image atas

image atas

Monday, April 8, 2013

CR2 (Siri 39) - Masih kuharap padi di seberang

Wajah bujur sirih yang kelihatan begitu sugul itu direnung Halim dari satu sudut yang terpencil. Agak pelik melihat raut yang selama ini ceria berubah rona. Apa yang ditanggung Rania? Tidak bahagiakah Rania dengan rumah tangga yang dibina?
Dulu, aku menarik diri kerana sedar diri ini bukan pilihan cinta buat Rania tapi masih tidak bertemu bahagiakah Rania?
Hati Halim berdetak kencang. Halim kian mendekati Rania. Di sisi Rania, ada ibunya yang setia menemani. Ummar Qayyum tidak pula kelihatan. Di mana Ummar Qayyum? Sudah balik ke Swedenkah? Seingat Halim, Ros Ilyani ada memberitahunya bahawa Ummar Qayyum masih berada di Malaysia pada masa itu.

“Jambu kamu ni sedap sungguh Halim,” pujian Puan Sri Zalia membuatkan Halim tersenyum nipis.


Terbang lamunannya seketika. Beberapa hirisan jambu yang dipotong kecil-kecil oleh Puan Sri Zalia disuakan pula kepada Rania. Dicapai sepotong oleh Rania tetapi seleranya terbantut. Dia meletakkannya balik di pinggan.

“Kenapa tak makan Ren? Kau kan suka sangat dengan jambu Janda Baik,” tanya Halim apabila menyedari Rania tidak mampu menghabiskan walau sepotong kecil hirisan jambu.

“Tak selera,” sahutnya perlahan.

“Makanlah, susah susah Halim bawa,” pujuk Puan Sri Zalia pula.

Dia pula yang rancak mengunyah buah jambu dan berulang-ulang memakannya.

“Mana Qayyum mak cik?” tanya Halim berbasi-basi.

“Sepatutnya dia dah datang ni.” Jam di dinding dilihat Puan Sri Zalia.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Ummar Qayyum di skrin telefon. Kening Puan Sri Zalia berkerut. Dia meminta diri dan keluar dari bilik sakit Rania.

Tempat Puan Sri Zalia diambil pula oleh Halim. Sekali lagi wajah bujur sirih yang selama ini bertakhta di hati direnung dengan sebuah keluhan.

“Maaf kan aku Ren, lambat ziarah kau. Aku di Singapura masa tu.” Maklum Halim tentang situasinya.

Rania angguk lesu. Kedudukannya diperbetul. Dia tidak mahu berbaring dengan adanya Halim di sisi tanpa ibu. Tudung kelabu yang menutupi kepalanya pula dilabuhkan.

“Kenapa kau kurus sangat Ren?” Halim telus bertanya. Itu yang dilihat di mata kasarnya dan kerana itulah dia bertanya.

“Aku memang kurus pun,” sahut Rania acuh tak acuh.

“Ah, selama aku kenal kau, mana kau pernah kurus macam ni,” bantah Halim.

Dia sayangkan Rania dan sehingga kini dia mengambil berat tentang wanita itu. Semua tentang Rania sudah masak di fikirannya.

Pertanyaan Halim membuatkan Rania sedih. Dia memalingkan muka dan menahan diri. Seboleh-bolehnya biarlah penderitaan yang ditanggung hanya diketahui oleh dirinya sahaja. Dia tidak sudi berkongsi masalahnya dengan sesiapa apatah lagi dengan Halim. Halim tidak boleh tahu masalah rumah tangganya.

“Kau nak berahsia dengan aku?” serkap Halim.

Rania membatukan diri.

“Ren...,” panggil Halim lembut.

“Kak Ros ada bercerita sikit-sikit pada aku tentang masalah kau,” kata Halim kemudian.

Rania menghela nafas. Ah! Susah untuk merahsiakan masalahnya daripada Halim kerana kini kakak Halim, Ros Ilyani sudah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

“Aku tumpang simpati...,” tambah Halim lagi.

“Aku tak perlukan simpati sesiapa,” Rania mencebik.

“Ren, aku kawan kau sejak zaman kita remaja lagi. Kau tetap jadi teman aku. Walau apa pun masalah yang kau lalui, jangan sesekali kau lupa bahawa aku akan sentiasa menyokong kau.” Kata-kata semangat yang dihulur oleh Halim membuatkan Rania tercebik.

“Dah nasib aku!”

Halim tergelak kecil. Rania menjeling padanya.

“Apa yang kelakar Halim?”

“Ren, itu bukan nasib! Itu sebahagian kecil dugaan Allah untuk engkau.”
“Ah, kau tak tahu Halim.

Kau sibuk dengan pokok jambu dan hidup kau...”

“Kau pun sibuk dengan hidup kau...”

“Memang selama ini aku pun sibuk dengan hidup aku Lim. Aku tak berapa kisah sangat sehinggalah Allah beri aku rasa akan makna sebuah kehilangan sebelum sempat aku memilikinya.” Sendu Rania kedengaran.

“Aku tahu makna kehilangan tu Ren, aku tahu. Dah berkali-kali aku laluinya,” tekan Halim. “Aku pernah kehilangan emak ayah, kehilangan isteri, kehilangan anak malah aku pernah hilang kehidupan sehinggalah kau datang dan membawa obor menyemarakkan kembali hidup aku!”

