Murni hampiri Ros Ilyani seusai menyalami tangan Puan Sri Zalia. Ros Ilyani peluk tubuh Murni. Hatinya berasa walang mengenangkan nasib Murni. Sebaik berhadapan dengan Rais, Murni hanya anggukkan kepala tanda hormat. Tidak tergamak rasanya untuk menyalami apatah lagi mencium tangan lelaki yang telah dia usulkan sebuah perceraian.
Semalam, dia meminta Ros Ilyani sampaikan tetapi pagi tadi, entah mengapa ringan saja mulutnya menyampaikan sendiri apa yang terpendam akhir-akhir ini. Ternyata Rais terkejut tetapi sepatah kata pun tidak terkeluar daripada mulut Rais. Kerana cerai itu telah diminta, maka dia harus tahu diri. Dan kini dirinya ibarat sehelai daun yang hampir terlerai dari ranting. Bila-bila masa sahaja akan terlucut haknya sebagai isteri.
“Sampaikan salam Murni pada Kak Ren, mama,” ujar Murni lembut seusai bersalam dengan semua yang ada di situ. Dia mengambil Fahmi dari dukungan Puan Sri Zalia. Beg sederhana miliknya dimasukkan oleh Rais ke dalam kereta, di tempat duduk belakang.
“Sampaikan salam mama pada Nenek Ninda juga ya,” ujar Puan Sri Zalia tatkala tubuh Murni sudah berada dalam kereta.
Tambah hiba hati Puan Sri Zalia melihat Fahmi yang tiba-tiba merengek.
“Lama ke Murni balik?” Masih sempat Puan Sri Zalia bertanya.
“Tak tahulah mama. Terpulang.” Putih mata Murni memandang keluarga Puan Sri Zalia yang masih berdiri di beranda. Kereta sudah bergerak.
“Kasihan Murni!” keluh Ros Ilyani.
“Biarlah dia balik kampung. Itu yang terbaik untuknya. Dia nak mengadu kisah pada Nenek Ninda. Dia tahu Nenek Ninda ada kat sana. Hatinya pedih barangkali,” ujar Puan Sri Zalia sayu mengenangkan Murni.
Mereka masih berdiri memandang ke arah kereta dipandu Pak Mud yang bergerak perlahan membawa Murni bersama Fahmi. Pak Mud diarahkan oleh Puan Sri Zalia supaya menghantar Murni ke perhentian bas kerana dia beriya-iya sangat hendak balik ke Kampung Daun Pisang. Rais mahu menghantar tetapi Murni menolak. Dia bertegas mahu pulang naik bas.
“Saya offer, dia tak nak. Dia kata dia boleh balik sendiri” Rais mempertahankan dirinya. Bimbang kalau-kalau ibunya menyalahkannya pula.
“Patutnya abang hantar saja. Kasihan Ros tengok Murni.” Rasa bersalah melanda Ros Ilyani sejak tadi. Kerana kehadiran akukah yang membuatkan Murni mahu balik ke kampung serta-merta? Fikirnya.
“Macam manalah agaknya tu, dengan beg lagi, kelek si Fahmi pula. Sedih pula mama kenangkan nasib Murni.”
“Mama tak payahlah melankolik sangat. Pandailah Murni jaga dirinya.”
“Kalau dia seorang tak apa abang fikir begitu, ni dengan Fahmi...” Jeling Ros Ilyani pada suaminya.
“Jangan sampai Kak Ninda fikir bukan-bukan pada mama sudah.” Puan Sri Zalia menekap telapak tangan di dada. Bimbang dan risau bermukim.
“Kita dah offer nak hantar ma. Murni yang tak hendak. Takkan kita nak paksa-paksa,” ulang Rais lagi. Bosan kedengarannya.
“Kamu tu pun satu, ambil mudah perkara macam ni.” Bebelan Puan Sri Zalia menyakitkan telinga Rais.
“Saya nak buat apa mama? Dia tak hendak,” tekan Rais lagi.
Puan Sri Zalia tidak terkata. Betul juga apa yang dikatakan Rais. Masakan hendak paksa Murni masuk kereta dan hantar balik kampung. Buat dia terjun dari kereta dalam perjalanan pulang, lagi memburukkan keadaan.
“Tak faham apa dia hendak. Tiba-tiba saja nak bercerai dengan Rais, lepas tu tak sempat-sempat nak balik kampung,” keluh Puan Sri Zalia lagi sebaik sahaja mereka duduk-duduk di ruang tamu sambil minum petang.
“Eloklah dia pergi puan. Banyak buruk daripada baik kalau dia ada di sini,” Makcik Rohaya mencelah sewaktu menghidangkan kek pisang pada tuan rumah sekeluarga.
Puan Sri Zalia menjeling pada Makcik Rohaya.
“Malangnya dia pergi setelah banyak porak-peranda dia tinggalkan di rumah ni. Tengok saja keadaan Ren dengan Qayyum. Dah berpisah jauh jadinya. Kisah minyak pengasih pun hilang lenyap begitu sahaja padahal dialah onarnya!” tambah Makcik Rohaya dengan berani.
Dia kesal sebenarnya. Kesal kerana banyak masalah kecil yang berlaku dalam rumah tersebut menjadi besar disebabkan oleh Murni.
“Tak baik kak cakap macam tu, tak ada bukti Murni yang jadi dalangnya.”
“Satu hari Puan Sri akan percaya. Tuhan akan tunjuk,” jawab Makcik Rohaya dengan yakin dan pergi. Tuan rumah ditinggal terpinga-pinga.
“Mak rasa Murni pergi sebab merajuk,” kata Puan Sri Zalia lama kemudian.
“Saya pun rasa begitu mama. Dia sudah lama merajuk tapi ditahan-tahan. Kali ni, kami berdua ada di sini pula. Dia terus tak selesa kot!” sampuk Ros Ilyani yang dihujani rasa bersalah.
“Tak selesa mengapa?”
“Dia cemburu tengok saya dengan Ros Ilyani,” sahut pula Rais.
“Kenalah biasa-biasakan diri. Namanya pun bermadu,” ujar Puan Sri Zalia sejenak.
Hendak tergelak pula Rais mendengarnya. Bukan main pandai lagi ibunya mengata Murni padahal dia pernah mengalami nasib serupa juga. Masa kena batang hidungnya sendiri dulu, tatkala mendapat tahu dia bermadu dengan wanita berketurunan Filipina, lama mana ibunya memendam rasa pada ayah.
“Kenapa pula kamu tersengih-sengih ni,” jeling Puan Sri Zalia pada Rais.
“Tak ada apa-apalah mama.” Sengaja Rais tidak berterus-terang takut mengguris hati si ibu.
“Kamu pun satu. Mengada-ngada. Depan Murni sengaja bermesra-mesra dengan Ros. Dengan Murni kamu tak buat macam tu!” Sergah Puan Sri Zalia.
“Saya tak cinta, macam mana saya nak bermesra-mesra.”
“Yang kamu kahwin dengan dia buat apa kalau dah tahu tak cinta?”
“Mama kan tahu sebabnya!”
“Tak ada siapa yang paksa kamu!” tempelak ibunya lagi.
“Dahlah mama, yang lepas tak payahlah mama ungkit-ungkit.”
Puan Sri Zalia mendengus. Panjang jelingannya pada Rais. “Semalam semasa dia cakap kat kamu Ros, ada dia cakap dia nak balik kampung?”
“Tak mama. Dia hanya cakap dia nak bercerai. Lepas tu dia pergi. Saya dengan Ren terpinga-pinga sejenak.”
“Esok paginya dia bagi tahu pada saya pula. Saya terkejut juga. Tapi kalau itu yang dia hendak, saya akan bagilah...” Rais berkata selamba.
“Hish, hish kamu ni Rais. Bukan main lagi bercakap tu. Tak sensitif langsung.”
“Dia yang beriya-iya minta. Bukan saya yang suruh.”
“Kamu ceraikan dia?”
“Belum lagi!”
Pening kepala Puan Sri Zalia memikirkan hal anak-anak. Lepas seorang, seorang buat hal.
“Kisah Ren macam mana pula?”
