantunya melintasinya.

"Emak mungkin datang dengan Abang Bakhtiar kejap lagi," sahutnya.

Kemudian dia kembali menyaingi Tan Sri Razlan melayan tetamu di bahagian hadapan.

"Hah, datang nanti tu!" Puan Sri Zalia membetulkan pandangan negatif Rania.

Rania sekadar angkat bahu. Terpulanglah, fikirnya. Dia lebih selesa memerhatikan pasangan pengantin yang baru selesai makan. Mereka mulai mengambil gambar bersama keluarga dan rakan taulan. Tangan Ros Ilyani tidak lepas-lepas berada dalam genggaman Rais. Di mata Rania, inilah satu-satunya pernikahan yang dia nampak Rais sangat bahagia. Ketara benar keriangannya. Tidak jemu-jemu dia mengusik Ros Ilyani yang kelihatan malu-malu. Di laman rumah mewah yang dihias ringkas, Rais bersama Ros Ilyani bebas bergerak ke mana-mana, bertemu dan berbual mesra dengan para tetamu. Rania teringatkan Kak Rindu sekeluarga. Mereka tidak dapat pulang kali ini, begitu juga Abang Ridwan.

Rania ternampak Abang Bakhtiar sekeluarga baru tiba. Ummar Qayyum menyambut mereka. Panjang leher Rania meninjau kalau-kalau ada ibu mertuanya bersama keluarga Bakhtiar tapi hampa. Kelibat ibu mertuanya tidak kelihatan. Tidak datang dia! Hati Rania terusik.

"Tak ada Kak Ninda," rungut Puan Sri Zalia pada Rania.

Keluarga Bakhtiar menghampiri Puan Sri Zalia. Mereka bersalam-salaman dan berbual seketika sebelum menjamu selera. Ashraf Daniel datang bersama Jennifer.

"Hei, kamu berdua ni Mak Ucu nampak macam dah serius benar," usik Rania pada anak saudara Ummar Qayyum. Mereka gelak-gelak kecil tanpa mengiya atau menidakkan usikan tersebut.

"Memang tak datang mak mertua kamu Ren." Terbit nada kesal pada suara Puan Sri Zalia. Baru dia dapat melepaskan apa yang terbuku sebaik sahaja keluarga Bakhtiar meminta diri untuk pulang. Rania keluh kesal. Tergamak ibu mertuanya tidak datang. Dia hanya sekadar berkirim salam melalui isteri Bakhtiar. Kerana akukah emak tidak datang atau kerana Murni? Hati Rania terdetik.

Harap-harap kerana Murnilah. Kasihan juga Murni. Dia pulang ke Kampung Daun Pisang dua hari sebelum majlis pernikahan Rais dan Ros Ilyani berlangsung.
Kecewakah Murni sebenarnya? Walaupun dia izinkan Rais berkahwin lagi tapi siapa yang dapat menebak hatinya? Dan ibu Qayyum pula bagaimana? Dia juga tidak hadir walaupun diundang. Aku berharap ibu Qayyum tidak hadir sebab dia mahu menjaga hati Murni, dan bukan kerana marahkan aku. Itulah harapan Rania tapi berkocak juga kolam hatinya apabila ibunya mengeluh tentang hal ibu Ummar Qayyum.

"Sampai hati mak mertua kamu Ren," bisik Puan Sri Zalia semasa tetamu sudah menyusut.

"Dia tak datang agaknya sebab Murni ada di rumah dia kot," balas Rania.

"Takkan tak boleh singgah sekejap. Bukan jauh sangat pun KL dengan Kampung Daun Pisang tu!" Tersinggung juga hati Puan Sri Zalia kerana besannya tidak hadir.

"Biarlah mama. Emak Abang Qayyum tak datang tapi Abang Bakhtiar sekeluarga ada tadi." Rania memujuk ibunya.

"Mana boleh buat macam tu. Kecil hati mama tahu. Nenek Ninda bukan sekadar besan mama tapi kenalan keluarga kita sejak dulu," keluhan Puan Sri Zalia berterusan.

Rania malas membalas komen ibunya. Kalau ikutkan hati, dia lagi tersinggung cuma dia malas menambah luka di hati yang sudah pun bergaram pedih.

"Si Qayyum ni pun satu. Tak pandai ke nak menyuruh emaknya datang." Tiba-tiba marah Puan Sri Zalia diterjah pula pada Ummar Qayyum.

"Jangan diharap padi seberang mama. Kasih emaknya atau pun Qayyum!" sahut Rania.

Mendalam benar maksud yang tersirat. Puan Sri Zalia agak terkejut mendengar keluhan pelik anak bongsunya. Mata Rania merenung jauh entah ke mana. Wajahnya nampak kelat sedang pandangan matanya kosong.

"Ren..." Puan Sri Zalia kejutkan Rania yang seperti tenggelam dalam lautan fikiran yang tak terjangkau.

Rania senyum sumbing. Ada sesuatu yang mencucuk-cucuk di hatinya. Mulanya hanya luka kecil. Kemudian sudah jadi bisul dan telah mulai bernanah. Tunggu membarah dan apa akan jadi selepas itu. Keluhan Rania terdengar lagi.

"Nak buat apa-apa, fikir baby tu," Puan Sri Zalia bagai dapat membaca apa yang tertulis di minda Rania.

"Mama tak payah bimbang," sahut Rania seraya dipalingkan pandangan pada pelamin paling sederhana tempat Rais bersama Ros Ilyani didudukkan semasa gambar mereka bersama keluarga ditangkap tadi. Pernikahan mereka begitu ringkas tapi berlangsung dalam suasana yang harmoni dan bersahaja.

"Sebenarnya Ren nak kahwin macam ni saja, simple!" Terluah juga perasaan Rania pada ibunya tiba-tiba. Sejak dari tadi dia mahu meluahkan isi hatinya tapi tertahan-tahan. Berubah air muka Puan Sri Zalia seketika.

"Kahwin macam nak rak tapi...." Ayatnya terhenti.

Putih mata Puan Sri Zalia dibuatnya. Gerun wanita itu memikirkan apa yang ada dalam fikiran Rania. Bukan dia tidak kenal siapa Rania. Dia boleh buat macam-macam! Janganlah Ren buat perkara yang pelik-pelik. Ya Allah! Lindungilah rumah tangga anak-anakku!

Doa seorang ibu terletus juga saat hati tiba-tiba terdetik sesuatu. Melihat Halim bersama pengantin menghampiri Rania, Puan Sri Zalia minta diri. Dia mahu bersolat Zuhur. Dia mahu mententeramkan hatinya yang saat itu serasa seperti kolek kecil di tengah lautan bergelora. Sekejap sahaja pasangan pengantin duduk berbual bersama Rania dan Halim. Tidak lama kemudian mereka bangun melayan
teman-teman. Halim ditinggalkan bersama Rania.

"Kau nampak cengkung Ren, kenapa? Kau sakit ke?" Halim begitu mengambil berat akan keadaan Rania.

"Ah, aku biasa saja Lim, mana ada! Aku tak sakit."

"Nampak kurus. Atau kau tak selera makan sebab mengandung?" tanya Halim lagi.

Sesekali dia menjeling wajah lembut yang tidak pernah jemu ditatapnya itu. Diksi mengandung itu secara tidak sedar, menghiris kecil perasaannya.

"Aku makan banyak gila!" Rania menjawab.

"Hiss, cikgu BM cakap macam tu!" Gurauan Halim membuahkan senyuman nipis di bibir Rania.

"Lama betul aku tak jumpa kau. Tapi yang last sekali kita jumpa bila ya?" Halim cuba mengingat-ingat sesuatu tapi Rania tidak berminat untuk mengimbas kembali.

"Kau ada bawa jambu untuk aku tak?" tanya Rania.

"Ada. Seguni aku bawakan untuk kau. Anggur belum masak. Kalau tidak, aku tambah seguni lagi," giat Halim.