Rania terkesima.

“Kau lupa peranan besar kau dalam hidup aku? Kau lupa kau yang memberi semangat pada aku?”

Rania menelan liurnya.

“Daripada lelaki lumpuh yang tidak berdaya di kerusi roda, kau dorong aku, kau memotivasi aku. Kau sabar melayan kerenah aku. Kau jinakkan aku dan akhirnya kau juga yang berperanan menjadikan aku seorang usahawan yang berjaya seperti hari ini.”

Rania angkat mukanya perlahan-lahan.

“Kau wanita yang hebat Ren, kau wanita perkasa. Itu Ren yang aku kenal!” Pujian Halim menyimpulkan sebuah senyuman pada Rania.

“Terima kasih Halim...”

“Qayyum dah balik kampung. Ambil emaknya dengan Murni,” ujar Puan Sri Zalia apabila dia masuk semula ke bilik Rania.

Halim sudah pulang dan sempat bersalam-salam dengannya sebelum meminta diri tadi. Tangannya menekan-nekan huruf yang tertera di skrin telefon. Seketika kemudian, dia bercakap pula dengan Pak Mud.

“Pak Mud datang sekarang ya!” arah Puan Sri Zalia sebelum talian dimatikan.
Beberapa barangan di atas meja sisi di tepi katil Rania dikemas lalu dimasukkan ke dalam bakul.

“Ren nak balik bila?” tanyanya pada Rania pula. “Doktor kata Ren dah boleh balik ke rumah dah kalau nak. Hari ni pun boleh balik!”

“Terpulanglah mama.”

“Berehat kat rumahlah ya, senang sikit mama. Tak payah nak berulang alik hospital,” tambah Puan Sri Zalia lagi.

Rania akur pada kata-kata ibunya. Entah mengapa, hatinya rasa agak tenang sebaik berbual dengan Halim tadi. Banyak benarnya kata-kata Halim tadi.
Pengalaman mematangkan Halim. Kalau begitu, pengalaman juga sepatutnya mematangkan aku! Fikirnya. Kerana itu juga, dia bersetuju pulang ke rumah petang itu juga. Kelam-kabut Puan Sri Zalia bersama Makcik Rohaya mengemaskan barang-barangnya. Cutinya pula dilanjutkan.

“Ren nak sambung cuti tanpa gaji?” tanya Puan Sri Zalia yang telah pun berbincang dengan Tan Sri Razlan tentang cuti Rania.

“Ya mama.”

“Nanti ayah uruskan,” ujar Puan Sri Zalia.

Rania malas ambil tahu. Kesihatannya kurang memberangsangkan untuk dia memikirkan hal-hal lain. Badannya masih berasa lemah malah tenaganya terhad. Apabila mereka sampai di rumah, Ummar Qayyum masih belum sampai dari kampung.

“Qayyum tidur di kampung emaknya ke Puan Sri?” tanya Makcik Rohaya semasa dia memasukkan barang-barang Rania ke dalam bilik.

“Tidak. Dia jemput saja.”

“Nak balik kampung tak sempat-sempat. Nak balik ke sini pun tak boleh tunggu, hai bukan main lagi.” Bebelan Makcik Rohaya kedengaran.

Dia meradang mendengar berita Ummar Qayyum kena jemput Nenek Ninda bersama Murni di kampung.

“Kalau tidak Bakhtiar yang jemput tapi dia ada hal pula,” sahut Puan Sri Zalia.

“Sudahnya Rania kena balik dengan Pak Mud. Patutnya suami dia yang jemput,” leternya lagi.

“Tak apalah, mak dia!” ujar Puan Sri Zalia.

Rania dibantu oleh ibu bersama Makcik Rohaya untuk naik ke atas. Dia memerhatikan sekeliling bilik yang ditinggalkan. Kamar yang sentiasa kemas dan berbau harum. Semasa dia hendak masuk ke bilik air, dia rasa berdebar-debar. Di situlah dia terjatuh dan kandungannya keguguran. Pedih hati hanya Allah yang tahu.

“Baik-baik Ren.” Tubuhnya segera diapung oleh Makcik Rohaya semasa kakinya melangkahi bendul di bilik air.

Wajah Makcik Rohaya berkerut. Dia terkenang cairan pencuci lantai yang bercampur dengan darah Rania setiap kali masuk ke bilik air tersebut. Selesai menguruskan Rania, dia berjumpa dengan Puan Sri Zalia lalu menceritakan hal tersebut.

“Kenapa akak baru bagi tahu?” Puan Sri Zalia terkejut.

“Dah lama saya nak bagi tahu tapi Puan Sri suruh tunggu,” ujar Makcik Rohaya mengimbas cerita tersebut.

“Jadi maksud akak, ada orang sengaja nak jatuhkan Ren?” Puan Sri Zalia memohon penjelasan.

Makcik Rohaya angguk.

“Siapa?”

“Er... tak ada orang lain lagi di rumah ni selain dari....er...” Makcik Rohaya tergagap-gagap.

“Siapa kak?”

“Er...Murni.”

“Murni?”

“Ya, Murni.”