“Yang tu no comment,” sahut Rais.
“Nampak macam Ren dah tekad dengan keputusan dia,” beritahu Ros Ilyani.
“Macam-macam yang berlaku dalam rumah ni. Cerai-berai macam mainan. Mula-mula Ren nak berpisah kemudian Murni. Apa sudah jadi ni?”
“Mama tak payah fikir. Nanti mama pengsan lagi!” nasihat Rais.
Sunyi seketika.
“Kalaulah Ren tekad nak pergi, aduh...sakit jantung mama. Bila tahun pula dia nak balik sini? Hal dia dengan Qayyum macam mana pula?” Nafas Puan Sri Zalia mulai mengah.
“Dia acah saja mama, saja nak gertak Qayyum kot!” ujar Rais mahu menyedapkan hati ibunya.
Puan Sri Zalia diam sahaja.
“Cuti Ren sampai bila mama?”
“Sampai hujung tahunlah. Habis cuti hujung tahun nanti, kalau ikut perancangannya, terus terbang ke Sabah.”
“Qayyum tahu?”
“Nak tahu macam mana? Bercakap pun mama tengok jarang-jarang.”
“Qayyum balik ke sini bila?”
“Bulan Oktober.”
“Barangkali masa tu Ren dah okey kot!”
“Siang malam mama berdoa!”
“Nanti ayah balik, Rais bincang dengan ayah lagi sekali.”
Lega sikit mendengar kata-kata Rais. Jauh di sudut hati, Puan Sri sangat-sangat berharap agar hubungan Rania dan Ummar Qayyum kembali seperti dahulu. Masih adakah cinta antara mereka? Mudah-mudahan awan mendung yang melintasi tasik cinta mereka akan segera berlalu!
Murni leka bermain-main dengan Fahmi. Nenek Ninda berlenggang datang dari arah dapur sambil menatang minuman. Satu jag air sirap bercampur air batu nampak menggiurkan sekali. Sepanjang perjalanan tadi, setitis air pun tidak masuk ke kerongkong Murni. Dia hilang haus dan penat. Dia hanya mahu segera sampai di rumah Nenek Ninda. Dia mahu berjumpa dengan nenek Ninda dan mengadu macam-macam. Kali ini biar Nenek Ninda tahu apa yang ditanggung selama ini.
“Minum dulu Murni,” arahnya sambil duduk di sebelah Murni.
Diperhatikan Murni yang menogok sirap dengan gelojoh sekali. Kasihan budak ini, balik kampung naik bas bersama anak kecil. Nasib baik tak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan! Sampai hati si Zalia membiarkan Murni balik sendirian. Tergamak sungguh dia! Inilah kata orang sudah dapat gading bertuah tanduk tidak berguna lagi.
“Rais ada kat rumah?” tanya Nenek Ninda tiba-tiba. Murni angguk.
“Dia pun biarkan saja Murni balik sendiri? Murni diam.
“Sampai hati tengok Murni dengan Fahmi naik bas? Ni anak siapa ni?”
Nenek Ninda angkat Fahmi yang sedang bergolek-golek di tilam. Berderau darah Murni sejenak. Hingga saat itu, Nenek Ninda tidak pernah tahu bahawa Fahmi bukan anak Rais.
“Alah...alah....cian cicit nenek....”
“Bini barunya pun adalah?”
Murni angguk lagi.
“Mereka duduk di mana sebelum ni?”
Murni angkat bahu.
“Murni dengan Rais macam mana?”
Keluhan Murni kedengaran. “Rais tak pernah sayangkan Murni,” katanya dengan yakin.
Dahi Nenek Ninda berkerut.
“Kalau tak sayang, kenapa dia kahwin dengan Murni?
Murni tidak menjawab.
“Kena paksa ke?” tanya Nenek Ninda lagi.
Murni tetap membisu.
“Apa yang Murni rahsiakan daripada nenek ni?” tanya Nenek Ninda tidak semena-mena. “Dia mendera kamu?”
Murni berfikir sejenak. Rais mendera jiwa ragaku. Putih mata Murni menatap mata tua Nenek Ninda.
“Apa kamu bercadang nak buat sekarang Murni?”
“Nenek duduk di sini sampai bila?” soal Murni balik.
“Entahlah. Tengoklah bila Bakhtiar sekeluarga balik dari Amerika.”
“Kalau Murni kata Murni nak duduk di sini dan temankan nenek, nenek nak balik duduk di kampung semula tak?”
Terkejut Nenek Ninda mendengar kata-kata Murni.
“Kan Murni ada suami.”
“Namanya ada suami tapi macam tak ada.”
“Kenapa dengan rumah tangga Murni? Murni tak bahagia?”
“Entahlah. Macam inilah. Macam yang nenek tengok. Bahagia ke Murni kalau Murni balik seorang ke sini?”
“Kamu tak bahagia?”
“Entahlah tapi Murni lebih bahagia duduk di sini daripada sana. Agaknya mereka pun gembira Murni tiada di sana. Seronoklah Rais dapat berkepit dengan buah hati pengarang jantung dia tanpa Murni di sana!”
“Murni marah?”
“Kalau dia bahagia, suka hati dialah nenek.”
Nenek Ninda hilang kata-kata. Sunyi lagi. Nenek Ninda tengok pelepah daun kelapa yang bergoyang-goyang disapa angin dari desa. Hatinya tertanya-tanya tentang situasi Murni.
“Sebenarnya...” kata Murni teragak-agak.
Dahi Nenek Ninda berkerut. Dia menunggu ungkapan Murni yang seterusnya. Melihat air muka Nenek Ninda yang tertanya-tanya, Murni menyambung ayatnya yang tergendala tadi.
“Sebenarnya, Murni dah minta cerai dengan Abang Rais,” kata Murni selamba.
“Cerai? Kenapa?” Terkejut orang tua itu mendengarnya.
“Sebab Murni memang tak cintakan dia. Kami sama-sama tak saling cinta.”
“Tak cinta kenapa kahwin?” tempelak Nenek Ninda.
Pelik pula melihat tingkah laku Murni kali ini. Tiada kelihatan bunga-bunga kesedihan sewaktu dia bercerita tentang rumah tangganya yang berantakan itu.
“Sebab Abang Qayyum pun dah kahwin dengan Rania.”
“Apa kena mengena Qayyum kahwin dengan Ren?” Nenek Ninda berasa aneh. Debaran hati Nenek Ninda kian menjadi-jadi.
“Murni patah hati,” sahut Murni perlahan. Air mukanya hiba amat.
“Sebab itulah Murni kahwin dengan Rais?” Selongkar Nenek Ninda lagi.
“Ya. Tapi Murni tak pernah cintakan Rais. Murni hanya cinta seorang saja dalam hidup Murni.”
Nenek Ninda pandang Murni dengan perasaan yang sukar dimengerti.
“Siapa?” Dalam ragu-ragu Nenek Ninda bertanya. Jauh di sudut hati dia sangat berharap agar jawapan yang bakal diberikan Murni bukan apa yang sedang berlegar di fikirannya.
“Abang Qayyum.”
Nenek Ninda terdiam terus. Aku dah agak! Katanya sendiri. Tidak semena-mena dia berasa takut dan gerun. Berdegup jantung Nenek Ninda seketika. Begitu dalamkah rasa cinta Murni pada Qayyum?
“Qayyum kan dah kahwin.” Nenek Ninda cuba menyedarkan Murni.
“Tapi sekarang dah berpisah pun, Rania pun dah nak berpindah ke Sabah. Eloklah tu seorang di Sweden, seorang di Sabah.”
Rania hendak ke Sabah? Dia tak beritahu pun! Nenek Ninda bermonolog sendiri.
“Nenek pun tak tahu kan? Rania dah tekad nak pindah ke Sabah. Makin jauhlah mereka dipisahkan. Semua yang berlaku dalam rumah tu Murni tahu,” kata Murni bangga sekali.
“Er, berpisah tak bermakna bercerai.”
“Nanti bercerailah tu! Nenek tengok saja,” kata Murni girang.
Apa kena dengan Murni ini? Mendoakan yang buruk-buruk! Dada Nenek Ninda makin kuat denyutannya.