Dia gembira dapat berjumpa dan berbual-bual dengan Rania biarpun Rania kini sudah menjadi isteri orang.

"Banyaknya! Walaupun sekarang aku kuat makan tapi mana habis aku makan banyak tu," sahut Rania pula. Halim memandang sekeliling, mencari kelibat seseorang.

"Mana Qayyum? Tak bimbang ke tinggalkan isteri seorang diri dengan aku ni," usiknya lagi.

"Entah, mana aku tahu!" sahut Rania selamba.

Terkejut juga Halim mendengarnya. Rania perasan akan perubahan wajah Halim tatkala mendengar jawapannya tapi dia sudah tidak kisah. Dia tidak mahu berpura-pura.

"Teruk betul pembawakan budak kau ya!" giat Halim lagi. Barangkali Rania jadi begitu kerana alahan mengandung! Fikirnya.

"Hah yalah tu!" sahut Rania.

Tiba-tiba dia berasa Halim tidak perlu tahu akan gelodak yang sedang menguit bahtera perkahwinannya.

"Mesti Qayyum happy kan? Dah dapat isteri cantik dan baik macam kau, Allah anugerahkan pula bakal cahaya mata. Hai, beruntunglah Qayyum," Halim tidak tahu mengapa dia perlu melontarkan kata-kata tersebut.

"Tak payahlah kau nak bermelankolik Halim."

"Itulah kenyataannya Ren."

"Nanti kau akan tinggal sendirian di kampung bila Kak Ros pindah KL?" Sengaja Rania memesongkan topik cerita. Halim termenung sejenak. Soalan yang ditanyakan Rania tidak mampu dijawab. Dia belum memikir atau memutuskan apa-apa lagi tentang masa depannya sebaik sahaja Ros Ilyani berkahwin tapi kepada Rania dijawabnya begini:

"Pokok-pokok jambu dengan pokok-pokok anggur aku perlukan aku di sana."

"Baguslah kalau begitu, sesekali aku dengan Kak Ros akan turun ke sana."

"Bila agaknya tu Ren, entah-entah engkau akan berhijrah ke negara orang putih, ikut suami kau ke Sweden," ucap Halim yang tidak tahu apa-apa.

Ngilu tangkai hati Rania mendengarnya. Masin mulut kau Halim, berhijrah aku sekali lagi tapi bukan di negara orang putih seperti jangkaan kau!

"Itu suami kau dah datang. Mana berani biarkan isteri cantiknya seorang diri," kata Halim semasa melihat langkah Ummar Qayyum menghala ke arah mereka.

Rania diam sahaja. Bahu Rania dipaut Ummar Qayyum sebaik sahaja dia duduk di sebelah Rania. Rania berasa pelik dan kurang selesa. Adakah Ummar Qayyum sengaja mahu menunjuk-nunjuk kepada Halim? Fikir Rania.

"Macam mana bisnes jambu dan anggur you Lim?" tanya Ummar Qayyum.

Tadi semasa makan bersama-sama tidak sempat untuk dia bertanyakan Halim tentang ladang pertaniannya kerana bapa-bapa saudara Halim riuh rendah bercerita tentang kampung halaman mereka.

"Alhamdulillah. Jambu I dah masuk pasaran Singapura. Pasar-pasar raya di sana suka jambu I. Permintaan jambu I kat sana tinggi. I nak cari tanah kosong dan nak besarkan ladang, " cerita Halim bersemangat.

"Kau tak cerita pada aku pun Lim," tokok Rania.

"Kau pun tak tanya."

"Kau semakin maju ya Lim. Aku tumpang gembira untuk kau. Kau dah jadi usahawan peringkat global rupanya! Aku yakin keenakan jambu batu kau tu akan membawa kau pergi lebih jauh malah lagi jauh dari Singapura," luah Rania bersungguh hati.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa jambu batu yang ditanam Halim sungguh lazat. Rangupnya seperti epal sedang manisnya pula berlemak. Tanpa dicecah asam boi, ia tetap enak dan menggiurkan malah lebih sedap daripada epal luar negara.

"Terima kasih Ren. Pujian kau menyemarakkan lagi semangat aku," kata Halim seraya memandang pula ke muka Ummar Qayyum.

"Dulu masa I jatuh Qayyum, Ren jugalah yang menjadi peniup obor semangat. Tanpa Ren, aku takkan sampai ke tahap hari ini," balas Halim pula.

Ummar Qayyum mulai gelisah sehingga tidak tahu hendak dijawab apa. Pandangan Halim pada Rania membuahkan cemburu pula di hatinya. Dikerlingnya pula pada Rania di sebelah. Tangannya yang terletak di bahu Rania jatuh terkulai apabila Rania secara perlahan-lahan menarik kerusinya.

"I takkan sesekali melupakan jasa Rania," tambah Halim lagi.

"Jambu you memang sedap Lim. Rangup dan manis." Tak semena-mena Ummar Qayyum berkata demikian. "Ren suka sangat makan jambu you tu."

Datang pula meluat di hati Rania mendengar kata-kata Ummar Qayyum. Akhirnya dia berdiri.

"Kau berbuallah ya Lim. Aku nak masuk dulu." Rania beredar dan tinggalkan kedua-dua lelaki itu berbual bersama-sama.

Nampak Rania masuk, Makcik Rohaya segera menarik tangan Rania menuju ke biliknya. Terkocoh-kocoh Rania dibuatnya.

"Kenapa mak cik?" tanya Rania sebaik sahaja Makcik Rohaya menutup pintu bilik.

"Tengok ni." Makcik Rohaya menunjukkan botol-botol kecil yang sudah kosong isinya kepada Rania. Botol-botol kecil itu dikeluarkan daripada uncang kain yang agak lusuh.

"Apa ni mak cik?" Rania kehairanan.

"Mak cik jumpa dalam bilik Murni. Sama dengan botol yang kita jumpa dalam bungkusan Murni yang dia dapat daripada bibik Indonesia hari tu!" terang Makcik Rohaya satu persatu.

Rania masih memerhatikan botol-botol kecil tersebut. Makcik Rohaya masukkan semuanya ke dalam uncang kain lalu diikat baik-baik.

"Mak cik selongkar bilik Murni ke?"

"Ambillah peluang masa dia tak ada," sahut Makcik Rohaya selamba.

"Botol apa ni ya?" Rania tidak mengerti.

"Tulah dia. Mak cik dapat rasa sesuatu." Dahi Makcik Rohaya berkerut seribu. "Hari tu, Murni ada tanyakan pada mak cik tentang botol berisi minyak yang mak cik ambil dari bungkusan! Tapi mak cik kata tak tahu!"

"Mana botol minyak tu mak cik?" Rania ingin tahu.

"Mak cik dah bagi pada Pak Mud."

"Kenapa bagi pada Pak Mud?"

"Adalah sebabnya. Nanti kita dengar apa kata Pak Mud!" kata Makcik Rohaya.

Dia mahu menghantar semula uncang kain tersebut ke bilik Murni.

"Mak cik ni macam Inspektor Gadget." Rania masih kurang mengerti akan apa yang berlaku di sekelilingnya. Makcik Rohaya menuju ke bilik Murni manakala dia pula menghala ke dapur. Melihat bayang Ummar Qayyum menghala ke arah serupa, Rania menukar haluan dan memanjat anak tangga menuju ke bilik.

"Abang tak faham dengan sikap Ren. Mengapa dengan orang lain Ren boleh berbual-bual mesra tapi tidak dengan abang?" luah Ummar Qayyum pada Rania.

Malam itu, dia mahu menyampaikan apa yang yang dirasakan selama ini kepada Rania. Dia mahu berterus-terang dan tidak mahu memendam perasaan lagi. Dia sudah tidak mampu untuk berdiam diri dan melihat sahaja. Hari itu bukan main lagi Rania berbual-bual dan bergelak tawa dengan Farhan. Tadi, sekali lagi Rania galak bercerita dengan Halim. Apabila dia mahu tumpang berbual sekali, Rania terus pergi. Hatinya benar-benar terusik dengan sikap Rania yang bias itu.