Terduduk Puan Sri Zalia mendengarnya. Penjelasan Makcik Rohaya benar-benar memeranjatkan Puan Sri Zalia. Semakin sesak nafasnya apabila dimaklumkan oleh Makcik Rohaya tentang penemuan beberapa botol berisi minyak pengasih di bilik Murni. Benarkah seperti dakwaan pembantu rumahnya bahawa Murni turut memainkan peranan dalam menghuru-harakan hubungan antara Rania dengan Ummar Qayyum? Beberapa biji botol kecil yang ditunjukkan oleh Makcik Rohaya diperhatikan saja. Dia tidak berani menyentuhnya.

“Dah dibawa oleh Pak Mud berjumpa dengan ustaz Qasim. Dia dah pun mengesahkan tentang minyak pengasih ni.” Makcik Rohaya gulung semula botol-botol kosong di dalam kain perca lalu dimasukkan semuanya ke dalam uncang asal.

“Susah saya nak percaya benda-benda macam ni kak,” akui Puan Sri Zalia.

“Memanglah kak. Benda macam ni tak nampak tapi Puan Sri kena percaya juga. Puan Sri tengok sajalah dalam rumah tangga ni. Saya nampak banyak yang tak kena,” tekan Makcik Rohaya lagi.

Dia sedar bukan semudah itu untuk Puan Sri Zalia percaya akan cerita yang baru disampaikan padanya sebentar tadi.

“Takkan tergamak si Murni nak buat benda macam ni?” dalihnya lagi.

Sukar sungguh untuk dia mempercayai bahawa Murni mempunyai niat serong terhadap Rania dan Ummar Qayyum.

“Berdosa kalau kita menuduhnya.”

“Jadi Puan Sri ingat Rania jadi macam tu sebab apa?”

“Memang perangai Ren macam tu. Sejak dulu dia keras kepala. Tengok saja apa yang Ren dah lalui. Dia jenis tak kisah. Bukan dia tak pernah putus cinta!

Berkali-kali. Dengan Farhan dulu, selamba sahaja dia pergi ke Sabah lepas Farhan buat hal. Lepas tu dengan Halim. Ada dia kisah? Kisah tak kisah masa Qayyum tinggalkannya dan pergi ke Sweden, nampaklah hatinya parah sikit, tapi sekejap lepas tu dia balik semua ke perangai tak kisahnya tu.”

“Itu lain Puan Sri, saya pun kenal Ren tu. Saya tahu hati budinya.”

“Entahlah kak, pening saya kenangkan Ren seorang ni.”

“Ni bukan semata-mata kerana Ren ataupun Qayyum Puan Sri, ni dah bercampur-aduk dengan ubat ubat pengasih ni. Mereka berdua tu dah terkena. Saya yakin sangat.” Beriya-iya benar Makcik Rohaya mempertahankan pandangannya. Puan Sri Zalia tidak terkata.

Sungguhpun dia kurang percaya akan cerita-cerita sedemikian tetapi dalam diam, dia memerhatikan tindak tanduk dan geri geri seisi keluarga. Pulangnya Ummar Qayyum daripada menjemput Nenek Ninda dan Murni, diperhatikan tingkah laku Ummar Qayyum dan Murni.

Tidak ada yang pelik atau mencurigakan. Malah, dia mengikut Ummar Qayyum yang naik menjengah Rania di bilik. Dia mahu lihat kalau-kalau penerimaan Rania terhadap Ummar Qayyum mulai berubah tetapi apa yang diharap tidak menjadi.

Rania tetap dingin terhadap Ummar Qayyum. Muka Ummar Qayyum langsung tidak dipandang Rania. Setiap kali Ummar Qayyum menghampirinya, dia akan menoleh ke arah lain. Adakalanya, dia akan menyembunyikan mukanya di sebalik gebar. Dia memang tidak sudi memandang muka si suami. Perasaan belas kasihan Puan Sri Zalia pada Ummar Qayyum makin menjadi-jadi.

Ummar Qayyum benar-benar jadi mangsa kemarahan Rania. Rasa kasihan pada Rania sudah bertukar menjadi marah dek tindakan Rania terhadap Ummar Qayyum.

“Mama tak tahu nak buat macam mana dah Qayyum. Mama buntu! Mama tak faham kenapa Ren bersikap macam tu pada Qayyum,” rintih Puan Sri Zalia semasa dia bersama Ummar Qayyum minum petang di pondok di laman hijau.

“Saya tahu dia marahkan saya.” Nescafe O panas dihirup oleh Ummar Qayyum.

Jauh di sudut hati, Ummar Qayyum dapat merasakan banyak sebab Rania marahkannya. Ceritanya meleret-leret. Daripada kes-kes kecil melibatkan Ummi Kalthum melarat pula ke Murni dan klimaksnya apabila Rania keguguran. Apabila dihimpun semua, bertambah marah Rania kepadanya. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat.

“Nak marahkan Qayyum kenapa?” Puan Sri Zalia tetap tidak mengerti.

“Banyak sebab mama, yang paling utama ialah dia menyalahkan saya sebab kegugurannya,” tutur Ummar Qayyum sedih.

Dia sedar permasalahan antaranya dengan Rania menjadi semakin buruk ekoran peristiwa keguguran itu.

“Qayyum buat apa? Apa salah Qayyum? Ren yang terjatuh di bilik air. Bukan Qayyum yang tolak.” Beberapa kali Puan Sri Zalia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak mengerti mengapa Rania masih bermasam muka dengan Ummar Qayyum sehingga ke saat itu.