“Dah agak lama kita tak balik rumah mama. Jomlah kita balik,” Ros Ilyani mengemukakan isi hatinya pada Rais. Selama mereka berkahwin, boleh dibilang dengan jari berapa kali mereka telah bermalam di rumah ibu bapa Rais.
Selebihnya, mereka hanya singgah tanpa bermalam.
Rais lebih selesa berada di rumah sendiri. Ros Ilyani sedar akan situasi itu, tetapi sebagai menantu, datang juga rasa bersalah di hatinya. Wajah isteri dipandang penuh kasih sayang.
“Nak balik kenapa?” Soalan bodoh tertanya dek Rais.
“Oh, nak sebab? Okey, sebab pertama itu rumah keluarga abang. Sebab kedua, emak dan ayah abang masih ada dan wajar kita menziarahi mereka. Ketiga, Ros nak jumpa Ren. Ros nak berkongsi masalah yang sedang Ren hadapi sekarang. Sebab keempat...”
“Cukup...cukup...” Rais tersengih macam kerang busuk. Sebenarnya dia lebih suka mereka hidup berjauhan daripada keluarganya kerana di rumah ibu bapanya ada Murni.
Murni yang masih lagi memegang status isteri yang sah. Isteri yang telah dinikahi lebih awal daripada Ros Ilyani. Dan Murni juga merupakan isteri pertamanya. Ah...Murni! Walaupun katanya dia tidak kisah bila Rais mahu berpoligami tapi jauh di sudut hatinya, siapa yang tahu, fikir Rais.
“Boleh ke Ros berhadapan dengan Murni?” Rais menguji Ros Ilyani.
“Masalahnya Ros atau abang? Boleh ke abang berhadapan dengan kami berdua?” tanya Ros Ilyani balik.
“Abang okey saja. Abang bimbangkan Ros.”
“Apa maksud abang tanya macam tu?”
“Abang tanya saja.”
“Sebab status Ros sebagai isteri kedua?”
“Bukan sebab Ros tapi sebab abang kenal siapa Ros. Abang kenal isteri abang ni lama sebelum abang kahwin dengan dia, abang bimbang kalau-kalau Ros tak sampai hati nak berdepan dengan Murni.”
“Kenapa pula Ros nak rasa begitu? Abang kan dah cerita pada Ros tentang kisah di sebalik pernikahan abang dengan Murni dulu? Ros dah faham dan insya-Allah Ros boleh hadapi Murni dengan tenang. Tak ada apa yang perlu dikhuatiri.”
Rais memaut tubuh isterinya dengan penuh kasih sayang.
“...dan abang bimbang juga kalau-kalau Murni yang mungkin tak dapat bersemuka dengan isteri abang ni...”
“Kenapa?”
Keluhan Rais terdengar lagi. Seingatnya, sepanjang bergelar isteri, Murni tidak pernah mendapat layanan sebagai seorang isteri. Murni tidak pernah dicintai malah tidak pernah mendapat tempat di hatinya. Murni mengandung setelah diperkosa oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dia menjadi pak sanggup dan mengahwini Murni semata-mata untuk menyelamatkan kandungan Murni yang hampir digugurkan.
Perkahwinan mereka hanyalah untuk menutup aib Murni. Dan Murni ibarat boneka di rumah itu. Tidak berperanan! Di rumah ibu bapanya, Murni dan anaknya diberikan perlindungan. Malah mengikut perjanjian awal, Murni mahu diceraikan sebaik sahaja dia selamat melahirkan anak di rumah ibu bapanya. Namun, setelah dipujuk oleh ibunya, Murni tidak jadi diceraikan malah Murni dengan rela hati mengizinkan Rais untuk mengahwini Ros Ilyani.
“Sebab Murni tidak pernah mendapat layanan macam Ros,” kata Rais lama kemudian. “Abang tak pernah anggap dia macam isteri. Abang takut dia tak boleh terima dan tergugat melihat kemesraan kita,” tutur Rais tenang.
Ros Ilyani garu kepalanya yang tiba-tiba berasa gatal.
“Habis, sampai bila kita nak lari daripada dia?”
Betul juga apa yang dikatakan oleh Ros Ilyani. Rais angkat bahu.
“Hendak tak hendak dia terpaksa terima juga,” luah Rais setelah berfikir lama.
Kemudian, dia menghubungi ibunya memaklumkan bahawa mereka mahu pulang menziarahi keluarga.
“Eloklah kamu berdua balik. Mama harap kamu berdua boleh nasihatkan adik kamu si Ren ni, mama dah tak kuasa.” Bebelan ibunya kedengaran serius di telefon.
“Kenapa dengan Ren, mama?
“Baliklah, nanti mama cerita,” kata Puan Sri Zalia. Sampai sahaja anak menantunya di rumah petang itu, terus dia berpenglipur lara. Sudah lama dia menunggu masa untuk berkongsi masalah Rania dengan mereka.
“Mula-mula dia kata nak berpisah dengan Qayyum. Masa dia cerita, mama terkejut sampai pengsan,” luah Puan Sri Zalia dengan penuh perasaan.
“Lepas tu masa Qayyum nak balik Sweden, tergamak dia tak hantar Qayyum kat KLIA. Mama tak terkata. Sakit hati mama. Belum habis hal tu, ayah pula bagi tahu mama yang Ren nak pindah balik ke Sabah. Silap hari, mati terkejut mama dibuatnya!”
“Sabar ya mama,” pujuk Ros Ilyani sungguhpun mereka suami isteri juga terkejut mendengar pelbagai berita di luar sangka tentang Rania.
“Kenapa Ren jadi macam tu? Apa masalah dia dengan Qayyum?” Rais tidak faham.
“Kamu tanyalah adik kamu sendiri. Lepas dia keguguran tu, perangainya makin menjadi-jadi. Tak boleh silap sikit, asyik Qayyum jadi mangsanya. Mama tak faham. Mama memang tak reti,” kata Puan Sri Zalia sambil melemparkan pandangan ke tingkat atas - ke arah bilik Rania.
“Ayah kata apa?” tanya Rais lagi.
“Ayah kamu pun serupa. Dua kali lima dengan Ren. Dia izinkan Ren nak balik ke Sabah. Itu yang mama angin satu badan.” Puan Sri Zalia mendengus. Mukanya masam tanda tidak puas hati.
“Kalau Ren dah pindah sana, makin susahlah hal dia dengan Qayyum. Dahlah sekarang seorang kat sini, seorang lagi kat Sweden...nak dijauhkan lagi sampai ke hujung pedalaman,” leteran Puan Sri Zalia berterusan.
Anak menantu memberi peluang untuknya mengadu nasib. Mereka jadi pendengar setia.
“Tolonglah nasihatkan adik kamu tu!” rintih Puan Sri Zalia akhirnya.
Rais dan Ros Ilyani diam sahaja. Sunyi menguasai suasana. Namun seketika kemudian, suara tangisan Fahmi memecah sepi. Lama juga si kecil itu melalak sebelum Puan Sri Zalia memanggil Makcik Rohaya.
“Fahmi menangis dalam bilik tu,” ujarnya pada Makcik Rohaya. “Maknya tak ada,” beritahunya pada orang berdua itu pula.
“Murni ke mana mama?” tanya Ros Ilyani.
“Dia keluar tadi.”
“Keluar ke mana?” sambung Rais pula. Jarang sekali Murni keluar bersendirian selama ini. Sudah pandai tinggalkan anak ke Murni? Hati Rais berdetak.
“Entah. Katanya ada hal,” sahut Puan Sri Zalia acuh tak acuh. Kebelakangan ini dia tidak kisahkan sangat Murni atau siapa-siapa kerana tumpuannya lebih kepada masalah Rania dan masalah kedegilan anak bongsunya itu.
“Kamu tidur di sini tak?” tanya Puan Sri Zalia.
Rais dengan Ros Ilyani saling berpandangan.
“Boleh kan mama?” tanya Ros Ilyani.
“Apa tak boleh pula. Bilik banyak.”
“Bukan masalah bilik! Ni ha Ros ni, takut sangat Murni kecil hati,” luah Rais mewakili Ros Ilyani.