"Berbual mesra apanya? Tiba-tiba saja nak melenting ni kenapa?" Mata Rania berpinar dituduh begitu.

"...dengan 'abang' Farhan tu apa?" Sengaja Ummar Qayyum tekankan perkataan abang.

"...dengan Halim pun bukan main lagi..." sambungnya lagi.

"So what?" Tinggi suara Rania kali ini.

Nafas Ummar Qayyum turun naik. Dadanya terasa panas mendadak. Wajah Rania direnung tajam sekali.

"Ohhh, pandai cemburu! Masa you berbual-bual mesra berjam-jam dengan Ummi Kalthum dan bergurau-senda dengan Murni dan anaknya ada you fikirkan tentang perasaan I?"

Rania pulang paku buah keras. Hatinya rasa puas melihat wajah Ummar Qayyum masam-masam manis.

"Bila masanya abang berbual berjam-jam dengan Ummi? Bila tikanya abang bersenda-gurau dengan Murni dan Fahim?" Ummar Qayyum tidak mengerti.

"Bila kena batang hidung sendiri, pandai pula berdalih."

"Sikap Ren memburukkan keadaan. Ren salah faham," suara Ummar Qayyum sama naik dengan suara Rania.

"Sikap I? Jadi selama ini I sajalah yang bersalah. Mungkin sebab itu juga emak you tak datang ke majlis Abang Rais hari ni?" Antara sedar dengan tidak terluah juga apa yang bermain-main di benak Rania sepanjang majlis tadi.

"Apa yang you merepek ni? Emak kan temankan Murni kat kampung. Abang ingat Ren lebih memahami situasi Murni."

"Murni...! Yalah! Dia tak macam I kan? Murni baik dan sedar diri. Sejak dulu dan selamanya Murni saja!" rintih Rania.

"Suka benar ungkit-ungkit benda yang tak kena mengena. Susah betul nak berbincang dengan you ni!" sembur Ummar Qayyum lagi. Matanya sudah berubah merah.

"Okey, fine!" Rania terduduk.

Luluh hatinya mendengar tuduhan melulu Ummar Qayyum. Air matanya mulai bergenang-genang. Semua yang buruk-buruk tertuding kepadanya kini.

"Kalau you terus nak tuduh I macam-macam, suka hati youlah tapi tolong keluar dari bilik ni." Wajah Rania sudah basah.

Ummar Qayyum terkedu. Datang pula rasa bersalah melihat wajah basah si isteri.

"Ren...please...kita bincang elok-elok. Ren jangan emosional," pujuk Ummar Qayyum.

Suaranya kendur. Rania menggelengkan kepalanya berkali-kali. Jari jemari tangan kirinya diletakkan di hujung mulut manakala tangan kanannya menunjuk ke arah pintu bilik.

Ummar Qayyum tidak terkata. Dipejamkan matanya sejenak sebelum kakinya melangkah keluar bilik.


Sumber : Harian Metro

CR2 (Siri 33) - Seperti angin membawa berita!

“Ren nak jumpa siapa ni?” Sepuluh minit selepas kenderaan mewah Porche Cheyenne bergerak dari pondok Tol Kajang melewati Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur menuju ke arah Sungai Besi, barulah Ummar Qayyum bertanya pada Rania dengan siapa dia mahu bertemu.
“Kawan baik bekas kekasih you,” sahut Rania bena tak bena tanpa memandang pada Ummar Qayyum.

Ungkapan itu agak kasar di pendengaran Ummar Qayyum. Mengapa Rania berubah laku sehingga begini? Ummar Qayyum tertanya-tanya. Apa yang tidak kenanya dengan hubungan kami? Tanpa bertanya balik, Ummar Qayyum terdiam sejenak. Dia berfikir. Siapa yang Rania maksudkan?

Kalau bekas kekasihnya sudah tentulah Ummi Kathum. Kawan baik Ummi Kalthum siapa ya? Oh, barangkali si FF yang pandai bermadah pujangga itu ke? Kerana Ummar Qayyum tidak bertanya lanjut, persoalan itu mati di situ sahaja. Rania melayan diri melihat kenderaan di sepanjang jalan manakala Ummar Qayyum melayan diri mendengar lagu daripada saluran Hot FM.

Sesekali dia mengerling pada Rania. Kemudian dijatuhkan pandangan pada perut Rania yang mulai timbul. Dia sedang mengandungkan anak aku! Ren, berlemah-lembut sikitlah dengan abang! Tercetus suara hati Ummar Qayyum, tapi tersekat sahaja di kerongkong. Ikutkan hati mahu sahaja dia keraskan hati seperti Rania, tetapi spontan kata-kata Rais datang di kepalanya.

“You tak berapa kenal adik I tu Qayyum. Betulkan segera Qayyum sebelum terlambat sebab, I kenal adik I. I sekadar memberi peringatan pada you. Dan satu lagi you jangan lupa, Ren juga pernah lalui macam-macam siri percintaan.

Putus tunang dengan Farhan, bawa diri ke Sabah. Bercinta sekejap dengan you, muncul Murni dan you berdua putus. Dia hampir nak kahwin dengan Halim, tapi tak jadi. You pula bawa diri ke Sweden. Ren kecewa bila you pergi, tapi takdir tetap temukan you berdua. Sepatutnya you dengan Ren kena bersyukur banyak-banyak. Seperti I, Ren juga membina kekuatannya melalui pengalamannya. Dia keras kepala dan sukar ditafsir. Jangan sampai dia buat keputusan yang akhirnya merugikan kalian berdua kalau you lambat bertindak.”

Setiap kali terkenangkan kata-kata Rais tentang Rania, datang juga rasa gerun di hati Ummar Qayyum. Ah! Perasaan aku juga tidak menentu kini. Ada ketikanya aku juga tidak kisah. Tapi saat itu! Saat dia sedang bersama Rania kini, tidak dinafikan dia rindu pada isterinya dan ingin sekali menyentuh tangannya, tapi tingkah laku Rania bagai menghalang keinginannya.

Rania langsung tidak menoleh padanya, malah boleh dikatakan sepanjang masa Rania lebih rela memandang ke luar tingkap. Apa yang ada di luar sana? Sekadar bangunan-bangunan dan kenderaan yang bertali-arus. Atau sesekali Rania akan bermesej. Menulis pesanan dan menghantarnya. Dengan siapa dia bermesej? Kalau aku pegang tangannya, marahkah dia padaku? Silap haribulan direntapnya tangan aku, malu aku! fikir Ummar Qayyum. Dipujuk-pujuknya hati supaya bertolak ansur dan beralah, tetapi bagai ada satu perasaan yang seakan menahannya untuk berbuat demikian.

Ummar Qayyum mengeluh berat. Sampai bila situasi ini akan berlangsungan? Aku perlu mengalah! Kata hatinya lagi.

“Kandungan Ren macam mana?” soalnya lama kemudian dengan harapan Rania akan memberi perhatian kepadanya.

Rania mendengus. Baru sekarang nak tanya. Hari tu bukan main lagi marahkan aku kerana berahsia-rahsia! Rungutnya. Kerana geram, Rania diam sahaja.

“Ren kena jaga kandungan baik-baik. Kena jaga emosi supaya tidak mempengaruhi baby,” tambah Ummar Qayyum ikhlas. Maklumat itu diperoleh daripada sebuah buku yang dibaca tentang psikologi bayi di dalam kandungan.

Loya Rania mendengar kata-kata Ummar Qayyum. Aku tidak berminat hendak mendengar leterannya masa ini. Aku malas hendak fikir! Hatinya menggerutu lagi.

Kerana tidak mendapat reaksi positif, akhirnya Ummar Qayyum memberikan tumpuan sepenuhnya pada pemanduan.