Terkenang pula akan cerita Makcik Rohaya tentang cairan pencuci lantai. Makcik Rohaya menuduh Murni bertanggungjawab. Kononnya Murni busuk hati terhadap Rania. Murni tidak akan membiarkan Rania dan Ummar Qayyum hidup bahagia.

Benarkah? Tergamakkah Murni berbuat begitu? Bagaimana kalau apa yang dikatakan oleh Makcik Rohaya ada kebenarannya? Naik seriau pula bulu roma Puan Sri Zalia memikirkannya.

“Hal-hal kecil yang saya tak sangka akan menjadi besar pula,” sahut Ummar Qayyum, menepis lamunan yang hinggap di minda Puan Sri Zalia.

“Bumi mana yang tak ditimpa hujan Qayyum. Suami isteri memanglah akan sentiasa berselisih faham tapi adatlah.”

“Mungkin salah saya juga mama...”

Puan Sri Zalia mengeluh dalam. Tiba-tiba dia berasa ingin tahu tentang Murni. Tak salah kalau aku dapatkan sedikit maklumat daripada Ummar Qayyum.

“Murni macam mana Qayyum?” Topik perbualan Puan Sri Zalia pusingkan.

“Murni?” tanya Ummar Qayyum balik.

“Er, yalah, maksud mama, macam mana dia menerima perkahwinan Rais dengan Ros Ilyani? Mama pun tak sempat nak sembang-sembang dengan dia. Banyak sangat masalah yang melanda keluarga kita akhir-akhir ni.”

Ummar Qayyum termenung sejenak. Sejujurnya, dia memang tidak berapa ambil peduli tentang Murni tetapi dia tahu emaknya sangat prihatin pada nasib Murni dan anaknya. Dia sedar Murni banyak bercerita dan mengadu pada emaknya tentang keadaan dirinya.

“Dia marah tak Rais kahwin lain?” cungkil Puan Sri Zalia berhati-hati.

“Saya rasa dia tersinggung. Saya terdengar dia bercerita pada emak.”

“Sebab itu ke dia selalu balik kampung akhir-akhir ni?”

“Mungkin juga.”

“Tapi Rais dengan Ros akan berpindah nanti, mereka ada cakap dengan mama, nak pindah...”

“Murni?” tanya Ummar Qayyum prihatin.

“Murni duduk dengan mamalah kat sini. Sesekali Rais balik tengok dia dengan anaknya. Takkan nak mereka berkumpul semua di sini...” komen Puan Sri Zalia.

Ummar Qayyum angguk faham. Sungguhpun tubuhnya ada bersama Puan Sri Zalia tetapi roh dan hatinya ada di tempat lain. Dia terkenangkan Rania. Dia tahu Rania ada rancangannya yang tersendiri. Dia yakin Rania sedang merancang sesuatu. Dia melemparkan pandangan ke arah jendela di bilik Rania.

Ren, kembali pada abang! Abang merinduimu!

Monday, April 1, 2013

CR2 (Siri 38) : Bunga Lara Cinta!

Pagi-pagi lagi Ummar Qayyum sudah muncul dengan sebuah bakul kiriman Makcik Rohaya. Malam tadi dia memang setia menunggu di luar bilik Rania sehingga ibu mertuanya datang balik. Kemudian, barulah dia pulang ke rumah. Selepas solat Subuh pagi tadi, dia terus bersiap dan datang ke hospital semula.
“Awal!” tegur Puan Sri Zalia sepatah.
“Saja datang awal. Kalau mama nak balik mandi, saya boleh temankan Ren,” usul Ummar Qayyum.

Puan Sri Zalia mengerling kepada Rania. Tiada tindak balas. Puan Sri Zalia memberi isyarat supaya Ummar Qayyum dekati Rania. Cemas-cemas, Ummar Qayyum hampiri si isteri. Wanita yang baru keguguran itu mematungkan diri. Bibirnya pucat. Matanya kuyu dan tidak bermaya.


Pandangannya pula kosong. Ummar Qayyum berasa terseksa melihat keadaan Rania tapi laranya berganda melihat kedinginan Rania. Dia mahu memegang tangan Rania. Dia mahu memujuknya. Dia mahu memeluk Rania dan dia mahu berkongsi cerita tentang derita kehilangan anak mereka. Tetapi Rania kaku seperti semalam. Kalau begitu, bagaimana dia mahu meluahkan segala apa yang tersirat di dalam kalbunya kepada Rania?

“Ren...” panggilnya perlahan.

Rania tetap kaku. Tiada suara yang keluar dari mulut Rania kecuali hembusan nafasnya yang lesu. Seperti semalam, Rania masih belum mampu memandang muka Ummar Qayyum. Perasaannya kacau-bilau saat itu. Dia tidak pasti apa yang dia rasa tetapi satu yang nyata - Ummar Qayyum semakin jauh daripadanya.

Zara Aliya dan Tan Sri Razlan datang serentak bersama Ros Ilyani dan Rais. Ummar Qayyum melayan Tan Sri Razlan dan Rais berbual di satu sudut di dalam kamar yang agak luas itu. Sesekali Ummar Qayyum mengintai Rania dari celahan sanak-saudara yang mengelilinginya. Rasa rindu pada Rania semakin menjadi-jadi.