Puan Sri Zalia diam sejenak sebelum berkata, “Tak ada apa-apalah Murni tu rasa mama. Perkara dah lepas pun. Dia pun dah tak kisah. Dia sedar diri dan tahu diuntung,” kata Puan Sri Zalia dan pergi.
Dia datang balik dengan sepiring ubi rebus berserta kelapa parut yang bergaul garam.
“Sedapnya ubi kayu,” kata Ros Ilyani. Lupa sekejap kisah Murni.
“Kopi kat dapur Ros,” kata Puan Sri Zalia.
Ros Ilyani tahu apa maksud yang mahu disampaikan oleh ibu mertuanya. Dia lantas bergerak ke dapur lalu mengelek dulang yang di atasnya terletak teko berisi kopi panas berserta beberapa biji cawan. Dihidangkan di atas meja kopi.
“Lamanya tak makan ubi,” luah Ros Ilyani seraya menyumbat ubi rebus yang sudah dicecah kelapa parut ke dalam mulut. Rais bersama Puan Sri Zalia tidak ketinggalan menjamu selera.
“Mama mengidam nak makan ubi rebus, tu yang suruh Makcik Rohaya beli ubi pagi tadi,” jelas Puan Sri Zalia.
Sedang enak menjamu selera dengan hidangan petang, loceng depan rumah bergema. Makcik Rohaya yang sedang mendukung Fahmi mahu membuka pintu tetapi ditahan oleh Rais.
“Biar saya buka mak cik.” Rais berjalan laju menuju pintu.
Sebaik sahaja pintu terbuka, Murni berdiri tercegat di hadapannya. Mereka berpandangan seketika. Rais tidak tahu bagaimana hendak menegur Murni. Sebuah senyuman nipis dihadiahkan oleh Murni. Rais membalasnya. Dada Murni berdebar-debar tatkala terpandangkan Ros Ilyani yang sedang berbual mesra dengan Puan Sri Zalia.
“Murni dah balik? Hah, jom makan sekali. Ubi panas ni sedap.” Puan Sri Zalia menoleh ke arah Murni.
Murni serba-salah. Selama ini dia berasa seperti orang asing dalam kalangan keluarga itu. Dengan munculnya Ros Ilyani, perasaan terasing itu makin dirasai. Nampak pula tangan sasa Rais digalang pada bahu Ros Ilyani, cepat-cepat dia alihkan pandangan.
“Murni ke mana tadi?” tanya Puan Sri Zalia sebaik sahaja Murni duduk menyaingi mereka.
“Er...Murni jumpa kawan.”
Puan Sri Zalia angkat mukanya daripada cawan kopi yang sedang dipegang.
“Kawan mana?”
“Kawan sama-sama kerja dulu,” helah Murni.
Sebenarnya dia berjumpa dengan bibik Indonesia di pekan Kajang. Dia mahu meminta tolong pembantu asing itu untuk mendapatkan bekalan minyak pengasih yang diperlukan. Dia berasa tidak selamat berjumpa bibik tersebut di belakang rumah. Dapat dirasakan dirinya dicurigai akhir-akhir ini.
Puan Sri Zalia terdiam. Ros Ilyani mulai berasa tidak selesa melihatkan keadaan Murni yang serba-salah. Mendengar suara tangisan Fahmi, Murni ambil kesempatan minta diri.
“Ros pun nak masuk solat dulu.”
“Kita berjemaah ya Ros,” ujar Rais.
“Bila nak bincang dengan Ren?” tanya Puan Sri Zalia bila mereka berdua sudah bangkit.
“Lepas makan malam nanti, bolehlah bincang,” kata Rais.
Lapang Puan Sri Zalia mendengarnya. Dia kembali menikmati ubi kayu rebus dicecah kelapa parut.
***
Mereka solat Asar berjemaah bersama-sama. Selesai membaca doa, Ros Ilyani mencium tangan suaminya lantas Rais pula mengucup dahi si isteri.
“Sepatutnya Murni boleh berjemaah bersama-sama kita,” ujar Ros Ilyani yang masih dalam telekung.
“Kan abang dah cakap tadi...kan betul!”
“Apa?”
“Abang kenal hati budi Ros. Ros tak sampai hati kan? Rasa bersalah?”
Keluhan Ros Ilyani terdengar.
“Jangan lupa bang. Murni pun isteri abang juga tau! Sebelum Ros hadir dan jadi isteri abang, dia dulu jadi suri hati abang,” usik Ros Ilyani.
Rais mengeluh payah. “Namanya isteri tetapi hakikatnya Murni tak pernah jadi isteri abang pun. Abang kan dah cerita pada Ros, abang tak pernah tidur pun dengan Murni.”
“Kasihan juga pada Murni kan bang. Hidupnya...errr...apa agaknya perasaan dia tengok kita tadi,” Ros Ilyani tertanya-tanya. Nuraninya sebagai wanita agak tersentuh melihat keadaan Murni. Umurnya masih muda tetapi dugaan yang dilalui tidak sepadan usia.
“Lagi kasihan pada kita. Hidup kita lagi tragis sebelum disatukan. Sejak dulu, kita suka sama suka sejak tapi hanya sekarang Tuhan satukan kita.”
“Yalah, dulukan abang tergila-gilakan Haryati...,” sindir Ros Ilyani dengan senyum mengejek. Dia masih ingat betapa sakit dan pedihnya hati apabila mendengar khabar bahawa Rais akan ditunangkan dengan Haryati, yang juga kawannya masa bersekolah dulu.
Kemudian mereka berdua dinikahkan. Selepas itu, Rais mendapat tahu cerita sebenar tentang Haryati. Betapa Haryati sanggup mereka cerita semata-mata untuk berkahwin dengan Rais. Namun, tipu muslihat Haryati pecah juga akhirnya dan impaknya rumah tangga mereka berantakan apabila kebenaran terungkai.
“Yang lepas tu lepaslah Ros, abang tak suka Ros ungkit-ungkit sejarah silam,” ujar Rais lama kemudian.
“Itu hakikatnya bang. Jangan sesekali abang nafikan.”
“Abang tak nafikan cuma abang tak suka kisah lama digali kembali. Tak mendatangkan manfaat pada kita. Lagipun abang baru dapat kehidupan yang selama ini abang inginkan. Kehidupan dengan Ros. Noktah okey!”
“Tapi abang jangan lupa, Murni juga sebahagian daripada kehidupan abang hari ini,” peringatan daripada Ros Ilyani membuatkan Rais tersentak.
“Jadi?”
“Ros berkongsi abang dengan Murni.”
“Apa maksud Ros?”
“Abang tak boleh nafikan hak Murni.”
“Ros, jiwa abang tak pernah kahwin dengan Murni selama ini.”
“Ros rasa bersalah. Ros rasa macam perampas yang tak tahu nak berterima kasih! Ros simpati pada Murni.”
“Ros...tolonglah...boleh tak kita tak bercakap tentang ni!”
“Entahlah abang...”
“Tu sebab abang berat hati nak balik. Bukan sebab abang tak ingat mama dan ayah tapi ini yang abang bimbangkan, hati Ros dah berbelah bagi begini. “ Telekung di tubuh Ros Ilyani dibuka Rais.
“Ros dapat rasa kekecewaan Murni. Ros pernah duduk di tempat Murni bila abang kahwin dengan Haryati dulu. Pedihnya hanya Tuhan yang tahu. Malah, Ros rasa apa yang Murni rasakan lebih lagi sebab kami bermadu!”
Wajah isteri yang disayangi ditatap Rais. Kebaikan Ros Ilyani sebenarnya menjadi faktor kekuatan cintanya untuk bertahan dan kian utuh dari hari ke hari. Tapi kebaikan Ros Ilyani juga boleh berubah menjadi ancaman.
“Kalau Ros nak tahu, abang tak pernah rasa sebahagia ini sepanjang bergelar suami. Bersama Ros, barulah abang benar-benar menikmati keindahan sebuah perkahwinan...”
“...cuma Ros tak mahu kebahagiaan yang kita nikmati atas kepedihan dan kedukaan yang dilalui oleh insan lain.”
“Apa yang Ros nak abang buat?”