“Nak jumpa siapa ni?” Akhirnya itu soalan yang ditanya Ummar Qayyum buat kali kedua semasa kereta sudah pun diparkir di tempat letak kereta bangunan The Mines. Suaranya masih lembut.

“Kejap lagi you tahulah.” Rania buka pintu kereta dan berjalan sendirian mencari pintu masuk ke dalam pusat beli-belah The Mines. Terkocoh-kocoh Ummar Qayyum mengejarnya dari belakang. Sambil berjalan, Rania berbual dengan seseorang menerusi telefon bimbit. Dia bergerak lincah dan laju.

Langsung tidak kelihatan seperti seorang ibu yang sedang mengandung. Dia turun escalator dan bergerak pantas menuju ke restoran Subway. Seorang lelaki tinggi lampai melambai ke arahnya semasa ternampak kelibat Rania. Senyuman lebar lelaki itu berubah mengecil sebaik sahaja dia perasan Ummar Qayyum ada di belakang Rania.

Betul seperti dugaanku! Mahu jumpa Farhan@ FF, desis Ummar Qayyum. Dia mengerling di sekelilingnya kalau-kalau ada kelibat Ummi Kalthum, tapi ternyata hanya Farhan seorang sahaja yang datang.

Rania duduk mengadap Farhan sementara Ummar Qayyum mengambil tempat di sebelahnya. Dia bersalam dan berbual sejenak dengan Farhan sebelum Farhan mula berbincang dengan Rania tujuan bertemu Rania di situ. Sebaik sahaja mendengar usulan yang dikemukan oleh Farhan, senyuman manis terukir di bibir Rania. Ummar Qayyum benar-benar jauh hati. Dengan aku bukan main buat muka tetapi dengan si pujangga ini, senyumannya sampai ke telinga.

“Alhamdulillah abang Farhan. Terima kasih atas kesudian abang nak bantu sekolah. Ren akan bawa usul abang Farhan ke pihak sekolah. Ren rasa tak ada masalah langsung, malah pihak sekolah sangat mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada pihak pihak swasta yang bermurah hati hendak menyumbang apa-apa sahaja pada sekolah.”

Bengkak hati Ummar Qayyum makin bernanah. Rania tidak pernah meminta bantuan daripadanya atau daripada syarikatnya untuk menyumbang apa-apa bagi pihak sekolah, tapi tergamak pula memohon daripada Farhan. Kelelakiannya rasa tercabar. Tambah pedih hatinya tatkala mendengar suara lembut Rania semasa berbual dengan Farhan. Panggilan ‘abang’ yang digunakan benar-benar menghiris pedih telinganya. Bukan sekali dua bahkan perkataan ‘abang’ itu tidak pernah lekang dari bibir Rania.

“Kak Ros kata abang Farhan berbakat menyanyi. Apa kata masa hari pertandingan tu, kami jemput abang untuk sampaikan hadiah dan nyanyikan beberapa lagu,” tanya Rania.

Farhan tersenyum mesra.

“Suara abang tak sedap pun,” Farhan merendah diri. Terasa segan pula dipuji melambung begitu oleh Rania sedangkan suaminya ada di sebelah.

“Kak Ros yang kata suara abang best. Ada lenggok macam Anuar Zain,” pujian Rania menyebabkan Ummar Qayyum tersentap. Amboi mak! Lenggok Anuar Zain! Sedap sangatkan suara? Teringin pula aku hendak mendengarnya.

“Bukan apa abang Farhan, kami nak memotivasikan budak-budak kami yang malu dan tak berkeyakinan tu. Susah nak fahamkan mereka bahawa bidang kesenian yang dimiliki oleh mereka merupakan satu aset penting yang boleh mereka gunakan untuk kembangkan kerjaya. Jadi contoh paling dekat dan nyata yang kami boleh tunjuk ialah abang. Bukan setakat hebat dalam akademik bahkan berbakat menyanyi.”

“Mana ada bakat menyanyi pun! Ren ni puji I lebih-lebihlah pula Qayyum,” ujar Farhan pada Ummar Qayyum. Dia berasa malu.

“Bukan Ren yang kata, Kak Ros. Bukan calang-calang orang dapat pujian daripada Kak Ros tau.” Rania terus memuji Farhan.

“Eh, abang ada dengar Ros Ilyani nak kahwin dengan abang Ren, Rais. Betul ke?” Farhan menukar tajuk apabila menyedari wajah Ummar Qayyum masam-masam manis.
“Sampai juga berita tu pada abang ya!” Rania tersengih seraya mengiyakan apa yang dikatakan oleh Farhan.

“Bila?” tanya Farhan penuh minat.

“Dua minggu lagi. Tapi mereka buat simple saja sebab ni perkahwinan ketiga abang Rais,” akui Rania.

“Tapi yang pertama buat Ros Ilyani kan?”

“Kak Ros pun nak simple juga.”

“Kalau dua-dua dah setuju macam tu, baguslah,” komen Farhan.

“Berbalik pada apa yang kita bincangkan tadi macam mana? Setuju tak datang ke sekolah kami dan buat persembahan?” Rania bertanya semula.

Anggukan Farhan membuahkan kebahagiaan di bibir Rania. Ummar Qayyum berasa seperti melukut di tepi gantang. Nampak benar Rania meminggirkannya.

Silap ke aku ikut Rania hari ini? Fikirnya semasa dalam perjalanan pulang. Aku tak ubah macam supirnya sahaja. Sampai di rumah, seperti tadi, Rania buka pintu kereta dan bergegas masuk. Tak sempat Puan Sri Zalia hendak bertanya padanya kerana dia terburu-buru naik ke bilik.

“Nak bersiap. Kejap lagi ayah kan nak sampai dengan Zara,” jerit Rania dari anak tangga apabila ditegur ibunya. Puan Sri Zalia sekadar menggelengkan kepala.

“Jumpa siapa tadi Qayyum?” Dialihkan pula soalan pada Ummar Qayyum.

“Farhan. Kawan Ren yang sama belajar di UPM dulu. Kawan rapat Ummi Kalthum,”

“Yang datang hari tu kan!” tanya Puan Sri Zalia balik. Baru Ummar Qayyum teringat akan hal itu. Dia mengangguk mengiyakan.

“Hal kamu dengan Ren macam mana pula? Dah okey ke kamu dengan dia?”

Ummar Qayyum sekadar angkat bahu. Dia duduk di sofa. Puan Sri Zalia menyainginya.

“Mama tengok saja tadi,” Ummar Qayyum mengadu.

Keluhan Puan Sri Zalia terdengar. “Sabarlah Qayyum. Mama rasa Ren tu jadi emosi macam tu dek pembawakan budak.”

“Lama ke mama perempuan mengandung berperwatakan pelik?” Ummar Qayyum mahu tahu.

“Bergantunglah, ada macam-macam fi’il perempuan mengandung ni. Ada perempuan mengandung yang lembik, ada yang kuat. Tapi mama tengok Ren ni macam kuat.

Mabuk dia hari tu pun tak lama mana. Seminggu saja dia mabuk-mabuk, itupun tak seteruk mama dulu. Masa mama mengandung dulu, haiii...teruk! Melepek mama dua tiga bulan...”

“Ada yang macam Ren?”

“Maksud kamu?”

“Ada orang yang mengandung moody macam Ren? Dia macam tak suka saja tengok saya...” Ummar Qayyum melahirkan perasaan hatinya yang selama ini disimpan sendiri.

“Apa tak adanya? Ada kawan mama tu lagi teruk. Dia langsung tak boleh tengok suaminya. Nampak kelibat pun tak boleh. Asyik nak marah dan mengamuk saja. Tiap kali suaminya datang dekat dia muntah! Macam-macam fi’il orang mengandung ni Qayyum. Kamu bersabarlah ya!”