Tangan Rania dikucup Zara Aliya. Dia berbicara seadanya sebelum memberi ruang kepada Ros Ilyani pula. Ros Ilyani cium pipi Rania di kiri dan di kanan. Wajah Rania basah. Kesedihan bertakung di air mukanya. Hiba Ros Ilyani melihatnya. Jarang wajah Rania diulit sengsara sebegitu. Tapi kini wajah Rania bersimbah duka yang berlarutan. Masakan tidak, kehilangan kandungan pertama yang sudah tentunya ditunggu oleh setiap pasangan.

“Sabar ya Ren, nanti Ren boleh mengandung lagi,” seloroh Ros Ilyani yang masih tidak tahu tentang kemelut yang melanda rumah tangga Rania.

Rania terjebik. “Macam mana bulan madu?” tanya Rania berbasi-basi padahal air mukanya langsung tidak ceria.

Tidak sampai hati Ros Ilyani mahu menjawab. Puan Sri Zalia menyendukkan bubur yang dimasak oleh Makcik Rohaya pada Rania.

“Makan bubur ni Ren.” Mangkuk berisi bubur berserta dengan ikan bilis, telur masin dan lobak jeruk diletak di atas meja di sisi katil Rania.

“Kak Ros suapkan.” Ros Ilyani duduk di sisi katil Rania.

“Tak apa Kak Ros. Ren boleh makan sendiri.”

Rania membetulkan kedudukannya. Tidak banyak bubur yang masuk ke perut Rania. Hilang seleranya bersama getir hidup yang dilalui akhir-akhir ini. Dia berasa senak di bahagian perut dan peranakan. Dadanya pula berasa ketat. Sesekali dia menarik nafas yang terasa sempit setiap kali melewati bahagian kerongkongnya.

“Minum Milo,” arah ibu-nya. Tiga kali teguk, Rania berhenti. Tan Sri Razlan hampirinya.

“Ayah dah nak kena pergi, Ren jaga diri baik-baik,” bisik Tan Sri Razlan semasa Rania baru menyendalkan tubuh pada bantal yang dilipat dua. Sekejap lagi Tan Sri Razlan perlu bergerak ke KLIA dan terbang ke China atas urusan kerja.

“Ayah masih ingat permintaan Ren?” bisik Rania pada ayahnya balik.

Hanya mereka berdua sahaja yang tahu pokok persoalan yang dibincangkan. Tan Sri Razlan angguk.

“Ren tak main-main ya ayah. Ren serius,” tekan Rania. Suaranya diperlahankan agar tidak didengar oleh yang lain. Kedua-dua bahu Rania dipegang Tan Sri Razlan.

“Yang penting Ren jaga diri. Urusan lain serah pada ayah,” janji Tan Sri Razlan.

Dahi Rania dikucup lembut. Puan Sri Zalia mengiringi suaminya hingga ke pintu lif yang letaknya selang sebilik dari bilik Rania.

Sebaik sahaja Tan Sri Razlan pergi, tetamu yang datang silih berganti termasuk saudara-mara, guru-guru dan rakan taulan. Semua diterima seadanya oleh Rania tetapi apabila kelibat Murni yang datang bersama ibu mertuanya tersuluh dek matanya, jantung Rania berdegup kencang. Spontan dia teringat peristiwa yang berlaku di rumah sebelum dia terjatuh di dalam bilik air.

Aku tak mahu ingat apa-apa. Aku nak berehat de-ngan tenang, detik hati Rania. Murni mengekor Nenek Ninda dan datang bersalam dengannya. Kemudian, mereka berdua berbual-bual pula dengan ibunya. Mereka tidak lama di situ. Setengah jam kemudian, mereka meminta diri untuk pulang.

Rania perasan Ummar Qayyum mengiringi Nenek Ninda dan Murni turun ke bawah. Apabila Ummar Qayyum masuk semula ke bilik, tetamu sudah menyusut. Yang ada hanya keluarga. Dia kemudiannya berbual dengan Rais. Tidak lama kemudian, tinggal dia bersama Puan Sri Zalia sahaja di dalam kamar tersebut. Sekali lagi Ummar Qayyum hampiri Rania, seperti tadi, penerimaan Rania tetap sama.

“Sabar Qayyum. Ren masih bersedih,” Puan Sri Zalia cuba mententeramkan Ummar Qayyum walaupun dia mula berasa tidak sedap hati. Namun, masuk hari keempat, keadaan Rania masih tidak berubah, Puan Sri Zalia mulai kecut perut.

Puan Sri Zalia sudah mati akal hendak memujuk Rania. Kerasnya hati Rania atau mungkin selama ini Rania memendam perasaan dan menjeruk hati. Sekali meletup ibarat tiada maaf bagi Ummar Qayyum.

“Berbuallah dengan Qayyum. sekejap pun tak apa!” pujuk Puan Sri Zalia.

Ummar Qayyum berdiri di sisi Puan Sri Zalia. Rania memalingkan mukanya. Bingung Puan Sri Zalia me-ngenangkan sikap Rania. Dia langsung tidak sudi memandang muka si suami. Besar sangatkah masalah mereka? Apa dosa dan salah Ummar Qayyum?