“Layan Murni seperti mana abang layan Ros!”
“Permintaan Ros keterlaluan.” Rais tidak bersetuju lalu bangkit. Dia menarik sejadah yang dihampar tadi lalu dilipat dan dimasukkan ke raknya kembali.
“Abang tak berminat nak bincang hal ni,” ucapnya dengan wajah sebu.
Ros Ilyani melipat telekungnya lalu diletakkan di birai katil.
“Abang nak turun,” kata Rais dan kemudian pergi.
Ros Ilyani bersendirian di kamar. Salahkah permintaanku tadi? Soalnya tidak mengerti. Aku tidak mahu menjadi manusia tamak yang diibaratkan sebagai kacang lupakan kulit. Bukan mudah untuk seorang isteri mengizinkan suaminya bernikah lain tapi Murni izinkan. Tidak salah rasanya untuk aku meminta Rais memberikan apa yang berhak Murni peroleh sebagai seorang isteri yang sah! Tegasnya di dalam hati. Kerana kesunyian bersendirian, Ros Ilyani mengetuk pintu bilik Rania. Bukan kepalang gembiranya Rania melihat Ros Ilyani tercegat di hadapan pintu bilik. Berulang kali kakak iparnya itu dipeluk dan dicium di pipi kiri dan kanan.
“Mana abang Rais?” tanya Rania kemudian.
“Dah turun dulu.”
“Tak jumpa Ren pun.”
“Dia merajuk dengan akak kot,” akui Ros Ilyani.
“Kenapa?”
“Sebab akak minta dia layan Murni baik sikit...”
“Apa masalahnya Kak Ros?”
“Tak ada masalah pun cuma akak rasa tak sedap hati. Akak isteri kedua. Murni isteri pertama tapi Murni tak dapat hak sebagai isteri...”
“Kak Ros kan tahu sebab Abang Rais kahwin dengan Murni kan?”
Ros Ilyani malas memanjangkan hal tersebut. Kerana itu dia menukar cerita. Dia lebih berminat mengetahui tentang masalah yang dihadapi oleh Rania. Dengan Ros Ilyani, Rania selesa berkongsi cerita. Tentang masalah yang dibawa oleh Murni turut disampaikan pada Ros Ilyani.
“Banyak perkara pelik berlaku akhir-akhir ni Kak Ros. Ren dah tak percaya pada Murni lagi. Makcik Rohaya pun perasan benda-benda pelik tu. Kalau Abang Rais tak boleh nak terima Murni pun, Ren faham. Cuma, mama saja yang macam tak percaya. Mama tuduh Ren macam-macam. Mama kata Ren silap pandanglah, salah fahamlah, sedih Ren.”
“Yang Kak Ros tak faham, apa kena-mengena semua yang berlaku ni dengan Qayyum sampai Ren nak berpisah dengan dia? Sebab Ren keguguran ke?”
“Ren rasa antara kami tak ada persefahaman. Ren cuba juga tapi tak upaya.”
“Ren tak boleh buat keputusan terburu-buru. Bagi ruang masa pada kalian berdua,” nasihat Ros Ilyani tulus.
Dia masih ingat semasa di hospital tempoh bulan, kemelut rumah tangga Qayyum dan Rania sudah terbelah, cuma dia tidak sangka belahnya kian melebar.
“Susah Ren nak cerita kak.”
“Ren dah tak sayang dan tak cinta pada Qayyum lagi?” Korek Ros Ilyani.
Rania tidak terjawab. Ketukan di pintu kamar mengganggu perbualan mereka.
Tombol pintu terpulas dari luar. Murni mempamerkan wajahnya.
“Boleh Murni masuk kak?” tanya Murni sopan sekali. Rania terkejut tapi sempat pula berpandangan dengan Ros Ilyani.
“Masuklah Murni,” pelawa Ros Ilyani.
Dia senyum pada Murni. Murni berjalan perlahan-lahan menghampiri mereka lalu duduk di sofa sebaik disuruh Ros Ilyani. Rania berasa berdebar. Apa tujuan perempuan ini datang ke bilik aku?
“Murni nak cakap dengan Kak Ros, boleh?” ujar Murni.
“Murni nak cakap apa?” tanya Ros Ilyani balik.
“Mungkin Kak Ros boleh sampaikan pada Abang Rais apa yang Murni nak cakapkan ni.”
“Apa dia Murni?”
Murni tunduk seketika sebelum bicaranya disambung. “Murni nak minta cerai dengan Abang Rais.”
Langit gelap gelita. Bintang tiada. Angin kaku, malah daun kayu dan ranting halus seperti mati semangat pada malam itu. Langsung tidak mengalunkan apa-apa irama.
Seperti langit yang kelam dan gelap, begitu jugalah hatinya. Sungai hidupnya kini bagai hilang haluan. Hati yang sekian lama layu kini makin tidak bermaya.
Terasa hati seperti disiat-siat setiap kali kata-kata Rania menerpa. Kata-kata yang hanya dua huruf itu mampu menggoncang dadanya. Sehingga saat itu dadanya masih berasa kepedihan dan kesakitan. Itu baru sekadar kata-kata. Bagaimana kalau kata-kata itu menjadi nyata? Bagaimana kalau Rania benar-benar berniat melaksanakan kata-kata itu lalu meninggalkannya?
Mengenangkan hal itu, dia berasa gerun. Tersangat gerun! Kerana gerun jugalah, hidup Ummar Qayyum menjadi tidak menentu, malah akhir-akhir ini tidurnya juga terganggu. Kerap kali dia terjaga ketika tidur. Lebih mendukacitakan, setiap kali terjaga, setiap kali itulah fikirannya akan menerpa kepada permasalahan rumah tangga. Mindanya akan terbang kepada isteri yang berada di Malaysia. Lantas hati terus tertanya-tanya keadaan Rania.
Walaupun sudah hampir dua minggu kata-kata perpisahan terungkap daripada bibir Rania, tetapi Ummar Qayyum masih seperti tidak percaya.
Benarkah Rania tega mengucapkan kata-kata begitu? Tergamak Rania! Sampai hati Rania. Masakan kerana hal kecil begitu, Rania terus membuat keputusan mendadak dan mahu berpisah. Hati Ummar Qayyum bagai dicucuk-cucuk belati tajam nan berbisa. Paling menyedihkan, Rania tidak mahu berbincang selepas kata-kata bak sembilu itu terucap padanya. Dia tidak diberi ruang untuk membela diri.
Kerana matanya masih tidak mampu dipujuk tidur, Ummar Qayyum membuka komputer riba. Dia melayari Facebook Rania. Seperti selalu, Ummar Qayyum akan membaca status yang ditulis Rania. Sebuah puisi baru dimuat naik oleh isteri yang dirindui.
Dengan penuh keterujaan, Ummar Qayyum melirik pada setiap bait:
Demi malam yang bergilir siang
Demi malam dililit seribu bintang
Demi sunyi yang mengingat hanya syahdu
Demi rindu menguit
Demi kasih yang mengulit
Demi sendu yang merintih
Memugar taman cinta yang tidak mahu pergi
Dari diri
Demi malam yang selalu mengejutkan aku
Lalu berdiri di pinggir jendela
Mengais kisah semalam
Mengintai rindu-rindu yang bertebaran
Di pohon yang kaku
Di ranting kayu, di kembang nan layu
Di rerumputan
Ada suara berbisik
Memintaku mengutip cinta
Yang telah gugur
Sekali lagi kulempar pandangan
Taman itu masih ada
Tapi tiada bunga yang berkembangan
Tiada harum yang mencuri perhatian
Tiada dahan yang utuh
Tiada ranting yang bugar
Yang ada hanya akar
Yang masih mengharap
Setitis air cinta.
Hampir menitik air mata Ummar Qayyum seusai membaca empat bait puisi nukilan Rania.
Kalau apa yang kau luahkan di sini adalah isi hatimu Ren, maka fahamlah aku. Aku tidak akan memaksamu Ren, tapi akan kuberikan kau ruang masa untuk kau cuba kenali dirimu terlebih dahulu. Aku cuma berharap egomu tidak akan menjadi punca kemusnahan cinta yang kita bina!