Penjelasan ibu mertuanya sedikit sebanyak melegakan hati Ummar Qayyum. Memang selama ini dia bersabar. Selebihya dia sengaja memberi ruang pada Rania untuk bersendirian. Tambahan pula, akhir-akhir ini Rania begitu emosional dan cepat marah. Kerana itu juga, dia tidak berani naik ke atas dan lebih rela duduk di bilik tetamu di tingkat bawah untuk mengelakkan perselisihan berlaku. Yang diharapkan selepas ini ialah agar situasi itu akan kembali jernih seperti sedia kala. Namun, sesekali datang juga kecut perutnya apabila terkenangkan kata-kata Rais.

“Tapi saya risau juga mama...”

“Risau apa?”

“Mama pun kenal Ren kan? Saya takut tup tup dia buat perangai ke! Apa ke!”

“Hisss, janganlah mintak macam tu!” pesan Puan Sri Zalia.

“Rania kan biasa melalui peristiwa putus cinta, putus tunang...” luah Ummar Qayyum - meminjam kata-kata Rais tentang Rania.

“Memang betul kata kamu tu Qayyum ,tapi seingat mama, semasa berkasih dan berpisah dengan kamu sebelum kahwin dulu tu, mama tak pernah tengok Ren menangis seteruk tu. Masa dia putus dengan Farhan, dengan Halim, dia tenang saja, macam tak ada apa-apa yang berlaku.”

“Betul ke mama?”

“Betul...”

Ummar Qayyum senyum sejuring.

“Anggap saja Ren buat perangai sebab pembawakan budak. Kamu jangan risau. Habis pembawakan budak tu, Ren okey balik nanti,” nasihat Puan Sri Zalia.

Dia kelihatan begitu yakin sekali sewaktu meletuskan kata-kata tersebut padahal jauh di sudut hati kecilnya ada sejalur rasa cemas mengenangkan tingkah laku Rania yang sukar dimengertikan.

Ah! Kerenah orang mengandung seperti kata mama. Ummar Qayyum menyedapkan hati sendiri. Barangkali Rania rimas tengok muka aku. Anak lelaki kot! Fikirnya sambil tersenyum.

“Kamu bersiaplah. Nanti ayah dengan Zara sampai,” ujar Puan Sri Zalia sebelum pergi.

Sewaktu Tan Sri Razlan tiba bersama Zara Aliya, Ummar Qayyum baru selesai solat Asar. Di ruang tamu, yang menyambut kedatangan mereka ialah Rais, Murni, Puan Sri Zalia dan Makcik Rohaya. Zara Aliya diperkenalkan pada ahli keluarga. Puan Sri Zalia agak terkejut melihat Zara Aliya yang sudah bertudung litup. Wajahnya lembut dan berseri-seri.

Zara Aliya bersalaman dengan Puan Sri Zalia. Melihat air muka anak gadis yang kehilangan ibu itu, datang pula belas di hati Puan Sri Zalia. Terkenang juga dia akan kata-kata Makcik Rohaya sebelum itu.

“Ni, suami kak Rania,” Tan Sri Razlan memperkenalkan Ummar Qayyum pada Zara Aliya.

Ummar Qayyum sekadar mengangguk hormat padanya.

“Ren, sini,” panggil Puan Sri Zalia yang melihat Rania sedang menuruni anak tangga.

Rania hampiri kelompok keluarganya. Dia juga agak terkesima melihat perubahan diri Zara Aliya. Jauh berbeza dengan Zara Aliya yang dilihat sebelum ini. Raut wajahnya juga lembut dan anggun tidak seperti yang diingati sebelum ini - sombong dan angkuh.

“Kak Ren,” tangan Rania disalami Zara Aliya lalu dikucup lembut oleh Zara Aliya.

Sebaik sahaja Zara Aliya mengangkat mukanya, entah mengapa ringan saja tangan Rania meraih tubuh Zara Aliya lalu didakap serta dicium di pipi kiri dan kanan.

Air mata Tan Sri Razlan bergenangan. Terharu menyaksikan cara Rania melayan Zara Aliya. Semasa di meja makan, Zara Aliya kelihatan selesa dilayan Rania.

Puan Sri Zalia juga berkali-kali mengerling melihat hubungan akrab yang mudah benar terjalin antara Rania dengan Zara. Sejuk perutnya melihat situasi itu. Cuma yang dia tidak mengerti ialah mengapa Ummar Qayyum tidak dilayan sebaik itu oleh Rania. Kenapa?

“Mama nak teh 0 panas?” tanya Rania pada ibunya semasa mereka berkumpul dan berbual-bual di ruang tamu utama. Untuk Ummar Qayyum dengan Tan Sri Razlan, Makcik Rohaya telah menyediakan satu teko Nescafe panas. Zara Alia hanya mahukan air suam.

“Boleh juga,” sahut Puan Sri Zalia.

“Abang Rais?” tanya Rania.

“Abang tak nak apa-apa. Kejap lagi abang dah nak naik,” sahut Rais.

Murni pula selepas selesai makan malam tadi, awal-awal lagi telah membawa anaknya naik. Katanya hendak menidurkan Fahmi.

“Suka mak cik tengok keakraban Ren dengan Zara,” luah Makcik Rohaya pada Rania.
“Makcik tengok ayah macam nak menangis masa Ren peluk Zara.”

“Ren rasa dia baik mak cik. Lagipun dia adik Ren.”

“Baguslah kalau Ren fikir macam tu.”

“Ren nak ajak dia tinggal kat sini dan Ren harap Zara sudi.”

“Tanyalah dia, insya-Allah dia nak dan jangan lupa minta izin mama,” pesan Makcik Rohaya.

“Manalah tahu kalau-kalau dengan adanya Zara kat sini, mama dengan ayah Ren boleh jadi mesra macam dulu.”

Rania kembali terfikir, apakah sikap keras kepala yang dimilikinya itu sebenarnya diwarisi daripada ibunya? Mama beriya-iya menasihati aku supaya beralah, tetapi mama sendiri bersikap dingin dengan ayah!

“Ren keras kepala ikut mama kan, mak cik?” luahnya tiba-tiba.

“Mana pula! Mama kamu tu nampak saja macam keras hati, tapi lembut, kamu yang terbalik. Mak cik pun dah tak berapa kenal kamu lagi Ren.”

Rania terkejut mendengar komen Makcik Rohaya. Teruk sangatkah perangai aku?

“Tapi Ren kan sedang mengandung. Orang mengandung memang banyak ragam,” sambung Makcik Rohaya tanpa menyedari gelodak yang menjunam di hati Rania.

Teh O panas untuk ibunya sudah pun dibancuh, tetapi Rania masih tercegat di tepi meja dapur. Makcik Rohaya kembali sibuk mengemas pinggan mangkuk. Dari celahan pintu dapur, Rania sengaja mengintai orang bertiga itu berbual-bual.
Dia berasa bahagia melihat situasi itu. Kalau arwah ibu Zara Aliya menjadi pemisah keakraban antara ayah dengan mama, biarlah Zara Alia menjadi pengerat hubungan antara mereka, doa Rania semasa dulang berisi teh O panas sudah ditatang untuk dibawa ke depan.

“Zara nak berhenti kerja sebab nak sambung belajar ke?” Soalan yang diajukan oleh ibunya tertangkap dek telinga Rania semasa dia sedang menghidang air.

Zara Alia pandang Tan Sri Razlan sekilas. Dia kelihatan teragak-agak untuk menjawabnya. Puan Sri Zalia mengesan sesuatu pada pandangan orang dua beranak tersebut.

“Kenapa?” tanya Puan Sri Zalia kemudiannya.

“Sebenarnya Zara Alia dapat tawaran untuk buat master di London. Dia dah terima dan bulan September nanti, dia akan berangkat,” sahut Tan Sri Razlan.

Kecewa Rania mendengarnya. Dia baru merancang sesuatu untuk Zara Alia, tetapi rupa-rupanya Zara Alia sudah terlebih dahulu merancang perjalanan hidupnya.