“Mama nak balik sekejap. Qayyum temankan Ren ya?” Puan Sri Zalia masukkan baju kotor Rania di dalam beg. Rania tetap menggeleng.

Tangan Puan Sri Zalia dicapai lalu dikucup tapi Ummar Qayyum tidak diendahkan langsung. Mati akal Puan Sri Zalia dibuatnya.

“Tak apalah. Petang nanti mama datang balik. Jom Qayyum.”

Bingit kepala Puan Sri Zalia memikirkan masalah anak menantu. Dua hari sudah, ada disentuh tentang perkara tersebut pada Nenek Ninda, namun perempuan itu hanya angkat bahu.

“Akak tak tahu apa masalah mereka Lia. Kan mereka duduk bersama Lia. Lia yang patut tahu,” kata Nenek Ninda selamba.

Melihat air muka Nenek Ninda yang sedemikian, hilang mood Puan Sri Zalia untuk membincangkan masalah anak menantu bersama besannya itu. Kepada Ros Ilyani dicurahkan perasaan hati yang rusuh mengenangkan masalah Rania dengan Ummar Qayyum.

“Cuba-cubalah Ros pula pujuk Ren tu, manalah tahu dia termakan dengan kata-kata Ros,” pinta Puan Sri Zalia.

“Ros akan cuba mama, tapi Ros sendiri tak tahu apa masalah mereka,” akui Ros Ilyani.

Dia sendiri baru masuk dalam keluarga itu dan sedang menyesuaikan diri dengan situasi baru.

“Mama sendiri pun terlepas pandang. Mula-mula dulu okey saja mama tengok. Bila mereka mula berkemelut mama pun tak sedar. Tiba-tiba saja mama perasan mereka makin renggang. Ingatkan sibuk dengan urusan masing-masing...”

Ros Ilyani picit belakang ibu mertuanya. Dalam sekali keluhan Puan Sri Zalia. Masuk hari ketiga Ros Ilyani balik ke rumah selepas bulan madu, baru Puan Sri Zalia berpeluang bertanyakan perancangan mereka berdua.

“Rais syorkan kami duduk di kondominium kat Taman Universiti mama. Dia dah bayar deposit rumah buat sementara waktu.”

“Terpulanglah pada kamu berdua.”

“Eh, mana Murni? Tak nampak pun dia dengan anaknya sejak mama balik,” Puan Sri Zalia baru perasan.

“Makcik Rohaya beritahu Murni ikut Nenek Ninda balik kampung,” beritahu Ros Ilyani pada Puan Sri Zalia.

“Bila?” Terkejut Puan Sri Zalia mendengar. Berkerut dahinya.

“Pagi tadi.”

“Balik begitu saja. Dia tak beritahu mama pun!” Rajuk bunyi nadanya.

“Sebab Ros dengan Rais dah balik kot! Murni tak selesa.” Ros Ilyani pula berasa bersalah.

“Kalau ya pun. Beradablah sikit. Kak Ninda pun sama. Tak sempat-sempat!” leter Puan Sri Zalia.

Dia sedar akhir-akhir banyak dugaan untuk keluarga mereka tapi sikap toleransi perlu ada dalam kalangan ahli keluarga.

“Mungkin Murni masih perlukan masa untuk terima Ros,” kata Ros Ilyani lama kemudian.

Puan Sri Zalia terdiam sejenak. Kesibukan me-nguruskan Rania menyebabkan dia tidak sempat memikirkan hal-hal lain. Balik dari hospital, badan sudah benar-benar penat. Selesai solat Isyak, dia akan mengaji seketika dan berulang ke hospital semula. Begitulah rutin hidupnya sejak Rania dimasukkan ke hospital.

“Biar sajalah kalau dia nak balik. Kita pun tak sempat nak melayan dia dengan anaknya. Itu yang terbaik buat dia sementara waktu ni,” putus Puan Sri Zalia.

Malas dia hendak me-nyerabutkan fikirannya dengan masalah anak-anak. Cukuplah masalah Rania seorang yang dipikulnya sekarang. Makcik Rohaya muncul dengan bekalan untuk Rania seperti biasa.

“Ros temankan mama nanti. Malam karang kalau mama nak balik tidur kat rumah, Ros boleh jaga Ren kat hospital,” Ros Ilyani menawarkan diri.

Puan Sri Zalia lega mendengarnya. Badannya sudah terlebih penat.

“Kalau begitu, petang mama pergi dengan Qayyum. Malam Ros pergi dengan Rais,” cadang Puan Sri Zalia.

“Rais kata dia nak ikut juga petang nanti,” kata Ros Ilyani.

“Kalau dia nak ikut tak apalah. Ros berehatlah kat rumah petang ni. Malam karang datang,” jawab Puan Sri Zalia.

“Puan Sri, ada sesuatu yang saya nak bincang de-ngan Puan Sri..” ujar Makcik Rohaya yang masih tercegat di hadapan mereka. Wajahnya serba salah.

“Hal apa kak?” suara Puan Sri Zalia tidak bermaya.

“Hal Murni...”

“Murni kan dah balik kampung.”

“Sebab tu saya nak bincang.”

“Tunggulah dulu kak. Saya tengah serabut ni, penat pun ya!” Puan Sri Zalia memicit-micit dahinya. Makcik Rohaya terkulat-kulat. Hal itu penting tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu tekankan pada Puan Sri Zalia akan perkara tersebut.