Muka Puan Sri Zalia masam mencuka. Mulutnya memuncung. Minum petang yang disediakan oleh Makcik Rohaya masih tidak disentuh. Dia menemani suaminya minum petang sambil berbincang tentang Rania. Sudah lama dia menunggu masa untuk duduk bersama suami dan membicarakan tentang keadaan Rania. Marahnya pada Rania masih belum surut.
Dia masih ingat betapa kerasnya hati Rania sampai tidak sudi menghantar Ummar Qayyum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tempoh hari. Alasannya dia tidak sihat. Puan Sri Zalia tidak terkata. Murnilah yang menemaninya menghantar Ummar Qayyum. Buruk- buruk Murni seperti yang dikata oleh Rania mahupun Makcik Rohaya, mahu juga dia menemankannya. Rania?
Aduh, hampir putus jantung Puan Sri Zalia apabila mengingatkan sikap anaknya nan seorang itu.
“Degil! Entah apa yang dia hendak pun saya tak tahu! Puaslah hatinya dapat sakitkan hati Qayyum. Menghantar Qayyum ke KLIA pun tak hendak,” rungut Puan Sri Zalia dengan nada penuh kekesalan.
“Ren kan belum sihat sepenuhnya. Nak hantar macam mana? Kehilangan anak pula. Awak kena faham,” pujuk Tan Sri Razlan.
Dia tidak mahu menyalahkan Rania. Cukuplah isterinya seorang yang membebel.
“Itu saya faham. Saya mengerti bang. Yang saya tak faham dan tak mengerti kenapa dia menghukum Qayyum. Bukan Ren seorang yang kehilangan anak, Qayyum pun sama. Sepatutnya mereka saling memahami. Ini tidak! Suami dibuat seteru!” Tan Sri Razlan diam sejenak.
Seperti mana ligatnya otak isterinya memikirkan masalah Rania, begitu juga otaknya ligat berfikir cara untuk menyampaikan berita pada isteri tentang keputusan yang telah dibuat oleh Rania. Setakat ini, hanya dia dan Rania sahaja yang tahu. Melentingkah isterinya kalau tahu nanti?
“Cutinya macam mana abang?” tanya Puan Sri Zalia pada Tan Sri Razlan tanpa menyedari gelodak yang sedang bergulung-gulung di dada si suami.
“Abang dah uruskan.”
“Sampai bila cutinya?”
Tan Sri Razlan berdehem. Isterinya belum tahu bahawa cuti Rania disambung sampai hujung tahun. Sesuatu yang dirahsiakan daripada isterinya selama ini perlu dimaklumkan segera. Bagaimana penerimaan Zalia agaknya?
Janganlah dia terkejut dan pengsan seperti hari itu, fikir Tan Sri Razlan lagi. Namun, dia tidak tergamak untuk merahsiakannya lagi. Dengan Rania dia sudah berbincang dan Rania telah memberi izin untuknya memaklumi isteri. Dia kira sudah sampai masa untuknya berterus-terang.
“Cuti Ren sampai bila bang?” ulang Puan Sri Zalia tatkala menyedari suaminya seperti melamun.
“Er, abang dah pohon untuknya cuti tanpa gaji sehingga hujung tahun,” jelas Tan Sri Razlan.
“Sampai hujung tahun?” Puan Sri Zalia terkejut. Cuti itu agak lama.
Kenapa Ren minta cuti sampai hujung tahun? Hati Puan Sri Zalia mulai tertanya-tanya.
“Lepas tu Ren tak ke sekolah itu lagi,” sambung Tan Sri Razlan dalam pada Puan Sri Zalia masih terpinga-pinga.
“Ha! Tak ke sekolah itu lagi? Apa maksud abang? Dia dah tak nak mengajar ke?” Berkerut dahi Puan Sri Zalia mendengar penjelasan suaminya.
“Mengajar lagi cuma di tempat lain.”
“Ren nak bertukar sekolah?” Puan Sri Zalia membetulkan kedudukannya. Dahinya makin berkerut.
“Ya!” Tan Sri Razlan mengiyakan.
“Bertukar sekolah pula? Dah berapa kali bertukar. Dia nak pergi sekolah mana kali ni?”
“Ren nak balik ke sekolah lama. Saya dah pohon. Dah diluluskan pun.”
“Sekolah Sri Cempaka?”
“Ren nak pindah balik Sabah,” Tan Sri Razlan berterus-terang.
Ternganga mulut Puan Sri Zalia sejenak. “Sabah? Apa abang cakap ni?”
Matanya tajam merenung suami yang duduk di hadapannya.
“Ren nak pindah ke Sabah balik,” ulang Tan Sri Razlan, tenang sahaja.
“Abang benarkan?” Puan Sri Zalia tidak percaya.
Tan Sri Razlan angguk. “Abang dah bincang dengan Ren pun.”
Muka isterinya tak dipandang pun. Dia perasan akan perubahan di wajah orang yang sedang dilawan bercakap itu.
“Abang dah bincang dengan Ren?” tanya Puan Sri Zalia balik. “Kenapa abang tak berbincang dengan Lia dulu sebelum abang buat keputusan macam ni?” Puan Sri Zalia sudah tercebik. Sedih hatinya kerana tidak dibawa berunding dalam hal berkaitan anak bongsu mereka.
“Ren dah cukup menderita. Kali ni biarlah kita ikut sahaja kehendak hatinya.”
“Apa masalah Ren? Dia yang keras kepala dan tak mendengar kata. Kali ini abang ikut pula kata dia. Lia tak faham.”
“Kita tak faham masalah dia Lia,” pujuk Tan Sri Razlan.
“Abang tahu tak apa yang abang buat ni?” Hidung Puan Sri Zalia sudah kembang kempis. Dia masih menahan sebak yang telah pun melanda sejak tadi.
“Apa yang abang harapkan ialah Ren bahagia. Mungkin dulu silap abang bawa dia balik ke Semenanjung bila dia belum bersedia.”
“Abang memburukkan keadaan antara Ren dengan Qayyum. Cukuplah apa yang mereka lalui selama ini. Abang tambah lagi. Abang ikut cakap Ren dan jarakkan lagi hubungan mereka,” Puan Sri Zalia sudah tidak malu-malu lagi menangis mendudu-dudu sehingga mengejutkan Makcik Rohaya dan Murni.
Mereka menjengah orang berdua yang sedang dilanda kemelut itu. Apa lagi masalah orang dalam rumah ni? Berkata hati Murni tatkala melihat Puan Sri Zalia masih menangis panjang. Hal Rania lagikah? Duganya.
Hatinya sekarang sangat girang dan bahagia. Masakan tidak! Pucuk dicita ulam mendatang. Ikatan antara Ummar Qayyum bersama Rania sudah berantakan. Rania sudah meminta perpisahan. Bagai retak menanti belah saja hubungan mereka berdua kini.
Murni menyandar di dinding yang memisahkan dirinya dengan Tan Sri Razlan bersama Puan Sri Zalia. Dia mahu mendengar lagi butir pertengkaran mereka berdua. Makin terukkah keadaan Qayyum dengan Rania? Seorang sudah berada di Sweden dan seorang lagi di Malaysia. Ah, rasakan! Aku menunggu dan melihat sahaja.
Dan paling penting, aku bebas di rumah ini. Aku boleh buat apa aku suka. Dendam aku mulai menampakkan hasil. Mereka berdua sudah berpecah-belah. Murni tersenyum puas. Aku bebas di rumah ini. Bebas! Hendak makan, aku makan. Hendak tidur, aku tidur. Hendak berkurung dan melayari Internet sepanjang masa pun tiada siapa yang kisah. Aku bebas melakukan apa sahaja. Kalau aku berkurung seharian di kamar pun, orang akan fikir aku kesedihan dek perkahwinan Rais dengan Ros Ilyani. Fikirlah apa sahaja, yang penting aku bahagia, fikir Murni lagi masih dengan pelbagai rancangan yang sudah pun diatur. Mendengar suara Puan Sri Zalia berbunyi balik, Murni kembali memasang telinga.