“Baru kali ni Zara berpeluang datang sebab Zara teringin sangat nak kenal keluarga ni dengan lebih dekat. Zara teringin nak kenal auntie dan semua anak- auntie sebab Zara anggap ini keluarga Zara juga,” tutur Zara Alia sepatah-sepatah.

“Sebenarnya dah lama Zara teringin nak datang, tapi dia belum bersedia dan takut,” sampuk Tan Sri Razlan pula.

Puan Sri Zalia menundukkan wajahnya. Kerana sikap akukah yang menyebabkan Zara Alia tidak berani berkunjung ke sini?

“Semasa auntie sakit dan masuk wad dulu, Zara nak sangat tengok, tapi Zara takut kalau Zara datang, auntie lagi sakit,” tuturnya ikhlas.

Dia melemparkan senyumnya pada Puan Sri Zalia yang sedang merenungnya.

“Lepas ni Zara boleh datang bila-bila masa saja yang Zara suka,” pelawa Puan Sri Zalia. Hatinya tersentuh mendengar kata-kata anak yatim tersebut.

“Kak Ren baru nak ajak Zara tinggal di sini bersama kami,” sambung Rania pula.

Ummar Qayyum terharu mendengar kata-kata Rania. Sesungguhnya itulah Rania yang sebenarnya. Baik hati dan penuh empati. Tetapi bila bersama aku ke mana sifat-sifat itu bersembunyi?

“Betul kata Kak Ren tu Zara. Tinggal saja bersama kami,” tokok Puan Sri Zalia.
Kembang hati Zara Alia mendengarnya.

“Terkilan juga rasanya sebab Zara tak berani datang lebih awal. Kalau Zara tahu seluruh keluarga auntie baik macam ni, dulu lagi Zara dah datang.”

“Tak perlu rasa terkilan Zara. Mulai sekarang, Zara dah jadi keluarga kami.”
Puan Sri Zalia tiba-tiba begitu teruja.

Sekali lagi Zara Alia bersama Tan Sri Razlan berpandangan.

“Selain menyambung pelajaran di London, Zara juga nak berhijrah di sana,” ujar Tan Sri Razlan perlahan. Hujung matanya sudah mulai berubah warna - merah dan berair.

Terperanjat Rania mendengarnya. Puan Sri Zalia pula terkebil-kebil. Kerana itukah Zara Alia memberanikan datang ke sini? Kerana dia mahu berhijrah dan meninggalkan Malaysia? Bisik Rania dengan perasaan yang sebal.

Aku juga mempunyai agenda yang tersendiri! Dalam sepi dan sunyi yang membelenggu, Rania mengerling Ummar Qayyum. Terkedu dirinya kerana ketika itu mata Ummar Qayyum sedang tajam memamah wajahnya.

Oh angin! Berita apakah lagi yang akan kau bawa masuk ke rumah ini?


Sumber : Harian Metro

Tuesday, March 12, 2013

CR2 (Siri 31) - Semakin Jauhkah Hati?

Hari itu hari Sabtu. Rania nampak Ummar Qayyum bersiap-siap. Malas hendak ditanyakan ke mana lelaki itu mahu pergi. Terpulanglah! Luka-luka yang dihiriskan oleh Ummar Qayyum masih berdarah! Fikirnya. Dia turun ke dapur lalu membantu Makcik Rohaya menyiapkan sarapan.
Apabila Ummar Qayyum masuk ke dapur dan membancuh Nescafenya sendiri, Rania berasa tersinggung pula. Sukarnya bermain dengan hati!
“Egois!” Rungutnya lalu keluar dari dapur dan naik ke biliknya di atas. Turun semula sepuluh minit selepas itu, dia nampak Ummar Qayyum sedang mencuit pipi Fahmi yang ada di dukungan Puan Sri Zalia. Murni pula berdiri di sebelah ibunya.

Dia hendak mencabar aku rupanya! Silakan, kata hatinya lagi.


“Qayyum nak pergi ni Ren,” Puan Sri Zalia memaklumi Rania sewaktu tersuluh kelibatnya yang melintasi ruang tamu utama. Rania datang semula. Masih mengharapkan agar Qayyum menegurnya terlebih dahulu tapi itu tidak berlaku. Kalau Qayyum boleh berkeras, aku pun tidak akan berlembut.

“Pergi dulu,” ujar Ummar Qayyum secara umum.

Sungguhpun marah, Rania tetap berasa hampa. Lelaki ini sememangnya sudah benar-benar berubah! Hatinya terus berkata-kata.

“Balik cepat ya! Nanti Ren nak umumkan sesuatu pada Qayyum,” sapa Puan Sri Zalia dengan wajah berseri-seri.

Ummar Qayyum berpaling seketika pada Puan Sri Zalia. Senyum nipis terukir di bibirnya.

“Bye Fahmi!” ujar Ummar Qayyum sebelum pergi.

Sebaik sahaja Ummar Qayyum memasuki kereta, Rania bergegas menuju ke arah dapur. Dia tidak suka mendengar apa yang didengarinya tadi.

“Mak cik beritahu mama ke?” tanya Rania pada pembantu rumahnya.

“Beritahu apa?”

“Tentang kandungan Ren!”

“Memanglah mak cik beritahu. Takkan nak sorok lama-lama. Mak cik tak boleh buat macam tu,” sahut Makcik Rohaya dengan rasa bersalah.

“Mak cik ni...! kan Ren dah pesan. Tak boleh simpan rahsialah mak cik ni,” bebel Rania.

“Mak cik tak nak bersubahat menyembunyikan berita gembira. Mama Ren dengan Qayyum patut tahu!” tegas Makcik Rohaya. Rania mendengus lalu duduk di kerusi mengadap taman mini milik ibunya.

Di pagar belakang, dia nampak kelibat seseorang sedang mengintai-intai dari celahan pintu pagar yang berkunci.

“Siapa tu mak cik?” soal Rania. Makcik Rohaya menjengah.

“Ooo bibik rumah belakang tu. Dia nak bagi jamu ke si Murni lah tu!” terang Makcik Rohaya.

“Jamu apa?” tanya Rania pelik.

“Jamu nak cantik.”

“Kejap ya, biar Ren ambilkan,” ujar Rania seraya menghala ke arah perempuan muda tersebut.

Sebaik disapa Rania, bibik yang berkulit gelap dan gempal itu kelihatan serba-salah.

“Ya mau kasi ini sama buk Murni. Jamu ini,” ujar bibik itu dalam loghat Indonesia seraya menyerahkan sebuah bungkusan kepada Rania.

“Nanti saya serahkan. Siapa nama bibik ni?” sapa Rania sopan.

“Basyuro nama saya. Dikasih sama buk Murni ya ibu, bungkusan itu!” pesannya sebelum pergi.

Rania membawa bungkusan itu masuk lalu diletakkan di atas meja dapur.

“Sejak bila Murni kenal dan berkawan dengan bibik tu? Tak pernah Ren nampak pun sebelum ni!” ujar Rania seraya memerhatikan bungkusan tersebut dengan penuh minat.

“Entah, tapi dah beberapa kali juga bibik tu belikan dia jamu. Dia cakap pada mak cik jamu untuk langsing dan perapat, hemmm....!” Juih Makcik Rohaya seraya mengintai kalau-kalau ada kelibat Murni di situ. Yakin Murni tiada, dia menambah.

“...tapi tak berkesan pun. Rais hendak bermadu juga!” sindir Makcik Rohaya sambil tergelak kecil.

“Nak tengok jamu apa!” Dengan selamba Rania membuka bungkusan tersebut. Di dalamnya ada beberapa bungkusan jamu, dua ketul sabun pembersih muka dan terselit sebiji botol kecil berukuran 4 sentimeter yang diikat pada bungkusan jamu. Botol kecil itu berisi cairan berwarna kuning lembut.

“Apa ni mak cik?” tanya Rania pelik.
Makcik Rohaya yang sedang mengambil buah dari dalam peti ais menoleh dengan wajah berkerut. Dia dekati Rania dan capai botol kecil itu.