“Bawakan saya air suam dengan panadol,” arah Puan Sri Zalia kemudiannya.

Makcik Rohaya beredar dan kembali semula dengan apa yang dipinta.

“Kalau Puan Sri penat, biar saya dengan Ros yang temankan Ren kat hospital...” Makcik Rohaya menawarkan diri.

“Tak apa, tak apa. Saya boleh pergi,” Puan Sri Zalia bangkit masuk ke bilik selepas dua biji panadol dengan segelas air suam masuk ke perutnya.

Petang itu, dia ke hospital bersama Ummar Qayyum dan Rais. Dia masuk ke bilik Rania sementara Ummar Qayyum bersama Rais berbual-bual di luar kamar. Hanya dia dan Rania sahaja di dalam kamar. Puan Sri Zalia berasakan sudah tiba masanya untuk dia menegur sikap keras hati Rania terhadap Ummar Qayyum.

“Sampai bila Ren nak hukum Qayyum?” tanya Puan Sri Zalia.

“Siapa Ren nak hukum dia?”

“Ren tak nak jumpa dia, tak nak pandang muka dia. Ren menghukum dia lah tu! Ren kena ingat. Qayyum suami Ren. Berdosa tindakan Ren ni!”

Setiap kali hal itu dibincangkan, air mata Rania mudah saja meluncur.

“Bukan Ren saja yang sedih atas kehilangan bayi tu, Qayyum pun sama. Seluruh keluarga bersedih!” pujuk Puan Sri Zalia tidak putus-putus.

Serta-merta air muka Rania berubah. Benarkah Ummar Qayyum sama merasai apa yang dia rasa? Selama dia mengandung, siapa yang bersusah payah menjaga kandungan? Ummar Qayyum tidak peduli! Itu yang dia rasa.

“Malam ni biar Qayyum jaga Ren ya! Boleh ya Ren?” pujuk Puan Sri Zalia lagi.

Tanpa sepatah kata, dia hanya menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Kasihan Qayyum, dah empat hari Ren tak layan dia. Ren tak hendak bercakap dengan dia, biarlah dia temankan Ren malam ni!” pujuk Puan Sri Zalia lagi.

Rania membatukan diri. Ombak di dadanya berdebur hebat. Hatinya tercedera parah sekali. Jangan sesekali Qayyum tunjukkan muka! Aku tak sudi! Aku tak sudi! Rintih hati Rania.

“Boleh Qayyum temankan?” tanya Puan Sri Zalia tanpa mengetahui gelora yang sedang melanda tasik hati Rania. Disangka Rania sedang berfikir.

“Boleh ya Ren?” ulangnya lagi.

Rania menangis teresak-esak. Dicuba memujuk hati untuk menerima takdir yang datang tapi tidak semudah itu untuk dia menerima kunjungan Ummar Qayyum. Sejujurnya dia tidak sudi melihat muka Ummar Qayyum malah jauh di sudut hati, dia berasa sangat kecewa dengan Ummar Qayyum.

Hati yang sudah lama merajuk pada si suami, rupa-rupanya telah berbisul tanpa disedari. Lama-lama bisul menjadi besar dan merebak umpama api dalam sekam. Dan kini? Masih adakah tempat untuk Ummar Qayyum di ruang hatinya yang semakin sempit?

“Kenapa Ren marahkan Ummar Qayyum sangat-sangat? Apa salah Qayyum sayang?”

“Ren tak nak cakap apa-apa.” Esak tangis Rania berlagu.

“Takkan Ren nak salahkan Qayyum. Ini bukan salah Qayyum.” Puan Sri Zalia mulai berkeras. Dia tidak mahu Rania berterusan menyalahkan Ummar Qayyum atas keguguran kandungannya.

“Boleh tak mama tinggalkan Ren sendiri, Ren tak nak cakap apa-apa.” Hidung Rania kembang kempis.

“Qayyum temankan Ren ya sayang!” pujukan Puan Sri Zalia terdengar lagi.

“Ren tak nak gangguan. Ren pohon biarkan Ren sendiri,” Rania meraba perutnya.

Anak mama, maafkan mama! Jiwanya lirih setiap kali terkenangkan anak yang hanya sempat dikandung
seketika sahaja.

“Ren...” pujukan Puan Sri Zalia ternyata tidak berbekas langsung di hati Rania.

“Tolonglah mama, tolonglah. Mama baliklah. Tinggalkan Ren. Ren nak bersendirian,” ujar Rania. Dia menarik selimut lalu menutup mukanya.

“Malam nanti, Kak Ros datang temankan,” beritahu Puan Sri Zalia. Rania tidak menjawab.

Di luar, hujan mulai turun membasahi bumi. Puan Sri Zalia bangkit lalu menarik langsir jendela. Puan Sri Zalia berpesan macam-macam pada jururawat yang ditugaskan menjaga Rania. Sebelum beredar dia menarik selimut yang menutupi muka anak kesayangannya. Sebuah kucupan dilepaskan di dahi.

“Telefon mama kalau Ren nak apa-apa ya,” pesan Puan Sri Zalia sebelum pergi.