“Lia tak setuju,” kata Puan Sri Zalia lama kemudian. “Lia tak setuju Ren pindah balik ke Sabah. Lia tak rela!”
“Hormatilah keputusan Ren, Lia.”
“Kenapa tiba-tiba abang jadi macam ni. Bukan dulu abang yang beriya-iya suruh dia balik sini,” bentak Puan Sri Zalia. Air matanya sudah kering.
“Abang silap!”
“Abang tak kenal anak kita? Abang tahu tak apa natijahnya menghantar Ren balik ke Sabah? Dia dengan Qayyum macam mana?”
“Kita dah usaha macam-macam Lia. Apa kata kali ni biar Allah yang tentukan. Barangkali keputusan yang kita buat untuk Ren selama ini dia tak suka.”
“Dia kahwin dengan Qayyum tu pilihan dia!” suara Puan Sri Zalia masih meninggi. “Apa kehendaknya yang kita tak ikut? Lia takkan izinkan Ren pergi ke Sabah sekali lagi.”
Terketar-ketar suara Puan Sri Zalia semasa mengungkapkan itu. Kerana tidak puas hati, Puan Sri Zalia tinggalkan suaminya sendirian di bawah, lalu dia memanjat anak tangga menuju ke bilik Rania.
Tanpa mengetuk pintu, Puan Sri Zalia terus memulas tombol pintu kamar anaknya. Rania terkejut disergah begitu. Dia mengalihkan komputer peribadi dari atas ribaan ke meja di sisinya.
“Ayah kata Ren minta tukar balik ke Sabah, betul ke?” Terus diasak soalan itu pada si anak.
Walaupun terperanjat, Rania mengangguk.
“Mama tak akan izinkan Ren pergi!” ujar ibunya tegas.
“Kerana itu Ren bincang dengan ayah. Ren tahu mama takkan izinkan,” jawab Rania dengan berani.
“Mama tetap takkan izinkan. Qayyum pun sama!” bentak ibunya sebelum pintu ditutup keras.
Ini hidup aku! Sama ada mama izinkan atau tidak aku tetap tidak akan berganjak daripada keputusan yang telah aku buat! Dia teringat komen Ummar Qayyum pada sajaknya.
Demi Malam... di mana kejoraku?
Hatinya tersentuh!
“Kenapa ni Qayyum?” tanya Puan Sri Zalia pada menantunya yang nampak rusuh benar. Dia terkejut melihat Ummar Qayyum duduk tersandar di atas sofa ruang utama dalam keadaan yang pelik pada jam tiga pagi.
Kepalanya terkulai di birai sofa. Matanya memandang kosong permukaan siling yang dihiasi dengan ukiran indah berwarna-warni. Puan Sri Zalia mengemaskan rambutnya yang tidak terurus. Matanya berkelip-kelip memandang Ummar Qayyum. Teruk benar keadaan Ummar Qayyum ketika itu. Rambutnya kusut-masai. Matanya kuyu dan tidak bermaya, tapi ketara dia tidak tidur.
Di atas permaidani ada sejadah yang berlipat dua. Kopiah putih dengan seutas tasbih berada di atas sejadah. Menyedari dirinya diperhatikan dari sisi, perlahan-lahan Ummar Qayyum berpaling. Helaan dilepaskan sebelum dia membetulkan kedudukan lalu duduk dengan lebih tertib. Dia menggosok hidungnya beberapa kali. Dia tersenyum nipis dalam paksa kepada ibu mertua yang masih berdiri dengan wajah berkerut.
“Buat apa kat sini? Qayyum tidur kat sini ke?” tanya Puan Sri Zalia.
Selama Ummar Qayyum duduk bersamanya, tidak pernah sekali pun Ummar Qayyum tidur merata-rata. Tempat tidurnya dan Rania adalah di kamar atas atau di bawah. Sebelum Rania keguguran, di kamar atas tempat mereka, tetapi selama Rania kurang sihat selepas keguguran, Ummar Qayyum tidur di bawah.
Walaupun Puan Sri Zalia tahu ada kemelut kecil antara mereka, tapi jauh di sudut hati dia yakin keadaan itu akan kembali seperti biasa. Namun, akhir-akhir ini, keadaan yang diharapkan belum menampakkan sinar harapan. Tapi tidak pula dia menyangka situasi itu akan menjadi bertambah buruk lebih-lebih lagi malam esok Ummar Qayyum akan terbang ke Sweden.
“Kenapa mama tak tidur lagi?” Ummar Qayyum bertanya balik lama kemudian.
Dia merapikan rambutnya menggunakan kedua-dua jemari tangan.
“Mama dah tidur. Mama terjaga. Yang kamu ni kenapa kat sini?” ulang Puan Sri Zalia lagi.
Dalam hati, dia sudah dapat menduga hal itu sudah tentu berkaitan dengan Rania.
“Saya tertidur kat sini,” helah Ummar Qayyum.
“Tertidur?” Tercengang Puan Sri Zalia mendengarnya.
“Saya masuk dulu mama.” Kerana tidak mahu memanjangkan isu, Ummar Qayyum minta diri.
Terkebil-kebil Puan Sri Zalia sebaik sahaja Ummar Qayyum masuk ke bilik bawah. Takkan sampai begitu buruk hubungan mereka? Malam esok Ummar Qayyum hendak terbang ke Sweden, takkan mereka masih berperang dingin. Mengenali Rania, Puan Sri Zalia tahu hal itu berlarutan sudah tentu gara-gara Rania. Pagi-pagi esoknya, selepas solat Subuh, dia sudah mengetuk pintu bilik Rania. Apabila tombol cuba dipulas, bilik itu rupa-rupanya berkunci dari dalam. Lama juga dia menunggu sebelum pintu bilik terkuak.
“Mama...” ucap Rania perlahan dengan mata separuh terbuka.
Puan Sri Zalia terus menerobos masuk lalu duduk di birai katil Rania. Bertubi-tubi soalan diajukan pada Rania. Ketara dia menyalahkan Rania atas apa yang berlaku pada Ummar Qayyum. Rania yang masih di awang-awangan terkejut disergah begitu. Naik darah juga dibuatnya.
“Dia dah mengadu pada mama ke?” tanya Rania dengan nada menyindir.
Puan Sri Zalia diam. Sengaja dia tidak menjawab soalan Rania supaya Rania terus berprasangka. Dia hendak mengorek rahsia yang berlaku dalam rumah tangga mereka.
“Sampai hati Ren buat Qayyum macam tu. Tak tentu arah dia tau. Pukul tiga pagi dia duduk merenung siling rumah. Dah mengalahkan orang meroyan!” Puan Sri sengaja membesar-besarkan isu.
“Dia bagi tahu mama apa?” Rania agak bengang dan marah.
“Elok kalau Ren bagi tahu mama juga supaya mama dengar dari kedua-dua belah pihak,” cungkil Puan Sri Zalia lagi.
Rania tunduk. Air mukanya berubah. Jauh di sudut hati dia berasa bersalah juga kepada Ummar Qayyum, tetapi hati seperti sudah tertutup pada si suami. Sudah benar-benar tertutupkah hatiku atau rajukku yang panjang atau mungkinkah juga egoku tercabar sebagai wanita? Soalnya sendiri.
“Benar ke apa yang Ren kata pada Ummar Qayyum?” Serkap Puan Sri Zalia berterusan.
Kerana cuba mengorek rahsia, dadanya dilanda debaran teruk. Dia rasa seperti hendak semput. Dia yakin benar ada sesuatu berlaku antara mereka berdua cuma dia tidak tahu apakah isunya.
“Dia kata apa?” tanya Rania balik.
“Sekarang mama nak tahu apa yang Ren kata.”
“Ren kata Ren nak berpisah,” sahut Rania selamba. Wajahnya tunduk.
“Ren kata apa?” Puan Sri Zalia inginkan kepastian. Masakan itu yang aku dengar.
“Ren nak berpisah,” ulang Rania.
Hampir pengsan Puan Sri Zalia dibuatnya. Menggigil tubuhnya saat itu. Kalau tidak kerana Rania masih berpantang 44 hari selepas keguguran, mahu muka Rania dilempangnya. Dicuba kawal emosi marahnya yang meledak. Gagal. Belum sempat Rania dimarahi, nafasnya tersekat-sekat. Semputnya makin menjadi-jadi pula.