“Ni macam minyak saja.” Botol kecil itu didekatkan pada matanya.

“Apa yang ditulis tu?” bisik Makcik Rohaya pada Rania.

“Tak tahu mak cik. Tulisan apa ni?” tanya Rania.

“Eh apa benda si Murni ni?” Makcik Rohaya mulai rasa pelik. Diarahkan Rania membungkus semula barang-barang tersebut tetapi botol kecil berisi cairan tidak dimasukkan semula.

“Kenapa mak cik ambil botol tu?”

“Mak cik curiga. Pelik pula ada botol macam ni,”

“Selama ni tak ada ke?” tanya Rania penuh minat.

“Entahlah Ren. Masa mula-mula bibik tu kasi dulu-dulu, mak cik curi-curi buka juga sebab nak tengok apa isinya bungkusan tu tapi memang jamu saja tapi lepas tu bila kebetulan mak cik ambil, tak adalah mak cik buka lagi.”

“Mak cik nak buat apa dengan botol tu?” tanya Rania. Dia kurang senang dengan tindakan Makcik Rohaya.

“Shhh...” Makcik Rohaya memberi isyarat. Jari telunjuknya diletakkan di bibir. “Mak cik nak periksa,” bisiknya semasa menyedari Murni masuk ke dapur bersama Puan Sri Zalia.

“Ni bibik bagi ni,” beritahu Rania pada Murni. Berubah air muka Murni seketika.

“Oh bibik Basyuro datang tadi ya?” Murni kelihatan teragak-agak.

Dia memandang bungkusan yang diletakkan di atas meja. Puan Sri Zalia nampaknya kurang berminat dengan cerita jamu tersebut tetapi matanya tajam merenung Rania.

“Ren, mama nak cakap dengan Ren kejap,” ujar Puan Sri Zalia pula.

Makcik Rohaya menyambung kerjanya. Dia memotong buah lalu dihidangkan di atas meja.

“Sekarang ya Ren,” ujar Puan Sri Zalia melihat Rania tidak bergerak. Sudah diduga Rania apa mahu ibunya.

Di dalam bilik ibunya, wanita itu berkhutbah panjang. Macam-macam yang dinasihatkan kepada bakal ibu muda yang dianggapnya masih bersifat keanak-anakan.

“Mama ingat makin lama Ren makin matang tapi meleset jangkaan mama. Sejujurnya mama kecewa dengan sikap Ren. Ren tahu tak?”

Rania memeluk kepala lutut. Dia lebih rela berdiam diri daripada berbalah dengan ibunya.

“Kalau Makcik Rohaya tak beritahu pada mama, sampai bila Ren nak rahsiakan dari kami tentang kandungan Ren tu?” Puan Sri Zalia memerhatikan Rania.

Rania diam lagi.

“Betul ni Ren tak nak beritahu pada Qayyum tentang kandungan Ren?” tegur Puan Sri Zalia.

Keras kepala Rania makin menjadi-jadi. Teringat wajah selamba Ummar Qayyum pagi tadi makin hilang mood Rania untuk berkongsi apa-apa cerita dengannya.

“Ren tahu tak apa yang Ren buat ni salah dan berdosa?” Puan Sri Zalia tidak dapat menerima cara Rania. Beberapa kali dia beristighfar melihat kedegilan Rania. Sungguh tidak diduga sejauh itu kemelut yang melanda rumah tangga anak menantunya. Dia perasan Ummar Qayyum dengan Rania kurang berinteraksi akhir-akhir ini tapi sangkanya kesibukan Rania dan kesihatan Ummar Qayyum yang menjadi punca. Rupa-rupanya masalah mereka jauh lebih kronik daripada itu.

“Kalau mama nak beritahu pada dia, terpulanglah. Tapi dari mulu Ren, takkan Ren beritahu,” akhirnya Rania berkata demikian.

“Kenapa Ren jadi keras hati macam ni? Apa salah Qayyum? Ren kena ingat Ren tu isteri tau!”

Kenapa semua orang nampak aku sahaja yang bersalah padahal kalau bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi? Kenapa Ummar Qayyum tidak disalahkan?
Hakikatnya Ummar Qayyum sebagai nakhoda sebuah rumah tangga yang gagal memainkan peranannya. Silapkah aku menikahinya?

“Mama memang tak faham.” Puan Sri Zalia menjeling. Geram sungguh dia akan sikap Rania yang keras kepala dan degil itu.

“Cuba Ren tengok Murni tu. Perhatikan sikap dia. Pernah Ren tengok dia buat perangai walaupun Abang Rais tak endahkan dia? Pernah Ren nampak dia tarik muka? Pernah Ren lihat dia buat perangai walaupun dia sedar Abang Rais akan madukan dia tak lama lagi?”

“Ah, dia baik. Tak macam Ren ni,” sindir Rania. Dia sedar ibu sangat menyebelahi Murni sekarang.

“Ren, mama suruh Ren tengok dan belajar daripada Murni. Mama suka sikapnya yang reda dan menerima takdir tanpa rungutan. Sikap yang sedemikian membuatkan kita jadi sayang padanya walaupun mula-mula dulu mama kurang suka pada dia.”

“Mama, Murni tu siapa? Mama pun tahu kenapa Abang Rais nikah dengan dia kan? Dia tu bernasib baik sebab Abang Rais selamatkan maruah dia dan turut selamatkan anak dia. Memang dia patut sedar diri dan tahu diuntung!” bantah Rania.

Sakit juga hati apabila ibunya membanding-bandingkan dirinya dengan Murni. Sekarang semua orang dalam rumah ini mengagung-agungkan Murni. Bukan sahaja Ummar Qayyum bahkan ibunya sendiri pun sudah memihak pada Murni. Puan Sri Zalia menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali. Dia makin tidak mengerti akan sikap anak bongsu yang semakin ketara buat perangai akhir-akhir ini. Pembawakan budakkah?

“Tak baik menghina Murni begitu Ren,” nasihat Puan Sri Zalia.

“Ren tak hina dia tapi Ren tak suka mama membandingkan dia dengan Ren.”

“Mama pelik dengan sikap anak mama akhir-akhir ni! Mana perginya anak mama yang selama ini mama kenali sebagai seorang anak yang baik hati, yang sayang pada semua orang? Hari ni mama tengok Ren tak macam Ren yang mama kenal dulu.”

“Ya, semua orang dalam rumah ni dah berubah. Yang baik dah jadi jahat, yang jahat berubah baik! Ren dah berubah jadi hantu kot! Murni pula dah jadi bidadari sebab tu lah mama, Ummar Qayyum mulai sayang dan mesra dengan dia!”

“Ren cemburukan Murni ke?”

Rania terdiam. Cemburukah aku padanya? Barangkali! Dia pernah jadi buah hati Ummar Qayyum dan sekarang menjadi kesayangan ramai termasuk emak Ummar Qayyum. Aku? Datang belas di hati Puan Sri Zalia melihat air mata Rania yang mulai bergenang-genang.

“Apa yang berlaku Ren? Mama terlepas sesuatu ke?” Suara Puan Sri Zalia mulai mengendur.

Setitis air mata Rania jatuh ke pipi.

“Ren...” Suara lembut Puan Sri Zalia bagai air yang mengalir tidak berupaya menenangkan jiwa lesu Rania. Rania patungkan dirinya.

“Ren kena belajar bertolak-ansur. Sebagai isteri kita perlu banyak berkorban.”

Pujukan Puan Sri Zalia tidak berbekas di hati Rania. Tika dan detik itu, dia lebih senang berdiam diri. Dia malas terhegeh-hegeh dan mengalah. Buat masa ini dia masih berharap agar Ummar Qayyum yang memujuknya. Kebelakangan ini Ummar Qayyum agar keras dan ketara menyalahkan dirinya dalam banyak hal. Sekarang dia lebih suka mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan masa mengubah keadaan.