Dalam gelap malam, dalam basah curahan hujan dan dentuman bertubi-tubi suara guruh dan petir, Rania berkelubung melayan rawan hatinya. Dia bersendirian di wad mewah di hospital swasta yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka. Dia tidak kisah ditinggalkan bersendirian di tempat sunyi dan terasing itu. Dia lebih rela bersama jururawat-jururawat yang sabar melayan kerenah pesakit. Dia melayan perasaan.

Kalaulah Ummar Qayyum lebih prihatin kepadanya, banyak perkara buruk dapat dielakkan. Dia percaya semua yang berlaku atas kehendak Yang Esa dan takdir Tuhan tiada siapa yang dapat menolak tapi manusia boleh berusaha untuk mencegah sesuatu. Manusia boleh bertolak-ansur dan boleh bertimbang rasa terhadap insan lemah lebih-lebih lagi pada perempuan mengandung sepertinya.

Namun mengapa rasa ihsan dan belas serta tolak-ansur dan timbang rasa yang diharapkan daripada si suami tidak kelihatan sewaktu dia amat-amat memerlukannya? Mengapa Ummar Qayyum begitu dingin dan membiarkan sahaja masalah yang berlaku antara mereka berlarutan? Mengapa Ummar Qayyum tidak berusaha menjernihkan situasi dan membiarkan orang lain menangguk di air keruh?

Itulah puncanya yang membuatkan hatinya rabak teruk. Itulah sebabnya dia jadi benci kepada Ummar Qayyum. Kerana itu, dia tidak sanggup memandang muka Ummar Qayyum. Dia tidak boleh memandangnya. Dia tidak sudi. Pergilah Ummar Qayyum dari sisinya. Pergilah ke mana-mana sahaja dia mahu pergi. Pergi!

Pintu biliknya tiba-tiba diketuk. Rania memusingkan tubuhnya. Ketukan berbunyi lagi. Rania mendiamkan diri. Kerana bimbang, Rania membunyikan loceng kecemasan. Seorang jururawat muncul di depan pintu bilik. Di belakangnya berdiri Ummar Qayyum.

Tersentap hati Rania. Jururawat itu pergi sebaik sahaja Rania memintanya berbuat demikian. Pintu bilik ditutup. Rania tahu Ummar Qayyum berada di dalam bilik bersamanya kini. Seperti tadi dia memusingkan tubuhnya menghala ke arah tingkap yang langsirnya telah ditarik ibunya. Bunyi tapak kasut Ummar Qayyum mendekati katil. Rania berasa berdebar-debar. Kenapa dia muncul?

Ummar Qayyum sudah berdiri di hadapannya kini. Rania membina kekuatan. Ikutkan hati dia memang sudah tidak sudi memandang Ummar Qayyum lagi. Kerusi dicapai Ummar Qayyum lalu dia duduk mengadap Rania.

“Pergi...,” kata Rania perlahan. Wajahnya langsung tidak dipalingkan pada Ummar Qayyum.

“Abang tahu Ren tak sudi jumpa abang. Ren benci abang dan tak nak tengok muka abang...,” kata Ummar Qayyum perlahan-lahan. “Tapi beri peluang pada abang untuk tahu apa dosa dan salah abang pada Ren.”

Rania terjebik. Hancur hatinya mendengar kata-kata Ummar Qayyum. Sehingga detik ini, Ummar Qayyum masih tertinggal di dalam mimpinya. Barangkali mimpi itu tidak membawa apa-apa makna pada diri Ummar Qayyum tapi mimpi itu mengganggu hidupnya. Ummar Qayyum masih tidak tahu apa masalah mereka? Lebih teruk, dia membiarkan masalah itu berlarutan dan tergamak pula bertanya apa dosa dan salahnya. Tangan Rania cuba dipegang tapi segera direntap Rania.

“Kalau abang bersalah dan berdosa pada Ren, maafkan abang!” Suara garau Ummar Qayyum mulai terputus-putus.

“Abang cuba yang terbaik untuk menjernihkan hubungan kita dengan membiarkan Ren sendiri tapi kalau itu silap abang dan salah percaturan abang, abang mohon kemaafan dari Ren. Abang akui kesilapan abang!”

Sebaknya dada Rania hanya Tuhan yang maha mengetahui. Betapa Ummar Qayyum tidak tahu bahawa dialah satu-satunya lelaki yang sangat dicintai, dihormati dan diharap bersama Ummar Qayyumlah kolek kecil mereka akan berkembang dan belayar di lautan cinta tapi baru saja di gigi air, kolek kecil itu sudah dilambung ombak dan tidak mampu untuk bertahan. Kalau malam ini merupakan malam penentuan, aku reda! Ikrarnya dalam hati.

“Ren...” seulas kata terlontar lagi dari bibir Ummar Qayyum.

Dada Rania berkocak kencang.

“Maafkan abang kalau kehadiran abang di sisi Ren, merosakkan hati Ren. Abang pun keliru tentang masalah kita. Abang tak sangka ia berkesudahan seperti ini. Abang tak pernah duga, kemarahan Ren pada abang sampai ke tahap ini!” luah Ummar Qayyum lagi.

“Pergi!” suara Rania mulai serak.

“Ren...”

“Pergi....” Rania mulai batuk-batuk kecil. Bersama hujan yang lebat menyimbah bumi, air mata Rania turut sama menyaingi.


Sumber : Harian Metro