Dipejamkan matanya seketika. Dadanya berasa sesak dan kian ketat. Tubuhnya tiba-tiba terkulai perlahan di sisi Rania.
“Mama....” Pucat muka Rania melihat keadaan ibunya.
“Mama, mama, mama...” Rania sudah menangis. Dibaringkan ibunya di atas tilam lalu dia bergegas keluar kamar memanggil Makcik Rohaya. Suaranya yang nyaring terlebih dulu mengejutkan Ummar Qayyum yang baru selesai mengaji di ruang bawah.
“Kenapa mama?” tanya Ummar Qayyum yang sudah tercegat di sisi ibunya.
“Mama pengsan tiba-tiba.” Tangisan Rania makin menjadi-jadi.
Ummar Qayyum bertindak pantas. Dia menghubungi ambulans. Tidak sampai lima belas minit, kaki tangan dari Hospital Serdang sudah muncul di pintu rumah. Seorang doktor memeriksa keadaan Puan Sri Zalia. Dia mengambil tekanan darah dan bertanya beberapa soalan pada ahli keluarga.
“Dia tak apa-apa,” ujar Doktor Aizuddin sesudah membuat pemeriksaan. Puan Sri Zalia sudah tersedar, tetapi kelihatan masih lemah. Dia memegang dadanya lantas segera pula Rania menggosoknya dengan lembut.
“Puan mesti berehat dan jangan stres,” nasihat Doktor Aizuddin lagi. Puan Sri Zalia angguk cuma.
“Kalau kerap berlaku begini, lama-lama puan kena makan ubat secara konsisten. Susah nanti kalau dah mula makan ubat!” tambah doktor berusia awal 40-an itu lagi.
Jari jemari ibunya digenggam erat oleh Rania. Rasa bersalah datang menundanya. Ummar Qayyum sudah keluar kamar mengikut doktor berpengalaman itu. Mereka berbincang di tingkat bawah. Rania perasan Murni ada sekali di ruang tamu semasa dia menjengah mengintai tetamu. Dia tidak mempedulikan perempuan itu. Dia masuk ke biliknya semula.
“Ren dah hubungi ayah. Ayah balik esok. Abang Rais dengan Kak Ros dalam perjalanan,” ujar Rania apabila dia kembali mengadap si ibu. Tan Sri Razlan sepatutnya pulang dua hari lagi dari Singapura, tetapi dia akan menyegerakan kepulangannya sebaik sahaja mendengar berita kesihatan isteri. Puan Sri Zalia menarik nafas dalam-dalam.
“Kenapa mama Ren?” bisik Makcik Rohaya kepada Rania.
Sejak tadi dia tidak berpeluang bertanya. Puan Sri Zalia kelihatan lebih baik daripada tadi. Mukanya yang pucat sebentar tadi sudah berubah warna. Sesekali Puan Sri Zalia menggosok-gosok dadanya.
“Mama terkejut,” sahut Rania dengan rasa bersalah.
“Puan sakit dada?” tanya pula Makcik Rohaya.
“Sejuk dada,” bergetar suara Puan Sri Zalia.
“Mak cik ambilkan Vicks,” arah Rania. Makcik Rohaya kembali bersama sebotol Vicks. Dada ibunya disapu lalu digosok dengan lembut.
“Maafkan Ren mama...” Sayu hati Rania melihat keadaan ibu.
Puan Sri diam sahaja. Melihat wajah ibunya semakin pulih, Rania tinggalkan si ibu bersama Makcik Rohaya. Dia mahu bersemuka dengan Ummar Qayyum. Dia yakin Ummar Qayyum telah mengadu pada ibunya tentang masalah mereka.
Di ruang tamu, Ummar Qayyum tidak bersendirian. Dia sedang bercakap dengan Murni. Wajahnya serius benar. Rania meluat melihat mereka. Dia menuruni anak tangga tanpa disedari oleh orang berdua itu.
“Saya nak bercakap dengan awak,” celah Rania tiba-tiba.
Kedua-duanya memandang serentak pada Rania.
“...dengan Qayyum. Awak boleh pergi,” kata Rania pada Murni.
Wajahnya masam mencuka. Api kemarahannya selalu membara setiap kali melihat wajah Murni. Wajah Ummar Qayyum berubah. Murni tunduk laksana orang tahu diuntung.
“Murni tahu Murni orang asing di rumah ni kak. Murni juga tahu Kak Ren tak suka Murni. Murni sedar diri Murni. Tapi tak perlulah Kak Ren halau Murni begitu!” suara Murni kedengaran pilu benar.
“Pergi!”
“Sabarlah Kak Ren, satu hari Murni dan Fahmi akan pergi bukan saja dari tempat yang Murni injak ini bahkan juga dari rumah ini.” Wajahnya muram. Kesedihan bermukim di matanya.
“Saya tak hendak dengar ceramah awak. Awak boleh pergi sekarang?” tekan Rania lagi.
Ummar Qayyum merenung Rania. Dia tidak sangka Rania sanggup berkata demikian pada Murni. Ungkapan itu satu penghinaan. Rania sudah benar-benar melampau. Apa yang merasuk Rania? Dalam situasi ibunya sakit dia masih tidak mampu mengawal emosi!
Murni berengsot perlahan. Rania menjeling tajam. Yakin bahawa Murni sudah tiada berhampiran mereka, Rania mengalihkan pandangannya pada Ummar Qayyum.
“Apa awak mengadu pada mama?” tanyanya sombong.
“Mengadu apa?”
“Awak cerita pada mama saya minta perpisahan.”
“Ren, itu masalah rumah tangga kita. Abang tak berniat nak ajak siapa-siapa pun campur tangan. Kita boleh selesaikan sendiri.”
“Habis mana mama tahu?”
“Ren lah yang cakap...”
Rania terkedu. Dia imbas kembali perbualan antara dirinya dengan si ibu. Ternyata, ibunya tidak pernah mengatakan bahawa Ummar Qayyum yang bercerita.
Ah, ibu main serkap barangkali!
Keluh Rania, tetapi ego menyebabkan dia tidak mahu mengalah.
“Awak ‘hint’ pada dia!” tuduh Rania selamba.
“Ren, tak ada apa yang abang cakap pada mama.”
“Saya tak akan berganjak dengan keputusan yang telah saya buat malam tadi.” Rania memusingkan mukanya.
“Apa keputusan Ren?”
“Keputusan semalam!”
“Apa?” tanya Ummar Qayyum. Dia tidak pernah sesekali lupa dua perkataan yang diucap oleh Rania cuma dia berharap Rania tidak mengulanginya lagi.
“Berpisah!”
Renungan tajam Ummar Qayyum menembusi mata Rania. Jantung Rania berdegup kencang. Tiada suara keluar dari mulut lelaki itu. Hanya renungan yang bercerita. Sekonyong-konyong Rania berasa takut. Ada angin semilir ngilu melewati dadanya. Dia tidak berani membalas tatapan Ummar Qayyum.
“Betul itu yang Ren mahu?” tanya Ummar Qayyum lama kemudian.
Kali ini Rania pula terdiam. Dia mulai ragu-ragu. Taufan kebimbangan membadai jantungnya. Hakikatnya dia tidak yakin dengan keputusan yang dibuat, tetapi egokah aku?
“Itu yang Ren mahu?” ulang Ummar Qayyum tegas sekali.
Rania memejamkan matanya seketika. Dia berasa seperti mahu tumbang. Tuhan, tolonglah! Antara sedar dengan tidak, kepalanya mengangguk.
“Baiklah, kalau itu yang Ren mahu abang akan beri. Abang tiada upaya untuk halang Ren. Malam nanti abang akan berangkat ke Sweden dan lepas tu tidak pasti abang akan kembali atau tidak!” sahut Ummar Qayyum dan pergi.
Rania terduduk di kerusi. Nafasnya seperti mahu putus. Ya Allah, apa yang aku buat? Tanpa sedar air matanya jatuh bertitis-titis. Hiba sekali!
Sumber : Harian Metro