Tidak terlintas langsung di hatinya hendak menyampaikan berita kehamilannya kepada Ummar Qayyum tetapi kalau emaknya hendak memaklumkan berita tersebut kepada Ummar Qayyum biar sahaja. Begitulah juga sebaliknya. Dia sudah tidak kisah.

Malahan, untuk melupakan kemelut yang melanda rumah tangganya, dia menyibukkan diri di sekolah. Apa sahaja kerja-kerja yang dilonggokkan kepadanya, diterima sahaja tanpa bantahan malahan apabila dipanggil oleh Encik Salman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk menyandang jawatan setiausaha Lembaga Pengawas pada tengah-tengah tahun pun dia mengangguk sahaja.

“Saya serius ni Cikgu Rania,” tegur Encik Salman menyedari tiada bantahan daripada Rania.

“Saya pun serius tapi Cikgu Salman yakin ke saya boleh buat kerja ni? Saya kan pernah ada kes dengan murid bernama Shahir Fikri dulu? Encik Salman dah lupa?” Sengaja Rania membangkitkan cerita tentang kes salah laku murid yang melibatkan dirinya dulu.

“Saya ingat dan sebab kes itulah saya pilih cikgu. Saya yakin cikgu tahu cara mengawal murid.”

“Okeylah kalau cikgu fikir begitu.”

“Kalau begitu senang cerita. Sekarang saya serahkan tugas ini pada Puan Rania. Saya yakin Puan Rania dapat mengambil alih tugasan tertangguh tersebut,” ujar Encik Salman, dengan wajah serius.

Tugasan tertangguh? Hati Rania berdetak tapi mengenangkan keadaannya yang sedang rusuh saat itu, tidak ditanyakan dengan lebih lanjut tentang hal berkenaan. Dia mahu segera keluar dari bilik PK Hem dan pulang ke rumah serta merehatkan tubuh dan minda yang dirasakan begitu penat sekali.

“Puan Rania boleh berbincang dengan Puan Shiela dan Puan Asyikin tentang unit pengawas kalau saya tak ada di pejabat,” sambung Encik Salman lagi. Rania mengangguk tanda akur pada arahannya.

Keluar dari bilik Encik Salman, Rahah sudah sedia menunggunya di tepi mesin perakam masa. Bersamanya ada seikat buku latihan murid yang mahu dibawa pulang ke rumah.

“Encik Salman panggil kau sebab suruh kau ambil alih tugas Sheila kan?” serkap Rahah dengan wajah tidak puas hatinya. Suaranya diperlahankan. Dia berjalan beriringan dengan Rania menuju ke tempat parkir kereta.

“Mana kau tahu?”

“Semua orang tahu. Kau terima?”

“Hmm.” Rania mengiyakan.

“Kenapa kau terima? Kenapa tak tolak saja? Kau kan tengah mengandung? Kerja kau dah banyak, kenapa kau galas kerja orang yang tak sudah tu?” marah Rahah. Terpinga-pinga Rania dibuatnya.

“Banyak yang aku terlepas pandang kat sekolah ni. Apa lagi yang aku tak tahu?” bentak Rania.

“Banyak yang kau tak tahu!”

“Memang. Memang banyak benda aku tak tahu. Aku ni macam katak bawah tempurung. Itu sebab aku ketinggalan banyak hal. Banyak benda yang aku buat tak betul. Memang salah aku kalau aku ketinggalan dan terlepas pandang pun!” Tiba-tiba Rania berubah emosi. Wajah Rahah berubah. Dia kelihatan bersalah. Bahu Rania dipaut lembut.

“Ren, akhir-akhir ni aku tengok kau macam tak berpijak di bumi. Kau ada masalah ke?”

Keprihatinan menyebabkan Rahah bersikap menjaga tepi kain orang.

“Aku nak balik Rahah. Aku penat. Aku nak berehat!” ujar Rania.

Dia belum bersedia untuk berkongsi masalahnya dengan sesiapa. Otaknya berserabut yang teramat sangat. Bersimpang-siur jiwa raganya saat itu. Dia mahu segera pulang. Dia mahu membersihkan diri, bersolat dan tidur. Malas untuk berfikir tentang apa-apa.

“Okey, kau baliklah berehat.”

Rahah terkebil-kebil apabila Rania meninggalkannya lalu terus memasuki kereta dan memandu perlahan. Rania berasa otaknya memberat. Dia berhenti di bahu jalan. Telefonnya berdering. Di skrin, tertera nombor yang tidak dikenali. Dia menjawab.

“Assalamualaikum Rania...”

“Waalaikumusalam....”

“Kenal tak?”

“Siapa?”

“Saya. Faheem...”

“Faheem. Abang Faheem!” teka Rania.

“Ya. Mengganggu ke?”

“Taklah.”

“Abang ada hal nak bincang dengan Rania. Boleh abang jumpa bila Rania free?” soalnya sopan sekali.

“Hal apa Abang Faheem?”

“Nanti abang cakap bila kita jumpa. Bila-bila Rania free, call abang ya!” ujar Faheem sebelum mengucapkan salam.

Rania kembali memandu. Sampai di halaman rumah, kereta Ummar Qayyum sudah diparkir di ruangannya.

Awal pulangnya! Detik Rania. Berat pula rasa hatinya hendak melangkah masuk.
Makcik Rohaya membuka pintu dan bersegera menghidangkan Rania segelas air mineral seperti biasa. Tidak lupa dia bertanyakan kesihatan Rania.

“Ren sihat mak cik.”

Dia duduk di sebelah Rania.

“Ren, makcik dah bagi minyak dalam botol kecil milik Murni pada kawan mak cik. Dia kata dia akan beritahu mak cik apa kata ustaz tentang minyak tu!” bisik Makcik Rohaya.

“Suka hati mak ciklah...” Rania melabuhkan tubuhnya lalu berbaring di sofa.
“Qayyum dah balik,” ujarnya lagi. Rania pandang sekeliling. Dia tidak nampak siapa-siapa. Murni, Fahmi malah Rais tidak kelihatan.

“Mama mana?”

“Dalam bilik. Baru saja dia masuk sebelum Ren balik.”

Jam di dinding dikerling. Menyedari dirinya belum bersolat Zuhur, Rania gagahkan diri melangkah mendaki anak tangga menuju ke kamarnya di tingkat atas.

Sebaik sahaja dia duduk di birai katil, Ummar Qayyum muncul dan berdiri tegak di hadapannya. Terkejut Rania dibuatnya.

“Ren mengandung ya?” tanya Ummar Qayyum. Wajahnya masam mencuka sampai Rania tidak berani membalas pandangannya.

“Kalau mengandung, janganlah simpan seorang. Ren ingat Ren tu siapa nak berahsia-rahsia begitu?” Hamburan kata-kata yang agak kesat itu benar-benar mengejutkan Rania.

Ummar Qayyum tidak menunjukkan sebarang perasaan gembira malah mengambil mudah berita itu. Dia tidak pernah menduga begitu penerimaan Ummar Qayyum terhadap anak yang sedang dikandungnya. Jangkanya ego dan perasaan marah Ummar Qayyum akan lenyap sebaik sahaja mendengar perkhabaran tersebut. Perasaan terkejutnya jadi berganda apabila Ummar Qayyum meninggalkannya sendirian sebaik sahaja selesai mengucapkan kata-kata bak sembilu tadi.

Benci sangatkah Ummar Qayyum pada aku sekarang ini? Dan anak ini? Ya Allah, besar sangatkah dosaku pada suamiku sampai tergamak dia meluahkan kata-kata sedemikian padaku? Dengan langkah longlai Rania menuju ke kamar mandi. Dia mahu menyejukkan hatinya yang benar-benar berasa kering dan kontang saat itu. Ya Allah! Kau berilah aku kekuatan kalau inilah dugaan yang Kau takdirkan buatku sekarang!


Sumber : Harian Metro